BAB 9

 

JAM menunjukkan tepat jam 6 pagi. Ainna bangun untuk menunaikan solat subuh. Dia benar-benar berharap yang Allah memberi petunjuk yang lebih jelas padanya. Dia sudah rimas dengan pergelutan perasaannya selama seminggu itu. Hari demi hari ibunya menelefon Ainna semata-mata untuk memaksa dia menerima perjodohan itu, namun dia sengaja memanjangkan tempoh. Dia ragu dengan keputusannya kerana istikharahnya seolah-olah tidak mengarahkan dia untuk menerima permintaan ibunya.

Ainna berjalan keluar menuju ke dapur. Melihat pintu bilik Hani yang sedikit terbuka, menggerakkan hatinya untuk bercerita kepada gadis itu.

               “Hani. Kau dah siap-siap ke?” tanya Ainna seraya duduk di katil yang bercadarkan warna krim.

               “Taklah! Aku baru nak iron baju. Kenapa?” tanya Hani yang sedikit pelik kerana Ainna datang ke biliknya di awal pagi.

               “Aku nak tanya kau ni. Selama seminggu ni, aku buat istikharah tapi aku tak dapat apa-apa petanda pun untuk terima perjodohan tu,” ujarnya perlahan.

               “Kau bagitahu je la ibu kau yang kau tak nak kawin dengan Fahmi tu. Cerita dengan dia yang istikharah kau tak tunjuk untuk terima wedding tu pon,” ujar Hani seraya melabuhkan duduk berhadapan dengan Ainna.

               “Tapi aku takut ibu aku tak setuju la,” jawabnya perlahan seraya melepaskan keluhan kecil. Dia tahu benar dengan sikap ibunya yang mengutamakan apa yang dia nak berbanding dengan kemahuan anak-anaknya. Namun tidak mungkin untuk dia menceritakan hal itu pada Hani.

               “Cuba kau bagitahu dulu, nanti ibu kau mesti faham. Kau jangan la fikir negative dulu,” nasihat Hani.

               “Tapi kan Hani. Semalam waktu aku tertidur time tunggu masuk waktu Zohor, aku ada dapat mimpi. Cuma aku tak tahu la mimpi tu betul ke mainan tidur je,” ujar Ainna dengan wajah yang bingung dan memandang Hani.

               “Mimpi apa?” tanya Hani yang kelihatan berminat dengan cerita sahabatnya.

               “Aku mimpi ibu dengan baba datang jumpa aku then dia mintak aku redha dengan jodoh yang Allah dah aturkan untuk aku,” cerita Ainna tentang mimpinya. Namun dia tidak sempat melihat wajah lelaki yang bergelar suaminya itu kerana dibangunkan dengan bunyi azan.

               “Tu kan waktu Qailullah, Ainna. Setahu aku mimpi waktu tu mimpi yang tepat,” jelas Hani dengan riak wajah yang serba salah. Risau akan menambahkan lagi tekanan kepada Ainna. Dia tahu yang gadis itu amat berharap yang petunjuk dari istikharahnya adalah menolak perjodohan itu, tapi yang berlaku adalah sebaliknya.

               “Ish! Tak tahu lah aku. Penatlah! Aku pun tak yakin dengan mimpi aku. Takkanlah aku nak kawin dengan orang yang aku tak kenal, Hani. Aku tak pernah tengok tau muka dia, hensem ke tak, berjanggut ke botak ke. Entah-entah pendek! Eeee! Taknak aku!” bebel Ainna dengan nada yang tinggi.

Hani berusaha menahan tawanya. Risau sekiranya Ainna terasa hati dengan dia. Namun sikap Ainna ketika itu agak lucu tapi dia mengerti dengan reaksi gadis itu. Setiap wanita yang ingin berkahwin bukan sahaja mencari lelaki yang baik tetapi juga lelaki yang dicintai dan mencintai dirinya setulus hati. Sedangkan Ainna, dia kenal pun tidak inikan pula bercinta.

               “Ainna. Kau ni! Jangan lah fikir yang bukan bukan! Kau tengok Fikry tu hensem je, mestilah adik dia pun hensem! Entah-entah lebih hensem dari Fikry. Lagipun, mimpi kau tunjuk supaya kau terima perjodohan tu, jadi kau kena redha la. Mungkin betul yang Fahmi tu jodoh kau tapi Allah hadirkan dia melalui percaturan antara parents korang. Kau janganlah suudzon dengan Allah. Dia tahu yang terbaik untuk hamba Dia. Dan kalau kau tolak perjodohan ni pun, tapi kalau Allah dah kata Fahmi tu jodoh kau. Kau akan kahwin jugak dengan dia,” nasihat Hani sambil tangannya memegang tangan Ainna dengan lembut.

               “Aku tak tahulah Hani. Aku bukannya nak suudzon tapi aku tak yakin tau dengan mimpi aku tu,” jawab Ainna seraya menghela nafasnya. Kepalanya pening jika terus berfikir tentang hal itu.

               “Macam ni lah. Kau ambik masa lagi seminggu untuk yakinkan lagi diri kau. Mana tahu nanti Allah bagi petunjuk yang lebih jelas kat kau. Dah takde cara lain untuk meyakinkan hati kau dalam buat pilihan, selain dari mintak petunjuk daripada Allah. Segala sesuatu itu berasal dari Dia dan Dia juga yang maha membolak balikkan hati setiap manusia. Jadi memang wajar untuk kita kembali pada Allah dalam apa jua keadaan sekalipun,” kata Hani dengan senyuman di bibir.

Ainna mengukirkan senyuman mendengar penjelasan Hani. Memang tidak salah dia memilih untuk memceritakan masalahnya pada gadis itu. Hani memang seorang yang alim dalam agama berbanding dirinya. Gadis itu juga banyak memberi teguran dan nasihat yang membina pada Ainna.

 

PUAN FARIDAH mengukirkan senyuman lebar selepas mematikan panggilannya dengan Fahmi. Dia bersyukur kerana Fahmi bersetuju dengan permintaannya, tinggal tunggu jawapan dari pihak perempuan saja. Fahmi juga meminta supaya Puan Faridah menguruskan semua hal yang berkaitan dengan majlis pertunangannya memandangkan dia sibuk dengan kerjanya dan tidak boleh membuat permohonan cuti. Puan Faridah mengambil telefon bimbitnya untuk memberi khabar gembira itu kepada Puan Rozita.

               “Assalamualaikum, Idah! Ada apa call aku pagi-pagi ni?” ujar Puan Rozita yang sedang sibuk menyiram tanamannya di halaman rumah.

               “Waalaikumussalam. Ita! Kau sibuk ke tu?” tanya Puan Faridah dengan nada yang ceria.

               “Taklah! Aku tengah siram pokok ni. Biasalah kita kan suri rumah kan. Suami dengan anak-anak takde, nak buat apa lagi. Melayan anak-anak pokok je lah,” jawab Puan Rozita seraya duduk di sebuah pondok yang dibina di halaman rumahnya.

               “Nasib baik ada anak pokok. Aku ni tak boleh nak melayan apa-apa,” gurau Puan Faridah.

               “Ada-ada je lah kau tu.”

               “Ni Ita! Aku call kau ni nak bagitahu yang Fahmi dah setuju nak kawin dengan anak kau!” kata Puan Faridah dengan teruja.

               “Ye ke, Idah? Alhamdulillah syukurlah. Dapat juga lah kita berbesan,” jawab Puan Rozita dengan hati yang berbunga-bunga. Harapan dia untuk berbesan dengan sahabat sendiri termakbul.

