BAB 14

 

               PERJALANAN Ainna dan Wildan hanya ditemani dengan gelak tawa dan bualan mesra DJ radio saja.  Jam menunjukkan pukul 11 malam namun mata Ainna masih lagi segar memerhati suasana gelap di sepanjang jalan. Matanya menatap ke arah langit yang dihiasi bulan dan bintang-bintang. Dia mengeluh di dalam hati.

‘Langit yang gelap dan hitam sama seperti suasana hati aku. Rasa kosong dan tidak ada tujuan. Hanya menantikan munculnya matahari yang boleh menyinari suasana. Namun, dengan melihat bulan dan bintang yang menghiasi langit, aku tertanya-tanya apakah ada ruang bahagia untuk hatiku saat ini? Atau aku hanya langit yang gelap, suram dan sunyi?’ puitisnya di dalam hati.

Wildan mengerling ke arah adiknya sekilas. Selama hampir dua jam perjalanan mereka, Ainna hanya menjawab pertanyaannya sepatah dua saja dan tidak menunjukkan wajah yang ceria seperti selalu. Walaupun Ainna tidak menyuarakan dukanya namun Wildan dapat melihat kesedihan yang ditanggung dari riak wajah keruh yang dipamerkan oleh Ainna. Wildan memegang kepala adiknya dengan lembut,

               “If you want to cry, just let it be. Jangan paksa hati untuk terus berpura-pura kuat. Menangis bukan beerti kita lemah,” kata Wildan dengan nada yang lembut.

Kata-kata Wildan hanya dibiar sepi.

Wildan melepaskan keluhan berat seraya berkata,

               Kita ni manusia biasa. Ada kalanya kita berada di atas, dan ada ketika nya kita berada di titik terbawah dalam hidup kita. Angah faham adik cuba untuk kuat, tapi kalau adik tak mampu jangan paksa diri untuk teruskan. Tak semua benda baik boleh dipaksakan tambah lagi urusan hati dan perasaan.”

Ainna yang sedari tadi cuba mengawal emosinya akhirnya mengalah juga. Rasa sebaknya menjadi takungan air mata dan jatuh membasahi pipinya yang mulus. Namun, dia masih berusaha mengukirkan senyuman nipis.

               “Kenapa adik? Kenapa adik yang kena uji macam ni? Kenapa bukan orang lain? Memang betul, Allah uji kita sebab kita mampu. Tapi ujian ni sangat berat. Mungkin adik mampu, tapi adik tak cukup kuat untuk hadap semua benda ni sendiri,” luah Ainna dengan suara yang tersekat-sekat.

Wildan terkedu mendengar luahan adiknya. Akhirnya Ainna meluahkan segala rasa yang terbuku di hati. Hatinya mulai hiba.

               “Adik. Bila kita anggap sesuatu tu satu ujian buat kita, kita akan rasa ia adalah bebanan yang terpaksa kita lewati. Tapi bila kita anggap ia adalah satu rezeki ataupun cara untuk Allah mendekatkan kita pada-Nya, kita akan dapat lihat bagaimana sayangnya Allah pada kita. Mungkin senang untuk angah cakap sebab angah tak lalui apa yang adik lalui sekarang ni. Tapi adik kena ingat setiap apa yang Allah bagi, adik mesti mampu. Kalau adik rasa adik tak cukup kuat, kembali pada Dia, berdoa dan minta pada Allah. Lagipun adik ada angah. Walau apa pun yang jadi, angah akan selalu ada dengan adik. Angah takkan pernah tinggalkan adik,” pujuk Wildan panjang lebar. Hatinya yang sebak cuba disimpan rapi. Tidak mahu Ainna merasa bersalah kepadanya.

               “Kalau adik tak nak teruskan, kita tak payah balik? Adik ada lebih kurang 28 jam lagi untuk batalkan majlis ni. Macam-macam cara kita boleh buat untuk hentikan semua benda ni,” sambung Wildan lagi.

Ainna mengeluh perlahan. “Tak nak. Adik kena balik,” jawabnya dengan nada yang lemah.

Wildan memandang wajah adiknya yang masih basah dengan air mata.

               “Kalau itu yang adik nak, angah akan ikut. Tapi kalau adik ada berubah fikiran even sejam before majlis pun, adik bagitahu angah okay?” pujuk Wildan lagi. Jika dia di tempat Ainna, dia tidak akan pulang untuk meneruskan majlis itu. Dia lebih rela tidak dianggap sebagai anak oleh keluarganya dari masa depannya tergantung seperti itu.

Pertanyaan Wildan hanya dibiarkan sepi oleh Ainna. Matanya masih merenung jalan yang lengang dengan kereta. Mungkin juga kerana hari sudah larut malam. Kereta Saga milik Wildan meluncur laju di lebuhraya menuju ke Johor Bahru.

 

FIKRY baru sahaja sampai ke rumah mama dan papanya setelah penat memandu selama hampir 7 jam. Dia merehatkan tubuh di sofa selepas membawa Raiq yang ketiduran ke dalam bilik Yana.

               “Lambat kamu sampai, Iky,” tegur Encik Bakar seraya menghulurkan tangan kepada anak lelakinya.

               “Ya pa. Raiq buat hal atas kereta. Asyik merengek je. Banyak kali jugak stop tadi nak pujuk dia,” jawab Fikry menyambut huluran papanya seraya melepaskan keluhan.

               “Emh! Dia nak ibu lah tu,” seloroh Encik Bakar sambil mengukirkan senyuman. Di sudut hatinya dia benar-benar ingin melihat Fikry mendirikan rumah tangga. Kasihan sungguh dia melihat cucunya yang satu itu, tidak mendapat kasih sayang dari seorang ibu. Mujurlah Raiq rapat dengan isteri dan anak sulungnya, Yana. Dapat juga cucunya merasa belaian seorang ibu dari mereka berdua ketika pulang ke kampung.

               “Papa ni, takde lah! Kalini je dia buat hal. Selalunya okay je,” jawab Fikry lagi.

Encik Bakar hanya tersenyum dan melepaskan pandangan ke kaca televisyen yang menyiarkan berita tengah malam.

Fikry bersuara untuk memecahkan kesunyian antara mereka,

               “Fahmi balik bila pa?”

               “Katanya tengah hari esok. Sebab pagi esok dia ada kerja nak settle,” jawab Encik Bakar dengan nada yang serius.

               “Amboi! Nak kahwin lusa dah menyempat lagi buat kerja? Sepatutnya dia dah boleh balik harini dah. Settle yang mana patut. Ni orang yang tak kahwin yang sampai dulu,” jawab Fikry dengan suara yang sedikit tinggi. Memang Fahmi betul-betul serahkan semua benda pada mama papanya.

               “Hmm tahu lah adik kamu tu. Busy je kerjanya. Takpe lah janji dia balik. Harapnya selamat sampai la,” jawab Encik Bakar lagi usai melepaskan tawa kecil mendengar kata-kata anak lelakinya.

               “Orang lain pun busy jugak, tapi boleh je ambik cuti awal,” sindir Fikry sedikit kesal. Dia yang bukan pengantin pun sanggup membatalkan pertemuan dengan salah seorang pelanggannya semata-mata untuk pulang awal dan membantu urusan majlis.

               “Biarlah dia Fikry. Ini Amira tak datang ke wedding Fahmi nanti?” tanya Encik Bakar dengan nada yang bersahaja. Dia juga sama seperti isterinya dan Yana yang tidak terlalu menyukai model seksi itu. Namun, dia tidak mahu mencampuri urusan anaknya. Jika itu menurut Fikry yang terbaik, dia akan berusaha untuk menerimanya. Lagipun, dia yakin dalam diri setiap orang pasti ada kebaikannya yang tidak diketahui oleh orang luar. Begitu juga dengan kekasih hati anaknya, Fikry.

               “Tak pa. Dia ada shoot kat Perak seminggu. Harini dia dah pergi sana,” jawab Fikry dengan perlahan. Dia merasa segan bila berbicara tentang Amira dengan papanya. Mungkin kerana dia tidak terlalu terbuka dengan keluarganya bila tentang urusan percintaan.

               “Oh! Macam tu pulak. Datang sekejap pun tak sempat ke?” tanya Encik Bakar lagi.

               “Dia kata nanti dia usahakan untung datang,” bohong Fikry untuk membela teman wanitanya. Padahal Amira dari awal lagi berkeras untuk tidak menghadiri majlis itu kerana ingin fokus pada pemotretannya di Perak.

Jawapan Fikry hanya dibalas dengan anggukan oleh Encik Bakar seraya meminta diri untuk masuk tidur memandangkan jam juga sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi.

 

SUASANA pagi itu kelihatan lebih tenang dari biasa. Lepas subuh lagi ibunya mengajak Ainna untuk melihat dewan yang akan digunakan untuk majlis pada esok hari. Ainna berjalan ke halaman dewan dan melabuhkan duduk di sebuah bangku berwarna putih yang disediakan berdekatan dengan sebuah tasik. Dia memalingkan wajah ke arah dewan yang ada di belakangnya dan mengukirkan senyuman kelat.

               “Pelik betul kejadian aku ni. Aku sepatutnya happy aku nak kahwin. Dapat laki kaya, polis yang berjawatan tinggi pulak tu. Dewan, pelamin, catering, baju sanding semua orang tanggung. Aku cuma duduk and angguk je. Apa susah? Orang lain nak sangat majlis besar-besaran tapi tak dapat. Yang aku ni, senang-senang dapat, banyak pulak cekadak aku,” kata Ainna seakan menyindir setiap yang ada di sekelilingnya seraya melepaskan keluhannya.

               “Ainna,” tegur suara lembut dari sisi kanannya. Ainna mengalih pandangan ke suara itu dan mengukirkan senyuman nipis.

               “Isya. Bila balik?” tanya Ainna sambil menepuk bangku tanda mengajak gadis itu duduk di sebelahnya.

               “Semalam sampai. Sengaja balik awal, mana lah tahu boleh tolong mana yang patut,” ujar Isya perlahan. Dia merenung ke arah Ainna yang sedari tadi asyik termenung. Seperti ada sesuatu yang difikirkan oleh gadis itu.

               “Thank you Isya. Sorry kalau aku susahkan kau,” ujar Ainna.

               “Takde apa lah. Haritu majlis tunang kau, aku tak sempat balik. So aku tolong lebih la untuk majlis kahwin. Kau okay ke?” tanya Isya prihatin.

               “Okay. Kenapa?” jawab Ainna berusaha mengukirkan senyuman nipis untuk menyembunyikan kegusaran hatinya.

               “Aku nampak macam kau tak okay je,” kata Isya yang masih terkesan dengan riak wajah Ainna yang sedikit berbeza. Selalunya gadis itu bersemangat dan peramah dengan semua orang. Namun, kali ini gadis itu lebih banyak mendiamkan diri.

               “Taklah, aku okay je,” jawab Ainna sambil menunjukkan riak wajah yang sedikit ceria. Sebolehnya dia tidak mahu masalah keluarganya sampai ke pengetahuan luar walaupun Isya adalah anak saudara kepada ibunya sendiri.

               “Kau tak bagitahu aku pun yang kau ada boyfriend. Aku tahu kau nak tunang tu pun beberapa hari sebelum tu. Kenapa rush sangat?” Isya cuba mengubah topik. Tidak mahu sepupunya itu merasa tidak selesa dengan kehadirannya.

Tapi dia benar-benar terkejut ketika menerima khabar dari mamanya yang Ainna akan melangsungkan perkahwinan dalam masa yang terdekat. Dia kenal betul dengan Ainna, gadis ini memang terlalu teliti dalam segala urusan, apatah lagi majlis yang penting seperti itu. Dia seolah-olah dapat merasakan ada sesuatu yang janggal dengan majlis itu.

               “Dia bukan boyfriend aku la. Ibu yang jodohkan aku dengan anak kawan baik dia,” jawab Ainna sambil melepaskan pandang ke arah tasik.

               “Dijodohkan? Maksudnya kau tak kenal bakal laki kau?” tanya Isya dengan dahi yang berkerut.

