BAB 22

 

PAAN menyambut surat yang dihulurkan oleh Wildan. Tertulis Syarif Abdullah di surat itu dengan pen berwarna merah. Tangannya perlahan-lahan membuka surat itu sambil matanya menatap Wildan yang masih dengan riak wajah yang tertekan. Sampul itu terisi sekeping gambar dan sehelai kertas.

Syarif. Long time no see. Mesti kau curious kan siapa aku? Jangan terlalu banyak berfikir nanti kau sakit. Aku tak nak kau mati awal. Aku tahu kau takkan ingat aku sebab aku cuma anjing di jalanan yang pernah mengemis simpati dari kau. Nanti kita akan jumpa jadi jangan susahkan diri nak cari tahu siapa aku.

Aku mungkin tak berpangkat, tak berharta tapi aku tak sejijik kau. Kau mungkin boleh gunakan harta dan kerjaya untuk menutup segala dosa yang sudah kau buat selama ini. Tapi kau ingat, kita sama-sama manusia yang ada jatuh dan bangunnya. Mungkin hari ini kau boleh bahagia tapi aku akan pastikan apa yang kau ada harini takkan kekal. Kau akan dapat karma kau. Just wait and see. Jangan stress dulu, masih banyak kejutan dari aku untuk kau.

Aku suka tengok gambar keluarga kau. Tengok muka setiap satu dari keluarga kau. Tengok kebahagiaan yang korang ada. Dunia ini memang tak adil kan? Bagi kesenangan untuk orang sejahat kau. Sedangkan aku? Aku cuma mangsa keadaan tapi aku yang terpaksa hidup menderita selama bertahun-tahun. Kau memang bertuah, Syarif.

Perhatikan setiap wajah yang ada di gambar tu, mungkin kau boleh fikir dulu, siapa yang paling kau sayang? Mungkin satu hari nanti, yang kau tatap dan sentuh hanya jasad mereka. Kau tunggu mana satu di antara mereka yang kau akan terima dulu. Kau jangan takut, sebab kau orang terakhir yang akan aku bunuh. Aku nak tengok kau menderita sebab hilang orang-orang yang kau sayang. Just like what I had.

-AH-

Mata Paan beralih memandang Wildan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Sejujurnya dia tidak terlalu mengenali peribadi Encik Syarif kerana dia tidak terlalu dekat dengan lelaki itu. Jadi, dia tidak tahu sejauh mana kebenaran dari isi surat tersebut.

               “What do you think?” tanya Wildan sambil melepaskan keluhan berat.

Paan menggigit bibirnya. Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan pada Wildan.

               “Kau tak cuba tanya baba kau?” tanya Paan seraya menghulurkan surat itu ke tangan Wildan.

               “Tak. Aku sekarang buntu An. Aku tak tahu apa yang patut aku buat. Bila baca surat ni aku rasa aku memang jauh dari baba. Aku tak kenal siapa baba, macamana cara kerja dia dengan orang dulu. Aku tak rasa yang baba aku buat benda yang bukan-bukan dulu, tapi takkanlah orang yang tulis surat ni menipu,” jawab Wildan panjang. Sungguh hatinya tidak tenang setelah membaca isi surat itu.

               “Aku pun tak tahu kebenaran surat ni. Tapi aku bercakap based on what I see. Mungkin baba kau jenis yang pilih kasih antara anak tapi aku yakin yang dia takkan buat benda yang melampaui batas. Baba kau tahu halal dan haram Dan. Kau anak dia, kau mesti lagi kenal bapak kau macamana. Jadi, bagi aku seburuk mana pun masa lalu baba kau, apa pun yang dia sudah buat di masa lalu, kau sebagai anak tak ada hak untuk hukum dia. Kerja membalas dosa orang lain ni, bukan kerja kita. So, kau jangan sesekali salahkan baba kau dalam hal ni. Mungkin dulu dia pernah buat silap, tapi sekarang dia dah berubah. Dia baik dengan orang di sekeliling dia, baba kau pun banyak bantu orang susah,” nasihat Paan untuk menenangkan fikiran Wildan. Dia tahu yang tidak mudah untuk Wildan menerima kenyataan itu.

               “Sekarang ni yang paling aku risau keselamatan family aku. Aku tak boleh bagitahu family aku tentang hal ni. Aku tak nak baba stress sebab benda ni.”

               “Aku faham Dan. Tapi ni bukan benda main-main tau! Ni melibatkan nyawa. Kalau dia sampai berani ugut macam ni maksudnya dia ada niat. Kalau kau diamkan benda ni sorang diri, macamana kau nak jumpa jalan penyelesaian dia?” tanya Paan dengan riak wajah yang risau.

               “Tapi kalau diorang tahu pasal ugutan ni aku yakin yang diorang takkan tenang. Tambah lagi baba aku tu. Sebenci mana pun dia pada aku, aku yakin ada sedikit kasih sayang dia terhadap aku dan Ainna. Aku takut kalau dia tahu hal sebenar, dia akan rasa serba salah dengan kitorang,” jawab Wildan seraya meraupkan wajahnya dan menyandarkan tubuh di kerusi.

               “Habistu kau nak cari tahu pasal benda ni sendiri?” tanya Paan seakan-akan boleh menebak apa yang ada di fikiran sahabat baiknya itu.

Wildan mengerling ke arah Paan sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain.

               “Aku rasa itu lebih baik,” jawab Wildan dengan riak wajah yang yakin dengan keputusannya.

