BAB 13

 

               AMIRA melepaskan keluhan berat sambil merenung pintu masuk ke studio milik Fikry. Dia terpaksa mengalah demi menyelesaikan masalah yang ada di antara mereka. Sudah hampir sebulan dia tidak dapat berbual atau berbincang dengan lelaki itu. Memandangkan Fikry masih marah tentang masalah Raiq, jadi terpaksalah dia yang mengambil inisiatif untuk berbaik dengan lelaki itu. Dia mahu tahu perasaan Fikry kepada dia yang sebenarnya. Apa betul Fikry curang darinya? Atau Fikry sudah menjumpai wanita lain yang jauh lebih baik dari dirinya? Dia perlukan jawapan itu dari Fikry. Sekurang-kurangnya dia tidak terus menunggu kepastian yang belum tentu menjadi miliknya.

Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke studio itu. Dia mengukirkan senyuman nipis melihat seorang model yang mungkin sedang menunggu giliran untuk sesi penggambarannya. Dia memandang kearah Izzue, rakan baik merangkap teman kerja Fikry. Lelaki itu hanya mengerling ke arahnya sekilas tanpa menegurnya.

               “Izzue. Fikry ada tak?” tegur Amira yang sedang berdiri tidak jauh dari meja yang diduduki oleh Izzue.

               “Nanti dia keluar lah,” jawab Izzue dingin. Dia jelas menunjukkan yang dia tidak suka dengan kehadiran Amira. Memang sejak dari awal lagi, dia tidak suka Fikry berhubungan dengan gadis itu. Dia tahu Fikry seorang yang baik dan juga mementingkan agama tapi dia terkejut bila tahu Fikry memilih Amira sebagai pasangannya.

Amira hanya melepaskan keluhan dan melabuhkan duduk di sofa merah sebelahnya. Setelah hampir setengah jam menunggu, Fikry akhirnya keluar menemuinya. Amira memandang wajah Fikry, lelaki yang amat dicintainya.

               “I mintak maaf kalau I ganggu waktu kerja you. You ke mana selama sebulan ni?” tanya Amira dengan nada yang lembut. Dia mengerling ke arah Fikry yang sedang sibuk bermain dengan telefon bimbitnya.

               “Ke mana apanya? I dah cakap kan I busy kerja. Nak tuduh apa lagi?” kata Fikry dengan nada yang tegas. Dia tidak mahu memberi muka kepada gadis itu. Semakin dia mengalah, semakin Amira memijak-mijak maruah dia sebagai seorang lelaki.

               “Fik. I bukan nak tuduh. I tanya je. Sejak akhir-akhir ni you selalu nak mengelak dari I. I whatsapp you reply lambat, I call you tak angkat. Sampai bila kita nak macam ni?” tanya Amira yang masih berusaha menahan sabar. Dia berusaha menjadi seorang yang lebih penyabar untuk berhadapan dengan Fikry yang sekarang, Fikry yang tegas dan tidak mahu mengalah dengannya.

               “Sampai bila apa nya? You nak break ke? Ada jantan lain?” tanya Fikry sambil melihat mata Amira dengan tajam.

Amira tersentak mendengar tuduhan dari Fikry. “Apa you ni?! Fikry, I dah usaha tahan sabar tau dengan you. Harini pon I datang bukan untuk gaduh. I nak kita settle benda ni baik-baik. I nak tahu apa sebenarnya status kita sekarang ni? Kalau you tak nak dengan I, you cakap! Jangan buat I tunggu you macam I ni takde maruah!” bentak Amira. 

Fikry mengeluh perlahan. Akhirnya Amira yang asli muncul juga. Dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja kopi di hadapannya. Dia memandang wajah Amira,

               “Okay, what do you want? Tell me the truth! Kalau you nak bincang pasal gambar haritu, I berani sumpah yang I tak de apa-apa hubungan pun dengan perempuan tu. I tak pernah curang dengan you,” ujar Fikry dengan tegas. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menduakan Amira walaupun gadis itu sudah banyak melukai hatinya.