               “Alhamdulillah. Itulah, aku pun tak sangka dia setuju. Haritu dia tolak tau! Lepas tu aku bagi dia masa untuk fikir, tadi dia call kata setuju. Aku pun apa lagi, terus call kau lah!” ujar Puan Faridah dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

               “Patutlah kau happy je dari tadi. Aku ingatkan kenapa. Boleh lah nanti kita bincang bila nak langsungkan majlis, Idah!” kata Puan Rozita yang sudah tidak sabar untuk mengadakan majlis untuk anak-anak mereka.

               “Eh! Ainna dah setuju ke Ita?” tanya Puan Faridah yang tertanya-tanya dengan jawapan sahabatnya tadi. Setahunya Puan Rozita belum menyampaikan kalau Ainna sudah bersetuju dengan perjodohan itu.

               “Dah! Dah setuju dah,” bohong Puan Rozita. Padahal Ainna masih belum memberi apa-apa jawapan untuk permaasalahan itu. Setiap kali dia bertanya, pasti anak gadisnya mengelak dan meminta tempoh. Kalau nak tunggu jawapan dari Ainna memang tak tahu bila boleh melangsungkan majlis mereka. Jadi lebih baik dia urus semuanya dulu nanti baru dia khabarkan pada Ainna. Dia yakin yang Ainna tidak akan menolak pertunangan itu ketika saat-saat akhir.

               “Oh! Yeke?! Alhamdulillah la kalau macam tu. Nanti kita bincang la ye pasal majlis tu. And satu lagi aku nak bagitahu yang Fahmi mintak kita uruskan semua benda sebab dia tak boleh balik. Nanti hari majlis pon dia tak tahu dapat cuti atau tak,” ujar Puan Faridah dengan nada yang perlahan. Risau sekiranya Puan Rozita terasa hati dengan anaknya. Tapi dia faham kerja anaknya yang tidak menentu itu.

               “Oh! Takpe lah! Orang lelaki takde time tunang takpe. Orang perempuan yang wajib ada. Ainna pun tak boleh urus majlis ni tapi nanti hari majlis dia akan balik. Aku tak kisah sangat dia nak urus atau tak, sebab kita ada. Diorang terima ni pun aku dah bahagia sangat dah,” ujar Puan Rozita seraya melepaskan keluhan perlahan. Berharap anak gadisnya tidak akan menghampakan dia dan keluarga Puan Faridah.

 

YANA melepaskan keluhan berat setelah mematikan panggilannya dengan Ainna. Gadis itu seperti berada dalam dilema untuk membuat keputusan tentang perjodohannya dengan Fahmi. Sejujurnya dia bersimpati dengan nasib adiknya dan Ainna kerana dijodoh-jodohkan namun dia sendiri tidak tahu cara untuk mengubah persepsi kedua orang tua mereka tentang perjodohan itu.

Yana segera menelefon Fikry untuk menyampaikan berita itu. Dia tidak tahu sama ada mamanya sudah memaklumkan hal itu pada Fikry atau belum. Beberapa detik menunggu, panggilannya dijawab,

               “Hello! Yana!” kedengaran suara Fikry dari corong telefon.

               “Iky. Kat studio ke?”

               “Haah. Baru sampai ni. Kenapa? Kau datang sini ke?” tanya Fikry yang sedikit pelik kerana Yana membuat panggilan di waktu begini. Selalunya wanita itu jarang menelefonnya ketika waktu kerja. Dia pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Yana.

               “Busy ke?” tanya Yana risau sekiranya dia mengganggu kerja adik lelakinya itu.

               “Taklah. Kenapa? Ada masalah ke kat rumah?” tanya Fikry dengan nada yang prihatin.

               “Tak ada masalah pon. Aku nak tanya mama ada bagitahu pape tak?”

Fikry mengerutkan dahinya perlahan. Pelik dengan pertanyaan kakaknya.

               “Bagitahu apa? Ada pape yang aku tak tahu ke?” tanya Fikry sedikit bingung. Dia segera melabuhkan duduknya di atas kerusi yang ada di studionya.

               “Mama plan nak nikahkan Fahmi dengan anak kawan dia,” jawab Yana pendek.

