BAB 17

WILDAN sempat membalas senyuman Fikry yang memandangnya seraya memeluk adik perempuannya dengan sangat erat. Ainna yang tidak dapat menahan tangisnya terus mengalirkan air mata di pelukan abangnya. Wildan merasa sebak melihat keadaan adiknya seperti itu. Dia hanya mengusap lembut belakang adiknya tanpa mengeluarkan sepatah kata pun.

Fikry yang berada di samping mereka juga turut merasa simpati mendengar tangisan isterinya. Dia tahu yang Ainna banyak mengalah dengan kedua mertuanya untuk perjodohan ini. Malah hingga ke detik itu pun, Ainna masih boleh mengukirkan senyuman dan menunjukkan dia seorang yang kuat padahal hatinya sedang menangis.

               “Everything will be fine. No worries okay?” pujuk Wildan seraya melepaskan pelukan dengan adiknya dan mencium dahi Ainna dengan lembut. Ainna yang semakin tenang hanya mengukirkan senyuman nipis dan menyeka air matanya.

Wildan mengalihkan pandangan kepada Fikry dan bersalaman.

               “Aku tahu semua ni jadi secara drastik dan aku faham kalau kau susah nak terima adik aku sebagai isteri kau. Tapi aku harap sangat kau boleh jaga adik aku, sayang dan bahagiakan dia lebih dari yang dia pernah dapat sebelum ni. Aku tahu adik aku ada banyak kekurangan. Jadi, aku harap sangat kau boleh bimbing dan tegur dia dengan cara yang baik.”

               “In sya Allah Dan. Aku akan usaha semampu yang aku boleh. Kau jangan risau, walaupun aku nikah dengan adik kau tanpa rasa cinta, tapi aku masih tahu hukum. Aku takkan abaikan amanah Allah pada aku,” jawab Fikry sambil mengukirkan senyuman.

               “Fikry. Kalau lah kau tak boleh teruskan marriage ni, aku mintak supaya kau kembalikan dia pada family aku dengan cara yang baik. Macam mana keadaan dia yang kau ambik, macam tu juga kau pulangkan dia pada kami,” tambah Wildan. Jauh di sudut hati, Wildan benar-benar berharap semoga perkahwinan itu akan berkekalan sehingga ke syurga dan adiknya boleh dapatkan kebahagiaan yang selama ni dia harapkan.

Fikry terkedu mendengar kata-kata dari Wildan. Dia berusaha untuk mengukirkan senyuman. Memang dia akui yang perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta atau lebih tepatnya kerana terpaksa, namun dia belum berfikir tentang apa yang akan dilakukan nanti. Samada terus mempertahankan rumah tangga itu atau menghentikan semuanya sebelum timbul rasa sayang antara mereka. Dia sendiri bingung.

               “Ainna tu even dia anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan yang ada dalam family ni, tapi dia yang paling tabah. Apa pun layanan orang pada dia, dia sabar je. Kalau tanya kenapa, alasan dia cuma satu, sebab dia hormat. Dia tak nak jadi anak, jadi adik yang derhaka. Selalu mengalah, selalu diam bila ada yang dia rasa tak kena. Tak pernah nak meluah pada orang lain. Selama ni pun dia banyak korbankan semua keinginan dia untuk buat orang di sekeliling dia happy,” cerita Wildan.

Fikry yang mendengarnya hanya mengangguk kepalanya perlahan. Dia tahu yang gadis itu seorang anak yang baik. Jika tidak, mana mungkin Ainna menerima perjodohan itu setelah ditipu hidup-hidup oleh kedua orang tuanya.

               “Nanti bila korang dah hidup sebagai suami isteri, kau kenal la adik aku tu macamana. Kau akan faham apa maksud aku. Adik aku tu senang selesa dengan orang, tambah lagi kau dah jadi suami dia,” sambung Wildan lagi sambil menepuk bahu adik iparnya.

Fikry hanya tersenyum dengan mata yang masih memerhati tingkah laku isterinya yang sedang melayan Raiq.

