BAB 11

 

FIKRY bingung melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefonnya. Lelaki itu sepatutnya sibuk menguruskan majlis pertunangan Ainna dan adiknya. Atau mungkin ada urusan kerja yang ingin dibahas? Rasanya semua fail yang diinginkan oleh Wildan sudah dihantar dan direspon baik oleh lelaki itu.

               “Hello, assalamualaikum?” ujar Fikry perlahan.

               “Waalaikumussalam, Fikry. Kau kat mana?” tanya Wildan dengan nada yang serius.

               “Kat studio. Baru siap photoshoot. Kenapa?”

               “Kau tak balik ke majlis pertunangan adik aku dengan adik kau? Ke kau tak tahu?” tanya Wildan sekadar ingin tahu.

               “Tahu. Kakak aku dah bagitahu aku. Tapi aku tak boleh balik, busy sikit seminggu dua ni,” ujar Fikry seraya menghela nafas perlahan.

               “Sejak bila kau tahu?” tanya Wildan lagi.

               “Sejak bila? Dua tiga hari lepas Ainna terima pertunangan ni lah,” jawab Fikry. Pelik dengan Wildan yang menyoal siasat dia seperti dia seorang penjenayah.

               “Ainna terima? Bila Ainna terima?” tanya Wildan dengan nada yang tinggi sambil matanya memerhati gerak geri Ainna yang sedang berjalan di gigi pantai.

Fikry mengerutkan dahi mendengar pertanyaan dari Wildan. Mustahil lelaki itu tidak tahu sedangkan Ainna pernah memberitahunya yang Wildan dan Ainna sangat dekat.

               “Kalau tak silap aku, two weeks ago. Kau tak tahu ke?”

               “Bukan aku je tak tahu, adik aku pun tak tahu ni. Kitorang balik ni pun sebab parents aku kata nak celebrate birthday baba aku. Bila sampai sini, baba aku kata esok majlis bertunang adik aku. Masalahnya adik aku tak nak teruskan perjodohan ni,” jelas Wildan seraya meraup wajahnya perlahan.

Fikry tercengang mendengar penjelasan dari Wildan. Dia fikir Ainna sendiri yang menerima perjodohan itu.

               “Habistu, sekarang macamana?” tanya Fikry perlahan.

               “Entahlah! Adik aku dari tadi menangis tak henti. Kalau tanya aku apa yang aku nak buat, sorry to say la Fikry aku nak bawak adik aku lari sebelum majlis esok. Tapi aku tahu yang adik aku takkan setuju. Tu yang dia stress sangat tu tak tahu nak buat apa,” ujar Wildan perlahan seraya melepaskan keluhan.

Fikry yang mendengarnya turut merasa simpati dengan keadaan Ainna. Perbualan mereka sebelum penerimaan perjodohan juga sudah menunjukkan yang Ainna seperti hilang semangat, apatah lagi bila gadis itu menghadapi keadaan getir seperti itu. Sangat tidak mudah untuk dia mengharunginya.

               “Kalau Ainna setuju untuk batalkan majlis esok, kau buat je lah. Aku tak kisah Dan. Kau buat lah apa yang kau rasa boleh bahagiakan adik kau. Aku faham keadaan kau dengan Ainna. And aku yakin kalau family aku tahu keadaan Ainna, diorang pun akan faham sebab korang buat semua ni,” ujar Fikry untuk menenangkan Wildan. Dia tahu Wildan memerlukan sokongan untuk terus kuat dan bantu Ainna. Selain dari Ainna, Wildan juga pasti sedang menahan sakit melihat keadaan adiknya begitu.

               “Mustahil Fikry. Aku tahu Ainna macamana,” ujarnya sekali lagi.

               “Kau try lah dulu. Mungkin kali ni dia setuju,” pujuk Fikry lagi.

               “In sya Allah, thankyou Fikry. Sorry aku ganggu masa kau,” ujar Wildan seraya mengerling ke arah Ainna yang sedang berbual dengan seorang wanita.

               “Takde hal la. Kalau ada apa-apa roger je aku. Yang mana aku boleh tolong, aku tolong,” kata Fikry seraya mematikan panggilannya dengan Wildan.                          

 

AISYAH berjalan ke arah seorang gadis yang sedang duduk di sebiji batu besar di gigi pantai. Dari tadi dia memerhatikan gadis itu yang asyik termenung dan sesekali menyeka air mata yang jatuh ke pipinya yang putih itu. Dia dapat merasakan yang gadis itu sedang dalam masalah. Dia risau gadis itu akan buat perkara yang boleh membahayakan dirinya memandangkan ombak pada waktu itu juga besar.