               “Nikahkan Fahmi? Bila?” tanya Fikry dengan nada mendatar. Dia tidak tahu untuk menunjukkan respon apa. Dia agak terkejut dengan berita itu namun dia rasa itu adalah keputusan yang terbaik untuk mengubah perangai Fahmi yang kaki perempuan itu.

               “Tak tahu lagi bila sebab nak tunggu jawapan Fahmi dulu. Kalau dia setuju, bulan depan tunang,” jawab Yana dengan nada perlahan.

               “Bulan depan? Kenapa cepat sangat?” tanya Fikry sedikit pelik. Sudahlah dijodohkan oleh keluarga. Sepatutnya bagi dulu peluang untuk mereka berkenalan. Hal kahwin tidak boleh dibuat main, nanti lepas kahwin baru tahu perangai sebenar. Menyusahkan ramai orang pula.

               “Entah! Aku pun pelik dengan mama ni. Sibuk sangat nak berbesan dengan Cik Ita tu. Haritu dia nak jodohkan aku dengan anak lelaki Cik Ita. Sebab dia tahu aku dah ada Amirul, dia jodohkan pulak Fahmi,” bebel Yana perlahan.

Fikry ketawa perlahan. Ada-ada saja lah mamanya itu.

               “Nasib baik kau dah ada Mirul. Kalau tak, habislah!” usik Fikry.

               “Iky tak nak tahu ke sape anak kawan mama?” tanya Yana. Dia ingin lihat respon adiknya sekiranya tahu yang Ainna adalah gadis yang dijodohkan dengan Fahmi.

               “Aku kenal ke?” tanya Fikry yang tidak berminat untuk tahu. Dia bukannya terlalu kenal dengan kawan-kawan mama dan papanya.

               “Kenal sangat,” kata Yana dengan nada yang sedikit tinggi sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “Siapa? Setahu aku, aku takde kenal anak kawan mama,” ujar Fikry dengan yakin.

               “Yeke? Ainna bukan anak kawan mama ke?” tanya Yana dengan nada mengusik.

               “Oh! Ainna je lah aku tahu. Wait?! Is it her? Seriously?” tanya Fikry yang sedikit terkejut. Dia tidak menyangka orang yang dimaksudkan oleh Yana adalah Ainna. Entah kenapa muncul satu perasaan aneh dalam dirinya. Bukan sedih atau kecewa tapi lebih kepada simpati dengan Ainna. Walaupun dia abang kepada Fahmi tapi dia rasa yang adiknya tak layak untuk gadis sebaik Ainna. Sikap Fahmi yang selalu menukar teman wanita itu memang selalu memancing emosinya.

               “Ye lah! Takkan lah aku nak tipu. Haa! Terkejut kan! Sebab tu lah aku tak setuju dengan mama,” ujar Yana dengan nada yang tinggi. Dia tahu yang Fahmi memang baik dan penyayang terhadap orang sekelilingnya. Tapi dia risau sekiranya Fahmi masih dengan perangainya yang dulu dan akan menyakiti hati gadis sebaik Ainna.

               “Kau dah bagitahu mama yang kau tak setuju?” tanya Fikry selepas melepaskan keluhan perlahan.

               “Aku takde la bagitahu direct cuma aku ada la kata yang mama tak boleh paksa kalau Fahmi tak nak. And mama pon bagi masa pada dia untuk fikir. Tengokla kalau Fahmi terima memang wedding tu jalanlah!” ujar Yana dengan muka yang serba salah.

               “Ainna dah setuju ke?” tanya Fikry dengan fikirannya yang masih tertanya-tanya samada Ainna menerima perjodohan itu atau pun tidak.

               “Haaa itu satu hal. Tadi aku bercakap dengan dia. Dia kata buat masa ni dia tak bagi apa-apa jawapan lagi dekat ibu dia. Tapi hati dia lebih kepada nak menolak cuma dia risau dengan ibu dia la. Dia takut ibu dia tak boleh terima kalau dia tolak perjodohan ni,” ujar Yana yang bersimpati dengan keadaan gadis itu. Jelas yang Ainna dalam keadaan tertekan sewaktu berbual dengannya tadi.

