BAB 6

 

AINNA yang baru selesai menunaikan solat subuh dan membaca al-Quran tersenyum melihat Raiq yang masih lena di atas katil. Dia bangun menghampiri si kecil itu dan mencium lembut dahinya.

‘Macamana lah kalau satu hari nanti Fikry kahwin, mesti aku dah tak dapat nak spend time, nak main dengan Raiq macam sekarang,’ bisik hati kecil Ainna sambil menepuk belakang Raiq lembut. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia terlalu sayangkan Raiq walaupun mereka tidak ada sebarang pertalian darah. Dan setiap kali berjumpa, mesti Ainna rasa dekat sekali dengan Raiq. Senyuman dan kerenah Raiq sedikit sebanyak mampu mengurangkan masalah yang dihadapinya. Raiq sendiri pun tak kekok dengan Ainna walaupun baru berjumpa beberapa kali. Mungkin betul kata orang, bila kita betul-betul ikhlas sayangkan orang lain, mereka akan rasa kasih sayang yang kita bagi pada dia. Dia juga mula faham kenapa Fikry dan keluarganya amat menyayangi Raiq sehinggakan Fikry sanggup menanggung segala beban dan susah payah hanya untuk mempertahankan si kecil itu.

Ainna teringat kembali perbualannya dengan Yana ketika mereka keluar bersama-sama dengan Raiq di pasaraya beberapa minggu yang lalu. Yana menceritakan bahawa Raiq bukanlah anak kandung kepada Fikry. Fikry hanya diamanahkan untuk menjaga dan merawat Raiq sejak si kecil itu berumur sebulan. Sahabat baiknya, Aidil terpaksa meninggalkan Raiq kepada Fikry untuk sementara waktu. Fikry menerima permintaan Aidil kerana faham dengan keadaan sahabatnya itu. Pasti sulit untuk Aidil membesarkan Raiq seorang diri di tempat yang baru. Tambahan pula, isterinya baru sahaja meninggal dunia beberapa hari selepas melahirkan Raiq.

               “Mengikut perjanjian mereka, Aidil akan balik semula ke Kuala Lumpur untuk mengambil Raiq dan bawa Raiq pergi selepas keadaan Aidil kembali stabil. Tapi around two months pemergian Aidil ke Singapura, family Aidil maklumkan pada Fikry yang Aidil dah meninggal dunia sebab accident. Selama dua bulan Aidil di Singapura, dia hanya tengok wajah anaknya melalui video call saja. Tidak ada pelukan dan ciuman terakhir dari Aidil untuk Raiq,” cerita Yana sambil matanya masih mengarah ke wajah si kecil yang sedang asyik bermain.

Ainna yang sedikit terkejut mendengarnya mula timbul rasa simpati terhadap Raiq dan juga Fikry. Sungguh dia merasa kasihan melihat anak yang baru setahun jagung sudah hilang kasih sayang dari orang tua kandungnya. Nasib baik dia boleh menumpang kasih dengan Fikry dan keluarganya. Aidil memang tahu yang terbaik untuk anaknya, dia tahu yang Fikry mampu menjaga Raiq dengan baik, malah boleh dikatakan sempurna. Ainna sendiri pun mengira bahawa Raiq adalah anak kandung Fikry. Melihat dari layanan, kasih sayang dan perhatian Fikry pada Raiq, tidak ada satu kecacatan pun yang membuatnya berfikir bahawa Raiq bukan anak kandung Fikry.

               “Raiq sampai sekarang tak kenal dengan keluarga kandung dia ke kak?” tanya Ainna dengan hati yang mulai sebak.

               “Alhamdulillah. Sekarang keluarga Aidil dah boleh terima Raiq. Kalau balik kampung, Fikry akan bawak Raiq jumpa atuk dengan neneknya. Diorang pun dah anggap Fikry macam anak sendiri. Mungkin untuk menggantikan Aidil dalam keluarganya,” ujar Yana sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “Aidil tak pernah bawak Raiq jumpa family dia ke sebelum ni?” tanya Ainna yang masih tertanya-tanya kenapa Aidil tidak menyerahkan Raiq pada keluarganya.