               “Okay, I cuba untuk percayakan you. Tapi, you boleh maafkan I?” tanya Amira sambil menatap wajah Fikry. Melihat respon lelaki itu yang berdiam diri, Amira menyambung kata,

               “Kalau you tak boleh, baik kita end je this relationship. Tak ada guna kita terus bersama kalau you masih simpan rasa sakit hati you pada I.”

               “I boleh maafkan you asalkan you janji yang you takkan pernah sebut pasal asal usul Raiq lagi. I boleh terima kalau you tak nak jaga dia, tak nak rapat dengan dia tapi I tak boleh terima kalau ada yang hina anak I. Walau apa pun yang jadi, Raiq tetap anak I. Tak ada sesiapa boleh pisahkan I dengan Raiq, termasuk you! Even you akan jadi wife I sekalipun, you tak boleh pertikaikan asal-usul anak I,”

Amira memandang wajah Fikry. Sudah lama dia tidak melihat lelaki itu membentaknya seperti itu.

               “Okay, I janji. Tapi you pun kena la janji dengan I yang you akan spend time dengan I. You kena ingat yang you bukan ada Raiq je, you ada I jugak. You pun kena faham I,” pujuk Amira dengan gedik.

Fikry hanya mengangguk seraya menyuruh Amira beredar dari situ. Dia tidak mahu wanita itu mengganggu kerjanya.

 

AINNA hanya menghabiskan masa dengan duduk di rumah seorang diri. Semua teman serumahnya menghabiskan waktu di luar memandangkan hari itu adalah hari minggu. Televisyen di buka dengan suara yang agak kuat namun tidak mampu menarik perhatian Ainna untuk menontonnya. Fikirannya masih teringatkan mesej yang diterima dari ibunya semalam.

Keluarganya sudah merancang untuk mengadakan majlis dalam masa tiga bulan saja lagi. Itu bererti dia hanya ada masa tiga bulan untuk menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi kepadanya selepas dia bergelar isteri kepada Fahmi. Apakah lelaki itu boleh menerimanya? Atau lelaki itu akan melayan dia dengan teruk? Atau juga kebahagiaan sebenar akan menjadi miliknya? Dia sendiri tidak pasti.

Lamunannya terhenti mendengar deringan telefon bimbit di tangannya. Dia mengukirkan senyuman nipis melihat nama yang tertera di skrin adalah abangnya, Wildan.

               “Hello! Assalamualaikum princess,” ujar Wildan dengan nada yang ceria.

               “Waalaikumussalam. Angah tak kerja?”

               “Kerja. Tapi sekarang tengah rest. Saja je angah call adik. Adik okay?” tanya Wildan yang masih risau dengan keadaan adiknya.

               “Angah. Angah tahu tak dari dua hari lepas angah asyik tanya tu je. Tak bosan ke?” Ainna merasa lelah untuk menjawab pertanyaan itu. Kerana setiap kali di tanya pasti dia perlu berbohong dengan menyatakan bahawa dia sedang baik-baik saja. Sedangkan perasaannya ketika itu hanya Allah yang tahu. Kecewa, takut, sedih bercampur menjadi perasaan redha yang dia sendiri tidak pasti samada dia benar-benar ikhlas ataupun tidak.

               “Angah tanya sebab sampai hari ini angah belum dengar apa yang sepatutnya angah dengar. Apa yang sebenarnya adik rasa.”

Ainna mengukirkan senyuman nipis.

               “Angah dah tahu apa yang adik rasa, jadi tak perlu untuk adik bagitahu apa yang adik rasa,” kata Ainna dengan nada yang perlahan.

               “Adik. Tak semua orang faham keadaan kita. Kadang kita perlu meluahkan apa yang kita rasa supaya kita tak sakit untuk tanggung semua benda sendiri. Mungkin angah faham keadaan adik, tapi orang lain tak. Ibu dengan baba adik tu lagi lah,” nasihat Wildan dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu adiknya menyimpan semua rasa sakit sendirian.  

               “Kadang-kadang menunjukkan kebahagiaan dan mengukirkan senyuman itu lebih mudah dari menceritakan sebab kita bersedih. Tak semua orang akan faham kenapa kita berduka. Tapi orang yang betul-betul ikhlas pasti tahu kesakitan yang kita tanggung tanpa kita bagitahu,” ujar Ainna sambil menghela nafas perlahan.

Beberapa saat tidak mendengar respon dari abangnya, Ainna menyambung kata-katanya,

               “In 3 months, I will have a new life.”

               “What do you mean?” tanya Wildan dengan dahi yang berkerut.

               “Semalam ibu whatsapp adik kata wedding tu lagi 3 bulan,” ujar Ainna seraya melepaskan keluhan berat. Tidak menyangka di umurnya yang belum cukup 24 tahun, dia bakal dibebani dengan tanggungjawab yang sangat berat.

               “What say you?”

               “Nothing. As I said yang adik akan serahkan semua benda pada family kita. So adik terima je la apa pun keputusan mereka,” jawab Ainna dengan nada yang lemah.

               “Adik yakin?” tanya Wildan dengan ragu. Dia tidak tahu samada keputusannya untuk menyokong pilihan Ainna adalah keputusan yang betul ataupun salah.

               “Hani dengan Fikry pun tanya benda yang sama. Dan jawapan adik masih sama. Kalau tanya soal yakin, adik memang tak yakin. Sekarang ni perasaan adik macam tak menentu, tapi adik percaya dengan takdir Allah. Kalau Allah kata ini jalan hidup adik, I will do this,” jawab Ainna.

Wildan mengukirkan senyuman nipis mendengar kata-kata adiknya. Seperti biasa, adiknya berusaha untuk kuat namun pasti setiap yang menjalaninya akan merasa terlalu berat. Fahmi beruntung mendapatkan Ainna sebagai calon pendamping hidupnya.

               “Adik ingat, walau apa pun yang terjadi angah akan selalu ada dengan adik. Sampai bila-bila.”

               “Adik ingat. Adik selalu ingat. Angah akan terus jadi hero dalam hidup adik. Thank you sebab angah bagi adik rasa selamat dan rasa ada orang yang betul-betul sayang dan faham keadaan adik,” ujar Ainna hiba. Mengingatkan segala bantuan abangnya kepada dia membuat dia terharu.

               “Itu gunanya ada abang,” jawab Wildan sambil mengukirkan senyuman nipis.

WAFIQ membuka laci meja di sebelah katilnya. Dia mengambil sebuah bingkai gambar keluarga yang diambil sekitar 11 tahun yang lalu. Jelas menunjukkan kebahagiaan dalam setiap senyuman yang terukir di wajah-wajah itu. Tidak seperti sekarang.

Fikirannya melayang teringatkan masa lalu.

               “Kenapa kau tak nak mengaku yang kau buat?” tanya Wildan dengan wajah yang kusut.

               “Dan. Kau kena faham. Ibu dengan baba harapkan aku untuk jaga kau dengan adik, untuk bagi tunjuk ajar pada korang. Kalau ibu dengan baba tahu aku yang buat, mesti mereka kecewa dengan aku,” Ujar Wafiq sambil memegang bahu adiknya. Mengharap yang Wildan dapat faham akan keadaannya.

               “Habistu aku?! Kau tak fikir ke apa yang ibu dengan baba rasa kalau tahu aku yang buat?” tanya Wildan yang sedang mengawal marah. Sebolehnya dia tidak mahu melawan kata-kata abangnya. Walau apa pun yang jadi, Wafiq tetap abangnya. Orang tua mereka juga selalu menasihatkan mereka supaya saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Apatah lagi Wafiq adalah abang kepadanya.