 

FIKRY melirik ke arah jam tangannya yang menunjukkan sudah jam 4 petang. Matanya mengerling ke arah Ainna yang sedang meriba Raiq. Melihat anak terunanya tidur dalam keadaan yang nyenyak, Fikry mengukirkan senyuman nipis.

               “Fikry. Saya nak tanya boleh?” kedengaran suara Ainna menyapanya.

               “Tanya apa?”

               “Emm sebelum tu saya mintak maaf. Saya tak berniat nak masuk campur urusan peribadi awak. Tapi saya rasa saya perlu tahu samada Amira dah tahu pasal kita atau belum?” tanya Ainna dengan suara yang perlahan. Risau sekiranya ada telinga yang mendengar perbualan mereka.

Fikry melepaskan keluhan berat. Dia sendiri bingung bagaimana dia harus menjelaskan hal itu pada teman wanitanya. Semuanya berlaku secara mendadak. Dia sempat menelefon gadis itu pagi tadi, namun tidak berjawab. Memang dari awal lagi Amira sudah memberitahunya bahawa gadis itu tidak ingin diganggu jadi telefonnya ditutup untuk sementara waktu.

               “Belum,” jawab Fikry ringkas.

Jawapan Fikry membuatkan Ainna diselubungi rasa bimbang. Takut dengan penerimaan gadis itu nanti. Dia yakin Amira akan marah besar sekiranya gadis itu tahu tentang perkahwinan antara dia dan juga Fikry. Sebelum ini pun, dia pernah disindir oleh Amira kerana berfikir bahawa dia teman dekat kepada Fikry.

               “Nanti macamana?” tanya Ainna lagi.

Fikry hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk pertanyaan nanti. Sekiranya orang bertanya apa yang akan dia lakukan samada tentang hubungannya dengan Ainna atau Amira, dia sendiri tidak tahu. Untuk waktu ini, dia rasa sedikit lega kerana dia mampu menyelamatkan air muka keluarganya.

Ainna merasa simpati melihat keadaan Fikry. Namun dia juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu lelaki itu. Nasi sudah menjadi bubur dan realiti tentang perkahwinan mereka juga tidak akan dapat diubah.

               “Ke awak nak rahsiakan marriage ni dulu? Sampai awak berani nak explain pada Amira?” tanya Ainna sambil memandang wajah Fikry.

Fikry melepaskan ketawa kecil sambil mengerling ke arah isterinya.

               “KL tu tak besar, Ainna. Simpan lama mana pun, nanti dia akan tahu jugak. Lagipun kat sini ramai yang kenal saya, kenal kawan fotografi saya. Jadi tak mustahil Amira pun akan tahu jugak.”

Ainna hanya mengiyakan kata-kata Fikry. Lingkungan pekerjaan antara Amira dan Fikry juga agak dekat, jadi pasti Amira banyak kenal dengan rakan-rakan Fikry. Mungkin saja gadis itu akan menerima perkhabaran ini dari sumber yang lain.

               “Saya mintak maaf Fikry. Nanti saya tolong awak bagitahu cerita sebenar pada Amira ya?” pujuk Ainna yang melihat wajah kusut suaminya.

               “Takde apa lah. Ni bukan salah awak. Adik saya yang salah,” jawab Fikry dengan nada yang sedikit kasar. Rasa marah terhadap adiknya masih tersisa.

Ainna terkedu mendengar kata-kata Fikry. Sedikit sebanyak dia merasa bersalah dengan Fikry kerana dia pernah memohon kepada Allah untuk menggerakkan hati Fahmi supaya tidak hadir di hari akad sekiranya lelaki itu bukan jodohnya. Namun, dia tidak menyangka yang ketidakhadiran Fahmi malah makin merumitkan keadaan. Ibarat keluar mulut buaya masuk ke mulut harimau. Ainna melepaskan keluhan perlahan. Dia berusaha menunjukkan senyuman kepada suaminya.

               “Benda dah nak jadi,” jawab Ainna ringkas.

Fikry yang mendengar jawapan Ainna mula rasa bersalah. Gadis itu terlihat seperti terasa dengan kata-katanya tadi.

