BAB 16

 

Wildan membuka pintu kereta di sebelah penumpang belakang dan mengukirkan senyuman manis kepada adiknya. Hatinya yang hiba ditutup rapi. Sedih bukan hanya kerana ingin menyerahkan adik kesayangannya kepada lelaki yang tidak dikenali, tetapi juga kerana dia bukan lagi orang yang terdekat kepada adiknya. Ainna bakal mempunyai keluarga sendiri, tanggungjawab adiknya juga akan bertambah jadi dia rasa seperti ada jarak antara mereka berdua. Mungkin bagi orang lain, benda itu biasa namun bagi cukup sulit buat Wildan.

               “Angah sayang adik sampai bila-bila. Tak kira adik dah jadi wife orang, ada family sendiri sekalipun, adik tetap adik angah. Adik yang selalu angah sayang dan protect. Tak kira apa pun yang jadi, I will always be with you. Angah mintak maaf sebab tak mampu mempertahankan apa yang adik nak,” bisik Wildan perlahan sambil memimpin adiknya berjalan menghampiri pintu dewan.

Hani yang ada di belakang mereka kelu seribu bahasa. Kata-kata Wildan yang ringkas itu membuat hatinya terharu. Terharu dengan layanan dan kasih sayang Wildan kepada sahabatnya. Sungguh beruntung sahabatnya memiliki abang seperti Wildan. Lelaki itu memang betul-betul sayangkan Ainna malah sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan Ainna. Mungkin dia tidak tahu banyak tentang keluarga Ainna yang lain, tapi Ainna sering bercerita tentang kedekatan Ainna dengan Wildan. Jadi, dia mengerti betapa sulit buat Wildan untuk menerima perkahwinan adiknya itu.

Mata Ainna berkaca-kaca seraya memandang wajah abangnya.

               “Adik akan sayang angah sampai bila-bila. Angah jangan risau, angah tetap hero adik. Takkan ada orang yang boleh gantikan tempat angah dalam hidup adik. Walaupun adik dah kahwin, adik takkan pernah berubah. Kita akan tetap sama and you can find me whenever you need someone to talk to, okay? Angah jangan lah fikir yang bukan-bukan. Ni bukan salah angah. Adik yang setuju dengan marriage ni kan,” pujuk Ainna lagi.

Wildan hanya membalas kata-kata Ainna dengan senyuman seraya mencium lembut kepala adiknya. Dia masih berusaha untuk menyembunyikan rasa sebak yang terbuku di dada.

Ahli keluarganya yang sedang menunggu di depan dewan hanya mengukirkan senyuman memandang dua beradik itu yang berjalan menghampiri mereka.

               “Adik dah ready?” tanya Puan Rozita dengan nada yang lembut.

Ainna hanya mengukirkan senyuman nipis mendengarkan pertanyaan ibunya sebelum bersuara,

               “Semua dah ada ke?”

               “Keluarga belah sana belum sampai lagi. Maybe dalam perjalanan kot. Takpe, nanti ibu call. Kita masuk dulu okay?”  

Ainna hanya mengangguk dengan tangannya yang masih menggenggam erat tangan abangnya. Mungkin untuk meminta kekuatan dari lelaki itu. Dia berjalan diiringi oleh ibu dan abangnya hingga ke dalam dewan. Suasana ketika itu masih dalam keadaan yang lengang memandangkan hanya keluarga yang terdekat saja baru hadir.

Wildan memeluk tubuh kecil adiknya seraya melepaskan genggaman tangan antara mereka. Dia sempat menasihati adiknya supaya beristighfar sebelum turun dari pelamin yang disediakan buat adiknya. Dia juga memberi isyarat pada Hani untuk setia menemani adiknya sepanjang majlis itu berlangsung.

 

AINNA yang ketika itu sedang sibuk membetulkan tudung dicuit oleh sahabatnya, Hani. Dia memandang ke arah sudut yang ditunjukkan oleh Hani. Ainna yang tadinya sedikit tenang kembali dengan pelbagai tanda tanya dan debaran yang sangat kencang. Dia merenung wajah lelaki yang berpakaian serba putih dan berjalan menghampiri meja yang disediakan sebagai tempat untuk akad nikah. Dia mengerutkan dahi seraya menoleh ke arah ibunya yang ada di sebelah.

               “Ibu. Apa ni?” tanya Ainna dengan nada yang dikawal.

               “Adik. Benda ni berlaku mendadak. Pagi tadi Cik Idah call ibu kata Fahmi tak dapat balik. Jadi terpaksa dia mintak Fikry yang ganti tempat Fahmi,” jawab Puan Rozita seraya memegang lembut tangan anaknya.

Ainna menarik tangannya dari dipegang oleh ibunya. Matanya berkaca-kaca.

‘Apa pula dugaan Mu kali ini ya Allah. Kenapa mesti Fikry? Kenapa dia?’ bisik Ainna di dalam hati.

               “Adik nak gi toilet jap,” kata Ainna seraya menggenggam tangan Hani dan bangun dari duduknya.

               “Adik. But you have promise me. Adik dah janji yang adik takkan kecewakan ibu kan? Adik tolong adik. Kali ni je ibu mintak. Please. Ibu janji ibu takkan mintak benda lain dari adik. Apa yang adik nak semua ibu buat asalkan adik jangan pergi dari majlis ni, ya sayang? Tolong ibu dik. Ramai sangat orang ni. Jangan malukan family kita, ya sayang?” pujuk ibunya dengan nada yang lembut. Dia risau sekiranya anak gadisnya akan betul-betul meninggalkan majlis pada kali ini.

Ainna mengeluh perlahan seraya berkata,

               “I just need some space. Ibu tahu yang majlis pertunangan haritu pun dah buat adik kecewa dengan ibu dan baba. Tapi ibu still nak sembunyikan benda sebesar ni? Ibu ingat adik ni apa? Barang? Boleh ditukar-tukar macam ni?” ujar Ainna dengan nada yang tegas.

               “Ibu tak sempat nak bagitahu adik. Ibu tak tipu memang betul yang Cik Idah baru call bagitahu ibu subuh tadi,” kata Puan Rozita untuk meyakinkan anak gadisnya. Dia mengerling ke arah semua tetamu yang hadir yang sedang asyik memerhatikan gerak-geri mereka di atas pelamin.

               “Ibu ada banyak sangat masa untuk bagitahu adik. Masa berjalan masuk dewan tadi pun ibu boleh bagitahu. Tapi ibu pilih untuk tak bagitahu adik. Please, I am begging you ibu. Lagipun kadi tak sampai lagi,” ujar Ainna seraya menarik tangan Hani untuk turun dari pelamin. Wildan yang masih dalam keadaan bingung segera bangun dan mengikuti langkah adiknya ke bilik yang disediakan di dalam dewan itu.

Para tetamu yang hadir juga tertanya-tanya tentang sebab Ainna berkelakuan begitu. Puan Rozita berusaha mengukirkan senyuman nipis untuk mengelakkan persepsi negatif dari orang lain.

Fikry hanya menghantar Ainna dengan hujung mata. Dia mengeluh perlahan.

               ‘Kalau betul adik awak adalah jodoh saya, saya lari sejauh mana sekalipun, kami tetap akan kahwin. Tapi kalau dia bukan jodoh saya, kami setuju la macamana sekalipun, ada la cara yang Allah sudah takdirkan untuk kami. Mungkin jugak masa akad, adik awak tak datang. Kalau betul ia jadi, saya takkan salahkan adik awak sebab saya anggap dia bukan jodoh saya.’

Kata-kata Ainna kepadanya ketika awal-awal pertunangan terngiang-ngiang di telinga Fikry.

‘Aku tak sangka Fahmi memang bukan jodoh kau. Tapi masalahnya yang jadi mangsa tu aku. Kenapa aku? Aku memang risau kalau Ainna kahwin dengan Fahmi tapi tak bermaksud yang aku nak kahwin dengan dia. Kalau Fahmi tak datang, majlis ni tak sepatutnya diteruskan. Ini tak, aku pula yang kena ganti dia. Kau tunggu Fahmi, bila aku jumpa kau. Siap kau dengan aku!’ desis hati kecilnya. Tidak semena-mena dia pula yang jadi pengantin ekspres untuk majlis hari itu.

 

HANI memandang wajah Ainna yang seperti sedang menahan tangis. Dia sendiri bingung apa yang perlu dilakukan pada saat ini. Sungguh dia tidak mengerti tentang sebab mengapa ibu sahabatnya menyembunyikan hal sebesar itu dari Ainna. Sudah sepatutnya Ainna tahu keadaan yang sebenar, siapa lelaki yang ingin dijodohkan kerana dia yang akan mendirikan rumah tangga. Ainna yang akan menempuh hidup yang baru dengan suami dan keluarga yang baru. Hani hanya mampu mengelus lembut tubuh Ainna bagi menenangkan gadis itu.

Wildan yang baru saja masuk ke dalam bilik itu menghampiri adiknya.

