BAB 10

 

AINNA mematikan panggilannya dengan Wildan. Dia memberitahu Wildan yang ibunya meminta mereka untuk balik pada hujung minggu itu untuk mengadakan majlis hari lahir babanya. Memandangkan majlis itu akan diadakan pada hari Sabtu, jadi Wildan ingin pulang pada hari Khamis untuk membantu ibunya membuat persiapan.

Ainna masih bingung dengan permintaan ibunya kerana sebelum ini Puan Rozita tidak pernah meminta dia dan abangnya balik semata-mata untuk menyambut hari kelahiran anggota keluarga. ‘Mungkin ibu nak bincang pasal perjodohan tu kot,’ desis hati kecilnya seraya berjalan menuju ke pejabat majikannya.

               “Sorry, encik. Boleh saya jumpa sekejap?” tanya Ainna dengan senyuman di bibir.

               “Yes, Ainna. Have a seat. Ada apa datang ke bilik saya?” tanya majikannya, Encik Malik sambil memandang wajah Ainna yang mengenakan tudung bawal berwarna kuning muda.

               “Sorry, encik. Saya ganggu waktu encik. Emm, saya nak mintak cuti boleh?” tanya Ainna dengan wajah yang serba salah. Padahal dia baru berpindah ke situ 3 bulan yang lalu kerana kenaikan pangkat, tapi sudah dua kali dia memohon cuti. Segan pula dengan majikannya.

               “Bila and berapa hari?” tanya Encik Malik sambil mengalihkan matanya memandang komputer yang ada di hadapannya.

               “Sehari je encik. Saya plan nak cuti lusa?”

               “Kenapa tiba-tiba? Ada problem ke?” tanya Encik Malik sambil memandang wajah Ainna.

               “Takde lah encik. Saya ada hal family sikit,” jawab Ainna tersipu malu. Segan pula bila bertatapan mata dengan orang besar seperti majikannya.

               “Oh! Hmm boleh! Tapi pastikan semua kerja awak yang nak submit pada saya Isnin depan siap sebelum weekend ni. Nanti awak busy bercuti sampai lupa nak siapkan kerja,” tegas majikannya selepas mendiamkan diri beberapa detik. Dia kembali menatap skrin komputer selepas perasan dengan ketidakselesaan gadis di hadapannya itu.

               “Betul ke ni, encik? Thankyou encik. Okay saya cuba siapkan segera,” ujar Ainna dengan senyuman di bibir seraya berjalan keluar dari bilik itu.

Majikannya hanya membalas senyuman Ainna dengan anggukan dan matanya masih pada skrin komputer. Dia kembali melihat pintu setelah bayangan Ainna hilang dari biliknya. Dia mengukir senyuman nipis seperti sedang memikirkan sesuatu.

 

SEJAK dia menerima khabar dari Yana tentang majlis pertunangan adiknya, entah kenapa Fikry merasa jauh dengan Ainna. Hampir setiap hari juga Raiq bercakap dengan gadis itu, namun Fikry hanya jadi pendengar dan tidak peramah seperti selalu. Mungkin juga kerana dia ingin menjaga batasan antara mereka memandangkan Ainna bakal menjadi adik iparnya nanti. Walaupun adiknya, Fahmi dan Ainna menikah bukan kerana cinta, tapi dia perlu menghormati rumah tangga dan perasaan adiknya. Mendengar perbualan Ainna dan Raiq melalui telefon, dia mengeluh perlahan,

               “Tyna tak boleh keluar dengan Raiq. Esok Tyna nak balik kampung la sayang,” ujar Ainna dengan nada yang lembut.

               “Alaaa. Tyna buat apa balik kampung? Temanlah Raiq sini,” pujuk Raiq manja.

               “Nanti kita jumpa ya Raiq. Tapi, esok tak boleh sayang. Tyna ada hal family sikit,” ujar Ainna perlahan.