               “Kalau mama tanya, cakap saya gi jumpa kawan kejap.”

Fikry bangun dari duduknya dan berjalan menuju ke luar dewan. Matanya sempat mengerling ke arah mama dan papanya yang masih sibuk dengan beberapa orang tetamu.

 

AINNA keluar dari kamar mandi dengan tubuh yang terasa lebih segar. Ainna tersenyum memandang Raiq yang sedang lena di atas katilnya. Anak lelakinya itu merengek untuk ikut pulang bersamanya. Puas mama dan papa mertuanya memujuk, namun Raiq tetap tidak mahu. Ainna membetulkan kepala Raiq di atas bantal seraya mengatur langkah menuju ke dapur.

Melihat sesusuk tubuh sedang duduk di bangku luar rumah, Ainna berjalan menghampiri lelaki itu.

               “Jaranglah boleh tengok along termenung sorang-sorang kat luar ni.”

Wafiq yang terkejut, berpaling untuk melihat suara yang menegurnya.

               “Terkejut aku. Ni kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Wafiq sambil matanya masih memandang adik perempuannya yang memakai sepasang baju tidur satin dan tuala di kepalanya.

               “Tanya orang. Along tu buat apa tengok langit malam-malam? Hati-hati ada yang tengah memerhati tu,” usik Ainna sambil matanya melilau ke arah sekeliling. Sengaja ingin memancing keadaan.

Wafiq hanya menjeling mendengar kata-kata adiknya. Sudah tahu benar dengan sikap Ainna yang suka mengusik.

               “Along okay ke? Ke along ada masalah?” tanya Ainna dengan prihatin. Dia dapat lihat wajah abangnya yang sejak dua tiga hari ini kelihatan kusut.

Wafiq terdiam mendengar pertanyaan Ainna. Seharusnya pertanyaan itu harus diucapkan oleh Wafiq kepada Ainna. Namun, ini sebaliknya pula yang terjadi. Wafiq memejamkan mata dan melepaskan nafas perlahan.

               “Takde apa lah. Along okay, masalah kerja sikit je,” bohong Wafiq. Tidak mungkin dia ceritakan hal sebenar pada Ainna. Dia tahu yang gadis itu terlalu rapat dengan Wildan, pasti adiknya akan menyebelahi Wildan dan marah kepadanya. Walaupun hubungannya dengan Ainna tidak rapat, tapi sebolehnya dia tidak mahu hal itu makin mengeruhkan hubungan mereka.

               “Betul?” tanya Ainna yang masih tidak percaya dengan jawapan abangnya.

Ainna segera mengangguk selepas melihat abangnya menatapnya dengan riak wajah yang kesal. Takut sekiranya dia dimarahi oleh lelaki itu.

               “Tapi, along kena ingat. Walau susah mana pun kita, sebenci apa pun orang pada kita, kita masih ada family, ada adik-beradik yang akan sentiasa ada di sisi kita. Kalau along ada problem, and you need someone to talk to, adik dengan angah kan ada. Kami akan selalu ada dengan along, dengar masalah along. Mungkin adik dengan angah tak tahu cara kerja along, but at least you can share your problems dengan orang lain. Kalau adik, bila adik share masalah adik dengan orang lain dah boleh tenangkan hati adik. Even orang tu tak bagi solutions sekalipun,” ujar Ainna dengan tangan yang diletakkan di bahu abangnya.

 ‘I really want to know apa reaction adik, apa yang adik akan cakap kalau adik tahu benda yang sebenar. Will you hear me after you know that I am the reason of everything? Aku yang buat family ni jadi jauh, bermasam muka antara satu sama lain. Apa perasaan adik bila tahu hal sebenar nanti?’ bisik Wafiq di dalam hati. Wafiq merasa dirinya cukup kerdil bila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh adiknya.

               “Thankyou. But, I am fine,” jawab Wafiq ringkas.

Ainna hanya mengangguk mendengar jawapan Wafiq. Mungkin abangnya memerlukan waktu untuk sendiri atau juga belum bersedia untuk menceritakan masalahnya pada Ainna.