               “Adik,” tegur Wildan dengan nada yang lembut seraya melabuhkan duduk di sisi adiknya.

               “Angah. What should I do?” tanya Ainna dengan air mata yang jatuh ke pipi.

               “Adik tenang dulu. Istighfar dulu,” pujuk Wildan untuk menenangkan adiknya.

Memang awalnya dia terkejut kerana Fikry yang datang sebagai calon pengantin, bukan seperti yang dirancang sebelum ini. Namun, entah kenapa dia merasa sedikit tenang kerana dia tahu Fikry adalah seorang lelaki yang baik. Hampir beberapa bulan mengenali Fikry, lelaki itu seorang yang jaga solat dan batasan antara lelaki dengan perempuan. Dia juga pandai menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Jika perlu dipilih antara Fahmi dan Fikry, dia lebih setuju sekiranya Fikry yang menjadi suami kepada adiknya. Namun, dia mengerti keadaan Ainna yang masih terkejut dengan kehadiran Fikry sebagai calon suaminya. Jika adiknya tidak ingin berkahwin dengan Fikry, dia sanggup untuk bawa adiknya pergi dari majlis itu.

               “Okay, let me ask you, adik nak tinggalkan majlis ni? Kalau adik nak, angah boleh bawak adik pergi,” ujar Wildan setelah melihat emosi adiknya sedikit stabil.

Ainna hanya mendiamkan diri mendengar pertanyaan Wildan. Air matanya tidak henti menitis. Dia sendiri benar-benar buntu untuk membuat keputusan di waktu yang sangat getir ini. Dia memejamkan mata dengan rapat dan berharap supaya dia akan bangun dari segala mimpi buruk ini.

Wildan mengerling ke arah Hani yang memberi isyarat supaya memberikan sedikit masa pada Ainna. Mungkin gadis itu sedang berusaha untuk mengawal emosinya sebelum mengambil apa-apa keputusan. Pastinya tidak mudah untuk Ainna menghadam semua yang terjadi sebentar tadi.

Hampir seminit dia mendiamkan diri, Ainna membuka matanya dan menatap wajah Wildan. Dia tidak rasa yang dia sanggup menambahkan lagi beban ke atas abangnya. Dia tahu sekiranya dia meninggalkan majlis itu, pasti kedua orang tuanya akan menyalahkan Wildan. Dia tidak mahu hubungan Wildan dan kedua orang tuanya bertambah buruk.

Wildan memegang bahu Ainna sambil mengangkatkan keningnya. Memberi tanda untuk mendengar jawapan dari gadis itu.

               “How?”

Ainna hanya menggelengkan kepalanya perlahan sambil menyeka air matanya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia ada. Lagipula semua tetamu sudah hadir. Apa pula kata orang sekiranya dia meninggalkan majlis.

               “Are you sure? Adik please, don’t think what will people said. Think about yourself. Apa yang adik rasa, apa yang adik nak,” pujuk Wildan lagi.

               “Ye Ainna. Kau tak boleh fikir apa yang orang kata, kau kena fikir diri kau dulu. Kau yang nak hidup dengan Fikry, kau yang nak jadi wife dia. Kau je yang tentukan kebahagiaan hidup kau. Ni masa depan kau tau! Apa yang akan jadi nanti bergantung pada keputusan kau sekarang,” tambah Hani. Dia tidak mahu sekiranya keputusan Ainna pada kali ini akan membawa luka pada dirinya kelak.

Ainna menarik nafas dalam. Tangan kirinya memegang tangan sahabat baiknya, Hani manakala tangan kanannya masih dalam genggaman tangan Wildan. Ainna melihat kedua dua tangan yang digenggamnya. Kedua-duanya adalah orang yang terpenting dalam hidup Ainna. Orang yang sentiasa ada saat jatuh dan bangunnya. Walaupun ibu dan babanya tidak mahu mengerti keadaan dirinya, tapi dia masih bersyukur kerana Allah menghadirkan seorang abang dan sahabat yang setia bersamanya ketika ini.

               “In sya Allah, I will be fine. I am so sorry, but I choose to accept this marriage. Apa pun yang jadi nanti, aku akan hadap. Kalau adik stop sampai sini, ibu dengan baba bukan je marahkan adik, but you too. Adik tak nak,” jawab Ainna lagi.

Wildan mengeluh perlahan. Dalam fikiran Ainna memang tidak ada tentang dirinya sendiri. Apa saja yang dilakukan pasti dia fikirkan kesannya terhadap orang sekelilingnya.

               “Angah tak kisah apa yang jadi pada angah. Angah cuma nak adik angah ni happy. Angah akan happy kalau adik happy. Adik kena ingat kahwin bukan benda main-main. You can’t take them as a joke. So please think wisely. Jangan korbankan perasaan sendiri untuk orang lain. Walau apa pun yang adik buat hari ini, ibu dengan baba memang dah tak suka dengan angah. Apa yang adik buat takkan ubah pun tanggapan mereka pada angah,” nasihat Wildan sedikit panjang.

Ainna hanya mengukirkan senyuman nipis.

               “I will be fine. Adik kan ada angah, ada Hani,” jawab Ainna seraya menyapu air mata yang masih tersisa di pipi.

Wildan menarik Ainna dalam dakapannya. Dia sangat berharap Fikry dapat menyayangi dan menjaga adiknya seperti mana yang dia lakukan selama ini.

               “Kau betul nak teruskan?” tanya Hani untuk mendapatkan kepastian.

Ainna hanya mengangguk dan mengukirkan senyuman kelat.

               “Kalau macam tu aku panggil Kak Tikah la datang touch up kau balik. Habis dah mekap kau ni,” ujar Hani perlahan.

               “Panggil la. Jangan bagi orang lain masuk Hani. Aku tak nak ada orang lain ganggu aku untuk sekarang.”

Hani hanya mengangguk seraya keluar dari bilik untuk memanggil jurumekap yang ditugaskan untuk mencantikkan wajah sahabatnya itu.

 

               “Aku terima nikahnya Ainna Wardina binti Sharif dengan mas kahwinnya seperangkat alat solat dan seutas gelang emas dibayar tunai.”

Ainna menitiskan air mata mendengar lafaz itu. Lafaz yang mengubah seluruh hidupnya, memberikan dia tanggungjawab yang lebih berat dan dipertemukan dengan ahli keluarga yang baru. Pasti semuanya tidak akan mudah seperti yang selalu dilihat dari pasangan yang lain. Dia memeluk tubuh sahabatnya dengan sangat erat. Berharap untuk melepaskan segala keluh kesah yang terbuku di dadanya.

               “Tahniah Ainna. Aku doakan kau dan Fikry dapat jadi sebuah keluarga yang bahagia, yang hidup berpandukan syariat Allah. In sya Allah aku akan selalu doakan kau dan Fikry. Doakan semoga Fikry mampu sayang dan layan kau selayaknya seorang isteri menerima layanan dari seorang suami,” bisik Hani perlahan. Dia turut menyeka air mata yang menitis di pipinya. Tidak sangka masa bujang sahabatnya akan berakhir seperti itu.

               “Thankyou Hani,” jawab Ainna sepatah seraya melepaskan pelukannya.

Puan Rozita memeluk Ainna seraya berkata, “Thank you adik. Terima kasih sebab tepati janji adik. Ibu sayang adik. Tahniah, anak ibu dah jadi isteri orang.”

Ainna hanya membekukan tubuhnya tanpa memberi apa-apa respon terhadap pelukan dan kata-kata dari ibunya. Rasa sakit hati yang ditahan selama ini semakin meninggi. Dia segera meleraikan pelukan dengan ibunya seraya berusaha mengukirkan senyuman kepada tetamu yang hadir.

Sesekali Ainna membalas tatapan Wildan yang asyik memerhatikannya dari meja makan. Dia berusaha untuk mengukirkan senyuman bagi menunjukkan kepada abangnya yang dia kuat untuk mengharungi situasi itu.

Puan Rozita dan Hani turun dari pelamin bagi memberi ruang kepada pasangan pengantin.

Fikry melabuhkan duduk di sisi isterinya. Melihat tetamu yang hadir tidak melepaskan tatapan dari mereka, Fikry berusaha untuk mengukirkan senyuman dan menghilangkan rasa canggung antara mereka. Saat isterinya menyarungkan cincin di jari manisnya, Ainna tidak menatap wajah Fikry sepertimana yang dilakukan oleh Fikry. Tanpa disedari, Fikry tersenyum melihat wajah isterinya yang malu-malu untuk memegang tangannya.

               “I am so sorry for not telling you. Saya sendiri terkejut dengan permintaan papa. Sampai ke detik ni saya masih berusaha untuk hadam semua yang jadi. Saya tak boleh fikir apa yang patut saya buat. Yang saya tahu, saya kena juga teruskan majlis ni demi maruah family saya. I am really sorry, Ainna,” bisik Fikry ketika isterinya mencium tangannya. Dia mengukirkan senyuman kepada Ainna yang memandang wajahnya dengan takungan air mata.

Ainna hanya membalas dengan senyuman nipis. Dia mengerti keadaan Fikry yang tersepit dengan keadaan. Menggantikan posisi adiknya untuk menikah bukan satu hal yang mudah. Pasti lelaki itu sangat kecewa dengan apa yang terjadi pada hari itu.

 

ENCIK BAKAR dan isterinya berjalan menghampiri anak dan menantunya dengan senyuman yang lebar. Namun masih terlihat jelas riak sedih dari wajah tua itu. Mungkin rasa bersalah terhadap Fikry kerana terpaksa menggantikan Fahmi dalam majlis tersebut. Encik Bakar memeluk anak lelakinya dengan erat seraya berkata,

               “Terima kasih. Terima kasih sebab sanggup korbankan masa depan Iky demi jaga maruah keluarga kita. Papa mintak maaf sebab korbankan perasaan kamu.”

Fikry sebak mendengar kata-kata maaf yang keluar dari papanya. Dia mengaku memang dia rasa terbeban dengan cadangan itu, namun dia langsung tidak berfikir untuk menyalahkan tindakan papanya. Dia mengerti keadaan keluarganya saat itu. Lagipula dia sendiri yang menerima cadangan itu demi menjaga maruah keluarga mereka. Tidak ada istilah paksaan dari orang tuanya.

               “It’s okay pa. Iky sendiri kan yang setuju dengan semua ni. Ni bukan salah papa,” ujarnya bagi menenangkan papanya. Dia tidak mahu papanya menyalahkan diri sendiri atas perkahwinannya dengan Ainna.

               “Papa doakan kamu jadi suami yang baik untuk isteri kamu. Ingat Iky, walaupun Iky kahwin dengan dia terpaksa, tapi Ainna sudah jadi wife Iky. Iky kena terima baik buruk dia. Apa pun aib dan kekurangan isteri kita, jangan sesekali cerita pada orang luar. Mama dengan papa sekalipun, ya?” nasihat papanya dengan nada yang lembut.

Fikry hanya mengukirkan senyuman nipis. Entah kenapa dia merasa sedikit terbeban dengan pernikahan itu setelah mendengar kata-kata papanya. Sekarang dia tidak lagi hidup untuk diri dan anaknya saja, tapi juga untuk wanita di sebelahnya yang sudah pun bergelar isteri.

               “Papa doakan Iky berbahagia dengan Ainna dunia akhirat, ya? Papa mintak maaf sekali lagi, Iky,” ujar papanya dengan suara yang tersekat-sekat.

               Ainna mengerling ke arah Fikry yang hanya mengukirkan senyuman kepada papanya. Timbul rasa kasihan dalam diri Ainna terhadap bapa mertuanya. Dia mengalihkan matanya ke arah babanya yang asyik berbual dengan para tetamu yang hadir. Dia mengeluh perlahan. Papa Fikry kelihatan sangat penyayang dan ikhlas dalam setiap tutur katanya. Sungguh berbeza dengan babanya.

Puan Rafidah memeluk menantunya dengan sangat erat. Ainna dapat rasakan keikhlasan dari pelukan hangat ibu mertuanya.

               “Welcome to the family sayang. Jaga Iky dan Raiq baik-baik ya. Mama mintak maaf bagi pihak Fahmi,” ujar ibu mertuanya selepas melepaskan pelukan dengan Ainna.

               “In sya Allah mama. Nanti mama pun bagi tunjuk ajar ya pada Ainna. Ainna mintak maaf kalau Ainna ada banyak kekurangan,” jawab Ainna dengan nada yang lembut. Dia bersyukur kerana dikurniakan mertua dan kakak ipar yang baik. Setidaknya dia sudah mendapatkan salah satu dari doanya iaitu dikurniakan keluarga mertua yang baik dan menerima diri dia seadanya.

Puan Faridah hanya mengangguk dan mengukirkan senyuman.

               “Raiq mana ma?” tanya Ainna yang baru teringat tentang Raiq. Fikirannya terganggu selepas mengetahui yang Fikry bakal menggantikan Fahmi sebagai suaminya.

               “Oh! Tu haa ada tengah main. Tadi waktu akad, bersungguh dia nak naik duk atas pelamin ni dengan Ainna. Mama tak bagi. Lepastu dah dapat sweets lupa semua dah,” ujar Puan Faridah dengan nada yang ceria.

Ainna hanya mengukirkan senyuman mendengar cerita ibu mertuanya sambil mengerling ke arah Raiq yang sedang duduk di meja makan bersama dengan Yana. Dia kemudiannya bersalam dan berpelukan dengan Encik Bakar.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23