               “Pernah, malah selalu. Tapi setiap kali dia balik je rumah ayah dia, mesti dia dihalau. Dan Raiq pun menerima banyak hinaan dari family Aidil. Sebab tu Aidil mintak Fikry yang jagakan. Tapi, Alhamdulillah, lepas beberapa bulan kematian Aidil, family dia mula terima Raiq. Maybe sebab usaha Fikry juga lah yang ulang-alik ke rumah mak ayah Aidil untuk bawak Raiq jumpa dengan family Aidil. Hinaan demi hinaan yang Fikry terima, tapi dia sanggup bertahan demi menjaga hubungan antara Raiq dengan keluarga Aidil. Akak ingat lagi macam mana susahnya Fikry membesarkan Raiq. Waktu awal-awal Aidil takde, Raiq banyak sangat meragam mungkin sebab dia dapat rasa yang ayah kandung dia dah takde. Selalu sangat sakit. Susahnya lagi, Raiq tak nak dengan orang lain, nak dengan Fikry saja sampaikan pengasuh taska terpaksa meminta Fikry untuk menjemput Raiq. Waktu tu Fikry bekerja dengan orang, so susah lah nak mintak cuti. Sebab tu lah Fikry sayang sungguh dengan Raiq ni,” ujar Yana dengan dada yang menahan sebak.

Ainna mengangguk tanda mengiyakan ucapan terakhir dari Yana. Dia dapat lihat kasih sayang yang tulus dari Fikry pada Raiq.

               “Mujurlah kalau family Aidil dah terima Raiq. Sekurang-kurangnya Raiq dapat jugak merasa kasih sayang keluarga kandung. Mungkin Aidil tahu yang Fikry boleh jaga anak dia dengan sebaik mungkin. Ada hikmah kenapa Allah menggerakkan hati Aidil untuk tinggalkan Raiq pada Fikry kak. Fikry dan keluarga akak banyak bantu Raiq. Raiq beruntung dipertemukan dengan keluarga akak, dapat menumpang kasih sayang yang ada dalam family akak.”

‘Rasa sayang yang dicurahkan pada si kecil itu sungguh besar sedangkan dia bukanlah bapa kandung kepada Raiq. Melihat Raiq yang membesar dengan ceria dan bijak, pastinya tidak mudah untuk Fikry mengharunginya sendiri. Membesarkan Raiq tanpa sosok seorang ibu sedangkan semua anak kecil yang seumuran dengan Raiq sangat mendahagakan kasih sayang seorang ibu. Tapi Fikry mampu menjadi ayah dan pada masa yang sama menjadi ibu untuk Raiq. Terdengar seperti mudah, namun pastinya banyak kesusahan yang dialami oleh Fikry.’ Tanpa disedari, Ainna mulai rasa kagum dengan Fikry.

Bunyi air dari bilik mandi di sebelah biliknya mengembalikan Ainna ke alam nyata. Dia turun dari katil dan berjalan ke dapur untuk menyiapkan sarapan.

 

WAFIQ turun ke ruang makan untuk bersarapan bersama ibu dan babanya. Sewaktu bersarapan, ibu dan babanya menyampaikan hasrat untuk menjodohkan adik bongsunya dengan anak sahabat ibunya. Wafiq hanya mendengar berita itu tanpa sebarang bantahan. Dia sudah arif benar dengan ibu dan babanya yang pantang dibantah. Lebih baik dia membiarkan adiknya sendiri yang membuat keputusan dan berbincang dengan orang tua mereka.

               “Along okay ke?” tanya Puan Rozita yang risau sekiranya anak sulungnya terasa dengan keputusannya untuk mengahwini adiknya terlebih dahulu.

               “Kenapa?” tanya Wafiq sambil menyuap sisa nasi goreng di dalam pinggannya.

               “Ibu nak kahwinkan adik dulu pada along ni takpe ke?”

               “Eh! Apa pulak. Along okay je ibu. Lagipun senang sikit adik nanti dah ada orang jaga,” jawab Wafiq sambil mengukirkan senyuman nipis kepada ibu dan babanya.