               “Adik sayang along tau!” ucap Ainna dengan senyuman di bibir.

Wafiq tersenyum mendengar kata sayang dari adiknya.

               “Dah jadi bini orang pun nak bersayang-sayang dengan along lagi. Tak malu ke?”

               “Eleh! Along kan yang malu?” usik Ainna sambil menunjukkan jari telunjuknya ke muka Wafiq.

               “Mana laki kau? Kenapa tak balik lagi? Ke balik rumah mak dia?” tanya Wafiq sengaja untuk mengubah topik.

               “Entah. Dah lah nak gi dapur,” jawab Ainna dengan nada yang mendatar seraya berjalan masuk ke dalam rumah.

Wafiq melepaskan keluhan mendengar jawapan adiknya.

 

JAM tangannya menunjukkan hampir jam 11 malam. Fikry bangun dari baringannya dan membetulkan baju melayu yang dipakainya. Sejak dari jam 6 petang lagi dia berumah di masjid itu. Pandangan pelik dari orang sekeliling hanya dibuat bodoh saja. Mana tidak pelik, hari raya tidak, hari Jumaat pun tidak, tapi dia elok berpakaian baju melayu putih.

               “Kamu tak balik lagi, nak?” kedengaran suara seorang lelaki menyapa.

Fikry mengangkat kepalanya untuk melihat pemilik suara. Kelihatan seorang lelaki tua yang memakai baju yang sedikit lusuh berjalan menghampiri Fikry. Fikry mengukirkan senyuman.

               “Kejap lagi balik pakcik. Pak cik dah nak tutup pagar ke?” tanya Fikry yang risau sekiranya kehadiran dia mengganggu urusan lelaki itu.

               “Eh taklah. Pintu tutup pukul 12. Saja pak cik tegur kamu. Dari tadi lagi pak cik nampak kamu duduk kat sini termenung je. Pak cik tengok air muka kamu pun macam orang tengah kusut saja. Kamu ada masalah ke?” tanya lelaki tua yang sudah duduk berhadapan dengan Fikry.

Fikry berusaha mengukirkan senyuman dan menutupi masalahnya.

               “Ada masalah sikit je pak cik. Duk sini rasa tenang sikit,” jawab Fikry dengan nada yang perlahan sambil matanya memandang ke sekeliling halaman masjid yang dipenuhi tumbuhan menghijau dan kedengaran juga suara air tasik yang ada di belakang masjid.

               “Alhamdulillah. Setidaknya bila kamu ada masalah, kamu kembali pada Allah. Bukan pada benda lain. Allah ni uji, dia nak tengok tu je. Nak tengok seberapa banyak dan seberapa lama kita berusaha untuk meminta. Bab tabah atau mampu tu, Allah memang dah tahu. Sebab kamu mampu la dia uji kamu,” nasihat pak cik itu sambil membetulkan kopiah di kepalanya.

Fikry hanya mengangguk mendengarkan kata-kata lelaki itu.

               “Walau apa pun ujian yang kita hadapi, sentiasa bersangka baik pada Dia. Allah takkan bagi ujian tanpa sebab dan musabab dia. Mesti ada hikmah di sebalik setiap yang Dia bagi. Bersyukur sebab Allah masih menguji kita, maksudnya Dia masih sayangkan kita. Masih nak dengar suara kita merintih memohon jalan penyelesaian dari Dia. Pak cik yakin kamu orang yang baik. Dan pak cik yakin Allah akan bantu untuk permudahkan urusan kamu. Cepat atau lambat itu rahsia Dia. Yang penting tugas kita hanya meminta dan terus meminta. Lepas tu bertawakkal pada Dia,” sambung lelaki itu lagi.

               “In sya Allah pak cik. Saya sedar saya ni manusia biasa, tak lepas dari buat salah. Betullah ujian yang saya terima hari ini adalah salah satu cara untuk Allah hapus dosa-dosa saya yang lalu, jadikan saya orang yang lebih baik lagi,” jawab Fikry dengan nada yang lembut.