               “Haih! Entahlah aku. Susah nak fikir. Kesian jugak la dengan dia. Tapi kita pun bukan boleh tolong apa,” jawab Fikry perlahan.

               “Itulah! Takpelah kau gi la buat kerja. Dah lama kita borak ni, bising pulak model kau,” gurau Yana seraya mematikan panggilan.

Fikry mengeluh perlahan. Dia juga bingung dengan keadaan itu. Di satu sisi dia rasa bersyukur kerana Fahmi dijodohkan dengan gadis sebaik Ainna yang mungkin boleh mengubah adiknya menjadi orang yang lebih baik. Namun, di sisi yang lain, dia bersimpati dengan nasib Ainna kerana terpaksa menerima perjodohan dengan lelaki yang langsung tidak dia kenal apatah lagi untuk merasakan cinta terhadap Fahmi.

 

WAFIQ menerima satu pesanan ringkas melalui mesej yang memintanya supaya berhati-hati. Dia bingung dengan pesanan tersebut. Mungkinkah pesanan itu ada kaitan dengan lelaki yang selalu mengintip rumahnya? Dia mengeluh perlahan seraya menekan nombor tersebut untuk membuat panggilan. Namun, sayangnya nombor tersebut tidak ada dalam perkhidmatan.

‘Sape pulak yang nak pedajjal aku ni. Takkanlah dia datang balik. Ish! Buat aku risau je lah!’ bisik hati kecil Wafiq yang teringat akan seseorang. Hatinya mula rasa tak tenang. Risau sekiranya ibu dan babanya tahu tentang masa lalunya.

               “Eh! Kamu kenapa ni, Fiq? Kusut semacam je muka,” tanya Encik Sharif yang baru masuk ke dalam pejabat Wafiq.

               “Baba. Takde apa lah. Pening hal kerja je,” tipu Wafiq seraya memaksakan diri untuk mengukirkan senyuman.

               “Kamu ni. Busy dengan kerja je. Sheila okay ke kamu jarang jumpa dia?” tanya Encik Sharif yang sedikit risau dengan keadaan anak sulungnya itu. Wafiq memang seorang yang kuat bekerja hingga pulang lewat malam dan jarang ada masa bersama teman-temannya seperti anak-anak muda yang lain.

               “Ke situ pulak baba ni,” gumam Wafiq perlahan. Dia sendiri yang tidak mahu terlalu sering berjumpa dengan Sheila. Kalau melalui telefon pun ada bergaduh apatah lagi selalu berjumpa. Jadi untuk mengelakkan hubungan mereka semakin renggang, lebih baik dia menjaga batasan antara mereka untuk tidak sering meluangkan masa bersama.

               “Ye lah! Asyik busy dengan kerja je. Merajuk Sheila tu nanti baru padan muka kamu.”

               “Takde apa lah baba. Dia okay je. Lagipun dia pun busy dengan kerja dia jugak,” jelas Wafiq sambil menyusun fail yang ada di mejanya.

Encik Sharif hanya menjawab dengan anggukan. Wafiq memandang wajah babanya yang kelihatan seperti banyak berfikir,

               “Baba okay ke?” tanya Wafiq perlahan.

Encik Sharif melepaskan nafas perlahan.

               “Entah kenapa baba rasa serba salah dengan keputusan ibu untuk jodohkan adik kamu dengan anak kawan dia tu,” jawab Encik Sharif sambil memegang belakang tengkuknya.

               “Kenapa? Baba dah jumpa ke dengan budak tu?” tanya Wafiq sedikit hairan. Haritu babanya juga yang terlebih teruja dengan perjodohan itu, namun ini sebaliknya pula yang berlaku.

               “Tak. Baba belum jumpa. Baba takut adik tak setuju dengan keputusan ibu,” ujarnya perlahan.