‘Kau tak nak tanya ke kitorang ni balik ke tak? Tu kan majlis adik aku, kau tak pelik ke aku dengan Raiq tak balik?’ desis Fikry di dalam hati. Kesal dengan Ainna yang melayan Fikry acuh tak acuh, seolah-olah dia tidak ada kaitan dengan keluarga Fahmi. Langsung tidak bertanya tentang majlis pertunangan yang akan diadakan hujung minggu itu. Sedangkan tidak lama lagi mereka akan jadi sebuah keluarga.

               “Hmm. Okayla, nanti kita meet tau Tyna! Raiq miss you so much!” ujar Raiq dengan nada yang manja seraya mematikan panggilannya.

               “Dah habis cakap dengan Tyna?” tanya Fikry seraya menyambut huluran telefon bimbit dari anaknya.

               “Dah. Papa boleh tak kita ikut Tyna balik kampung? Raiq rindu sangat dengan Tyna,” tanya Raiq dengan matanya yang memandang Fikry.

Fikry mengukirkan senyuman nipis,

               “Tak boleh sayang. Kenapa nak ikut Tyna balik kampung? Tyna kan ada urusan dia. Mana boleh ganggu,” pujuk Fikry sambil mencium pipi anaknya.

               “Alaaa Raiq bukan nak ganggu Tyna pon. Raiq nak jumpa dia kejap je. Boleh la pa,” ujar Raiq dengan nada yang manja.

               “Tak boleh Raiq. Papa kerja. Raiq main la dengan bibik, okay? Nanti bila Tyna dah balik sini, kita jumpa dia. Okay?” tanya Fikry sambil memeluk tubuh anak kecilnya.

Raiq mengangguk dengan wajah yang muram. Fikry hanya mengeluh perlahan. Dia tahu yang anak lelakinya itu sedang merajuk namun dia tidak tahu bagaimana cara untuk memujuk Raiq. Satu-satunya hal yang boleh membuat anaknya terpujuk adalah dengan bertemu dengan Ainna. Yang mana adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan pada waktu itu. Dia tidak mahu mengganggu gadis itu yang juga pasti sedang sibuk dengan persiapan pertunangan.

 

KERETA Wildan laju membelah lebuhraya setelah menjemput Ainna di rumah sewanya. Wildan perasan yang adiknya banyak mendiamkan diri sepanjang 30 minit dalam kenderaan. Sejak kes Ainna pengsan beberapa minggu yang lalu, adiknya masih menutup masalah yang dihadapinya dari Wildan. Wildan memandang wajah Ainna yang berada di sebelahnya.

               “Adik okay?” tanya Wildan dengan nada yang lembut. Sebolehnya dia tidak mahu memberikan tekanan pada gadis itu. Namun, Ainna seolah-olah ingin terus menyembunyikan masalahnya daripada Wildan. Jadi lebih baik dia sendiri yang memulakan perbahasan.

               “Okay. Kenapa?” bohong Ainna.

               “Betul?” tanya Wildan dengan nada yang sedikit tegas.

Ainna mengeluh perlahan. Dia rasa lebih baik Wildan tahu hal itu dari Ainna sendiri. Daripada nanti lelaki itu tahu dari ibu dan babanya, pasti Wildan kecewa dengan Ainna. Setelah beberapa detik mendiamkan diri, akhirnya Ainna memberitahu Wildan tentang rancangan ibu dan babanya terhadap dia dan Fahmi. Terlihat jelas wajah Wildan yang menahan marah namun masih bertahan untuk menenangkan Ainna yang sudah penuh dengan air mata.

Usai mendengar cerita dari Ainna, Wildan menghela nafas berat,

               “Habistu kau balik buat apa?” tanya Wildan dengan nada yang serius. Dia tidak mengerti dengan sikap adiknya yang boleh berkelakuan biasa tanpa menunjukkan rasa kesalnya pada kedua orang tua mereka. Malah, adiknya yang bersungguh-sungguh memujuk dia pulang ke kampung untuk merayakan hari ulang tahun baba mereka.

               “Sambut birthday baba la. Kan dah bagitahu haritu,” ujar Ainna yang bingung dengan soalan Wildan. Matanya menatap langit yang sedikit mendung pada pagi itu.