Lelaki tua itu hanya mengukirkan senyuman mendengar kata-kata Fikry. Dia yakin lelaki muda yang ada dihadapannya itu seorang hamba Allah yang baik. Jika tidak, mana mungkin Fikry seharian berada di masjid semata-mata ingin menenangkan diri. Sukar untuk mencari orang muda yang berpusatkan Allah ketika dalam keadaan kecewa seperti itu.

               “Bila kita rasa ujian kita ni berat, bandingkan ujian kita dengan orang lain. Orang yang hidup dia lagi susah dari kita. Mesti kita akan rasa kita salah satu dari orang yang bertuah.”

Fikry mengiyakan kata-kata lelaki itu. Kadang sebagai manusia, kita hanya membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih hebat atau lebih berjaya dari kita. Tanpa kita sedari, itu adalah salah satu punca untuk kita tidak mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah yang sudah kita terima. Fikry mengeluh perlahan.

‘Begitu banyak nikmat yang Allah bagi pada aku. Tapi aku hanya nampak ujian yang aku hadapi saja. Hinanya aku, ya Allah. Jika betul takdir Mu untuk menyatukan aku dan Ainna, aku terima dengan redha,’ rintih hati kecilnya.

               “Tak pe lah. Kamu duduk lah ya. Pak cik nak pergi basuh ruang wuduk,” jawab lelaki itu seraya bangun untuk beredar.

Fikry sempat mengucapkan terima kasih pada lelaki itu dan menghantar lelaki itu dengan pandangan mata. Dia diburu rasa bersalah kerana meninggalkan isterinya sendirian sepanjang majlis petang tadi.

 

YANA terkejut mendengar suara pintu rumah dibuka. Wajah adiknya, Fikry muncul di sebalik pintu.

               “Iky, buat apa sini?” tanya Yana yang sedikit bingung. Sepatutnya Fikry pulang ke rumah keluarga isterinya seperti yang sudah diberitahu oleh mamanya.

               “Apa nya? Aku dah tak boleh balik rumah ni ke?” tanya Fikry dengan nada yang sedikit tinggi. Sudah lah tubuhnya penat, ditambah lagi dengan Amira yang tidak dapat dihubungi. Dia sebolehnya mahu menyampaikan berita itu kepada Amira sendiri. Dia risau sekiranya gadis itu mendengar dari mulut orang lain, akan terjadi salah faham di antara mereka.

               “Tak de lah. Malam ni kan Iky patut balik rumah Ainna. Kan mama dah bagitahu,” jawab Yana dengan nada yang lembut.

               “Esok je lah. Dah lewat ni apa pulak kata family dia,” jawab Fikry yang melabuhkan duduknya di sofa.

               “Iky okay?” tanya Yana yang risau melihat adiknya seperti orang yang tidak terurus.

Fikry melepaskan keluhan berat. Merasa ketenangan yang dia ada tadi semakin menjauh apabila mendengar pertanyaan tentang kejadian hari itu. Fikry mengangkat bahu untuk menjawab pertanyaan kakaknya.

               “Iky. Akak mintak maaf, sebab Fahmi, Iky yang kena tanggung semua ni. Akak tahu tak mudah untuk Iky terima semua ni. Mana nak jaga hati mama papa lagi, nak fikirkan Amira lagi. Tapi Iky percayalah Ainna untuk perempuan yang baik. Akak memang kenal dia tu macamana. Dia akan jadi isteri yang baik buat iky. Akak yakin,” ujar Yana untuk menenangkan hati adiknya.

Fikry mengukirkan senyuman sinis di bibirnya.

‘Aku bukannya fikir pasal Ainna. Dia boleh jadi isteri yang baik atau tak, tu bukan masalah aku. Kalau dia tak mampu jadi isteri yang baik pun aku takkan salahkan dia. Sebab marriage ni pun tak pernah dia mintak. Yang aku risau sekarang ni Amira. Apa akan jadi pada aku? Pada Ainna? Kalau Amira tahu hal sebenar? Kalau Amira mintak putus, aku sanggup ke? Dah lama aku dengan dia, dia sabar dengan aku dari aku takde pape sampai aku jadi diri aku yang sekarang. Mampu ke aku kehilangan dia kalau dia nak tinggalkan aku?’ bisik Fikry di dalam hati.

               “Tak de ape lah kak. Iky malas nak fikir dah. Apa yang nak jadi nanti aku serah je lah pada Allah. Kalau jodoh Iky dengan Ainna panjang, lama lah kitorang bertahan,” jawab Fikry seperti benar-benar ikut segala percaturan yang ditetapkan oleh Allah.

Yana melepaskan keluhan perlahan. Setelah beberapa detik suasana menjadi sunyi, Fikry bersuara,

               “Raiq okay ke kak?”

               “Seharian kau hilang, ni baru nak ingat anak?” sindir Yana. Memang betul yang adiknya memang langsung tidak menelefonnya untuk bertanya tentang Raiq. Tapi dia mengerti yang Fikry mungkin memerlukan waktu untuk bersendirian. Dia juga tidak rasa terbeban untuk menjaga Raiq.

               “Alaaa Iky tahu akak boleh jaga Raiq. Tu Iky biar je dia spend time dengan akak,” jawab Fikry yang mengerti dengan sindiran kakaknya.

               “Spend time dengan aku apa. Tu dia balik rumah mama baru dia,” jawab Yana sambil mengukirkan senyuman nipis.

Fikry mengerutkan dahi mendengar jawapan Yana. Dia memalingkan muka untuk memandang wajah kakaknya,

               “Balik rumah mama baru? Rumah Ainna?” tanya Fikry dengan riak wajah bingung.

               “Ye lah! Sape lagi mama dia. Kau ada bini lain ke?” usik kakaknya lagi.

Fikry menghadiahkan jelingan kepada kakaknya.

               “Yang akak bagi dia ikut Ainna kenapa? Menyusahkan Ainna je nak jaga Raiq. Tu kalau dia sedar tengah malam tengok Iky takde, merengek pulak nanti,” ujar Fikry yang geram dengan kakaknya.

               “Haaa dah tahu susahkan Ainna, kau buat apa lagi sini? Pergi la rumah bini kau. Jaga anak korang sama-sama,” jawab Yana dengan nada yang sinis. Geram dengan sikap Fikry yang seolah-olah menyalahkan dia padahal lelaki itu yang menghilang sepanjang hari.

               “Akak dah pujuk dia suruh balik sini, tapi dia taknak. Nak jugak dengan Ainna. Akak call kau suruh pujuk dia, kau tak angkat. Daripada dia nangis, aku biar je lah dia ikut Ainna. Lagipun, Ainna pon okay,” sambung Yana setelah melihat adiknya membisu.

               “Esok je lah aku pegi sana,” jawab Fikry seraya bangun untuk ke kamarnya.

               “Kau tak boleh buat macam ni Iky. Ainna pun sama macam kau. Mangsa keadaan. Tak mudah untuk dia terima kau dalam hidup dia. Iky tak boleh nak lepaskan marah Iky pada Ainna,” tegur Yana dengan nada yang sedikit tinggi.

               “Ye Iky tahu kak. Iky penat je. Nanti Iky pergi lah rumah dia,” jawab Fikry yang mulai bengang dengan kakaknya. Dia bukannya menyalahkan Ainna cuma dia perlukan sedikit masa untuk menerima semua yang terjadi pada hari itu.

               “Bukan kau je yang penat. Orang lain pun penat jugak. Ainna tu lagi lah! Tapi dia sanggup jaga anak kau padahal bapak dia hilang entah ke mana. Kau dah kahwin, buat cara kahwin. Perangai tu ubah sikit. Jangan nak orang je faham kita. Kalau dengan Amira, semua benda nak mengalah,” ujar Yana dengan nada yang tegas seraya berjalan menuju ke biliknya. Dia memang tidak suka dengan perangai Fikry yang satu itu. Bila ada masalah mesti nak ikut kepala dia saja. Tak kisah apa yang orang sekeliling rasa.

Fikry meraup muka seraya melepaskan keluhan berat. Mendengarkan kata-kata kakaknya membuat dia semakin serabut.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23