               “Tak. Lebih tepatnya, aku tak pernah jumpa pon,” jawab Ainna bersahaja. Memang betul yang dia tidak pernah berbual atau membalas pesanan antara satu sama lain pun. Tapi, dia pernah melihat wajah Fahmi melalui gambar yang ada di laman sosial milik Yana.

               “Serius lah weh? Habistu kau boleh terima macam tu je?” tanya Isya lagi. Patut lah majlis itu diadakan secara mengejut dan segala kelengkapan majlis juga diatur oleh ibu saudaranya, Puan Rozita.

               “Kalau aku tak terima, takde nya aku ada depan kau sekarang ni Isya,” jawabnya sambil mengukirkan senyuman nipis. Sedikit tenang bila melihat suasana tasik yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang segar itu. Pandai ibunya dan Puan Faridah memilih tempat.

Isya hanya mengangguk perlahan. Mulutnya terkumat-kamit ingin bertanya pelbagai soalan berkaitan dengan bakal suami sepupunya itu. Namun, melihat Ainna yang sedang menikmati pemandangan sekeliling membuat dia membatalkan niatnya. Mungkin gadis itu memerlukan masa untuk sendiri dan menerima semua yang sedang berlaku padanya ketika itu. Isya tersenyum melihat Ainna seraya mengalihkan pandangan ke arah tasik yang sama.

 

AINNA yang baru sahaja selesai menunaikan solat asar segera membuka pintu biliknya setelah mendengar suara sahabatnya dari luar bilik. Hani memang sudah berjanji yang dia akan datang sebelum majlis berlangsung dan menemani Ainna sehingga hari akad. Ainna mengukirkan senyuman memandang Hani yang sedang berbual mesra dengan ahli keluarganya yang lain. Memang Hani sudah cukup rapat dengan keluarganya memandangkan sahabatnya itu sering bertandang ke kampung halamannya sejak mereka di universiti lagi.

               “Hani!” jerit Ainna sambil menepuk lembut bahu sahabatnya.

               “Ish! Jangan ganggu la. Aku tengah bincang projek juta-juta ni!” gurau Hani seraya menyambung perbualannya dengan sepupu Ainna.

Ainna mencebik nipis seraya berjalan ke dapur untuk mendapatkan minum. Dia melabuhkan duduk di meja makan seraya termenung memandang gelas yang ada dihadapannya.

               “Hai, Puan Ainna! Setahu aku, air untuk diminum bukan ditenung,” tegur Hani seraya melabuhkan duduk berhadapan dengan Ainna.

Ainna memandang wajah sahabatnya dengan jelingan manja.

               “Kau okay?” tanya Hani sambil menatap wajah sahabatnya. Dapat dilihat perasaan sedih yang terpancar dari wajah itu.

Ainna mengeluh perlahan.

               “Aku tak tahu Hani. Aku tak tahu apa yang aku rasa and apa yang aku patut rasa. Kadang aku rasa sedih dan menyesal, tapi aku tak boleh patah balik. Aku dah ambik jalan ni and aku kena terima semua yang akan jadi nanti. Tapi dalam masa yang sama, aku rasa takut. Takut apa yang akan jadi nanti, lebih teruk dari yang aku imagine,” jawab Ainna dengan mata yang masih merenung gelas dihadapannya. Hatinya kosong yang benar-benar kosong. Tidak tahu apa yang sepatutnya dirasakan saat itu.

               “Kau taknak cancelkan wedding ni?” tanya Hani lagi. Baginya lebih baik malu hari ini daripada hidup dengan masa depan yang belum tentu menjamin kebahagiaan diri sendiri.

               “Tak lah! Even aku takut sekalipun, aku takkan batalkan semua ni. Aku yang terima wedding ni jadi aku kena teruskan. Macam yang aku kata, kalau Fahmi bukan jodoh aku, kami takkan kahwin. Aku tak tahu apa yang aku akan buat besok, samada lari ataupun batalkan majlis ni. Tapi untuk waktu ni, kata muktamad aku adalah aku akan teruskan wedding ni. Walau apa pun yang akan jadi, aku akan berusaha untuk jaga maruah keluarga aku,” jawab Ainna dengan tegas. Dia tidak mahu keluarganya mendapat malu disebabkan keputusannya yang terlalu mementingkan diri. Kali ini dia percaya dengan kata-kata Aisyah yang mungkin saja Allah sudah mengaturkan sesuatu yang indah melalui ibu dan babanya.

