BAB 15

 

PUAN ROZITA menegur Ainna yang sedang asyik merenung kolam ikan di halaman rumahnya.

               “Adik buat apa sorang sorang kat sini? Hani mana?”

Ainna memalingkan wajah memandang ibunya. Dia berusaha mengukirkan senyuman nipis.

               “Saja ambik angin. Hani tengah otp. Ibu kenapa keluar?” tanya Ainna dengan suara yang perlahan seperti seseorang yang hilang semangat.

               “Ibu tengok adik duduk luar sorang-sorang tu yang ibu keluar,” jawab Puan Rozita dengan senyuman terukir di wajahnya. Jelas menunjukkan yang ibunya sedang bahagia ketika itu. Mana tidaknya, hanya tinggal beberapa jam saja lagi, ibunya akan berbesan dengan sahabat baiknya sendiri. Itu yang menjadi cita-cita ibunya sejak dari dulu lagi.

               “Adik, ibu nak cakap sikit boleh?” tanya Puan Rozita setelah kata-katanya tadi hanya dibiar sepi oleh Ainna.

               “Apa pula mintak izin nya ibu. Cakap je la, apa?” tanya Ainna dengan wajah yang masih menatap ibunya.

               “Ibu nak ucap terima kasih dengan adik. Adik sudi terima permintaan ibu untuk kahwin dengan Fahmi.”

               “Takde ape lah,” jawab Ainna tanpa mengukirkan sedikit pun senyuman dan langsung tidak memandang wajah ibunya.

               “Adik. Adik percayalah yang pilihan ibu pasti yang terbaik untuk adik. Ibu yakin, Fahmi tu anak yang baik dan mampu jadi suami yang baik untuk adik nanti,” ucap ibunya dengan tangan yang memegang tangan kanan Ainna. Dia dapat lihat yang anak gadisnya tidak benar-benar ikhlas menerima perjodohan itu.

Ainna mengukirkan senyuman kelat. Hanya itulah alasan yang diterima dari ibunya sejak dari awal perjodohan lagi. Namun, wanita itu sampai ke hari ini pun masih belum pernah bertemu dengan bakal suaminya.

               “Ibu pun tak pernah jumpa dia lagi. Mana ibu tahu dia baik? Sebab dia datang dari keluarga Cik Idah?” sindir Ainna dengan nada yang cuba dikawal. Dia tahu yang dia hanya anak. Dia tidak ada hak untuk terus menyimpan rasa amarah terhadap kedua orang tuanya apatah lagi untuk menunjukkan rasa itu kepada mereka. Namun, dia juga manusia biasa. Yang ada rasa kecewa, sakit hati dan sedih. Mungkin dia mampu untuk menunjukkan senyuman dan tawa pada orang di sekelilingnya, tapi jauh di sudut hatinya, dia masih tersinggung dan kecewa dengan perbuatan ibu dan babanya.

Puan Rozita melepaskan keluhan perlahan.

               “Adik. Dalam Islam pun ada kata yang kita perlu tengok keturunan seseorang dalam urusan memilih pasangan. Jadi, ibu tak rasa yang cara ibu ni salah. Memang ibu tak pernah jumpa Fahmi. Tapi dengar dari cerita Cik Idah, ibu yakin yang Fahmi tu anak yang baik. Dia mampu jadi suami yang baik untuk anak ibu,” jawab Puan Rozita dengan sungguh yakin.

Ainna hanya mengeluh perlahan. Walau apapun kata-kata atau teguran dari Ainna, pada hujungnya yang betul tetap kedua orang tuanya. Jadi dia rasa tidak perlu untuk dia meluahkan apa yang dia rasa kepada ibunya. Kerana mungkin juga nanti ia hanya akan menambah garam di atas luka yang sudah sedia ada. Cukuplah dia dan Allah sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hatinya ketika itu.

               “Kalau itu yang ibu rasa terbaik untuk adik, adik terima. Tapi, kalau ditakdirkan jodoh kami tak panjang, macamana?”

               “Apa pulak adik cakap macam tu? Kita ni nak kahwin sekali seumur hidup je dan kekal sampai bila-bila tau! Tak baik kata macam tu,” nasihat ibunya dengan nada yang sedikit tinggi. Risau sekiranya anak gadisnya ada merancang sesuatu dengan pernikahan itu.

               “Adik kata kalau, ibu. Tapi ibu jangan risau la, adik tahu maruah family kita penting. Mana nak letak muka ibu dengan baba kalau adik sampai bercerai kan? Walau apa pun yang jadi nanti atau macamana pun perangai Fahmi, I need to accept that. I will try to keep this marriage. Maruah family kita kan penting,” ujar Ainna dengan nada yang perlahan dan senyuman nipis yang terukir di bibirnya. Matanya merenung ke kolam ikan namun hati dan fikirannya seakan tidak wujud di situ.

Puan Rozita rasa kata-kata itu seolah-olah sengaja disindirkan kepadanya. Namun, dia tidak mahu melayan rasa amarahnya. Risau nanti anak gadisnya merajuk dan meninggalkan majlis perkahwinan esok hari. Melihat Ainna yang termenung seperti berada di dalam dunianya sendiri, Puan Rozita meminta diri untuk masuk ke dalam rumah.

 

WILDAN yang baru sahaja memarkirkan keretanya di hadapan pagar rumah melihat kelibat seseorang di sebalik semak samun di hadapan rumahnya. Nasibnya baik kerana cermin keretanya gelap, jadi lelaki itu tidak tahu yang Wildan sedang memerhatikan gerak gerinya dari dalam kereta. Wildan mengerutkan dahi melihat susuk tubuh itu yang mengingatkannya pada seseorang. Namun, disebabkan lelaki itu memakai topeng muka, Wildan tidak tahu samada lelaki itu adalah orang yang sama dengan yang ada di fikirannya ataupun tidak.

Wildan memarkirkan keretanya di halaman rumah seraya keluar dari kereta dan berjalan ke pintu pagar untuk melihat lelaki itu dengan lebih jelas. Dia berpura-pura melihat peti surat untuk menutupi niatnya. Namun, sayangnya lelaki itu berjalan pergi dalam keadaan yang tergesa-gesa. Wildan hanya menghantar lelaki itu dengan kerutan di dahi dan penuh persoalan.

               “Eh angah. Kenapa tekan loceng?” tanya Ainna yang baru keluar dari rumah.

               “Kenapa adik keluar? Dah nak maghrib ni,” tegur Wildan dengan nada yang tegas. Dia risau dengan lelaki tadi yang mungkin mempunyai niat yang tidak baik terhadap keluarganya. Apatah lagi dia ada adik perempuan.

               “Tak. Tadi adik dengar ada orang tekan loceng, tu yang adik keluar,” jelas Ainna dengan nada yang lembut. Dia tahu emosi abangnya sehari dua itu memang tidak stabil.

               “Tekan loceng? Sape? Angah dari tadi duk sini takde nampak orang depan pagar pun,” jawab Wildan. Dia kembali menjenguk ke luar pagar untuk melihat keadaan sekeliling.

               “Tak tahu. Adik dengar bunyi loceng then masuk dalam jap ambik tudung. Keluar tengok angah yang ada depan ni. Ingat angah yang tekan.”

               “Taklah! Angah takde tekan loceng pon. Lain kali kalau dengar loceng ke nampak orang datang ke, jangan cepat sangat nak bukak pintu. Tengok dulu. Kalau tak kenal, jangan keluar,” kata Wildan dengan nada yang tegas.

Ainna hanya mengangguk seraya berjalan masuk ke dalam rumah. Wildan hanya melepaskan keluhan berat seraya membuntuti langkah adiknya.

‘Sape mamat tu? Ke ni yang along pernah tanya aku? Kenapa aku tengok dia macam.. Eh! Takkanlah. Kalau betul dia tu Azim, macamana dia boleh jumpa rumah ni? Aku baru je pindah sini 3 tahun lepas. Takkanlah dia boleh jumpa. Habistu sape mamat tu? Kenapa datang mengendap rumah orang waktu maghrib macamni?’ Soalan demi soalan muncul di benak fikirannya. Dia tidak tahu samada sangkaannya benar ataupun tidak namun dia yakin lelaki itu mempunyai niat yang tidak baik terhadap keluarganya.

 

WAFIQ yang berada di dapur terkejut disergah oleh adik lelakinya dari arah belakang. Dia mengerling ke arah Wildan yang baru melangkah masuk ke dapur.

               “Kau ni dari mana baru balik? Kat dewan pon kau takde.”

               “Ada lah kerja aku. Alah dah ramai dah kat dewan tu. Aku sorang je yang hilang bukan penting pon!” jawab Wildan dengan nada yang sinis.

Wafiq hanya mendiamkan diri. Dia tidak ingin memulakan pertengkaran antara mereka buat masa ini. Risau nanti akan menganggu majlis esok hari.

               “Eh Fiq, aku nak tanya kau sikit ni. Kau ingat tak pasal mamat yang kau tanya aku haritu?” tanya Wildan yang sudah melabuhkan duduk di atas kerusi yang ada di situ.

               “Kenapa? Kau kenal ke?” tanya Wafiq dengan riak wajah yang bersahaja. Dia memang tidak kenal dengan lelaki itu. Namun dia berfikir yang mungkin juga lelaki itu adalah musuh perniagaan keluarga mereka atau juga musuh kepada adiknya. Dia tahu yang Wildan sudah kerap kali bergaduh bahkan sampai bertumbuk sejak hubungan babanya dan Wildan menjadi dingin.

               “Taklah! Tadi aku nampak ada orang depan rumah. So, aku teringat la yang kau bagitahu aku. Tapi aku tak dapat tengok muka dia. Dia pakai mask,” jelas Wildan seraya melepaskan nafas berat.

               “Dah selalu dia ada depan rumah. Aku pun tak tahu dia nak apa. Bila aku nak dekat or tegur dia, mesti dia lari.”

Wildan mulai rasa tidak sedap hati. Entah kenapa dia masih berekspektasi yang lelaki itu adalah orang yang sama dengan yang ada di fikirannya waktu itu. Namun, dia rasa mustahil yang lelaki itu boleh menemukan mereka memandangkan mereka berjumpa untuk kali terakhir pun sekitar sepuluh tahun yang lalu.

               “Kau tak rasa ke kau pernah jumpa dia ke? Atau pernah nampak dia selain dari kawasan rumah kita?” tanya Wildan sekadar ingin tahu samada abangnya mempunyai pemikiran yang sama dengan dia.

               “Aku tak tahu la sebab aku tak pernah nampak muka dia. Dia selalu pakai penutup muka, tu yang aku tak cam.”

               “Kalau kau tengok dari bentuk tubuh dia ke gerak-geri dia. Kau tak teringatkan sesiapa?” tanya Wildan lagi.

               “Entah! Tak ingat pulak aku. Kenapa? Kau rasa macam pernah nampak dia ke?” tanya Wafiq yang curiga dengan pertanyaan adiknya.

‘Takkanlah Wafiq tak kenal dengan Azim? Ke mamat tadi bukan Azim? Takkanlah musuh bisnes baba. Kalau musuh bisnes dia nak buat apa intai rumah orang,’ tanya hati kecil Wildan.

               “Woi! Kau menung apa?” jerit Wafiq setelah pertanyaannya tidak dijawab oleh Wildan.

               “Takde ape lah! Aku nak naik,” jawab Wildan ringkas seraya berjalan menuju ke ruang tamu. Dia rasa dia tidak perlu menceritakan apa yang ada di fikirannya kepada Wafiq. Biar dia sendiri yang mencari tahu siapa dan sebab lelaki itu sering muncul di kawasan rumahnya. Jika dia beritahu Wafiq, dia risau abangnya akan lakukan benda yang bukan-bukan pada lelaki itu. Dia tidak mahu kejadian dulu berulang lagi.

 

AINNA yang baru sahaja keluar dari biliknya berjalan menuju ke beranda rumahnya. Dia tidak mahu mengganggu sahabatnya, Hani yang sedang berbual di telefon dengan ahli keluarganya. Ainna memejamkan mata dan menarik nafas dalam. Suasana pada malam itu terasa amat tenang dan sedikit sebanyak mendamaikan hatinya yang gundah.

Fikirannya melayang teringatkan kata-kata Yana seminggu yang lalu ketika mereka berbual melalui telefon,

               “Akak rasa Ainna perlu tahu pasal adik akak. Ye lah, Fahmi tu nanti akan jadi suami Ainna jugak. Akak tak nak kalau apa-apa jadi nanti, Ainna akan salahkan akak. Dulu yang akak tahu Fahmi tu jenis yang kaki perempuan, suka lepak sana sini. Tapi tu dulu la waktu dia still belajar. Sekarang dia dah kerja, akak tak pasti la samada dia still buat perangai lama.”

Ainna mengeluh perlahan. Entah kenapa kata-kata itu sering menghantui dirinya. Dia tidak pernah menceritakan hal itu kepada sesiapapun termasuklah abangnya sendiri. Dia sebolehnya tidak mahu membuka aib orang lain.

‘Ini jalan yang kau pilih, Ainna. Kau suka ataupun tidak, dia baik ataupun tak, you have to accept all of this. Kau kena ikhlas dengan semua benda ni. Kau yang setuju jadi kau tak boleh berpatah balik. Kau boleh je lari dari rumah macam yang Hani kata haritu. Tapi kau pilih untuk teruskan. Jadi, kau tak boleh berhenti separuh jalan. Teruskan demi kebahagiaan dan maruah family kau,’ bisik hati kecilnya yang lebih kepada untuk menenangkan diri sendiri.

               “Dik.” Tegur satu suara dari belakang.

Ainna memusingkan badan melihat gerangan yang menegurnya dan mengukirkan senyuman nipis.

Wildan mengelus lembut kepala adiknya seraya membuka kedua belah tangannya sebagai tanda ingin memberikan pelukan pada adiknya. Dia yakin adiknya hanya memerlukan kata-kata semangat dan pelukan dari seseorang untuk mengurangkan rasa takut dan sedih yang ditanggung olehnya. Untuk waktu ini, nasihat untuk menyelesaikan masalah itu sudah tidak perlu. Adiknya sudah mengambil keputusan, dan dia sebagai abang perlu hormat dan menyokong keputusan adiknya sendiri.

Ainna yang sedari tadi berusaha menahan tangis akhirnya mengeluarkan air mata dan memeluk tubuh tegap abangnya. Dia menangis tersedu-sedan di dakapan Wildan. Wildan hanya memeluk erat dan mengelus belakang adiknya dengan lembut. Kedua orang tuanya bukan sahaja menghancurkan hati Ainna tetapi juga hati seorang abang yang sangat ingin melihat adiknya bahagia.

               “Adik tak kuat. Adik sakit. Adik takut angah. Adik takut,” bisik Ainna dengan suara yang tersekat-sekat.

               “Shhh! Adik. Adik kena yakin dengan Allah. Adik tak boleh macam ni. Even I can’t feel what you had, tapi satu yang angah pasti, walau apa pun ujian yang akan adik terima nanti, adik akan mampu untuk hadap semuanya. Allah uji hamba Dia sesuai dengan kemampuan kita dan Allah akan sentiasa ada dengan adik. Angah yakin adik kuat. Adik jangan negative thinking, jangan pikir yang bukan-bukan. Husnudzon dengan Allah,” pujuk Wildan selepas melepaskan pelukan dan menatap wajah adiknya yang sedikit merah kerana menahan tangis.

               “Jujur angah sebelum ni tak setuju untuk adik terima marriage ni. Tapi angah yakin, bila adik dah decide sesuatu, adik dah fikir masak-masak. Angah yakin yang adik boleh buat keputusan adik sendiri. Jadi, walau apa pun yang jadi nanti, baik atau buruk rumah tangga adik, adik anggap ini adalah jalan hidup adik,” sambung Wildan dengan muka yang dibuat tenang. Jauh di sudut hati, dia sendiri tidak tahu sekiranya sesuatu terjadi nanti, apakah dia sanggup untuk menerimanya dengan ikhlas? Pastinya tidak. Dia terlalu sayang akan adiknya, tidak mungkin dia membiarkan gadis itu terus menanggung kesakitan.

               “Itulah sebab adik stay sini angah. Adik letak mindset yang setiap yang berlaku nanti adalah ketentuan Allah. Baik atau buruk pernikahan adik nanti, adik redha. Cuma, untuk waktu ni adik rasa takut,” jawab Ainna seraya melabuhkan duduk di kerusi yang disediakan di beranda itu.

               “Adik jangan risau, kalau Fahmi buat benda tak elok, dera ke sakitkan hati adik ke, ingat yang adik still ada angah. I am you brother, I won’t let anyone hurt you,” pujuk Wildan lagi.

Ainna hanya mendengar kata-kata abangnya dan kembali memeluk tubuh abangnya. Untuk saat ini, hanya lelaki itu satu-satunya kekuatan yang dia ada. Fikirannya ketika itu bercelaru. Dia tidak tahu kenapa hatinya seakan ragu dengan keputusan yang diambil. Padahal selama ini dia sendiri yang berusaha untuk menerima semua itu sebagai takdir Allah dan bersangka baik dengan aturan Nya.

 

YANA mengetuk pintu bilik Fikry berkali-kali dan memanggil nama adiknya dengan nada yang tinggi. Dia memulas tombol pintu dengan kuat namun sayangnya Fikry mengunci pintu dari dalam.

Fikry tersedar mendengar keriuhan dari luar pintu bilik. Dia melepaskan keluhan seraya melihat jam yang ada di sebelah katil. Jam baru menunjukkan jam 5 pagi. Fikry berjalan menuju ke pintu dengan malas. Tubuhnya yang masih penat belum terubat lagi.

               “Apa ni kak?! Ketuk pintu kuat-kuat, kau nak pintu ni roboh ke?” tanya Fikry dengan nada yang tinggi. Kesal dia dengan Yana yang mengganggu tidurnya.

               “Iky. Kita ada masalah ni. Bangun la weh! Bukak mata!” jawab Yana dengan riak wajah yang gusar.

               “Masalah apanya pagi-pagi buta ni? Aku ngantuk la, penat aku tak hilang lagi tau!” jawab Fikry dengan mata yang kuyu. Entah kenapa tubuhnya lebih penat dari kebiasaan. Mungkin juga kerana dia tidak mendapatkan rehat yang cukup selepas memandu jauh dan ditambah lagi dengan membantu persiapan majlis adiknya.

               “Iky! Bangun! Mama tengah nangis dekat luar tu! Kau kena tolong akak. Aku tak tahu dah macam mana nak pujuk mama,” ujar Yana sambil memegang lengan Fikry.

               “Mama nangis? Kenapa dengan mama?” tanya Fikry sambil menutup mulutnya yang menguap.

               “Ish! Kau ni banyak tanya lah! Dahlah jom kita gi ruang tamu. Mama papa ada sana,” jawab Yana seraya menarik lengan adiknya.

Fikry yang kebingungan hanya berjalan membuntuti langkah kakaknya. Hatinya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena namun dia tidak berani mengutarakan apa yang ada di fikirannya. Dia takut sekiranya sangkaannya benar-benar terjadi.

               “Mama papa. Kenapa ni?” tanya Fikry sambil memandang wajah kedua orang tuanya silih berganti. Yana melabuhkan duduk di tepi mamanya dan memeluknya.

Encik Bakar menarik nafas dalam. Beberapa detik kemudian, dia bersuara,

               “Adik kamu whatsapp mama kata yang dia tak balik dan tak nak teruskan majlis esok. Dia mintak maaf sebab dah kecewakan kita,” jawab Encik Bakar dengan nada yang lemah. Terlihat jelas di wajah tuanya yang dia terlalu kecewa dengan perbuatan anak lelakinya.

               “What?! Why?!” tanya Fikry yang masih terkejut dengan berita itu. Kepalanya yang sedikit pusing kerana terkejut dengan jeritan Yana sebentar tadi kian menghilang. Namun, jantungnya pula yang tidak menentu. Rasa risau dan marah bercampur menjadi satu.

               “Papa tak tahu. Dia send whatsapp bagitahu tu je.”

               “No! Fahmi bukan macam ni. Iky tahu dia. Dia bukan jenis last minute person. Dia takkan buat kita macam ni. Mesti ada benda tak kena ni! Mana phone?” tanya Fikry dengan wajah yang risau. Dia yakin yang Fahmi tidak mungkin akan melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah keluarganya. Atau ada sebab lain? Tapi sebab apa yang membuat adiknya boleh bertindak sedemikian? Sedangkan selama ini Fahmi sangat menjaga hati dan perasaan kedua orang tuanya.

                “Tadi akak dah call banyak kali tapi dia tak angkat,” ujar Yana seraya menghulurkan telefon bimbitnya kepada Fikry.

Fikry melepaskan keluhan berat dengan wajah yang berkerut. Dia tidak mengerti kenapa adiknya berani melakukan hal seperti itu. Sedangkan majlis tinggal beberapa jam saja lagi. Dia mendengus kuat. Hatinya mulai panas disebabkan panggilannya ditolak dan telefon bimbit Fahmi juga dimatikan.

               “Apa masalah budak ni?! Ish! Nak kena dengan aku ni! Kalau ye pun ada masalah, angkat lah call. Cakap elok elok!” jerit Fikry seraya meletakkan telefon bimbit di atas meja dengan kasar.

               “Tak masuk line ke?” tanya Yana dengan mata yang menatap wajah adiknya.

               “Bukan tak masuk, dia reject lepastu off phone. Kurang ajar betul! Kalau taknak bagitahu la awal awal. Apa benda last minute macam ni! Esok dah majlis,” kesal Fikry seraya meraup wajahnya berkali kali. Dia memandang wajah mama dan papanya silih berganti. Dia mulai buntu.

               “Macam mana ni papa?” tanya Fikry setelah tidak ada yang bersuara selama beberapa detik.

               “Papa tak tahu Fikry. Papa dah buntu ni! Esok dah majlis. Kalau Fahmi tak balik apa orang kata nanti? Malu keluarga kita,” jawab Encik Bakar seraya menyandarkan tubuhnya di sofa.

               “Apa mama nak jawab dengan keluarga Ainna? Macamana kalau diorang marah dengan mama papa? Hubungan kami akan terputus macam tu je sebab benda ni? Kenapa Fahmi buat mama macam ni? Mama dah banyak kali tanya dia, dia betul ke setuju. Selama ni dia okay je malah dia sendiri kata yang dia yakin dengan pilihan mama. Ni lain pulak jadinya,” jawab Puan Faridah dengan tangisan air mata. Yana di sebelahnya juga mulai menyeka air mata yang jatuh ke pipi. Sebak melihat keadaan mamanya seperti itu.

               “Kamu sabar Idah. Mesti akan ada jalan penyelesaiannya,” pujuk suaminya dengan nada yang lembut.

Fikry mengeluh melihat mama dan papanya. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan. Dia tidak tahu di mana harus mencari Fahmi. Keluarganya juga tidak kenal seorang pun kawan serumah atau rakan kerja Fahmi di Kuala Lumpur.

Papanya memecah kesunyian antara mereka dengan meminta izin untuk menunaikan solat. Mungkin mahu menenangkan fikiran yang bercelaru. Fikry dan Puan Faridah juga ikut menyertai Encik Bakar. Sementara itu, Yana masih berusaha untuk menghubungi Fahmi.

 

AINNA yang baru selesai menunaikan solat dan membaca al-Quran, merasa hatinya sedikit tenang. Jam menunjukkan hampir jam 7 pagi. Ibunya mengetuk pintu bilik Ainna untuk membantu dia bersiap untuk majlis nanti.

               “Dah siap siap ke dik?”

               “Taklah. Adik baru siap solat tadi ibu,” jawab Ainna ringkas seraya bangun dari sejadah.

               “Adik. Jangan hampakan ibu ya?” kata Puan Rozita seraya berjalan menghampiri anak gadisnya. Dia risau sekiranya Ainna tahu keadaan yang sebenar, anaknya akan meninggalkan majlis itu nanti.

Ainna memberhentikan langkahnya. Pelik dia mendengar kata-kata ibunya. Mungkin wanita itu berfikir yang dia akan meninggalkan majlis pada masa-masa akhir. Ainna mengukirkan senyuman kelat seraya memusingkan tubuhnya untuk memandang wajah ibunya,

               “Don’t’ worry ibu. When I said, I accept all of this, I will keep my promise. Adik takkan malukan family kita. Adik akan ada di majlis tu. Nanti adik pergi dengan angah,” jawab Ainna perlahan.

               “Kenapa dengan angah? Pergi dengan ibu dan baba la. Okay?” tanya Puan Rozita.

               “Ibu. Please believe me. Adik takkan buat ibu dengan baba kecewa. Adik akan datang majlis tu nanti. Kalau ibu tak percaya, ibu follow je kereta angah dari belakang. I just need some space for myself sebelum adik kahwin. Please, ibu?” pujuk Ainna. Sungguh dia tidak terniat untuk melarikan diri.

               “Okay. Ibu pegang kata-kata adik. Jangan kecewakan ibu dengan baba ya dik?”

Ainna hanya mengangguk dan melepaskan keluhan berat. Terkadang dia bingung, benarkah dia anak kandung dari ibu dan babanya? Kerana sehingga ke detik ini, ibunya langsung tidak kisah dengan perasaannya, langsung tidak bertanya tentang keadaannya. Yang difikirkan hanyalah kemahuan ibu dan babanya saja.

               “Siap-siap la dik. Nanti lewat pulak sampai dewan. Nanti Kak Tikah sampai, ibu suruh dia masuk mekap ya?” ujar Puan Rozita seraya mengukirkan senyuman nipis.

Ainna hanya mengangguk perlahan seraya berlalu ke bilik air untuk menukar pakaian.

Hani yang baru keluar dari bilik air terkejut melihat sahabatnya yang menunjukkan muka kesal menonong masuk ke dalam bilik air. Puan Rozita hanya mengukirkan senyuman kepada Hani sebelum menghilang disebalik pintu bilik.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23