               “Aku tahu lah! Dah adik tahu ibu plan macamtu, buat apa lagi kau balik? Tak payahlah balik!  Tunjuk la yang adik tak setuju dengan perjodohan tu. Baru ibu dengan baba tu fikir sikit,” bebel Wildan dengan riak wajah yang bengis. Dia memang benci dengan sikap ibu dan babanya yang suka memaksa. Dia fikir orang tuanya hanya memaksa tentang pendidikan dan kerjaya tapi masalah rumah tangga pun ingin diatur oleh mereka. Wildan mengeluh perlahan.

               “Takkanlah tak balik ngah. Ni kan birthday baba. Kesian la dengan baba. Kita takde. Bukannya selalu kita kumpul ramai-ramai sebab nak sambut birthday. Takpe nanti adik cakap balik dengan ibu, pujuk dia. Haraplah dia lembut hati,” ujar Ainna sambil menyapu air mata di wajahnya. Dia menarik nafas perlahan kerana hatinya sedikit tenang berbanding sebelumnya.

               “Macamlah ibu tu dengar cakap kau! Silap-silap balik ni pun sebab nak paksa kau kawin. Adik dah pernah jumpa ke dengan Fahmi tu?”

               “Belum. Nak jumpa lambet lagi. Tengok gambar dia pun tak pernah!”

               “Ibu dengan baba ni, aku tak paham lah! Main ambik je! Bukan kenal pon si Fahmi tu. Kalau dia maknyah okay lagi, entah-entah kaki dadah ke kaki mabuk ke. Saja nak bunuh anak sendiri,” kata Wildan dengan dadanya yang menahan sesak. Sungguh dia sakit hati kerana ibu dan babanya memperlakukan Ainna begitu. Padahal bukan Ainna saja yang belum berkahwin. Sepatutnya Wafiq dulu yang berumah tangga memandangkan dia anak sulung dalam keluarga. Ini terbalik pula.

               “Ish! Angah ni! Dia polis la. Takkan lah dia buat kerja tu,” sangkal Ainna. Walaupun dia tidak kenal dengan Fahmi, namun dia yakin Fahmi orang yang baik memandangkan pekerjaan lelaki itu yang terpuji.

               “Polis pon manusia jugak,” ujarnya perlahan.

               “Angah nanti takyah cakap pape la dengan ibu. Biar adik yang cakap okay? Adik tak nak la nanti ada gaduh-gaduh. Nanti rosakkan mood baba je. Lagi susah adik nak pujuk untuk batalkan pertunangan tu,” nasihat Ainna kepada Wildan. Berharap abangnya boleh menahan emosi bila berjumpa dengan kedua orang tua mereka.

               “Tengoklah mood aku macamana!”

Jawapan Wildan membuat Ainna sedikit bimbang. Risau sekiranya akan timbul masalah baru antara Wildan dan kedua orang tuanya. Beban yang ditanggung oleh abangnya selama ini sudah cukup berat. Dia tidak mahu Wildan turut terpalit dengan masalahnya.

 

AMIRA yang baru selesai penggambarannya masuk ke dalam kereta dan menghempaskan pintu dengan kuat. Dia kesal mendengar rakan-rakan modelnya bercerita dan memuji tentang Fikry di hadapannya. Lelaki itu juga sudah lama tidak meluangkan masa bersamanya sejak peristiwa dia mengatakan Raiq itu anak pungut. Usahkan untuk bertemu, mesej dari dia juga dibalas lambat-lambat oleh Fikry.

‘Benda tu bukan salah aku sorang! Dia pon salah! Mesti dia nak mengelak sebab dia curang! Ish! Kena aku jugak la ni yang start mintak maaf dulu? Takkanlah aku! Selalunya kan dia dulu yang mintak maaf. Oh my God! Mira! Jaga ego kau! Tak malu ke kau model terkenal nak mintak maaf dengan dia? No! No! No! You can’t!’ desis hati kecilnya.