Hani mengangguk perlahan. Dia tahu itu yang akan keluar dari mulut Ainna.

               “Katakan lah, harini kau teruskan wedding ni sebab kau tak nak malukan family. What if, one day kau akan cerai dengan laki kau? Kau tak fikir yang family kau akan malu jugak?” tanya Hani lagi.

Ainna mengukirkan senyuman nipis.

               “Itu yang aku selalu fikir Hani. Tapi bagi aku, bila dia dah jadi suami aku, aku akan cuba terima segala baik dan buruk dia. Aku cuba pertahankan rumah tangga aku sebab aku yakin dia adalah jodoh terbaik yang dikirimkan Allah pada aku. Sejahat mana pun dia, dia dah jadi suami aku. Dan andai kata apa yang kau kata akan jadi, aku yakin rasa malu waktu tu takkan seteruk rasa malu batal nikah. Bila kita berpisah, tak semua orang tahu. Tapi bila majlis dibatalkan, semua orang akan tahu, akan ada persepsi sendiri terhadap aku ataupun Fahmi. Aku tak nak benda tu babitkan family aku, biar aku je yang tanggung nanti,” jawab Ainna dengan suara yang sedikit serak. Mungkin menahan segala rasa sakit yang terbuku di dalam hatinya.

               “Kalau itu yang kau nak, aku akan sokong Ainna. Aku yakin, orang baik macam kau, akan dipertemukan dengan jodoh yang baik. Aku akan selalu doakan kau bahagia dan jodoh kau berpanjangan hingga ke syurga. Dahlah, tak nak lah sedih sedih!” pujuk Hani sambil berjalan kea rah sahabatnya dan memeluk gadis itu.

Ainna melentokkan kepalanya di tubuh Hani seraya menyambung kata,

               “Thankyou Hani. Kau selalu ada dengan aku, pujuk aku, bagi semangat pada aku,” kata Ainna sambil menyeka air matanya.

               “Ish! Takde ape lah! Dahlah jangan nangis! Ni family kau semua kat dewan ke?” tanya Hani sengaja mengubah topik. Lagipula, dia perasan yang keluarga Ainna tidak ada di rumah. Sewaktu sampai tadi hanya dua orang sepupu Ainna saja ada di ruang tamu.

               “Haah. Cuma angah aku je keluar mana ntah. Kau nak gi dewan tak? Aku suruh Nia tunjukkan,” pelawa Ainna.

               “Tak nak lah! Aku kan datang nak teman kau, so harini kita spend time sama sama. Nanti kau dah jadi bini orang, tak boleh nak bermanja dah. Dewan tu esok aku boleh tengok,” jawab Hani dengan senyuman lebar terukir di wajahnya.

 

FIKRY menerima pesanan dari Amira yang dia akan bertambah sibuk dengan penggambarannya untuk dua atau tiga hari kedepan. Jadi dia meminta supaya Fikry tidak risaukan keadaannya sekiranya dia tidak menerima panggilan dari lelaki itu. Fikry hanya mengeluh membaca pesanan itu. Dia tahu yang kerja sebagai seorang model akan dibebani dengan jadual dan masa yang tidak menentu. Namun, Amira seolah-olah terlalu mementingkan kerjayanya sehingga dia merasa terabai.

Sudah berulang kali ahli keluarganya bertanya tentang Amira sehingga dia merasa malu untuk terus membela gadis itu. Sedangkan Amira tidak pernah berusaha untuk meluangkan masa dan mengambil hati kedua orang tuanya.

               “Papa. Boleh tak Raiq nak cakap dengan Tyna?” teguran Raiq menyedarkan Fikry dari lamunannya. Fikry mengukirkan senyuman nipis. Pasti Raiq merindukan gadis itu. Tidak sepatutnya dia meninggalkan Raiq dengan anak sepupunya di rumah petang tadi. Akibatnya, Raiq tidak dapat bertemu dengan bakal adik iparnya itu.