               “Kau takpe! Ibu dengan baba takkan marah kau. Kau budak lagi. Aku yakin! Kalau ibu dengan baba marah pun kejap je. Nanti aku pujuk la ibu dengan baba balik. Kau takyah risau lah!” pujuk Wafiq dengan nada yang bersungguh-sungguh untuk meyakinkan adik lelakinya.

               “Aku takut la Fiq. Kalau ibu dengan baba taknak maafkan aku macamana?” tanya Wildan lagi. Dia tahu benar dengan sikap ibu dan babanya yang amat mementingkan maruah keluarga. Sekiranya hal itu sampai ke pengetahuan mereka, entah apa yang akan terjadi padanya.

               “Tak. Ibu dengan baba akan okay. Macam ni la, kalau ibu dengan baba still marah kau. Aku backup! Or nanti aku mengaku je aku yang buat,” pujuk Wafiq lagi. Harapannya ketika itu hanyalah supaya Wildan mengakui salah yang dilakukan oleh dirinya. Dia tidak peduli apa yang akan berlaku nantinya.

               “Betul ni? Janji?” tanya Wildan sambil memandang wajah abangnya dengan wajah yang suram. Berharap supaya abangnya akan menjadi pelindung buatnya ketika berhadapan dengan kedua orang tua mereka.

Wafiq mengeluh perlahan mengingatkan anggukannya terhadap permintaan adiknya itu. Bohong sekiranya dia tidak merasa bersalah kepada Wildan. Dia bukannya terlalu jahat untuk merasa bahagia atas segala derita yang ditanggung oleh adik kandungnya sendiri. Namun, dia juga berfikir tentang dirinya. Sekiranya dia mengakui segala kesilapannya, ibu dan baba pasti akan marah besar kepadanya. Dia tidak mahu ibu dan babanya melayan dia seperti mana layanan mereka kepada Wildan.

Dia kembali merenung gambar yang ada di tangannya. Wafiq mengukir senyuman nipis menutupi rasa sebak di dadanya.

‘Aku mintak maaf, Dan. Aku tahu aku salah. Aku tak sepatutnya biar kau tanggung semua benda ni sendiri. Aku yang tak berani cerita hal sebenar pada ibu dengan baba. Aku yang terlalu takut untuk menerima kemarahan dorang pada aku. Aku pengecut, Dan! Disebabkan pengecut ni la, family kita tak sama macam dulu. Aku mintak maaf,’ bisik hati kecilnya.

 

FIKRY yang baru sahaja selesai makan tengah hari di kedai makan berdekatan dengan pejabatnya tergerak hati untuk menelefon Ainna. Entah kenapa dia risaukan keadaan gadis itu selepas mendapat khabar tentang majlis pernikahan yang akan dilangsungkan tidak lama lagi. Dia segera mengambil Iphone miliknya untuk membuat panggilan,

               “Assalamualaikum,” kedengaran suara gadis itu dari corong radio.

               “Waalaikumussalam. Sorry saya ganggu waktu lunch awak,” ujar Fikry risau sekiranya panggilannya mengganggu waktu rehat gadis itu.

               “Takpe. Saya dah siap makan. Baru je sampai office. Kenapa? Raiq okay ke?” tanya Ainna dengan nada yang sedikit cemas. Jarang lelaki itu menelefonnya ketika waktu pejabat.

               “Eh! Tak. Raiq okay je. Saya call ni nak tanya pasal majlis awak.”

               “Kenapa?” tanya Ainna sedikit aneh. Tidak ada sebab untuk lelaki itu bertanya kepadanya. Tambahan lagi, dia tidak tahu apa-apa tentang majlis tersebut.

               “Awak dah tahu yang wedding tu lagi tiga bulan?” tanya Fikry dengan nada yang perlahan. Dia risau sekiranya kejadian sebelum ini terjadi lagi. Jadi lebih baik dia bertanya kepada Ainna dengan lebih awal.

               “Dah. Semalam ibu call bagitahu,” jawab Ainna lemah.