               “Alhamdulillah! Ibu dah risau dah kamu terasa dengan ibu. Ke kamu dah ready nak kahwin? Kalau dah ready kita sekalikan saja lah wedding kamu dengan adik,” ujar Puan Rozita sekadar memberi cadangan.

               “Takpelah ibu. Along tak ready lagi. Lagipun Sheila asyik busy dengan kerja,” jawab Wafiq yang berusaha untuk mengelak. Dia segera meminta diri untuk menyelesaikan beberapa kerja yang tidak sempat disiapkan semalam.

 

KERETA Fikry sudah terparkir di hadapan rumah Ainna seawal jam 11 pagi. Memandangkan Fikry sedikit sibuk dua tiga minggu ini, jadi dia berusaha untuk memenuhi permintaan Raiq untuk meluangkan masa bersama dengan dia dan juga Ainna. Fikry tersenyum memandang Ainna dan Raiq yang berjalan menghampiri mereka. Mereka berdua memakai baju berwarna biru gelap setona dengan warna bajunya. Fikry mengukir senyuman nipis.

               “Macam dah plan pulak kita,” ujar Fikry sambil mengambil beg Raiq dari tangan Ainna.

Ainna hanya menunjukkan riak selamba. Malas untuk melayan Fikry. Dia kemudiannya memimpin Raiq untuk masuk ke tempat duduk di sebelah pemandu. Manakala Ainna duduk di tempat duduk belakang.

               “Kenapa tak duduk depan?” tanya Fikry sekadar memecahkan suasana sunyi di antara mereka. Dia tahu yang Ainna tidak akan duduk di sebelahnya. Bercakap depan dia pun segan inikan pula nak duduk sebelah-menyebelah.

               “Raiq tengah duduk tu. Macam mana saya nak duduk,” ujar Ainna dengan nada perlahan. Namun dapat dilihat reaksi dingin dari gadis itu.

               “Oh! Takpe! Raiq boleh duk belakang,” ujar Fikry sekadar mengusik. Namun usikannya itu hanya dibiarkan sepi. Fikry menggeleng perlahan. ‘Kau ni takde perasaan ke?’ deisis hati kecilnya yang sedikit kesal dengan sikap tidak endah gadis itu.

Keretanya laju meluncur ke lebuhraya. Perjalanan mereka hanya ditemani dengan suara Raiq yang bertanya itu dan ini. Sesekali Fikry memandang Ainna yang asyik melayan pertanyaan Raiq melalui cermin pandang belakang. Nasib baik dia memakai kaca mata hitam jadi tidak kantoi yang dia tengah menatap wajah gadis itu.

 

SAMPAINYA mereka di pasaraya, Fikry meninggalkan Ainna dan Raiq di lobi utama sebelum dia mencari tempat untuk memarkirkan keretanya. Ainna dan Raiq berjalan masuk ke dalam pasaraya itu dan melalui kedai-kedai yang berjenama di sekitar itu. Dia tidak berniat untuk masuk ke mana-mana kedai kerana ingin menunggu Fikry terlebih dahulu. Fikry yang meminta untuk singgah di pasaraya kerana ingin membeli beberapa keperluan rumah dan juga barang keperluan anaknya.

Ainna yang sedang memimpin Raiq merasa seperti dirinya diekori dan diperhatikan. Dia segera berpusing ke belakang dan memandang sekelilingnya namun tidak ada sesiapa yang mencurigakan. Sudahlah kawasan yang dilaluinya itu agak sunyi mungkin disebabkan masih pagi. Ainna mula rasa tidak nyaman seraya mengajak Raiq untuk berjalan ke kawasan kedai yang berjenama tadi dan menunggu Fikry di sana. Dia melabuhkan duduknya di sebuah bangku dengan nafas yang sedikit tercungap-cungap. Usai mengangkat Raiq untuk duduk di sebelahnya, Ainna segera mengeluarkan telefon bimbitnya.

               “Assalamualaikum, Fikry.”

               “Waalaikumussalam. Awak kenapa ni? Okay tak?” tanya Fikry yang bingung dengan suara cemas gadis itu.

               “Awak kat mana?” tanya Ainna masih dengan nada yang sama.

               “Baru kat pintu masuk ni. Awak kat mana?” tanya Fikry dengan meluaskan sedikit langkahnya. Risau sekiranya ada sesuatu yang terjadi pada Ainna dan anaknya.

               “Saya kat depan kedai jenama Bonia ni.”

               “Haa okay! Tunggu situ, saya pegi sana,” ujar Fikry seraya mematikan panggilan.

Sedang asyik Ainna menunggu Fikry, tiba-tiba ada satu suara menyapanya. “Hai Ainna.”

Suara yang cukup dikenali, suara yang pernah dirindui, suara yang pernah membuatnya nyaman dan juga membuat dia berada di titik terbawah dalam hidupnya . Hati Ainna ingin berpaling melihat wajah itu namun tindak balas tubuhnya berbeza. Tubuhnya statik memandang ke hadapan dengan tangannya yang tiba-tiba sejuk dan terketar-ketar. Jantungnya berdetak kencang, tangan Raiq digenggam erat. ‘Kau boleh, Ainna! Kau boleh! Ingat, kau dah lupakan semua benda. Takde ape yang jadi antara kau dengan dia. Dia masa lalu kau, apa yang ada depan mata kau sekarang adalah masa depan kau. Jangan pernah takut untuk menghadap realiti. Jangan jadi pengecut macam dia. Kau kena kuat!’ tegas hati Ainna seraya berusaha untuk menguatkan kakinya untuk bangun dengan genggaman tangan Raiq yang sedikit sebanyak menyalurkan semangat dalam dirinya. Ainna memusingkan badannya dan menghadap suara yang memanggilnya tadi. Benarlah sangkaannya, orang itu adalah Adi. ‘Selepas hampir tiga tahun, finally, you were here. Akhirnya kau berani hadap kenyataan,’ desis hati kecilnya seraya menarik nafas dengan agak mendalam. Mungkin untuk menenangkan sedikit hatinya yang kembali sakit.

               “Hai, Ainna right?” ujar lelaki itu dengan suara yang sedikit kuat. Rasanya dia sudah tidak salah orang. Walaupun gadis di hadapannya itu sudah banyak berubah, dia masih boleh mengenali Ainna melalui cara jalanan dan senyumannya. Usai bertemu client, dia dengan tidak sengaja melihat Ainna memasuki pintu pasaraya dan terus mengekori gadis itu. Tidak salah keputusannya untuk bertemu dengan client di pasaraya itu. Nasib berpihak pada dia dengan baik untuk hari ini.

Ainna sekali lagi menarik nafas perlahan,

               “Yes, I am. And you are?” tanya Ainna berpura-pura untuk tidak mengenali lelaki itu. Berharap yang lelaki itu mengerti bahawa Ainna sudah melupakan semua memori tentang mereka.

               “Adi, Khairul Aminadi. You buat apa sini?” tanya Adi selepas mengukirkan senyuman nipis. Dia tahu yang gadis itu hanya berpura-pura tidak mengenalinya.

               “Nak jenguk orang sakit,” ujar Ainna dengan riak muka tanpa serba salah. ‘Dah tahu pasaraya datang nak shopping la. Tanya lagi,’ desis hati kecilnya. Menyampah dengan lelaki di hadapannya yang menunjukkan seperti tidak pernah berbuat salah dengan Ainna.

 Adi berusaha menutupi riak wajahnya yang terkejut. Ainna yang dikenalinya dulu tidak pernah mengeluarkan gurauan begitu. Gadis itu dulu sungguh polos. Namun gadis yang ada di hadapannya ini sedikit kasar dan tidak berfikir tentang perasaannya langsung. Adi berusaha mengukirkan senyuman di bibirnya.

               “Pandai you bergurau. You sihat? tanya Adi sambil matanya melihat ke arah Raiq yang leka melihat orang di sebelahnya bermain robot. Dia tertanya-tanya hubungan antara Ainna dengan budak lelaki itu.

Ainna yang malas berbual panjang meminta diri untuk ke kedai kek di sekitar itu. Namun, Adi mengikuti langkahnya. Sedikit jauh dari himpunan ramai, Ainna memberhentikan langkahnya,

               “Kau nak apa ni? Kenapa ikut aku?” ujar Ainna dengan nada marah. Bengang dengan Adi yang asyik mengikutinya.

               “Kita kan dah lama tak jumpa. Jom la minum-minum. I belanja,” ujar Adi sambil matanya menatap wajah Ainna.

               “Tak boleh. Aku ada hal kejap lagi,” ujar Ainna sambil memalingkan muka dari memandang wajah Adi. Dia sengaja menunjukkan riak wajah yang dia tidak suka dengan kehadiran Adi.

               “Ni sape? Anak buah you ke?” tanya Adi sambil matanya memandang Raiq. Dia berusaha untuk meneruskan perbualan dengan Ainna. Bukan selalu dia boleh terserempak dengan gadis itu. Jangankan nak ada nombor telefon Ainna, Instagram dengan facebooknya juga belum di terima oleh gadis itu.

               “Ainna.” Belum sempat Ainna menjawab, sudah ada satu suara dari kanan Ainna yang menjawabnya. Fikry mengerling ke arah Ainna yang terkejut dengan kehadirannya. Fikry memang sedari tadi mendengar perbualan mereka. Awalnya dia berfikir yang lelaki itu hanya kawan Ainna saja jadi dia tidak ingin mengganggu. Namun, setelah mendengar perbualan mereka, Fikry rasa ada yang tidak kena dengan Adi dan Ainna juga seperti berusaha untuk mengelakkan diri dari lelaki itu.

Adi yang kelihatan terkejut dengan kehadiran Fikry tergamam. Ditambah pula dengan suara Raiq yang memanggil lelaki itu dengan panggilan papa. Lagi membuktikan bahawa lelaki di hadapannya memang suami kepada Ainna. Adi merasa malu dengan dirinya sendiri. Dia berfikir yang Ainna masih mengharapkannya untuk kembali, namun sangkaannya meleset. Gadis itu bukan sahaja melupakannya malah memberi cinta pada yang lain. Mereka juga sudah mempunyai anak. Adi berusaha mengukirkan senyuman seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Fikry.

               “Oh, sorry! I tak tahu yang you dah kawin,” ujar Adi seraya melepaskan tangannya dengan Fikry.

               “Takpe. Ainna yang tak ajak ramai kawan masa wedding haritu,” bohong Fikry.

Ainna sedikit terkejut dengan kata-kata Fikry tapi dia hanya mendiamkan diri. Dia berfikir ada baiknya juga Adi menganggap dia sudah bersuami, jadi dia tidak akan diganggu oleh lelaki itu lagi. Adi hanya mengangguk perlahan.

               “Ni kawan seuni dengan Ainna ke?” tanya Fikry sambil memandang Adi dan Ainna.

               “Haah. Kawan masa uni dulu,” jawab Ainna yang menekan perkataan ‘kawan’. Dia risau sekiranya Adi terlepas cakap benda yang tidak sepatutnya yang mungkin akan sampai ke pengetahuan keluarganya nanti. Maklumlah, Fikry mengenali keluarganya, jadi dia takut lelaki itu akan menyampaikannya kepada ibu dan babanya. Mati dia nak menjawab nanti.

Adi mengukir senyuman paksa. Dia meminta diri untuk beredar.

Fikry menghantar Adi dengan senyuman sinis. ‘Ada hati nak try anak dara orang. Kan dah kena dengan aku!’ gumam Fikry di dalam hati. Fikry hanya menunjukkan riak wajah yang tidak bersalah ketika dipandang oleh Ainna. Fikry menarik Raiq supaya berjalan dan berpura-pura seperti tidak terjadi apa-apa sebentar tadi.

Ainna mengikuti langkah Fikry dan Raiq sambil melepaskan nafas lega. Dari jauh, Adi masih memerhatikan mereka.

 

WILDAN menelefon adiknya untuk bertanya khabar. Sudah hampir seminggu dia tidak mendapat panggilan dari Ainna. Selalunya Ainna pasti akan menelefonnya untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita. Dia berfikir mungkin gadis itu sibuk dengan kerjanya memandangkan Ainna baru sahaja dinaikkan pangkat di pejabatnya. Beberapa saat menunggu, panggilannya dijawab.

               “Assalamualaikum, angah,” ujar Ainna.

               “Waalaikumussalam. Adik kat mana?” tanya Wildan yang terdengar seperti suara bising dari telefon bimbitnya.

               “Oh! Adik kat mall ni. Beli barang sikit. Angah kat mana?”

               “Kat depan rumah adik,” jawab Wildan dengan nada serius.

               “Serius lah? Kenapa tak bagitahu dulu?” tanya Ainna yang sedikit terkejut.

               “Ingat nak buat surprise. Adik pergi dengan sape? Angah tengok ada je kereta adik ni,” tanya Wildan.

Ainna memandang Fikry sekilas seraya menjawab, “Dengan kawan tempat kerja. Angah lama ke kat sini?” tanya Ainna yang mula rasa serba salah. Perjalanan Wildan untuk ke rumahnya bukanlah sekejap. Mengambil masa lebih kurang sejam lebih juga.

               “Angah gurau je lah! Angah tak pergi sana pon,” ujar Wildan sambil ketawa kecil.

               “Ish! Angah ni! Adik ingat betul tau tadi!” jawab Ainna dengan suara yang sedikit tinggi. Sesekali dia mengerling ke arah Raiq yang ada di sebelahnya. Dia perasan yang Fikry asyik memandangnya. Mungkin tidak selesa dengan suaranya yang bising kerana berbual melalui telefon.

               “Saje usik adik. Takpe lah, enjoy la dengan kawan adik. Nanti Angah call balik. I love you!” ujar Wildan seraya mematikan panggilan setelah mendengar ucapan akhir dari adiknya.

Ainna memandang Fikry seraya berkata, “Angah saya call. Maaf kalau mengganggu awak.”

               “Takde apelah! Saya okay je. Saya nak tanya sikit boleh?” tanya Fikry sambil memandang wajah Ainna.

               “Tanya je la,” jawab Ainna dengan riak wajah bersahaja.

               “Haritu yang kita jumpa kat kafe kan awak dengan Wildan. Wildan tu boyfriend awak eh?” tanya Fikry dengan nada berhati-hati. Risau sekiranya gadis itu berfikir yang bukan-bukan pula. Dia sekadar ingin tahu apa hubungan antara Wildan dengan Ainna. Sejak akhir-akhir ini, Ainna sering meluangkan masa bersama dia dan Raiq. Dia risau sekiranya ada yang marah jika melihat kebersamaan mereka. Apatah lagi kalau teman lelaki Ainna adalah Wildan, lagi bertambah masalahnya kerana dia dan Wildan sedang menjalankan projek bersama.

               “Awak nampak macam saya ni girlfriend dia ke?” tanya Ainna selepas mengukirkan senyuman lebar mendengar pertanyaan dari Fikry. Seperti biasa, ramai yang menyangka bahawa Ainna dan Wildan ini adalah pasangan kekasih. Bukan hanya Fikry, rakan-rakan di universiti juga berfikir begitu. Mungkin kerana dia tidak pernah menunjukkan foto keluarganya bersama Wildan di sosial media. Orang yang tidak terlalu rapat dengannya berfikir yang Ainna hanya ada seorang abang iaitu Wafiq.

               “Then?” tanya Fikry lagi dengan riak wajah yang bingung. Tingkah laku Wildan pada malam itu seolah-olah menunjukkan yang Ainna adalah kekasihnya.

               “Dia abang saya lah!” jawab Ainna sambil membersihkan mulut Raiq yang sedikit comot.

               “Laa! Abang awak. Saya mati-mati ingat dia boyfriend awak tau! Cara dia tengok saya malam tu, dah macam nak makan saya tau sebab saya borak dengan awak,” ujar Fikry sambil melepaskan tawa kecil. Tidak ingin terlihat yang dia terasa dengan Wildan.

               “Dia memang macam tu. Overprotective!” ujar Ainna. Dia mengukirkan senyuman nipis mengingatkan kejadian yang lalu. Walaupun Wafiq adalah abangnya yang sulung tapi Wildan yang banyak membantunya. Tidak kira dari segi kewangan, belajar, kerja dan urusan percintaan sekalipun, Wildan yang akan terlebih dahulu bergerak cepat. Wildan juga sangat menjaga Ainna sejak dari mereka kecil lagi. Dia juga sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan Ainna. Banyak perbezaan antara Wafiq dan Wildan yang dia nampak dengan jelas namun tidak pada orang tua mereka.

               “Biasalah abang kan. Saya kenal abang awak yang Wafiq tu je. Sebab mama ada jugak cerita pasal dia. Tak pernah dengar pulak pasal Wildan,” ujar Fikry dengan muka selamba. Sering juga mamanya bercerita tentang anak-anak sahabat mamanya itu namun nama yang didengar hanya Wafiq dan juga Ainna. Sebab itulah, dia tidak tahu tentang kewujudan Wildan.

Ainna hanya mengukirkan senyuman hambar kepada Fikry. Dia sudah tahu yang ibunya jarang menceritakan tentan Wildan pada sesiapapun. Kasihan sungguh dia dengan Wildan. Abangnya itu seolah-olah dibuang oleh keluarga kandung sendiri.

 

AINNA yang baru sahaja merebahkan tubuhnya di atas katil merengus perlahan mendengar telefon bimbitnya berdering. Nama yang tertera di skrin membuatnya tersenyum. Panggilan dari ibunya itu diterima seraya membetulkan baringannya di atas katil.

               “Assalamualaikum, adik. Buat apa tu?”

               “Waalaikumussalam ibu. Adik baru masuk bilik ni. Baru balik dari mall,” jawab Ainna dengan nada lemah.

               “Oh! Penat lagi la ni, takpelah nanti ibu call pagi besok lah,” ujar Puan Rozita.

               “Eh! Takpe lah bu. Cakap je lah. Adik okay je.”

               “Hmm. Macam ni dik. Ibu tahu benda ni tak sepatutnya cakap melalui telefon tapi nak tunggu adik balik memang lambat lagi la,” ujar ibunya dengan nada yang sedikit serius.

               “Sorry ibu. Adik busy sikit sekarang ni. Itu yang tak sempat balik. Dengan angah pun last jumpa waktu balik dari kampung haritu la. Ibu nak cakap apa? Along nak kawin ke?” tanya Ainna dengan nada yang dibuat-buat teruja.

               “Eh! Kesitu pulak kamu. Abang kamu tu lambat lagi! Tanya je pasal kawin dia mesti mengelak. Yang nak kawin bukan along, tapi awak!” kata Puan Rozita dengan nada yang tegas.

Ainna yang terkejut dengan kata-kata ibunya mula menggali fikirannya. ‘Sejak bila pulak aku kata aku nak menikah ni? Aku rasa takde sape yang bagitahu nak pinang aku. Apa benda ni. Penat lah aku!’ desis hati kecil Ainna yang mulai bingung dengan pernyataan ibunya sebentar tadi.

               “Adik. Oh! Ainna! Dengar tak ni?!” jerit ibunya melalui corong telefon.

               “Ya Ibu! Adik dengar. Bila pulak adik kata nak kawin?” ujar Ainna yang berusaha untuk bersangka baik. Mungkin ibunya hanya bergurau saja dengannya.

               “Memanglah awak tak kata awak nak kawin! Ibu yang kata awak akan kawin. Ibu dengan baba dah jumpa calon yang sesuai untuk awak!” ujar Puan Rozita dengan nada teruja. Perasaan Ainna ketika itu seakan-akan bukan keutamaannya.

               “Apa ni ibu?!” tanya Ainna dengan nada yang sedikit tinggi sambil bangun dari baringannya. Sungguh hatinya ketika itu sedang berdebar. Seakan-akan jantungnya ingin berpisah dengan badan. Dia tidak menyangka segala kebahagiaan dia pada hari itu adalah untuk digantikan dengan berita yang mengejutkan seperti itu.

               “Apa, apanya?! Itulah yang ibu bagitahu. Adik jangan risau la, calon yang ibu pilih ni anak Cik Dah! Ibu yakin anak dia baik. Lagipun kerja dia okay,” ujar Puan Rozita dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

               “Anak dia yang mana?” tanya Ainna dengan tangan yang terketar-ketar. Anak lelaki Cik Dah yang dia kenal hanyalah Fikry. Tapi takkanlah mamanya nak menjodohkan Fikry sedangkan lelaki itu sudah ada teman wanita.

               “Anak dia yang bongsu. Kerja polis tapi pangkat tinggi la. Kamu jangan risau, baba dengan along pon dah setuju.”

Ainna merndengus nafas perlahan. Entah kenapa dia merasakan posisinya semakin tidak selamat. Sekiranya orang yang ingin dijodohkan dengan dia adalah Fikry, dia boleh bagi alasan yang lelaki itu sudah memiliki teman wanita. Namun yang dijodohkan dengan dia adalah adik Fikry, orang yang langsung tidak dikenali. Malah tidak pernah bertemu mata pun.

               “Kenapa ibu dengan baba tak tanya adik dulu? Kenapa buat keputusan terburu-buru macam ni? Yang nak kawin ni adik, ibu dengan baba sepatutnya tanya la adik dulu. Adik okay ke ada calon sendiri ke,” ujar Ainna dengan nada perlahan. Berusaha menahan sabar dalam menghadapi ibunya.

               “Kenapa nak tanya kamu? Eh! Ibu dengan baba ni orang tua kamu tau! Kamu tu yang kena dengar cakap kami! Bukan kami yang dengar kamu,” ujar ibunya dengan nada yang sedikit tinggi.

Ainna mulai bengang dengan kata-kata ibunya. Dia memberi alasan ada kerja yang perlu diselesaikan untuk mematikan panggilan. Risau sekiranya dia terus-terusan mendengar bebelan ibunya, dia tidak mampu mengawal emosinya dan mengguris perasaan ibu kandungnya sendiri.

Emosi Ainna ketika itu seolah-olah tidak menentu. Marah, sedih, kecewa, takut, semuanya bergabung menjadi satu rasa yang tidak dapat digambarkan. Sungguh dia kecewa dengan ibu dan babanya. Orang tua adalah tempat yang seharusnya dia bergantung dan memohon pertolongan, namun tidak bagi dia. Ibu dan babanya hanya tahu memaksa dan menentukan arah tuju dalam hidupnya. Segala rasa dan kemahuan Ainna dan abang-abangnya seakan-akan tidak ada nilai di mata ibu dan babanya. Malah ibu dan babanya tidak pernah mengambil tahu apa yang diinginkan oleh anak-anaknya. Dia menyeka air mata yang berjuraian ke pipi. Sungguh hatinya sakit dengan keputusan yang dibuat oleh ibu dan babanya.

‘Sampai bila ibu dengan baba nak buat macam ni? Ibu dengan baba tak pernah nak dengar adik. Tak pernah tanya pasal adik. Sihat ke sakit ke ibu baba tak pernah nak tanya. Kenapa ibu dengan baba tak macam mak bapak orang lain? Yang selalu ada dengan adik, selalu nasihatkan adik, selalu tegur dan bagi kata semangat pada adik? Time adik perlukan orang untuk peluk adik, untuk kata adik mampu masa adik down, mana ibu dengan baba pergi? Semua benda adik kena hadap sendiri, kena tanggung sendiri. Bila masuk hal belajar, hal kerjaya semua benda ibu dengan baba nak atur. Sampai masalah jodoh pon ibu dengan baba tak nak tanya adik dulu! Adik ni sape? Kenapa takde ruang dan peluang untuk adik meluahkan apa yang adik nak, apa yang adik rasa? Adik ni manusia, ibu baba. Adik ada hati dan perasaan. Adik sendiri tak tahu sampai bila adik mampu bertahan untuk terus sabar dengan layanan ibu dengan baba terhadap adik dan juga angah,’ bisik hati kecil Ainna panjang lebar.

Ainna tertidur dalam tangisan dan juraian air mata yang tidak berhenti. Hati yang selama ini berusaha untuk sabar dan kuat, akhirnya hancur dengan sekelip mata. Bukan kerana cinta, bukan kerana kerjaya tapi kerana orang tuanya sendiri.

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23