               “Assalamualaikum,” tegur Aisyah sambil mengukirkan senyuman nipis kepada Ainna.

Ainna tersentak mendengar salam dari Aisyah. Dia segera memalingkan wajahnya memandang wanita bertudung labuh yang berdiri di sampingnya.

               Ainna membalas senyuman wanita itu seraya menjawab salam, “Waalaikumussalam.”

               “Adik buat apa sini petang-petang macam ni? Ada tunggu sesiapa ke?” tanya Aisyah dengan nada yang lembut. Dia nampak senyuman ikhlas dari gadis di hadapannya itu.

               “Takde lah kak, saja ambik angin. Tenang je suasana dekat sini. Akak sendiri kenapa datang pantai waktu macam ni?” tanya Ainna dengan mata yang masih menatap wajah wanita itu.

               “Oh! Akak hantar adik akak masuk universiti area sini. Singgah la sini kejap sebelum balik Terengganu. Nama akak, Aisyah,” ujarnya perlahan.

Ainna mengangguk perlahan seraya mengukirkan senyuman,

               “Saya Ainna. Jauhnya akak dari Terengganu,” ujar Ainna perlahan. Selalunya dia tidak suka bila dia diganggu ketika dalam keadaan bersedih namun kali ini berbeza. Entah kenapa dia rasa tenang melihat wajah wanita di hadapannya. Dia yakin yang wanita bernama Aisyah itu orang yang baik-baik. Terlihat jelas tingkah laku dan percakapannya yang lembut dan sopan.

               “Ainna okay ke? Akak nampak dari tadi kamu termenung kat sini. Ada apa-apa masalah?” tanya Aisyah sambil menunjukkan riak wajah yang prihatin. Bukan maksudnya untuk mencampuri urusan orang lain, tapi dia merasa terpanggil untuk membantu Ainna. Mungkin juga Allah mempertemukan mereka untuk dia mengurangkan beban yang ditanggung oleh gadis itu.

               “Okay je kak. Takde ape lah,” jawab Ainna perlahan. Tidak mungkin untuk dia menceritakan masalahnya kepada orang luar. Walaupun dia yakin Aisyah itu orang yang baik namun dia masih perlu mengambil langkah untuk berhati-hati.

               “Akak mintak maaf kalau Ainna rasa terganggu dengan pertanyaan akak.” Dia risau sekiranya Ainna merasa tidak selesa dengan pertanyaannya. Maklumlah mereka baru sahaja berjumpa jadi mustahil untuk gadis itu menceritakan masalahnya kepada orang yang baru dikenali.

               “Takde apelah kak,” jawab Ainna sambil mengukirkan senyuman nipis. Dia tidak mahu wanita itu merasa bersalah dengannya. Dia faham yang Aisyah hanya ingin menenangkan dirinya.

               “Kadang-kadang hidup ni tak semudah yang kita sangka. Tak sesenang yang kita lihat. Mungkin orang nampak kita okay, kita happy, kita takde masalah. Tapi apa yang sebenarnya terjadi mereka tak tahu. Begitu juga dengan takdir yang dituliskan oleh Allah. Mungkin untuk waktu sekarang itu ujian terberat untuk kita, tapi kita tak tahu apa perancangan Dia untuk kita,” ujar Aisyah dengan nada yang lembut. Ringkas tapi membuka pemikiran Ainna sedikit.

               “Akak tak tahu apa masalah Ainna, tapi akak yakin Ainna orang yang baik, orang yang kuat. Sebab tu Allah uji kamu untuk tahu sejauh mana Ainna mencari keredhaan Dia. Dan dalam al-Quran juga ada menyebut, Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan dan ketabahannya. Jangan pernah menidakkan setiap ujian yang kita terima. Kita bukannya tidak mampu cuma kita tidak bersungguh-sungguh meminta dari Dia,” sambung Aisyah lagi setelah melihat respon dari Ainna yang hanya mendiamkan diri seperti sedang memikirkan sesuatu.

Ainna memandang wajah Aisyah dengan air mata yang bertakung,

               “Kalau akak diberi pilihan untuk memilih antara dua benda, apa yang akan akak buat?” tanya Ainna untuk meminta pendapat dari wanita itu.

Aisyah mengukirkan senyum. Tekaannya tidak salah lagi. Gadis itu memang menghadapi masalah yang cukup berat. ‘Besar sungguh aturan Mu, ya Allah,’ desisnya di dalam hati.