               “Oh! Saya ingat awak belum tahu. Itu yang saya call. Awak macamana?” tanya Fikry sekadar ingin tahu tentang keadaan gadis itu.

               “Macamana apa?” tanya Ainna lagi.

               “Ye la. Awak setuju dengan wedding tu?”

Ainna melepaskan ketawa kecil seraya membalas,

               “Saya setuju ke tak setuju ke, semua tu tak ada erti Fikry. Parents saya memang nak saya kahwin dengan adik awak,” jawab Ainna melepaskan lelah. Walau apa pun kata-kata yang dilontarkan olehnya kepada orang tua mereka, tidak ada satu pun yang mampu mengubah keinginan mereka. JAdi percuma jika dia berusaha untuk mempertahankan keinginannya sendiri.

               “Awak tak nak cuba pujuk? Mungkin dorang akan lembut hati?”

               “Saya tahu macamana parents saya,” jawab Ainna dengan nada tegas. Bengang dengan lelaki itu yang hanya memintanya untuk menolak perkahwinan itu sedangkan adiknya, Fahmi langsung tidak menunjukkan muka atau pun masuk campur dalam hal itu. Fahmi menunjukkan seolah-olah dia menerima perjodohan dengan Ainna secara berlapang dada.

Mendengar jawapan dari Ainna, Fikry merasa dia sudah terlalu jauh masuk campur. Dia tidak sepatutnya mengajar gadis itu apa yang sepatutnya dilakukan. Ainna pasti tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Jauh di sudut hati Fikry, dia agak kesal dengan sikap Fahmi yang seperti tidak serius dengan perjodohan itu.

               “Sorry. Saya tak bermaksud,” ujar Fikry dengan nada yang serba salah.

               “No, it’s okay. Saya tak kisah pun. Dah biasa orang call saya suruh pujuk parents saya. Saya bukan tak usaha, Fikry. Saya dah usaha. Tapi saya ni hanya anak. Saya tak mampu nak lawan kata orang tua saya. Jadi, saya kena ikut semua kemahuan mereka. sekarang saya hanya mampu berharap yang pilihan keluarga saya adalah tepat untuk saya,” jawab Ainna dengan jelas.

               “Saya mintak maaf kalau kata-kata saya tambahkan lagi tekanan awak.” kata Fikry dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu sekiranya gadis itu merasa terbeban dengan kata-katanya.

               “Tak pe Fikry. Anyway, thankyou. Saya tahu niat awak baik,” jawab Ainna perlahan.

               “Emm. Ainna, awak dah contact dengan Fahmi?”

               “Takde. Kenapa?” tanya Ainna sedikit pelik.

               “Ye lah, korang kan nak kahwin. Sepatutnya korang guna la tiga bulan ni untuk kenal-kenal ke? Memang langsung tak contact?” tanya Fikry lagi. Pelik dengan sikap adiknya itu. Selalunya Fahmi akan bersungguh-sungguh bila ada hal yang berkaitan dengan wanita. Inikan pula Ainna bakal menjadi isterinya. Tapi kali ini adiknya seperti berusaha untuk menjauhkan diri. Mungkin juga ingin menunjukkan yang dia tidak ikhlas menerima perjodohan itu.

               “Tak. Entah, yang tu nanti dah kahwin pun boleh kenal. Tak pe lah Fikry. Saya nak sambung kerja ni. Nanti kita cakap lain kali ya?” ujar Ainna beralasan. Malas bila ingin membahas tentang masalah itu.

               “Oh! Okay okay. Sorry ganggu, assalamualaikum,” ujar Fikry seraya mematikan panggilan. Fikry masih pelik dengan perangai adiknya yang memang langsung tidak ambil tahu tentang majlis. Yana juga ada menceritakan kepadanya yang Fahmi langsung tidak bertanya tentang majlis pertunangan yang berlangsung tempoh hari. Gambar yang dihantar oleh mamanya melalui mesej juga hanya dilihat tanpa memberi apa-apa respon. Hatinya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.