               “Kau jangan buat hal la Dan. Aku rasa better kau bagitahu family kau, or at least along kau? Mungkin dia boleh sama-sama dengan kau untuk uruskan benda ni?” cadang Paan yang risau dengan niat Wildan untuk menyelesaikan hal itu sendiri.

Wildan melepaskan ketawa kecil mendengarkan cadangan Paan. Dia menggeleng perlahan sebelum mengalihkan pandangan kepada Paan.

               “Along aku? Memang taklah! Kalau dia tahu pasal hal ni, dia yang paling kalut. Maybe lagi kalut dari baba aku. Mamat tu dah lah pengecut. Semua benda nak share dengan parents aku. Langsung takde rasa bertanggungjawab sedikit pun,” bebel Wildan sendiri.

Paan melepaskan keluhan berat. Memang sejak dari dulu lagi dia bersimpati dengan nasib Wildan. Wildan selalu menjadi pelindung untuk keluarganya. Sahabatnya itu sangat mengutamakan keluarganya dalam segala hal. Namun, hanya disebabkan Wildan tidak ingin meneruskan perniagaan keluarga, segala pengorbanannya kepada keluarga Syarif seakan-akan tidak ada nilai di mata mereka.

               “Aku faham keadaan kau Dan. Tapi kau kena ingat kita ni hidup berkeluarga. Tak kira lah sehebat mana pun kita, sekuat mana pun kita, kita tetap perlukan orang lain untuk bantu kita. Jangan buat kerja sendiri saja.” Nasihat Paan kepada sahabat baiknya. Dia risau nantinya Wildan akan melakukan perkara yang di luar batasan. Dia tahu betul dengan perangai Wildan yang sanggup melakukan 1001 cara untuk mempertahankan keluarganya.

Wildan hanya mendiamkan diri mendengarkan nasihat Paan.

               “Okay, aku faham kalau kau tak nak bagitahu family kau tentang hal ni. Aku hormat keputusan kau. Tapi apa pun yang kau nak buat nanti or ada apa-apa update tentang hal ni, please let me know. Aku bukan nak masuk campur hal family kau, tapi aku risaukan kau Dan.”

               “Yaa aku tahu. And maybe aku pun akan mintak tolong kau juga nanti,” ujar Wildan dengan nada suara yang lembut.

               “Boleh je. Janji bonus aku lebih sikit,” jawab Paan dengan senyuman nipis.

               “Mana boleh! Nak bonus kerja kasi cun lah!” jawab Wildan dengan nada yang sedikit tinggi.

Paan hanya membalas jawapan Wildan dengan ketawa kecil. Namun hati dan fikirannya masih risaukan keadaan Wildan. Risau sekiranya Wildan bakal melakukan sesuatu yang mungkin akan membahayakan keselamatannya.

 

RAIQ sedang asyik bermain di ruang permainan kanak-kanak di pasaraya Aeon itu. Fikry yang sedari awal hanya memerhatikan putranya, mengukirkan senyuman lebar melihat si kecil itu sedang bergembira. Fikirannya tiba-tiba teringatkan sahabat baiknya, Aidil.

‘Anak kau dah besar sekarang, Dil. Anak kau bijak sangat. Senang jaga, menyenangkan orang yang ada di sekeliling dia. Kalau kau ada, mesti kau happy kan? Kau boleh tengok dia membesar depan mata kau, layan kerenah dia, dengar mulut dia yang banyak tanya tu. Dulu kau pernah bagitahu aku yang kau akan selalu ada untuk aku sampai bila-bila. Dan kau tahu tak? Bila aku tengok Raiq, baru aku faham maksud kau. Sebab setiap kali aku tatap wajah Raiq, aku akan nampak kau. Aidil, thankyou sebab percayakan aku untuk jaga Raiq. He is the blessed gift that I get in my life. Raiq banyak ubah aku, ubah cara hidup aku, ubah aku untuk jadi orang yang lebih baik. Kalau dulu kau tak bagi Raiq pada aku, aku takkan jadi sebaik sekarang. Aku masih dengan kehidupan yang tak ada hala tuju, kehidupan yang hanya pentingkan kehendak aku saja,’ rintih Fikry sendiri. Hatinya diterpa sebak.

               “Papa..” kedengaran suara anaknya memanggil.

Fikry sedikit terkejut dengan kehadiran Raiq di hadapannya. Kelopak matanya yang bertakung disapu perlahan.

               “Kenapa Raiq?” tanya Fikry sambil tangannya menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya tanda mengajak Raiq untuk duduk di situ.

Raiq hanya berdiri di samping papanya seraya melepaskan keluhan berat.

Fikry melepaskan ketawa kecil mendengar keluhan anaknya. Si kecil itu seakan-akan memiliki bebanan hidup yang amat berat. “Aiii kuat mengeluh? Kenapa ni?”

               “Hmmm Raiq bosan lah,” ujar Raiq dengan wajah cemberutnya.

               “Bosan? Kan Raiq main tadi?” tanya Fikry dengan wajah yang bingung.

               “Jom la papa kita pergi tempat lain,” ajak Raiq seraya menarik tangan papanya untuk berdiri.

               “Lahh pulak dah? Kenapa Raiq tak suka ke playground ni?” tanya Fikry lagi.

Raiq hanya membisukan diri saja dengan pertanyaan Fikry namun matanya sempat mengerling ke arah sepasang suami isteri yang sibuk melayan anaknya.

Fikry melepaskan keluhan perlahan. Semenjak kehadiran Ainna di dalam hidup anaknya, Raiq selalu mengharapkan Ainna untuk ada di sisinya. