BAB 12

 

WAFIQ yang ketika itu berada di luar rumah memandang kereta Wildan yang masuk ke halaman rumah babanya. Dia menunjukkan riak wajah yang tidak puas hati memandang Wildan. Wildan yang baru keluar dari keretanya menghampiri Wafiq yang berada di pintu rumah.

               “Sejak bila baba letak guard depan pintu?” kata Wildan dengan nada yang sinis. Rasa marahnya tentang masalah tadi belum lagi hilang, Wafiq masih lagi ingin menambahkan bahang di dadanya.

               “Korang dari mana?” tanya Wafiq sambil memandang Ainna dan Wildan silih berganti. Ainna hanya menunjukkan riak biasa. Malas berdebat dengan abangnya yang satu itu.

               “Kau kesah apa? Bukan ada kena mengena dengan kau pun,” jawab Wildan lagi.

Wafiq menarik nafas perlahan seraya memandang Ainna,

               “Phone kau letak mana? Tak reti nak reply whatsapp ke?” tanya Wafiq dengan wajah yang garang. Mungkin kesal kerana Ainna tidak merespon mesej yang dihantar olehnya tadi.

               “Dah buang kat laut! Setakat chat suruh balik. Bukannya nak tanya adik kau ni hidup lagi ke tak, dah okay ke belum,” jawab Wildan dengan nada yang menyindir. Sungguh dia geram dengan Wafiq yang langsung tidak risau dengan keadaan adik mereka. Jauh sekali untuk keluar mencarinya.

               “Eh! Kau jangan kurang ajar eh! Aku tak tanya kau pun!” tegas Wafiq sambil menunjukkan jari telunjuknya di depan muka Wildan.

Wildan tersenyum sinis memandang wajah abangnya. Dia menolak tangan Wafiq untuk dijauhkan dari mukanya.

               “Kau tak layak nak tunjuk-tunjuk depan muka aku. Kau sape? Abang? Abang apa macam ni? Langsung tak nak ambik tahu pasal adik dia. Pergi mampus lah! Baik takde abang pun takpe,” ujar Wildan seraya menarik Ainna masuk ke dalam rumah.

Wafiq hanya mengetap bibir mendengar kata-kata yang dilemparkan kepadanya.

               “Assalamualaikum. Jarang lah semua orang dalam rumah ni tunggu kita balik dik. Tadi depan pintu ni sini pulak,” ucap Wildan selepas melihat ibu dan babanya sedang duduk di sofa sambil memandang mereka.

               “Adik. Adik pergi mana sayang? Ibu dengan baba risau tau,” ujar Puan Rozita dengan nada yang lembut seraya menghampiri Ainna yang berdiri di sebelah Wildan.

               “Risau? Risau ke takut tak balik majlis besok?” sindir Wildan seraya mengukirkan senyuman sinis. Ainna menyiku abangnya perlahan. Risau sekiranya itu akan membangkitkan lagi kemarahan kedua orang tuanya pada Wildan.

Puan Rozita hanya menggeleng kepala saat melihat Encik Sharif ingin membuka mulut untuk memarahi anak lelakinya. Dia tidak mahu keadaan kembali huru-hara seperti tadi. Waktu ini dia hanya memikirkan cara untuk memujuk Ainna sekiranya anak gadisnya itu tidak bersetuju dengan pertunangan yang akan diadakan besok hari.

               “Ibu dengan baba tak payah risau pasal majlis tu. Adik setuju untuk bertunang esok. Dengan syarat jangan sesiapa ganggu adik harini. And one more thing, apa yang adik cakap dan buat langsung takde kaitan dengan angah. Jangan sesekali salahkan angah atas kesilapan yang ibu dengan baba buat pada adik,” ujar Ainna seraya melepaskan pegangan tangan dari ibunya. Dia berjalan naik ke biliknya tanpa memandang wajah ibu dan babanya.

Mungkin nampak senang, tapi perasaannya ketika itu hanya Allah yang tahu. Jantungnya berdegup terlalu kencang. Risau sekiranya dia akan mengguris perasaan ibu dan babanya. Tapi dia harus menyatakan hal itu, jika tidak Wildan yang akan dipersalahkan atas setiap kesalahan yang dia lakukan. Sedangkan kata-kata yang dia lontarkan adalah kerana dia terlalu kecewa dengan perbuatan ibu dan babanya pada dia.

Puan Rozita agak terkejut mendengar Ainna menerima perjodohan itu namun beberapa detik kemudian dia berbalas senyuman dengan suaminya. Wildan hanya menggelengkan kepala melihat tingkah laku kedua orang tuanya seraya berjalan mengikuti Ainna untuk ke biliknya. Ibu dan babanya langsung tidak mahu tahu apa yang terjadi atau apa yang dilakukan oleh adiknya sepanjang mereka pergi dari rumah itu.

 

FIKRY tertanya-tanya tentang keadaan Ainna. Sejak dia menerima panggilan dari Wildan siang tadi, Fikry diburu rasa bersalah kerana tidak bertanya tentang majlis pertunangan itu kepada Ainna. Dia tahu yang sejak dari awal lagi Ainna tidak ingin menerima perjodohan itu dan dia juga sempat bingung bagaimana Ainna boleh bersetuju dengan begitu cepat. Namun, dia memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu dianggap menganggu privasi gadis itu.

Fikry mengerling ke arah Raiq yang sedang menonton televisyen,

               “Raiq nak cakap dengan Tyna tak?”

Raiq memandang Fikry sambil mengukirkan senyuman comelnya,

               “Nak! Boleh ke papa? Semalam papa kata kita tak boleh ganggu Tyna,” tanya Raiq yang teringat akan pesanan papanya selepas dia mematikan panggilannya dengan Ainna.

               “Nanti papa try tanya Tyna. Okay?” tanya Fikry seraya menghantar pesanan kepada Ainna. Soalannya itu hanya dijawab dengan anggukan dari si kecil. Dia segera membuat panggilan untuk menghubungi Ainna setelah diizinkan oleh gadis itu.

               “Assalamualaikum,” ujar Ainna dengan suara yang sedikit berbeza.

               “Waalaikumussalam, Tyna. Tyna buat apa tu?” tanya Raiq dengan nada yang ceria. Fikry pula mengerutkan dahi mendengar suara Ainna yang tidak seperti biasa. Mungkin kerana gadis itu terlalu banyak menangis setelah menerima berita pertunangan itu tadi.

               “Tyna tengah rest. Raiq buat apa? Dah makan?” tanya Ainna. Dia yang tadinya tidak mahu diganggu namun berusaha untuk menerima panggilan dari si kecil itu kerana tidak mahu mengecewakan Raiq. Sudahlah semalam dia menolak permintaan Raiq untuk berjumpa. Kalau dia tahu majlis yang diadakan itu adalah majlis pertunangannya, lebih baik dia bersetuju untuk menemani si kecil itu di sana.

               “Tengah tengok tv. Tadi Raiq dah makan. Papa beli nasi goreng. Tyna dah makan?” tanya Raiq dengan nada yang prihatin.

               “Belum. Tyna tak ada selera la. Raiq balik la suapkan Tyna makan,” ujar Ainna dengan nada yang manja. Sengaja bergurau dengan si kecil itu. Dia juga tertanya-tanya kenapa Fikry dan Fahmi tidak balik sedangkan itu adalah majlis penting keluarga.

               “Raiq dah lama nak ikut Tyna balik. Tapi papa tak bagi. Dia kata dia ada kerja,” jelas Raiq seraya mengerling ke arah papanya.

               “Oh! Takpe lah. Nanti Tyna balik sana kita jumpa okay?”

               “Okay Tyna. Raiq tunggu tau Tyna balik!” ujar Raiq dengan suara yang girang dan mengukirkan senyuman lebar.

               “Okay sayang,” jawab Ainna seraya ingin mematikan panggilan. Namun, ditegah oleh suara Fikry melalui corong radio.

               “Ainna. Jap jangan letak dulu. Saya nak cakap sikit.”

               “Apa?” tanya Ainna dengan suara yang malas. Dia rasa marah dan kecewa dengan Fikry. Selama hampir dua minggu dia berbual dengan Raiq melalui telefon Fikry, lelaki itu tidak pernah sekalipun memberitahunya tentang majlis pertunangan itu.

               “Sebelum tu, saya nak mintak maaf sebab saya tak pernah bagitahu awak pasal majlis ni. Tapi sumpah Ainna, saya ingat awak tahu tentang majlis ni. Sebab Yana cerita yang awak sendiri terima perjodohan tu. Saya tak berani nak tanya awak sebab saya anggap ini adalah privacy awak. I am really sorry, Ainna,” ujar Fikry panjang lebar. Sungguh dia merasa bersalah dengan Ainna. Sekiranya dia bertanya kepada gadis itu, pasti Ainna boleh mengambil langkah awal untuk membatalkannya. Namun, sekarang nasi sudah pun menjadi bubur. Dia tidak tahu samada gadis itu berani mengambil risiko ataupun tidak.

Ainna mengeluh perlahan. Rasa kesalnya semakin berkurang. Dia berusaha untuk percaya dengan kata-kata Fikry. Mungkin betul yang Fikry tidak mahu mencampuri urusan hidupnya. Lelaki itu juga bukan sesiapa dalam hidupnya, jadi wajar sekiranya Fikry segan untuk bertanya tentang keputusannya.

               “Takpe, saya faham. Lagipun saya dah setuju untuk teruskan majlis esok,” ujar Ainna dengan suara yang sayu.

Fikry mengeluh mendengar jawapan dari gadis itu. Dia tidak terkejut kerana dari awal lagi Wildan sudah memaklumkan yang Ainna selalu dahulukan keluarganya dalam apa jua perkara. Jadi, tidak pelik sekiranya Ainna bersetuju untuk meneruskan majlis itu.

               “Awak yakin?”

               “Yakin tu tak. Tapi saya percaya Allah akan bagi jalan untuk saya. Kalau adik awak memang jodoh saya, saya lari macam mana sekalipun nanti saya akan jumpa dia jugak. Tapi kalau dia bukan jodoh saya, ada lah jalan Allah aturkan untuk batalkan perkahwinan tu nanti,” ujar Ainna sambil mengukirkan senyuman. Entah kenapa kali ini kata-katanya membuat dirinya sedikit tenang. Tidak ada rasa risau seperti ketika dia menyampaikan itu kepada Wildan siang tadi.

               “Awak kuat Ainna. Takpe, saya janji awak akan bahagia masuk dalam keluarga kami. Saya yakin Fahmi boleh bahagiakan awak. Saya doakan urusan awak dan adik saya dipermudahkan, okay?” jelas Fikry dengan nada yang sedikit memujuk. Dia merasa terharu dengan ketabahan gadis itu. Walaupun Ainna adalah anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, namun dia seorang yang tabah. Kalau Fikry sendiri berada di posisi gadis itu, tidak tahu apa yang akan dia lakukan.

               “In sya Allah. Thankyou Fikry. Sorry kalau awak ada terasa dengan saya?” ujar Ainna dengan nada yang perlahan. Dia perlu belajar untuk menghormati lelaki itu memandangkan dia bakal menjadi adik ipar kepada Fikry.

Fikry mengukirkan senyuman nipis. Baru kali ini dia mendengar perkataan maaf dari Ainna yang kedengaran sangat ikhlas. Selalunya gadis itu bersikap sinis bila dengannya.

               “Tak de lah! Saya okay je. Anyway kirim salam Wildan eh? And one more thing, goodluck untuk esok. Saya doakan Allah bagi kekuatan pada awak. In sya Allah ada hikmah di sebalik semua ni,” ujar Fikry sekadar memberi semangat pada gadis itu.

               “Okay. Aamiin, saya pon harap macam tu,” jawab Ainna seraya mematikan panggilannya dengan Fikry setelah menjawab salam dari lelaki itu.