               “Selain dari solat istikharah dan meminta petunjuk dari Allah, akak akan cuba tengok dua pilihan itu dari sudut pandang yang lebih jauh. Yang mana yang boleh membahagiakan kita, orang sekeliling dan menjadikan kita orang yang lebih baik. Mungkin awalnya susah untuk kita terima, tapi Ainna kena ingat. Kadang-kadang benda yang baik memang perlu dipaksa dan akhirnya nanti kita akan terbiasa dan mulai ikhlas untuk buat benda tu,” nasihat Aisyah sambil matanya menatap wajah Ainna dengan sangat dalam. Dapat dilihat dari air muka gadis itu yang sedang buntu mencari jawapan.

Ainna mengeluh perlahan. Dia jelas dengan kata-kata Aisyah namun dia tidak tahu samada dia boleh ikhlas ataupun tidak sekiranya dia menerima permintaan keluarganya.

Aisyah memegang tangan Ainna dengan lembut seraya bersuara,

               “Jangan terlalu memandang sesuatu dari sudut yang negatif. Setiap kesusahan yang kita hadapi akan ada penyelesaiannya. Jangan pernah meragukan bantuan dari Allah. Kalau pun pilihan Ainna akan memberi kesusahan untuk kedepannya, yakinlah dengan Allah. Kembali pada Dia dan minta bantuan dari Dia. Sesungguhnya tidak ada tempat untuk kita mengadu, merayu dan memohon pertolongan selain dari Dia. Sesulit apa pun masalah yang akan kita hadapi nanti, Dia pasti ada. Walaupun seluruh dunia mengkhianati, Allah masih ada dan akan sentiasa ada untuk kita.”

Ainna tersentak mendengar ucapan dari Aisyah. Dia merasa terpukul dengan kata-kata itu. Dia hanya memandang perkahwinan itu dari sudut pandangnya sahaja dan terlalu memikirkan perkara yang belum tentu akan terjadi. Dia seharusnya yakin yang setiap percaturan itu akan ada bantuan dari Allah. Sekiranya pilihannya salah, Allah masih ada untuk memberi jalan terbaik buat dia suatu hari nanti. Ainna mengukirkan senyuman nipis seraya menarik nafas perlahan,

               “Terima kasih kak. Maaf Ainna ambik masa akak.”

               “Sama-sama dik. Akak yang sepatutnya terima kasih pada kamu. Sekurang-kurangnya harini akak dapat bantu salah seorang hamba Allah. Akak doakan semoga urusan Ainna dipermudahkan dan pilihan Ainna adalah jalan yang terbaik yang diaturkan oleh Allah ya?” ujar Aisyah dengan senyuman ikhlasnya.

               “In sya Allah, kak. Terima kasih sekali lagi,” jawab Ainna seraya membalas pegangan tangan Aisyah.

Aisyah hanya mengangguk perlahan dan meminta diri untuk beredar. Risau sekiranya dia lambat sampai ke Terengganu memandangkan hari sudah hampir masuk waktu Asar. Mereka sempat bersalaman dan bertukar nombor telefon antara satu sama lain. Ainna hanya menghantar Aisyah dengan senyuman. Jauh di lubuk hatinya dia bersyukur dipertemukan dengan wanita sebaik Aisyah.

 

PUAN ROZITA seperti cacing kepanasan menunggu kepulangan Ainna dan juga Wildan. Dia risau sekiranya Ainna tidak pulang untuk majlis pada esok hari. Encik Sharif yang duduk di sofa rasa rimas dengan kelakuan isterinya,

               “Awak ni kenapa Ita?” tanya Encik Sharif dengan nada yang tegas.

Puan Rozita memandang wajah suaminya seraya melepaskan keluhan berat. Dia melabuhkan duduk di tepi suaminya,

               “Kenapa abang tanya? Eh bang! Anak awak ni tak balik-balik lagi. Awak tak risau ke?” tanya Puan Rozita yang kesal melihat suaminya yang duduk berehat di ruang tamu seperti tidak ada apa-apa masalah.

               “Nak risau apanya? Kejap lagi baliklah tu. Barang-barang dia semua ada kat dalam rumah ni, purse pon Ainna tak bawak tadi! Dorang takkan pergi jauh,” ujar Encik Sharif perlahan. Mungkin isterinya melihat dia seperti baik-baik saja. Tapi dia juga risau sekiranya anak gadisnya tidak bersetuju untuk menghadiri majlis pertunangan pada esok hari. Mana nak campak maruah keluarganya yang terhormat itu.