‘Tapi kalau kau tak mintak maaf, dia takkan cakap dengan kau. Sampai bila benda ni tak habis! Takpe Mira. Sekali ni je kau mintak maaf. Nanti bila dia dah maafkan kau, kau cakaplah pasal gambar tu. Kau marah lah dia balik. Biar dia melutut mintak maaf dengan kau!’ bisik hatinya lagi setelah beberapa minit menatap gambarnya dengan Fikry di telefon.

Amira menarik nafas perlahan seraya mencari nombor Fikry di telefon bimbitnya. Dia mengerling ke   arah jam yang menunjukkan pukul 3 petang. Panggilannya yang pertama tidak dijawab oleh lelaki itu. Amira cuba menahan emosinya dan membuat panggilan untuk kali kedua. Beberapa detik menunggu akhirnya Fikry menjawab,

               “You! You buat apa? Kenapa tak angkat call I tadi?” tanya Amira dengan nada gediknya. Dia berusaha menahan hatinya yang ketika itu seperti sedang dibakar di atas api yang membara.

               “Baru habis shoot. Kenapa call?” tanya Fikry dengan nada yang malas. Selagi wanita itu tidak mengakui kesalahannya memang dia tidak akan berlembut hati dengan Amira.

               “You still marahkan I ke? Baby, I sorry la. Haritu I emosi. You tu bukannya nak tanya I okay ke tak, I ada masalah apa ke.”

Fikry mengeluh perlahan,

               “Amira. You nak I faham you, I care pasal you. Tapi you pernah ke tanya I okay ke tak, I dah makan ke belum, I sihat ke tak. Pernah you tanya? Tak kan? Dahlah! I taknak gaduh dengan you. I penat. Nanti la kita cakap,” ucap Fikry dengan nada kesal. Geram sungguh dengan sikap Amira yang tidak ingin berusaha untuk memahaminya. Dia fikir sudah beberapa tahun mereka bersama, gadis itu akan berubah. Namun, sangkaannya salah.

               “Okay babe. I pun tak nak tau gaduh dengan you! You boleh tak jangan lari dari masalah?! I call ni pun I nak bincang something dengan you. Kalau nak harapkan you, memang hubungan kita ni gantung tak bertali je kan?! Selama dua minggu ni, you langsung tak tanya khabar I. Call I pon you selalu mengelak. Okay memandangkan you dah penat, I straight to the point je. I dah send gambar kat whatsapp you, now you explain to me!” kata Amira dengan nada yang sedikit tinggi. Bosan dengan sikap Fikry yang selalu mengelak tiap kali dia ingin berbincang tentang masalah mereka.

Fikry mengeluh perlahan seraya membuka gambar yang dihantar oleh kekasihnya. Dia mengerutkan dahi. ‘Macamana gambar ni ada dekat Mira? Sape yang hantar?’ desis Fikry di dalam hati.

               “Hah? Apa yang you nak kelentong kali ni?!” tanya Amira setelah tiada respon dari lelaki itu.

               “Ni anak kawan mama la. Dia rapat dengan Raiq. Haritu I hantar Raiq jumpa dia,” ujarnya beralasan. Tidak mungkin dia menceritakan hal yang sebenar. Pasti kekasihnya akan marah besar pada dia, lagi teruk Ainna juga terkena tempiasnya. Nasib baik gambar itu ditangkap dari sisi, jadi wajah Ainna tidak terlihat di gambar itu.

               “Ye ye je! Entah entah you tipu! You ingat eh, you tipu I siap la you!”

               “Ikut suka you la nak percaya ke tak. Kalau nak tahu, tanyalah Izzue. Dia dengan I berkepit je waktu kerja. I balik rumah pon malam. Bila masa free yang I boleh gi date dengan pompuan lain,” jelas Fikry dengan nada malas. Dia sudah jemu untuk bergaduh dengan gadis itu.

               “Okay nanti I selidik sendiri,” jawab Amira yang masih tidak percaya dengan jawapan dari Fikry itu.

               “Mana you dapat gambar tu?” tanya Fikry yang masih bingung tentang sebab gambar itu dihantar pada Amira. Setahunya tidak ramai yang tahu tentang hubungannya dengan Amira.