 

PUAN ROZITA dan Puan Faridah sedang sibuk merancang majlis yang akan diadakan nanti. Yana yang hanya menjadi pemerhati ibunya yang berbual dan bergelak tawa melalui telefon bimbit, melepaskan keluhannya sedikit berat.

               “Kuat mengeluh Yana,” tegur Puan Faridah yang baru mematikan panggilannya dengan sahabat baiknya itu.

               “Takde lah mama,” ujar Yana perlahan.

               “Betul ni takde?” tanya Puan Faridah lagi. Dia tahu yang anaknya seperti menyimpan sesuatu darinya.

Yana menarik nafas perlahan. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya masuk campur urusan perjodohan adiknya itu. Namun, dia rasa dia perlu menyuarakan pendapatnya. Apatah lagi perjodohan Ainna dan Fahmi itu terjadi disebabkan dia yang sudah mempunyai kekasih. Dia risau sekiranya dia mendiamkan diri, dia akan rasa bersalah di kemudian hari.

               “Yana mintak maaf sebelum tu. Tapi mama yakin ke keputusan yang mama dengan papa buat ni betul? Mama tak rasa yang mama dengan papa membebankan Ainna dengan Fahmi?” tanya Yana dengan nada yang lembut. Tidak mahu mamanya tersinggung dengan kata-katanya.

               “Tapi mama dengan papa tak paksa Fahmi untuk terima majlis ni. Kami hanya mencadangkan dan dia sendiri yang setuju. Pasal Ainna tu, ibu dia sendiri yang kata Ainna okay dengan perjodohan ni. Jadi, takde istilah terpaksa lah Yana. Kamu jangan terlalu overthinking,” kata Puan Faridah sambil melabuhkan duduk di sebelah anak perempuannya. Dia mengukirkan senyuman melihat Yana yang terlalu prihatin dengan perasaan adik lelakinya itu.

               “Betul ke Ainna terima? Mama dah tanya Ainna sendiri?” tanya Yana lagi. Dia tahu yang Ainna tidak benar-benar bersetuju dengan perjodohan itu namun gadis itu memilih untuk berdiam diri selepas apa yang dilakukan keluarganya kepada dia. Dia sendiri terkejut mendengar cerita itu dari Fikry.

               “Ye lah! Kenapa kamu tanya macam tu? Takkan lah Cik Ita kamu nak tipu. Kamu ni! Ada pulak macam tu,” ujar Puan Faridah dengan nada yang tinggi.

               “Ke Yana ada tahu something?” tanya Puan Faridah lagi setelah melihat wajah kusut anaknya.

Yana terkedu mendengar pertanyaan dari mamanya. Dia bingung samada perlu berkata jujur ataupun mendiamkan diri saja.

               “Takde lah. Yana tanya je. Sebab Ainna tu cantik, baik. Takkan lah dia takde boyfriend,” jawab Yana untuk menutupi keraguan mamanya.

               “Bukan senang tau mama, nak terima perjodohan family ni. Tambah lagi Ainna dengan Fahmi bukan pernah jumpa pun,” sambungnya lagi seraya mengukirkan senyuman kepada mamanya. Walaupun dia ingin menceritakan hal yang sebenar kepada mamanya namun dia juga perlu memikirkan keadaan Ainna. Dia tidak mahu kata-katanya nanti akan memakan diri Ainna. Dia tidak mahu gadis itu menghadapi masalah disebabkan campur tangannya.

               “Itulah. Mama pun tak sangka yang adik kamu pun senang je terima. Mungkin dah memang jodoh dorang kot,” kata Puan Faridah yang bersangka baik dengan anak dan bakal menantunya.

Yana hanya membalas kata-kata mamanya dengan anggukan. Berharap semuanya akan baik-baik saja sehingga ke hari majlis itu nanti. Jauh di sudut hatinya, dia risau dengan Fahmi. Risau adiknya tidak mampu menjadi suami yang baik untuk Ainna.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23