               “Mana lah tahu. Macam abang tak kenal Wildan tu macamana,” ujar Puan Rozita sambil kepalanya terjenguk-jenguk ke luar rumah. Dia tahu yang Wildan akan melakukan apa cara sekalipun untuk dapatkan apa yang dia nak. Jadi tidak mustahil yang anak lelakinya itu akan membantu Ainna lari dari majlis pada esok hari.

Encik Sharif hanya menunjukkan respon diam terhadap isterinya. Dia mengerling ke arah Wafiq yang baru turun dari biliknya.

               “Nak kemana Fiq?” tanya Encik Sharif yang melihat Wafiq berpakaian rapi mengenakan jeans biru dan baju hitam berkolar.

               “Nak keluar kejap, baba,” jawab Wafiq seraya menghampiri ibu dan babanya di ruang tamu.

               “Pergi mana? Cari adik kamu ke?” tanya Puan Rozita sambil memandang wajah Wafiq.

               “Tak, ibu. Fiq nak jumpa kawan jap,” bohong Wafiq.

               “Nak jumpa kawan apanya?! Kamu tak tengok ke ibu tengah risau dengan adik kamu ni? Kamu boleh pulak nak keluar jumpa kawan,” bebel Puan Rozita sedikit kesal.

Wafiq hanya mendiamkan diri seraya melabuhkan duduk di sofa bersebelahan babanya. Dia melupakan niatnya untuk keluar menenangkan diri. Lebih baik dia turuti saja kata-kata ibunya dari nanti dia yang kena tempias kemarahan orang tuanya. Wafiq mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghantar pesanan pada adiknya, Ainna. Namun, Ainna hanya membaca pesanan itu dan tidak memberi apa-apa respon. Dia mengeluh perlahan.

‘Sakit otak betul lah! Lepas satu-satu masalah. Apa yang susahnya, kahwin je pun! Semua benda ibu dengan baba dah tanggung. Fahmi tu pon bukannya orang susah. Tak pasal-pasal susahkan semua orang. Aku pon kena sekali!’ desis hati kecilnya.

 

HANI melepaskan keluhan membaca pesanan dari Adi. Lelaki itu sungguh menjengkelkan. Tidak dapat mengganggu Ainna, sekarang sibuk menghantui dirinya pula.

‘Tak habis-habis la mamat ni! Sekarang dah gila bayang ke? Dulu pandai sangat tinggal Ainna, sekarang tahu Ainna kawin sibuk nak salahkan orang lain!’ bisiknya di dalam hati. Bengang dengan sikap Adi yang menyalahkan dia kerana tidak menceritakan tentang perkahwinan Ainna kepada dia. Hani teringat perbualannya dengan gadis itu beberapa hari yang lalu,

               “Aku tak tahu la Hani. Kalau dulu aku memang aku marah dan kecewa sangat dengan Adi. Malah, aku nak sangat jumpa dia, tanya sebab dia buat aku macam tu. Tapi kalau sekarang, aku macam tak ada apa-apa rasa pada dia. Marah tu mungkin ada lagi tapi takde lah seteruk dulu. Maybe sebab aku selalu mintak untuk lupakan semua masa lalu aku dengan dia kot. Jadi slow-slow aku dah boleh maafkan dia,” ujar Ainna seraya meneguk air milo sejuk yang disediakan oleh Laila.

               “Kalau dia ajak kau getback?” tanya Hani perlahan.

Ainna tersentak mendengar pertanyaan Hani. Sejujurnya dia sendiri tidak terfikir sampai ke situ. Dia hanya menganggap pertemuannya dengan Adi beberapa hari yang lalu adalah satu kebetulan dan itu adalah terakhir kalinya. Tidak pernah muncul di benak fikirannya untuk bertemu dengan lelaki itu apatah lagi sampai menjalinkan hubungan kembali. Ainna mengeluh perlahan seraya berkata,

               “Kalau dulu, aku mengaku aku mengharapkan Adi untuk balik dengan aku. Walau sakit macamana pun luka yang aku tanggung, aku masih cuba untuk mempertahankan cinta aku pada dia. Tapi kalau sekarang, aku dengan yakinnya hundred percent yang aku takkan balik dengan dia. Walau apa pun yang jadi, aku takkan bersama dia lagi. Mungkin bagi orang peluang kedua itu wujud, tapi aku yakin orang macam Adi tak layak dapat peluang tu. Kalau dia dapat sekalipun, aku tak yakin dia boleh hargai peluang yang dia ada. End up dia akan buat perangai lama balik.”