 

MAJLIS pada pagi itu kelihatan sangat ringkas tapi meriah dengan tetamu yang hadir. Ainna merasa rimas dengan keadaan itu. Dia bukanlah seorang yang suka dengan keramaian apatah lagi majlis yang besar-besaran seperti itu. Ainna mengeluh perlahan memandang tetamu yang hadir. Tidak ada seorang pun yang dia kenali kerana kebanyakkan dari mereka adalah rakan perniagaan babanya dan kawan-kawan ibunya. Dia tersenyum memandang Wildan yang berjalan menghampirinya di kerusi yang dihiasi bunga-bunga yang bertemakan ungu lembut itu.

               “Adik okay?” tanya Wildan sambil memandang wajah adiknya dengan riak wajah yang sayu. Dia merasa kecewa kerana sudah memungkiri janji dengan dirinya sendiri untuk terus mempertahankan kebahagiaan adiknya.

Ainna mengeluh perlahan mendengar pertanyaan abangnya. Sejak dari semalam hanya itu pertanyaan yang keluar dari mulut Wildan setiap kali melihat Ainna.

               “I don’t know. Adik macam tak ada apa-apa rasa dah. I just want everything end, now! Bosan lah duduk atas ni, kalau boleh main game ke layan drama takpe jugak,” jawab Ainna yang berusaha menutupi rasa tidak selesanya dengan keadaan itu.

               “Nak ke?” tanya Wildan sambil mengukirkan senyuman nakal. Sengaja ingin menambahkan keceriaan di wajah adiknya.

Ainna mengukirkan senyuman nipis.

               “Adik peliklah angah. Angah ni rupa helok, otak bijak, kerja rajin pakej sekali dengan kelakar pulak tu tapi kenapa single eh?” sindir Ainna mendengar lawak hambar abangnya.

Wildan menjeling sekilas.

               “Angah ni tak suka la couple, haram!” seloroh Wildan.

               “Banyaklah kau! Dulu sape yang couple bagai nak rak?” sindir Ainna. Masih ingat lagi bagaimana cara Wildan melayan kekasihnya merangkap sepupu kepada mereka. Wildan sangat menjaga gadis itu dan boleh dikatakan seorang mat jiwang! Sangat lembut dan penyayang. Namun, hubungan mereka tidak dapat bertahan lama kerana tidak direstui oleh orang tua Isya.

               “Isya ajak angah couple, angah taknak!” elak Wildan. Sedangkan Ainna tahu semua benda tentang dia dan juga Isya. Malah, Ainna yang sering menjadi orang ketiga untuk menemani mereka.

Ainna menjeling memandang Wildan seraya mengeluh perlahan.

               “Boleh tak adik balik bilik?” tanya Ainna sekadar bergurau.

               “Boleh! Jom! Bertunang pon dah! Cincin dah sarung! Maksudnya boleh balik KL lah. Dah, jom!” jawab Wildan dengan wajah yang teruja sambil menarik lengan adiknya. Dia juga rimas berada di situ. Terpaksa berpura-pura bahagia di hadapan orang lain sedangkan adiknya sedang menderita.

Ainna mengeluh sambil memandang wajah abangnya. Itu adalah hal pertama yang ingin dia lakukan usai cincin pertunangan itu disarungkan di jari manisnya. Namun, dia tahu yang dia tidak akan mampu untuk melakukannya. Sekiranya dia meninggalkan majlis itu pasti dia akan diburu rasa bersalah, mungkin seumur hidupnya.

Ainna menggelengkan kepalanya perlahan.

               “I really want to do that, but I can’t,” ujar Ainna perlahan.

               “Alaaa! Ibu dengan baba suruh bertunang je. Bukannya suruh adik duduk sampai habis majlis. Jom lah! Lagipun rimas la duk sini. Ni baru majlis tunang dah ajak lebih 200 orang. Imagine kalau kahwin? Entah-entah ibu kau buat kat depan istana. Dia curi panglima di raja tu untuk kau!” ujar Wildan sambil berusaha mengukirkan senyuman palsu kepada tetamu yang memandang ke arah mereka.

               “Ye! Sebab tu la adik serabut! Bertunang je pun nak majlis-majlis bagai!”

