BAB 24

 

FIKRY yang baru saja selesai berdoa mengerling ke arah Ainna yang sudah menghilang di sebalik pintu kamar. Fikry melabuhkan duduk di katil sambil mengelus lembut kepala anaknya yang masih nyenyak tidur. Tangannya kemudian tertarik untuk membuka laci meja yang tidak tertutup rapat yang ada di sisi katil Ainna. Perlahan-lahan laci itu dibuka, terlihat ada sebuah album gambar dari laci tersebut.

Fikry sempat mengerling ke arah pintu bilik sebelum mengeluarkan album itu dari laci. Tangannya menyelak helaian demi helaian album gambar itu. Matanya terhenti pada gambar Ainna bersama seorang lelaki. Fikry mengerutkan dahi melihat wajah lelaki itu.

‘Ni kan Adi? Siapa dia ni sebenarnya? Bestfriend Ainna? Tapi kalau bestfriend kenapa sekarang Ainna jauhkan diri dari dia? Or….’ Pertanyaan yang berlegar-legar di minda Fikry terhenti setelah mendengar suara Ainna dari pintu bilik.

               “Awak buat apa ni?” tegur Ainna dengan nada yang sedikit kasar.

Fikry cuak melihat wajah Ainna yang seperti sedang menahan marah. Dia perlahan-lahan menutup album gambar tersebut dan meletakkannya di tempat asal dan menutup laci itu dengan perlahan-lahan.

               “Emmm…. Takk.. Tadi saya tengok laci ni terbukak. Bila saya nak tutup tak boleh sebab album ni..”

               “Yang awak bukak album tu kenapa?” tanya Ainna sebelum Fikry menghabiskan kata-katanya.

               “Emm saya mintak maaf, Ainna. Saya tak ada niat nak selongkar barang awak,” ujar Fikry dengan nada yang serba salah. Dia juga menyedari perbuatannya yang sudah melebihi batasan antara mereka. Sebelum ini dia yang melarang Ainna untuk masuk campur dalam urusan peribadinya namun sekarang dia sendiri yang memungkiri janji mereka.

Riak wajah Ainna yang sedikit merah diperhatikan dengan air muka yang menyesal. Fikry bangun untuk menghampiri Ainna namun suara Raiq yang tersedar dari tidur menghentikan niatnya. Dia kembali duduk untuk menenangkan anak terunanya.

Ainna yang sedang berusaha menahan emosinya berjalan ke ruang dapur. Tangannya digenggam kemas seperti menahan diri dari menghamburkan kemarahan pada suaminya. Dia tidak mahu nanti hal itu membuat hubungan antara mereka semakin tidak nyaman.

‘Relax Ainna. Relax. Fikry tak salah. Dia tengok album je bukan personal stuff kau. Kau yang salah sebab masih simpan album tu. Kau sepatutnya dah lama buang album tu. Kau dah jadi isteri orang, kau tak sepatutnya simpan gambar lelaki lain dalam bilik. Ni bukan salah dia. Kau tak boleh salahkan Fikry. Come on, Ainna. Dia jauh-jauh datang sini sebab nak spend family time together. Kau tak boleh hampakan Raiq. Please,’ desis Ainna untuk memujuk hatinya yang sedikit kesal dengan kejadian tadi. Sejujurnya dia tidak mahu orang lain tahu tentang masa lalunya yang itu apatah lagi orang itu adalah Fikry.

               “Umi..”

Suara Raiq yang memanggilnya menyedarkan Ainna. Dia segera mengusap air mata yang bertakung sebelum memalingkan tubuhnya berhadapan dengan anaknya.

               “Ya sayang. Raiq dah bangun? Kenapa bangun?” tanya Ainna dengan nada yang lembut. Seperti biasanya, rasa sedih yang ditanggung ditutupi dengan senyuman indah di bibirnya. Tersenyum untuk menunjukkan yang dia baik-baik saja sedangkan segala duka dan rasa sakit masih utuh di dalam dada.

               “Raiq nak susu,” ujar Raiq sambil jarinya bermain-main dengan jari milik ibu barunya itu.

               “Papa mana?”

               “Awak pergi la bersiap, saya buat susu Raiq kejap,” kedengaran suara Fikry yang bertutur dengan nada yang perlahan sambil menghadiahkan senyuman nipis kepada Ainna.

Ainna hanya mengangguk dan meninggalkan Fikry sendirian di dapur. Tangan Raiq dipimpin bersamanya ke dalam kamar. Hatinya yang tadi kesal juga kian tenang. Cuma rasa sedih dan kecewa dengan peristiwa lalu saja masih singgah di hatinya saat itu.

 

IZZUE berjalan menghampiri Amira yang sibuk dengan alatan solekannya. Dalam diam dia menggelengkan kepala dengan dengusan nafas perlahan. Menunjukkan seolah-olah dia memang tidak suka dengan kehadiran kekasih sahabatnya itu.

               “Fikry takde,” ujar Izzue dengan nada yang mendatar tanpa memandang wajah Amira.

Amira yang sedikit terkejut dengan suara Izzue menjeling gedik ke arah lelaki itu.

               “Dia pergi mana?”

               “Mana lah aku tahu. Aku bukan mak dia nak kena tahu semua kerja buat dia.”

               “I tahu lah you bukan mak dia. Tapi you kan partner kerja dia, takkan lah you tak tahu dia pergi mana,” jawab Amira dengan nada yang mulai menyindir. Seperti biasanya jika dia dan Izzue bertemu pasti tidak pernah akur, ada saja pertikaman mulut di antara mereka.

               “Cik Amira model top satu Malaysia, kau ingat aku ada masa ke nak urus pasal dia? Dia bukannya bini aku, aku nak tahu semua benda pasal dia. Dah takde shoot, dia baliklah! Kau nampak kan studio ni sunyi, kau nak tanya apa lagi? Buat semak je lah!” bentak Izzue dengan riak wajah yang menyampah. Dia segera melangkah untuk masuk ke ruang rehat.

               “Eh! Izzue tunggulah dulu. I tak habis cakap lagi ni,” panggil Amira selepas bangun dari duduknya. Bajunya yang sedikit ketat diperkemaskan biar kelihatan rapi.

               “Nak cakap apa lagi? Aku banyak kerja lah! Takde masa nak layan kau. Kalau kau nak cari Fikry, call lah dia,” jawab Izzue selepas memandang wajah Amira yang kelihatan seperti kucing hilang anak.

               “I dah call dia, tapi dia tak angkat. I whatsapp pon dia tak online. Itu yang I datang sini. I ingatkan dia ada.”

Izzue melepaskan keluhan berat seraya mengemas kamera yang ada di meja berdekatan dengannya.

               “Kau nampak kan kereta dia takde kat luar. Maksudnya dia takde lah! Yang kau duk sini lagi buat apa? Kau sedar tak sekarang ni dah nak maghrib? Pergi balik lah! Kita ni dah lah kerja tak tentu masa, bila ada free time belajar-belajar lah dekatkan diri dengan Tuhan. Baru lah tahu halal dengan haram,” sindir Izzue yang memang arif benar dengan perangai Amira.

               “I nak tanya you je, mana lah tahu you tahu kat mana kawan baik you tu pergi. Busy mengalahkan orang ada bini,” kata Amira seraya mengambil tas tangannya dan keluar dari studio milik Fikry.

Izzue tersentak mendengarkan kata-kata Amira tadi. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepalanya.

“Kau punya kekwat macam Fikry tu memang akan kahwin dengan kau. Amira.. Amira.. Aku tak tahu lah macamana reaction kau bila tahu pasal Fikry dengan Ainna. Boleh ke kau sekekwat ni? Atau kau akan merayu-rayu dengan Fikry supaya kahwin dengan kau? Aku yakin Fikry takkan pilih kau. Bodoh lah kalau dia sangsi untuk memilih. Antara isteri dia dengan kau, jauh lebih baik Ainna,” gumam Izzue sendiri.

Memang dia tidak pernah bertemu mata dengan isteri sahabatnya itu namun dari cerita Fikry, dia tahu Ainna seorang gadis yang baik. Dia sendiri tidak tahu sebaik mana gadis itu tapi satu hal yang dia yakin, Ainna jauh lebih baik dari Amira.

 

FIKRY baru saja memarkirkan keretanya di hadapan sebuah hotel yang menghadap pantai. Raiq yang sedang tidur di ribaan isterinya dikerling sekilas.

               “Ainna, saya mintak maaf pasal hal tadi,” ujar Fikry sambil matanya menatap wajah isterinya.

               “Takpe. Benda dah jadi. Salah saya jugak sebab simpan gambar lelaki lain,” jawab Ainna dengan senyuman nipis di bibir. Dia terasa canggung dengan situasi seperti itu.

               “Tak maksud saya tengok gambar awak bukan sebab tu. Saya taka da fikir yang bukan-bukan pun Ainna..”

               “Ni kita nak overnight sini ke?” tanya Ainna sengaja untuk menukar topik perbualan antara mereka.

Fikry mengeluh perlahan. ‘Ish! Bini aku ni. Aku belum habis cakap lagi, dia dah potong!’ bebel Fikry sendiri.

               “Haah. Okay tak? Ke nak tukar hotel lain?” tanya Fikry yang risau sekiranya Ainna tidak senang dengan hotel itu. Maklumlah Fikry bukan datang dari keluarga yang kaya seperti Ainna, jadi dia tidak mampu untuk menginap di hotel 5 bintang.

Belum sempat Ainna menjawab pertanyaan Fikry, telefon bimbitnya berdering, Ainna segera mengangkat panggilan telefon,

               “Hello, assalamualaikum.”

               “Waalaikumussalam ya Ainna. Awak kat mana ya?”

Ainna mengerutkan dahi mendengarkan pertanyaan lelaki itu. Tidak pernah pula majikannya mengganggu masa rehatnya selama dia bekerja di situ.

               “Kenapa ya encik?”

‘Encik? Laki mana pulak call bini aku maghrib-maghrib ni? Tak tahu adab ke? Boleh pulak selamba badak ganggu bini orang waktu ni,’ bisik Fikry sendiri.

               “Saya ada meeting esok, saya lupa yang file meeting saya ada dengan awak kan? Yang saya bagi sebagai rujukan untuk awak buat kontrak baru tu?” tanya Encik Malik dengan nada suara yang seperti orang yang tergesa-gesa.

               “Haa ye ada dengan saya. Encik nak ke file tu?” tanya Ainna sambil matanya mengerling ke arah Fikry yang masih setia menatap wajahnya. Dia pula yang merasa kekok dengan situasi itu.

               “Ya betul. Saya nak present esok tapi awak hantar harini lah sebab saya nak double check.”

               “Okay boleh encik. Tapi kalau saya send lepas maghrib boleh? Sebab sekarang ni saya kat luar,” ujar Ainna lagi.

Mendengarkan persetujuan dari majikannya, Ainna tersenyum nipis sebelum menamatkan perbualan diantara mereka.

               “Why?” tanya Fikry dengan jari yang memegang dagunya sendiri.

               “Bos saya call suruh send file untuk meeting besok,” jawab Ainna sambil tangannya lincah menekan skrin telefon bimbitnya. Mungkin sedang menaip sesuatu.

               “Then? Kena balik ke?” tanya Fikry lagi. Nada suaranya juga sedikit berubah.

               “Tak.. Takpe saya mintak tolong Hani je send kat saya,” jelas Ainna lagi.

               “Okay, glad to hear that. So okay tak hotel ni?” kata Fikry sekadar mengulang pertanyaannya yang tidak dijawab tadi.

               “Okay. Environment okay, saya suka,” jawab Ainna ringkas seraya menghadiahkan senyuman kepada suaminya.

               “Okay saya check in dulu,” ujar Fikry seraya keluar dari kereta dan berjalan masuk ke bahagian penyambut tetamu yang ada di situ.

 

WILDAN menghulurkan salam kepada seorang lelaki yang sedang duduk di meja makan untuk dua orang. Dia mengukirkan senyuman sebelum melabuhkan duduk berhadapan dengan lelaki itu.

               “Sorry Jep, buat kau tunggu. Dah lama sampai?” tanya Wildan sambil membetulkan duduknya.

               “Taklah! Baru je. Order?” tanya lelaki yang bernama Jep itu.

               “Takpelah! Aku kejap je ni.”

               “Okay. So apa kerja kau dengan aku ni?” tanya Jep lagi.

Wildan mengukirkan senyuman nipis mendengarkan pertanyaan lelaki yang bernama Jep itu.

               “Kena ada kerja je ke kalau nak jumpa kau?”

Jep melepaskan tawa kecil.

             “Taklah! Susah tau nak jumpa kau. Busy je memanjang. Kalau balik Johor baru kau ada banyak masa nak lepak. Kat KL ni memang taklah nak lepak. Whatsapp pun reply sekali sehari,” sindir Jep seraya menghirup kopi yang tersisa di cawan.

Wildan tertawa mendengarkan sindiran rakannya. Memang dia akui yang dia jarang meluangkan masa bersama rakan-rakannya ketika di Kuala Lumpur. Namun, bila pulang ke Johor, dia pasti meluangkan masa bersama dengan rakan-rakannya. Sekaligus menjadi tiket untuk dia tidak berkumpul bersama dengan ahli keluarganya yang lain.