Kata-kata Ainna jelas terngiang di telinga Hani. Dia yakin yang Ainna tidak akan berpaling pada Adi semula. Walau sebaik mana pun Adi yang sekarang, Ainna tidak akan pernah kembali pada Adi.

               Jangan pernah salahkan orang lain untuk setiap kesalahan yang kita buat. Kau siapa untuk    aku cerita pasal Ainna? Kau tak penting pun dalam hidup dia. Jangan ganggu dia dan family    dia, Adi. Ainna takkan pernah balik dengan kau. Sampai bila-bila. Remember that!

Hani menghantar pesanan itu kepada Adi. Berharap lelaki itu akan berhenti mencari tahu tentang Ainna dan Fikry. Dia risau sekiranya Adi tahu yang Ainna sudah membohonginya, pasti Adi tidak akan mengalah dan terus mengganggu Ainna.          

 

AINNA berjalan ke arah kereta Wildan yang diparkir di bawah pohon besar di sekitar pantai itu. Dia mengerling ke arah jam yang menunjukkan pukul 5 petang. Ainna mengukirkan senyuman memandang Wildan yang sedang duduk di bangku sebelah keretanya. Sejam lebih dia menghabiskan masa di pantai itu namun Wildan masih setia menemaninya dari jarak jauh.

               “Sorry angah,” ujar Ainna sambil melabuhkan duduk di tepi abangnya.

               “For?”

               “Waiting for me,” jawab Ainna seraya melentokkan kepalanya di bahu Wildan.

Wildan mengukirkan senyuman nipis seraya menghela nafas perlahan.

               “Better? Ke nak duduk sini lagi?” tanya Wildan.

               “Duduk kejap. Pukul 6 kita balik la.”

               “Balik mana? KL?” tanya Wildan sekali lagi. Walaupun mustahil untuk adiknya menjawab ‘ya’ tapi sekurang-kurangnya dia mencuba.

Ainna mengeluh perlahan,

               “That’s what I hope for. But I can’t,” ujarnya perlahan sambil memejamkan mata. Hatinya menahan sebak di dada.

               “Why? Adik. This is your life. Adik ada hak untuk tentukan hidup adik. Angah yakin adik boleh stopkan semua benda ni,” ujar Wildan perlahan seraya mengalihkan tubuhnya memandang wajah Ainna.

               “Okay macam ni. Kejap lagi kita balik, kemas semua barang-barang kita. Then kita balik KL,” ujar Wildan lagi setelah kata-katanya tadi hanya dibiarkan sepi oleh adiknya.

Ainna menarik nafas dengan dalam seraya memandang wajah Wildan,

               “Ibu dengan baba macamana?” tanya Ainna lagi dengan takungan air di kelopak matanya.

               “Adik. Listen to me. Ibu dengan baba malu kejap je! Kalau adik teruskan majlis ni, adik nak ke terseksa sampai bila-bila? Adik nak pertunangan atau marriage adik putus tengah jalan? Tak nak kan? So, please, I am begging you. Kita balik KL, malam ni? Please adik,” pujuk Wildan dengan nada yang lembut. Berharap adiknya akan bersetuju dengan dia.

               “Family Cik Dah?” tanya Ainna lagi. Dia tidak mahu hubungannya dengan Yana akan terputus disebabkan perkara ini. Sekiranya majlis itu dibatalkan, bukan hanya keluarga dia yang malu, keluarga Yana juga.

               “No, dorang akan faham. Fikry sendiri setuju kalau kita batalkan majlis ni. Dia faham keadaan adik dan dia juga yakin yang family dia akan faham,” pujuk Wildan lagi.

Ainna menghela nafas perlahan. Dia memandang wajah Wildan seraya menggenggam tangan lelaki itu dengan lembut.

               “Kalau adik kata adik nak proceed?” tanay Ainna perlahan. Risau sekiranya Wildan akan memarahinya.

               “What?! Why?! No! Angah tak setuju,” jawab Wildan dengan nada yang tinggi.

               “Angah please,” pujuk Ainna lagi seraya memegang tangan abangnya dengan lembut.