               “Parents kau lah! Ni pun struggle dorang buat semalam tau! Angah turun pergi dapur around 11 malam, angah nampak ibu dengan anak-anak Mak Ngah tengah buat ni,” ujar Wildan.

               “Sepatutnya semalam angah cabut je semua ni,” peril Ainna sambil mengerling kea rah Wildan yang sedang mencabut bunga yang ditampal di dinding rumahnya.

Wildan hanya mengeluh perlahan mendengar kata-kata adiknya. Sesekali dia melihat ada beberapa orang mengerling ke arahnya dengan pandangan yang sinis. Dia hanya membalas pandangan itu dengan riak wajah yang sama. Sudah terbiasa dengan pandangan serong orang sekeliling terhadap dirinya yang dianggap seperti anak yang tiada masa depan. Dia cuba bertahan untuk terus berada di situ hanya kerana ingin memberi semangat pada adiknya.

 

YANA tersenyum memandang Ainna dan Wildan yang sedang asyik berbual. Jelas terlihat kedekatan antara kedua beradik itu.

               “Ainna. Sorry akak ganggu,” tegur Yana seraya duduk menggantikan tempat Wildan. Wildan meminta izin untuk beredar dari situ kerana ingin memberi ruang kepada mereka.

               “Eh! Takde lah kak. Takde ape pon. Tadi Ainna bosan, tu angah datang teman,” ujar Ainna sambil mengukirkan senyuman nipis. Walaupun dia tidak tahu samada Fahmi itu baik ataupun tidak, sekurang-kurangnya dia sudah mengenali semua ahli keluarga lelaki itu. Layanan mereka pada Ainna juga seperti ahli keluarga sendiri. Dia bersyukur akan hal itu.

               “Sebelum tu, akak mintak maaf dengan Ainna sebab Fahmi tak dapat datang majlis ni. Akak tahu sepatutnya dia ada la di majlis ni kan? Tapi sebab dia tak dapat cuti so tak bolehla,” jelas Yana.

               “Takpe Ainna faham. Semua busy dengan kerja kan,” jawab Ainna sambil berusaha mengukirkan senyuman nipis pada bakal kakak iparnya itu.

Yana memegang tangan Ainna dengan lembut sambil menatap wajah gadis itu.

               “Akak mintak maaf Ainna. Sebab parents kita tak dapat jodohkan akak dengan abang Ainna, Ainna pulak yang jadi mangsa. Akak pon tak dapat bantu pujuk family akak untuk batalkan wedding ni,” kata Yana dengan riak wajah yang serba salah.

               “Tak pe lah kak. Ainna tak salahkan akak pon. Ainna anggap ni takdir untuk Ainna. Cuma Ainna nak akak doakan yang terbaik je untuk Ainna, okay?” tanya Ainna sambil mengukirkan senyuman nipis. Jujur dia merasa sedikit beruntung kerana dua dari doanya setiap hari sudah hampir termakbul. Doa untuk mendapatkan mertua dan adik beradik ipar yang boleh sayang dan menerima dia seadanya.

               “Pasti! Akak akan doakan untuk Ainna dengan Fahmi. Semoga korang boleh jumpa kebahagiaan korang masing-masing.”

               “Akak, boleh Ainna tanya sikit?” Ainna rasa dia perlu tahu tentang latar belakang bakal suaminya.

               “Apa tu?”

               “Fahmi tu orang dia macamana?” tanya Ainna dengan mata yang memerhati tingkah laku wanita di hadapannya.

Yana kelihatan sedikit terkejut mendengar pertanyaan dari Ainna. Dia sendiri tidak tahu mahu memulakannya dari mana. Dia perlu berkata jujur pada Ainna kerana gadis itu adalah gadis yang baik tapi tidak mungkin untuk dia membuka aib adiknya sendiri. Lagi pun, dia tidak tahu apa kegiatan adiknya sekarang. Mungkin saja adiknya sudah berubah menjadi seorang yang lebih baik.

               “Macamana? Kalau Ainna tanya pasal fizikal dia, kejap akak tunjuk gambar,” ujar Yana seraya membuka telefon bimbitnya.