               “Ada orang whatsapp I. Bila I call, number tu dah no service. Kenapa? Takut?” tanya Amira dengan nada perli.

               “Takut kenapa? Bukannya I buat dosa. Dahlah! Malas la I nak layan you,” ujar Fikry seraya mematikan panggilan. Rasa kesalnya terhadap kata-kata Amira masih meninggi. Kata maaf dari gadis itu tadi juga terdengar seperti terpaksa dan bukan benar-benar ikhlas dari hati.

 

AINNA duduk di sebelah ibunya dan berhadapan dengan Wildan ketika di meja makan. Suasana di meja makan pada tengah hari itu agak tegang. Sesekali Ainna mengerling ke arah Wildan yang menunjukkan wajah bosannya. Encik Sharif mengerling ke arah isterinya sebelum berkata,

               “Memandangkan semua dah siap makan, ibu dengan baba ada nak cakap sikit ni,” ujar Encik Sharif sambil memandang wajah anak-anaknya satu persatu.

Hati Ainna mulai tidak tenang. Dia dapat rasakan yang babanya akan bertanya tentang perjodohan itu. Melihat respon diam dari ketiga-tiga anaknya, babanya kembali bersuara,

               “Esok bukan sahaja majlis hari lahir baba tapi juga majlis pertunangan adik dengan Fahmi,” ujarnya ringkas tapi hampir menghentikan detak jantung Ainna. Wildan yang terkejut dengan pernyataan babanya melihat wajah Ainna yang sedikit pucat. Melihat dari riak wajah Ainna, beerti adiknya sudah dibohongi tentang majlis yang akan diadakan pada esok hari. Wildan menarik nafas perlahan dan berusaha untuk menahan emosinya. Kedua belah tangannya digenggam kuat, matanya masih menatap wajah adiknya yang terkedu menatap wajah babanya.

               “Tapi adik belum bagi jawapan,” ujar Ainna dengan nada mendatar. Matanya beralih menatap wajah Wildan. Risau sekiranya abangnya akan tidak dapat mengawal emosi dan memarahi ibu dan babanya. Dia juga berusaha menahan emosinya yang kecewa dan marah. Hatinya ketika itu seolah-olah hancur berkecai. Segala susunan ayatnya untuk penolakan perjodohan itu hanyalah sia-sia. Majlis yang akan diadakan besok hari adalah majlis pertunangannya bukan cuma majlis sambutan hari lahir babanya.

               “Ibu dengan baba bagi kamu masa berapa lama? Dah almost sebulan Ainna. Kamu asyik mintak masa saja. Kamu ingat orang nak tunggu kamu ke? Lagipun Fahmi tu dah lama setuju. Macam ni lah, baba tengok keluarga Fahmi tu keluarga yang baik-baik. Baba juga yakin Fahmi juga orang yang baik. Kamu takkan menyesal terima dia. Percaya la kata baba,” ujar Encik Sharif dengan nada tegas.

Wildan mengeluh perlahan melihat respon adiknya yang mendiamkan diri saja. Dia tahu yang Ainna tidak akan melawan kata-kata ibu dan babanya. Wildan bersuara namun matanya masih menatap wajah adik perempuannya,       

               “Yang nak kahwin tu adik. Bagilah dia masa nak buat keputusan untuk diri dia sendiri. Kahwin ni 5 tahun lagi pon boleh. Kenapa yang nak rush sangat? Dah rasa terbeban nak jaga adik ke sampai nak sangat bagi dia kahwin awal? Ibu dengan baba memang berhak untuk aturkan hidup dia, tapi ibu dengan baba kena jugak dengar dia. Adik ni perempuan, penting untuk dia pilih yang terbaik dalam hidup dia. Dahlah tak boleh pilih mak bapak, suami pon tak boleh pilih. Perempuan memang takde hak nak memilih ke? Oh! Lupa! Rumah ni bukan perempuan je takde hak. Lelaki pon sama!” bentak Wildan seraya bangun dari duduknya dan berjalan ke arah Ainna. Dia mahu membawa adiknya pergi dari situ. Semakin lama dia di situ, makin banyak pula dosanya terhadap kedua orang tuanya.