Wildan mengeluh perlahan, dia menatap wajah muram adiknya. Sungguh dia tidak sanggup melihat keadaan gadis kesayangannya seperti itu. Wildan kembali bersuara,

               “Kalau sebab maruah family, eh pergi mampos la! Apa guna nak jaga maruah kalau kita tak happy? Please, this time fikir pasal adik. Jangan fikir apa kata orang, apa yang orang buat. Prioritizekan diri kita dulu, please,” pujuk Wildan sambil matanya memandang mata Ainna yang ditakungi air mata.

               “Tak, tak angah. Ni bukan sebab maruah. Betul, bukan sebab ibu dengan baba jugak. Adik fikir mungkin sekarang adik tak nampak lagi hikmah Allah takdirkan jalan hidup adik macam ni. Tapi satu hari nanti, kita tak tahu. Maybe adik akan lebih bahagia dengan Fahmi? Dan mungkin dia imam terbaik untuk adik. Boleh sayang adik, boleh jaga dan protect adik macamana angah buat untuk adik selama ni?” jelas Ainna yang masih menahan sebak di dadanya. Jujur dia juga tidak yakin waktu menyatakan kata-kata itu, namun dia harus berusaha untuk meyakinkan abangnya. Walaupun dia terasa hati dengan layanan ibu dan baba kepada dia, tapi dia tidak mahu mengecewakan kedua orang tuanya. Apatah lagi menjatuhkan maruah keluarganya yang selama ini dipertahankan oleh ibu dan babanya dengan sangat utuh.

Wildan berusaha menahan emosinya. Sebolehnya dia tidak mahu menengking Ainna kerana dia tahu yang adiknya masih dalam keadaan takut dan terkejut. Dia tahu kata-kata yang dilontarkan oleh Ainna itu hanya untuk menenangkan hatinya sendiri. Bukan betul-betul ikhlas dari perasaan adiknya sendiri. Dia kenal betul dengan adiknya yang sedikit sulit untuk mempercayai lelaki setelah apa yang adiknya lalui di masa lalu.

               “Adik. Sebelum adik sah kahwin dengan dia, adik ada macam-macam cara untuk ubah benda ni. Mana tahu dia bukan jodoh adik?” pujuk Wildan lagi.

Ainna mengukirkan senyuman nipis,

               “That’s it. Kalau betul dia bukan jodoh adik, wedding tu nanti takkan berlangsung. Even dah tempah, dah duduk depan kadi pon kalau Fahmi bukan jodoh adik, lafaz akad antara dia dan adik takkan berlaku. Maybe adik terima perjodohan ni, tapi mungkin nanti pihak Fahmi sendiri yang ragu-ragu? Or dia sendiri yang akan batalkan wedding ni? Am I right?” tanya Ainna sambil memandang wajah abangnya yang kelihatan kusut.

Wildan mengeluh perlahan seraya memandang wajah adiknya. Terlihat yang Ainna sedikit tenang berbanding tadi. Dia berusaha menutupi rasa takut dalam dirinya seraya memeluk Ainna. Dia tahu gadis itu amat memerlukan sokongan dari dia namun sengaja ditutupi oleh Ainna. Mungkin risau sekiranya dia akan membebankan Wildan dengan masalahnya.

               “And adik harap benda tu akan jadi, so that ibu dengan baba takkan salahkan adik. Wedding tu batal bukan sebab adik, tapi sebab Fahmi,” tambah Ainna lagi selepas melepaskan pelukan dari Wildan.

               “Angah doakan Allah permudahkan urusan adik. Adik orang yang baik, pasti Allah akan bagi yang terbaik untuk adik,” ujar Wildan seraya menarik Ainna dalam pelukannya.

Wildan dapat rasakan yang Ainna benar-benar dalam keadaan redha. Redha dengan aturan Allah pada dia. Dia benar-benar berharap perkahwinan antara Ainna dan Fahmi tidak akang berlangsung. Dan kalau pun Fahmi adalah jodoh Ainna, dia berharap yang lelaki itu mampu memberi kebahagiaan dan menyayangi adiknya lebih dari apa yang sudah dia curahkan pada Ainna. Dia tidak mahu adiknya terus hidup bertemankan air mata seperti sekarang.

Ainna yang sedari tadi menahan tangisannya, akhirnya menitiskan air mata di pelukan abangnya sendiri. Dia tidak tahu samada pilihannya adalah satu pilihan yang betul atau tidak tapi pastinya ini adalah pilihan dari orang tuanya. Kalau pun itu bukan pilihan yang terbaik untuk Ainna, sekurang-kurangnya dia sudah berusaha menjadi anak yang terbaik buat kedua orang tuanya.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23