               “Busy sikit Jep. Tapi bila lepak Johor aku tak pernah missed kan!” ujar Wildan dengan nada yang sedikit tinggi.

               “Yeee! Saja je.”

               “Tak, macam ni Jep. Sebenarnya aku ada benda nak mintak tolong kau,” kata Wildan dengan mimik wajah yang langsung berubah menjadi serius.

Jep juga merubahkan suasana hatinya yang tadi penuh dengan guaru senda bertukar menjadi serius setelah melihat wajah rakannya yang sedikit berbeza.

Wildan membuka ceritanya sebelum mengeluarkan sepucuk surat dari poket jaket hitamnya. Mata Jep tidak beralih dari memandang Wildan dan telinganya juga fokus mendengar setiap perkataan yang disampaikan oleh lelaki itu.

Usai Wildan menghabiskan ceritanya, dia menghulurkan surat itu kepada Jep. Riak wajah Jep berubah ketika membaca surat itu. Matanya memerhatikan surat dan wajah Wildan silih berganti. Seketika kemudian, Jep mengeluh perlahan dengan jarinya diketuk beberapa kali ke meja dengan perlahan. Mungkin menunjukkan yang dia sedang berfikir.

               “Then kau nak aku cari siapa yang hantar surat ni? Ke kau dah tahu siapa yang hantar?” tanya Jep selepas beberapa saat mendiamkan diri.           

               “Aku tak tahu siapa yang hantar. Aku nak kau cari orang tu sampai jumpa. Aku nak tahu apa sebenarnya yang dah jadi antara baba aku dengan dia,” ujar Wildan.

Jep menggelengkan kepala perlahan.

               “Dan.. Macam ni tau. Surat ni tak boleh bantu apa-apa. Setakat tulisan dan ugutan je yang ada. I can’t find anything. Kecuali kalau surat ni ada bertuliskan nama ataupun mungkin kau ada suspek sesiapa? Aku boleh try siasat orang tu,” jelas Jep dengan nada yang sedikit tegas.

               “I have no idea about any person. Aku tahu baba aku ada kes pun dari surat ni. Macamana aku nak kenal orang tu?” tanya Wildan yang juga bingung untuk menjawab pertanyaan Jep.

               “Baba kau? Takkan dia takde syak sesiapa?”

               “Baba aku tak tahu pasal hal ni,” jawab Wildan ringkas.

Jep mengeluh lagi. Dia mengerti sekiranya Wildan tidak ingin ayahnya mengetahui tentang hal itu. Kerana ianya bukan hal yang main-main. Ia melibatkan nyawa. Sekiranya hal itu diketahui oleh ayahnya pasti akan menambahkan tekanan pada dia. Jep memang tidak terlalu dekat dengan Wildan dan keluarganya tapi dia tahu yang Wildan sangat mengutamakan keluarganya dalam segala hal.

               “Susah lah sikit Dan.”

               “Come on, Jep. Kau spy popular kot kat Maluri. Takkan tak boleh? Tolongla aku. Aku tak tahu nak percayakan siapa untuk cari tahu hal ni. Kau je yang aku boleh percaya Jep,” ujar Wildan dengan nada yang memujuk. Jujur, dia memang seorang yang susah untuk mempercayai orang lain. Mungkin disebabkan itulah dia susah untuk mempunyai sahabat karib yang benar-benar dekat dengannya. Namun, entah kenapa bila dia berfikir untuk menyiasat tentang masalah itu, wajah pertama yang muncul di benak fikirannya adalah Jep. Dia berharap yang Jep boleh membantunya untuk mengurai segala permasalahan yang ada.

               “Banyaklah kau! Okay takpe aku try. Or mungkin jugak nanti aku arah anak-anak buah aku untuk turun tangan sekali. Cepat sikit kerja.”

               “Tak kisah. Kau nak ajak sesiapa pun. Tapi pastikan benda ni tak sampai pada family aku. Adik aku pun jangan. Pasal harga takyah risau, berapa pun aku bayar,” ujar Wildan lagi.

               “Okay aku faham. Kau jangan risau, kau boleh percayakan aku. Pasal harga tu bincang nanti lah. Kita bukannya kenal harini,” jawab Jep.

Wildan mengukirkan senyuman nipis.

               “Okay then. Aku gerak dulu, ada shoot kejap lagi. Kalau ada pape, roger aku! It’s on me,” ujar Wildan sambil menghulurkan sehelai kertas berwarna merah seraya bangun dari duduknya dan meninggalkan Jep sendirian.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23