               “Eh! Wildan! Kamu jangan kurang ajar! Kenapa yang kamu nak masuk campur? Ni urusan aku dengan adik kamu! Kamu takde hak nak masuk campur! Cukup kamu je yang kurang ajar, jangan ajar adik kamu jadi anak derhaka macam kamu sekali!” jerit Encik Sharif kerana kesal dengan kata-kata kasar yang dihamburkan oleh Wildan kepada dia dan isterinya.

               “Encik Sharif. I am so sorry! Dan tak tahu kalau Dan dah kurang ajar. Sebab I di ajar untuk tidak dengar pendapat orang lain, so Dan hanya react semua benda based on what I think. And satu lagi, baba kata Dan anak derhaka. Baba, baba ni orang terhormat, orang bijak, orang paling baik atas muka bumi ni but you still have anak derhaka dan jahat macam Dan. So, don’t you think that Fahmi pon boleh jadi jahat macam Dan?” ujar Wildan dengan nada memerli.

“Ibu dengan baba tahu tak, yang Dan tak nak pon balik semata-mata nak sambut birthday baba ni! Tapi adik ni, adik yang pujuk Dan biar balik! Adik nak sangat jaga hati ibu dengan baba, spend time sama-sama. But now?! Apa yang ibu dengan baba dah buat?! Why did you do this to her? Ibu tahu tak adik ni sampai pengsan kat sana sebab fikirkan masalah ni? Ibu dengan baba pernah ke tanya dia? Apa yang dia nak? Apa yang dia rasa? No!!” jerit Wildan dengan suara yang meninggi. Dia menarik tangan adiknya untuk pergi dari situ.

               “Ainna sayang. Esok majlis! Kamu takkan malukan ibu kan, sayang?” kata Puan Rozita perlahan. Berusaha untuk memujuk anak perempuannya. Dia risau sekiranya Wildan akan memujuk Ainna untuk melarikan diri. Apa yang dia perlu jawab pada sahabatnya dan tetamu-tetamu yang bakal hadir nanti. Malu besar keluarganya nanti.

Ainna memejamkan matanya perlahan. Linangan air mata yang ditahan dari tadi akhirnya jatuh membasahi pipi. Dia melepaskan pegangan Wildan perlahan-lahan dan berpaling memandang wajah ibu dan babanya silih berganti. Ainna berusaha mengukirkan senyuman dan menyeka air matanya,

               “Ibu dengar tak apa yang angah kata tadi? Ibu dengan baba dengar tak yang adik pengsan kat sana?! Ibu dengan baba tak nak tanya ke adik okay ke, adik dah sihat ke belum?! Ibu dengan baba memang tak kisah ke pasal adik? Perasaan adik langsung tak de nilai kan? Yang penting maruah keluarga, bisnes! Adik mati sekalipun takpe kan?!” jerit Ainna seraya menyeka air matanya yang semakin laju mengalir.

Kata-kata Ainna hanya dibiarkan sepi oleh kedua orang tuanya dan juga Wafiq. Wildan sebak mendengar luahan adiknya. Dia memandang Wafiq sekilas.

               “Fiq. Aku ingat kau tak nak backup aku dulu sebab kau tak nak ibu dengan baba kecewa dengan kau. Rupanya aku salah. Kau memang tak nak backup sesiapa, bukan cuma aku tapi adik jugak. Kau tahu yang adik paling lemah antara kita, tapi kau buat bodoh je bila benda ni jadi. Abang jenis apa kau ni? Selama ni aku fikir, korang tak kisah pasal aku sebab aku sendiri, aku yang kurang ajar dengan family. Tapi tengok layanan korang dengan adik, aku makin tak faham dengan keluarga ni. Masing-masing pentingkan diri sendiri. Dalam hubungan berkeluarga sepatutnya ada rasa sayang, hormat-menghormati dan hargai satu sama lain. Tapi aku tak nampak salah satu pun antara tu dalam keluarga ni,” ujar Wildan seraya berjalan menuju ke ruang tamu.

               “Kamu nak bawa adik kamu ke mana? Jangan ajar adik kamu untuk membelakangkan aku seperti mana yang kamu buat, Wildan,” kata Encik Sharif dengan nada yang tegas.

               “Baba, kita tak boleh nak harapkan orang hormat dan hargai kita, kalau kita tak reti nak hargai orang lain. Hidup ni bukan saja tentang kita terima, tapi juga tentang memberi. Mungkin baba rasa Dan kurang ajar sebab tak dengar apa yang baba nak, tapi baba pun tak pernah nak dengar apa yang anak-anak baba nak,” tegas Wildan tanpa memalingkan wajah menghadap babanya.

               “Ibu, baba. Adik mintak maaf. But please give me some space. Kalau ibu dengan baba bagitahu adik awal-awal maybe adik takkan kecewa seteruk ni,” ujar Ainna seraya berjalan bersama Wildan meninggalkan ruangan itu.

Kedengaran suara kereta Saga milik Wildan berlalu pergi. Puan Rozita masih risaukan majlis pada esok hari manakala wajah Encik Sharif sedikit terkesan dengan kata-kata anaknya sebentar tadi. Perlahan-lahan dia meraup wajahnya. Wafiq masih mendiamkan diri.

 

AINNA menyambung tangisannya di dalam kereta. Dia sungguh kecewa dengan kedua orang tuanya. Sungguh dia buntu untuk membuat keputusan pada waktu itu. Di satu sisi, dia risau ibu dan babanya akan marah sekiranya dia tidak hadir ke majlis pada esok hari, tapi di satu sisi yang lain dia tidak mahu masa depannya dijadikan taruhan seperti itu.

Wildan hanya memandang Ainna yang sedang menangis teresak-esak. Sesekali dia memegang tangan adiknya bagi menyalurkan sedikit semangat. Dia bersimpati melihat keadaan gadis itu. Keretanya laju meluncur ke jalan raya. Fikirannya juga bercelaru, tidak tahu pemanduannya berarah ke mana. Tapi yang pasti dia ingin membawa adiknya jauh dari tempat itu. Selama hampir sejam pemanduan, Wildan akhirnya memberhentikan keretanya di kawasan pantai. Dia tahu yang adiknya suka meluangkan masa di pantai sekiranya gadis itu sedang dalam masalah.

               “Adik nak keluar ke nak stay dalam kereta?” tanya Wildan dengan nada yang lembut. Dia tahu yang Ainna memerlukan masa untuk sendiri.

               “Nak keluar,” jawab Ainna ringkas seraya membuka tali pinggang yang dipakainya.

               “Okay pergilah. Nanti ada pape call angah,” ujarnya perlahan dan mematikan enjin keretanya.

Ainna hanya mengangguk dan berjalan ke arah pantai yang terbentang luas di hadapannya. Dia mengeluh perlahan dan menyapu juraian air mata yang tidak henti menitis. Hatinya merintih pilu, tangannya memegang dada yang terasa sesak. Ainna melabuhkan duduk di sebuah batu besar yang ada di pantai itu. Cuaca yang ketika itu mendung seperti memahami suasana hatinya yang sedang kecewa. Ainna menarik nafas perlahan.

‘Mungkin bagi mereka ini biasa, tapi tidak bagi aku. Sungguh ini adalah salah satu ujian terberat dalam hidup aku. Aku harus memilih antara keluarga dan diri sendiri. Jika dulu tanpa rasa ragu aku pasti menjawab keluarga yang paling utama. Namun entah kenapa sekarang, aku merasakan yang aku ingin mencari jalan aku sendiri. Mungkin kerana aku tahu yang tidak mudah untuk mencintai seseorang, tambahan lagi orang yang langsung tidak aku kenali. Aku faham kalau ibu dengan baba nak yang terbaik untuk aku, tapi cara mereka buat ni seperti memaksa. Jika benar mereka inginkan yang terbaik, mereka seharusnya dengar pendapat aku dan tunggu jawapan dari aku sendiri,’ bisik hati kecilnya sambil kakinya menyentuh air pantai.

 

              

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23