               “Eh! Tak akak. Maksud Ainna, perangai dia? Perwatakan dia?” tanya Ainna lagi. Dia sangat tidak kisah dengan rupa lelaki itu. Yang dia takuti adalah sikap bakal suaminya nanti.

               “Oh! Fahmi, orangnya baik, penyayang dan kuat bekerja. Kalau mintak dia cuti untuk apa-apa family event, kena bagitahu awal-awal. Kalau last minute, memang susah! Lepastu, dia pendiam sikit. Takde lah bising macam akak dengan Fikry ni,” ujar Yana sambil mengukirkan senyuman nipis.

Ainna melepaskan tawa kecil. Memang Yana dan Fikry mempunyai perwatakan yang sama, peramah dengan sesiapa saja yang mereka kenali. Namun, mungkin itu juga salah satu sebab kenapa Ainna selesa bila berbual dengan mereka. Tidak rasa terlalu kekok.

               “Nanti Ainna jadi wife dia, Ainna tahu lah perangai dia macamana,” ujar Yana sekali lagi sambil menepuk lembut tangan gadis itu. Dia meminta izin untuk beredar menyambut tetamu yang hadir.

 

JAM menunjukkan pukul 2 petang. Memandangkan sudah tidak ramai tetamu yang hadir, Ainna meminta izin dari ibunya untuk pulang ke Kuala Lumpur.

               “Ibu, adik dengan angah nak balik dulu la,” kata Ainna sambil mengerling ke arah Wildan yang berdiri di sebelahnya dengan menunjukkan muka bosan.

               “Alaaa adik tunggu la dulu. Majlis habis pukul 5 petang. Kawan-kawan ibu pun ramai lagi yang tak datang,” pujuk Puan Rozita.

               “Tunggu apa lagi? Dia dah tunggu dari semalam sampai harini. Tak cukup lagi ke? Adik dah bertunang kan, nak tunggu apa lagi? Bukannya bertunang dengan anak raja yang semua orang nak kena tengok. Majlis bertunang dah ramai macam ni, kalau tak jadi nikah buat malu je!” sinis Wildan tanpa memandang wajah ibu dan babanya.

Encik Sharif mengeluh perlahan. Dia terpaksa menutup telinga mendengar kata-kata sinis dari anak lelakinya kerana ada beberapa orang tetamu sedang makan di meja bersebelahan dengan mereka.

               “Ibu dengan baba nak bincang pasal majlis kahwin adik,” kata Encik Sharif dengan perlahan namun masih terdengar ketegasannya.

               “Nak bincang apa? Kalau pasal majlis ibu dengan baba urus je la apa yang patut. Pasal kursus kahwin tu nanti adik urus sendiri dekat sana,” jawab Ainna sambil mengerling ke arah Wildan yang sibuk dengan telefon bimbitnya. Jelas menunjukkan yang abangnya memang tidak berminat dengan perbualan mereka.

               “Betul ni adik tak nak urus wedding adik? Wedding ni sekali je seumur hidup tau! Adik takkan tak nak pilih warna tema pelamin ke design baju ke?” tanya Puan Rozita sambil mengukirkan senyuman nipis.

Ainna menunjukkan senyuman kelat kepada ibunya. Setiap wanita di dunia ini pasti ada impian yang tersendiri untuk majlis perkahwinan mereka. Jika perkahwinan itu adalah tulus dilaksanakan kerana rasa cinta, dia adalah orang yang paling bersemangat untuk menyiapkannya. Namun, sekarang ia berbeza. Mustahil untuk dia menguruskan majlis memandangkan harapan utamanya adalah majlis itu tidak akan terjadi.

               “Tak pe. Ibu dengan baba urus je semua. Adik ikut je,” jawab Ainna dengan nada pasrah.

Puan Rozita hanya mengangguk mendengar permintaan anaknya. Dia tidak kisah sekiranya Ainna tidak mahu melibatkan diri untuk menguruskan majlis. Anaknya bersetuju untuk berkahwin dengan Fahmi saja sudah cukup membahagiakan dia dan suaminya. Dia tidak putus berterima kasih pada Ainna kerana bersetuju untuk meneruskan majlis pada hari itu. Ainna menghulurkan salam pada kedua orang tuanya. Wildan berlalu ke dalam rumah tanpa mengucapkan apa-apa kata setelah salamnya tidak disambut oleh baba mereka.

 

HANI pelik melihat wajah kusut Ainna melangkah masuk ke dalam rumah sewa mereka sekitar jam 10 malam. Dia berjalan ke pintu utama untuk menyambut gadis itu.

               “Awal kau balik? Kata balik esok.”

               “Laila dengan Mimi mana?” tanya Ainna selepas melepaskan keluhan berat. Tidak ingin berbahas tentang hal itu di tempat yang terbuka. Risau temah serumahnya yang lain tahu masalahnya.

               “Kat bilik dorang la kot. Kau tak jawab lagi aku tanya,” ujar Hani dengan nada kesal.

Ainna menarik tangan Hani masuk ke biliknya seraya menutup pintu bilik.

               “Cuba kau teka apa yang aku buat harini?” tanya Ainna sambil meletakkan beg tangannya di atas meja dan membuka tudung kepalanya.

               “Main teka teka pulak! Kenapa? Kau jumpa pakwe ke?” gurau Hani sambil matanya memandang Ainna dan mengangkat keningnya.

               “Aku bertunang!” ujar Ainna dengan nada yang tinggi sambil menunjukkan cincin yang tersarung di jari manisnya.

               “What?! Tapi kau kata..” belum sempat Hani menghabiskan kata-katanya, Ainna memotong,

               “Aku pun tak tahu yang harini aku bakal jadi tunang orang,” ujar Ainna sambil melepaskan keluhan berat.

               “Tak faham. Maksud kau?” tanya Hani yang sedikit bingung.

               “Aku balik memang untuk celebrate birthday baba. Tapi bila aku sampai je sana, family aku kata majlis tu majlis tunang,” jelas Ainna sambil menunjukkan muka redhanya.

               “So kau dah bertunang lah? Dengan Fahmi? Kau kata kau tak nak terima?” tanya Hani bertubi-tubi. Dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku dalam sekelip mata.

               “Ya lah, Fahmi lah! Dia je yang ada atas muka bumi ni. Parents aku mana nampak orang lain dah. Parents aku dah siapkan semua, majlis, cincin semua dah ready sebelum aku bagitahu keputusan aku lagi. So, aku takde pilihan lah. Memang jalan terakhir aku, teruskan je lah majlis itu. Takkan aku nak malukan family aku.”

Hani memandang wajah gadis di hadapannya. Walaupun gadis itu terlihat baik-baik saja, namun jelas terpancar di wajahnya yang Ainna dalam keadaan bersedih dan kecewa. Hani mengeluh perlahan,

               “Takpe. Aku yakin ada hikmah atas semua yang jadi ni. Kau jangan rasa down, jangan stress. Doa yang baik-baik. Aku yakin Allah akan bagi jalan terbaik untuk kau,” pujuk Hani.

               “In sya Allah. Aku pun tengah berusaha untuk positivekan mindset aku. Walaupun aku sendiri tak yakin dengan pilihan aku, tapi aku percaya Allah akan bantu aku untuk harungi semua benda ni. Kau doakan aku terus kuat, ya Hani?” ujar Ainna seraya memeluk tubuh sahabatnya dengan erat. Air matanya yang bertakung sedari tadi, mulai mengalir ke pipi.

Hani mengusap belakang sahabatnya dengan lembut. Dia tahu Ainna sudah melalui hari itu dengan hati yang sangat berat. Namun, gadis itu mampu menerima semua yang terjadi dengan hati yang ikhlas dan redha. Dia mulai yakin yang keluarga Ainna memang keluarga yang bermasalah cuma hanya Ainna yang selama ini pandai menyimpan rahsia. Mungkin sekarang gadis itu sudah tidak mampu menanggungnya sendirian lagi. Mana mungkin Ainna mampu bertahan, sudahlah dipaksa menikah dengan lelaki yang langsung tidak dikenali, ini di tambah pula dengan majlis pertunangan yang diadakan secara mengejut.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23