               “Tak boleh Raiq. Tyna tengah busy tu. Dia work, nanti esok kita jumpa dia okay?” pujuk Fikry sambil memeluk tubuh anak kecilnya.

               “Esok kita jumpa Tyna? Boleh ke?” tanya Raiq lagi dengan wajah yang hairan. Mungkin pelik kerana selalunya Fikry akan bagi pelbagai alasan ketika dia meminta untuk bertemu dengan Ainna.

               “Iya. Bolehla, esok kita pergi rumah dia ya. Sebab esok Tyna ada buat makan-makan dekat rumah dia,” pujuk Fikry lagi.

Raiq hanya mengangguk perlahan seraya berjalan keluar dari bilik tidur Fahmi yang dipinjamkan kepada mereka buat sementara. Memandangkan bilik tidur Fikry lebih luas, jadi mamanya menggunakan bilik tidurnya sebagai bilik tidur pengantin. Mungkin ingin memberi keselesaan kepada menantu kesayangannya itu.

               “Iky, boleh akak masuk?” tanya Yana sambil menjengukkan kepala ke dalam bilik.

               “Masuk la kak. Mintak izin pulak,” ujar Fikry seraya mengukirkan senyuman nipis memandang kakaknya.

               “Mana lah tahu aku ganggu. Tengah buat apa?” tanya Yana seraya melabuhkan duduk di atas katil.

               “Takde lah, baru siap solat asar tadi tengok phone jap. Kenapa? Semua okay?” tanya Fikry selepas memandang wajah kakaknya yang kelihatan seperti risaukan sesuatu.

               “Aku takut la,” jawab Yana sepatah.

Fikry mengerutkan dahi mendengar kata-kata Yana. “Takut apa?”

               “Aku dari pukul 3 lagi try call Fahmi tak dapat-dapat. Whatsapp pun tak on.”

               “Alahh! Dia tengah drive kot. Maybe phone habis bateri ke. Dia kan selalu malas charge phone,” jawab Fikry yang berusaha bersangka baik. Dia juga ingin menenangkan kakaknya walaupun jauh di sudut hatinya, dia sendiri rasa seperti ada sesuatu yang tak kena.

               “Kalau itu yang jadi, takpe. Aku takut,” jawab Yana sambil memandang wajah Fikry. Dia tidak berani melanjutkan kata-katanya. Dia tidak sanggup untuk bayangkan betapa sedih dan kecewa kedua orang tuanya sekiranya Fahmi benar-benar tidak pulang untuk majlis esok hari.

               “Ish! Kau ni! Tak lah. Aku yakin Fahmi takkan buat macamtu. Lagipun, dia yang terima benda ni dari awal. Jangan lah fikir pelik-pelik. Dia dah whatsapp mama kan Zohor tadi yang dia nak balik kemas baju lepastu gerak. Tengah jalan la tu kot,” pujuk Fikry lagi.

               “Mama tak kecoh, kau pulak yang risau,” sambung Fikry lagi.

               “Mama tak kecoh la dia busy duk hias dewan tu. Apa benda lagi yang tak settle tak tahu lah! Aku tengok cantik je organizer tu hias. Dia dengan Cik Ita tu ada je nak komen. Kalau aku jadi organizer, aku dah resign dah,” jawab Yana seraya melepaskan keluhan. Sejak seminggu yang lalu lagi mamanya dan ibu Ainna berulang-alik ke dewan hanya untuk memastikan semua benda teratur dan ikut citarasa mereka.

Fikry hanya tersenyum mendengar kata-kata kakaknya. Fikirannya mula melayang memikirkan pelbagai kemungkinan. Dia membuka aplikasi whatsapp di telefon bimbitnya seraya membuka perbualannya dengan Fahmi,

               Kau kat mana dah? Jangan buat orang risau boleh tak?

Namun pesanannya itu tidak menunjukkan bahawa pesanan itu masuk ke telefon milik adiknya. Mungkin saja lelaki itu mematikan internet atau telefonnya. Dia berusaha untuk berfikiran positif dan berharap semuanya akan baik baik saja.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23