               “Tapi kan kita memang tunggu adik buat keputusan dulu kan. Ke memang ibu nak proceed je even adik tak nak?” tanya Wafiq sambil mengerutkan dahi. Sebelum ini ibunya beritahu yang adiknya meminta tempoh untuk buat istikharah jadi tidak ada istilah memaksa lah.

               “Itulah masalahnya. Tadi ibu call baba kata dia dah bagitahu Cik Dah kamu yang adik terima perjodohan tu. Padahal adik kamu tak bagi apa-apa jawapan pun lagi,” jawab Encik Sharif dengan wajah yang sugul. Dia risau sekiranya Ainna tidak pulang ketika hari majlis itu berlangsung.

               “Laa macam tu pulak. Along ingat nak tunjuk jawapan adik dulu.”

               “Itulah yang baba risau ni. Buatnya adik kamu mengamuk tak nak balik. Nak campak mana muka kita? Malu tau majlis dah buat, orang dah datang, tapi pengantinnya takde,” ujar Encik Sharif yang menceritakan kegusaran yang ada di benak fikirannya.

               “Baba. Baba jangan risau lah. Along kenal adik tu macamana. Dia takkan buat baba dengan ibu malu. Dia akan balik hari majlis tu nanti,” jawab Wafiq untuk menenangkan babanya.

               “Baba harap macam tu lah. Takutnya dia buat kerja gila je. Malu kita nanti! Kamu jangan bagitahu adik-adik kamu lagi. Nanti dorang fikir cara pulak nak lari. Biar ibu dengan baba yang manage dorang,” tegas Encik Sharif seraya bangun dari kerusi yang didudukinya.

Wafiq hanya membalas dengan anggukan.

 

FIKRY baru sahaja balik dari kerja mendapatkan Raiq yang sedang bermain di ruang tamu. Dia sempat mengerling ke arah pembantu rumahnya yang sibuk menyusun pinggan mangkuk di dapur.

               “Assalamualaikum sayang papa. Sayang papa buat apa ni?” tanya Fikry sambil mencium pipi anaknya berkali-kali.

Raiq merasa rimas dengan Fikry seraya menolak tubuh lelaki itu perlahan,

               “Eee! Papa ni busuk,” ujarnya perlahan.

Fikry tersenyum mendengar bicara anak kecilnya itu. ‘Macamana lah kalau Raiq takde dengan papa?’ bisik hati kecilnya yang bersyukur dengan kehadiran Raiq. Sejujurnya kehadiran Raiq banyak mengubah diri Fikry. Dia jadi seorang yang lebih penyabar, lebih sayang dan prihatin pada orang sekeliling.

               “Papa. Boleh tak kita gi jumpa Tyna? Raiq rindu dia la,” ujar Raiq perlahan. Mendengar kata-kata Raiq membuatkan fikiran Fikry melayang mengingatkan gadis itu. Pasti Ainna dalam keadaan tertekan dan keliru untuk membuat keputusan. Kesian sungguh dengan gadis itu.

               “Papa. Papa dengar Raiq tak?!” jeritan Raiq mengejutkan Fikry.

               “Ye. Papa dengar. Okay kejap eh, papa call Tyna dulu,” ujar Fikry seraya mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mengangguk dan memberi senyum pada pembantu rumahnya yang meminta izin untuk pulang. Lama dia menunggu akhirnya panggilannya dijawab,

               “Assalamualaikum.”

               “Walaikumussalam! Tyna! Tyna buat apa?” tanya Raiq dengan nada yang ceria.

               “Raiq! Tyna baru sampai rumah. Raiq buat apa? Dah makan?” tanya Ainna dengan suara yang tidak semuram tadi.

               “Raiq tengah main je. Dah! Tadi Raiq makan dengan bibik,” ujar Raiq seraya memandang Fikry yang tersenyum melihatnya.

               “Raiq main apa? Ala tak ajak Tyna pun main,” gurau Ainna yang berpura-pura merajuk.

               “Alaaa. Macamana nak ajak Tyna main. Tyna bukan duduk rumah papa. Kalau Tyna duk sini kan senang. Takde la Raiq bosan main sorang-sorang.”

Kata-kata Raiq seolah-olah termakan dirinya sendiri. Ainna sendiri tidak tahu untuk merespon apa namun bibirnya mengukir senyuman nipis. Bijak sungguh si kecil itu berkata-kata.

               “Alaaa rumah papa Raiq jauh la. Nanti Raiq datang sini kita main lagi okay?” pujuk Ainna perlahan.

Setelah agak lama Ainna berbual dengan Raiq, Fikry meminta Raiq untuk mengizinkan dia bercakap dengan Ainna. Dia ingin bertanya tentang keputusan gadis itu tentang perjodohan adiknya dengan Ainna.

               “Ainna. Awak okay?” tanya Fikry yang berjalan menuju ke dapur.

               “Maksudnya?” tanya Ainna berpura-pura tidak tahu. Dia sebolehnya tidak mahu fikir tentang masalah itu kerana setiap kali memikirkannya, emosi Ainna jadi terganggu.

               “Pasal perjodohan family kita tu,” tanya Fikry dengan nada perlahan. Risau sekiranya gadis itu merasa terganggu dengan pertanyaannya.

               “Entahlah! Saya tak tahu nak rasa apa sekarang ni,” jawab Ainna perlahan. Hatinya kosong bila ada yang bertanya tentang hal itu. Pagi tadi Yana yang bertanya kepadanya, sekarang Fikry pula. Orang yang ingin menjadi calon suaminya belum muncul juga. Mungkin dia juga sedang buntu seperti Ainna.

               “Ainna. Saya mintak maaf. Saya tahu yang saya tak sepatutnya masuk campur hal ni. Tapi nasihat saya cuba awak bincang dengan ibu awak. Mungkin dia boleh faham,” nasihat Fikry dengan niat untuk menenangkan gadis itu. Dia yakin yang Ainna dalam keadaan bercelaru waktu ini.

               “Awak takkan faham Fikry. Family saya lain. Kenapa awak tak suruh je adik awak yang batalkan marriage ni? Suruhlah dia bagitahu mama awak supaya stop dengan perjodohan ni,” ujar Ainna dengan nada yang sedikit tinggi. Semua orang yang menasihatinya supaya meminta perjodohan itu dibatalkan, seolah-olah hanya dia yang tidak mahu hal itu terjadi. Sedangkan dia yakin yang Fahmi juga tidak bersetuju dengan perjodohan itu.

Fikry mengeluh perlahan. Dia tahu yang emosi Ainna waktu itu tidak stabil.

               “Saya mintak maaf Ainna. Saya tak ada niat nak ajar awak. Saya cuma kesiankan awak. Saya cakap macam ni pun sebab saya yakin dengan Fahmi. Dia akan terima perjodohan ni sebab dia tak nak kecewakan mama saya,” ujar Fikry perlahan.

‘Aku tak nak kecewakan ibu, dia pun tak nak kecewakan mak dia. Semua anak nak jaga mak. Tapi mak bapak tak kisah pun pasal anak!’ geram Ainna di dalam hati.

               “Takpe. Saya yang sepatutnya mintak maaf. Saya tahu niat awak baik. Tapi sejak akhir-akhir ni emosi saya tak stable. Sorry Fikry,” ujar Ainna mengaku kesalahannya. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya membentak lelaki itu sedangkan Fikry berniat baik untuk membantunya.

               “It’s okay. Saya faham. Takpelah Ainna, awak fikir baik-baik. Mintak petunjuk dari Allah. In sya Allah saya doakan semoga urusan awak dan Fahmi dipermudahkan. Mungkin juga jodoh awak memang dengan Fahmi,” jelas Fikry selepas mengukirkan senyuman mendengar permintaan maaf dari gadis itu.

               “Thankyou Fikry,” ujar Ainna seraya mematikan panggilan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 10

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23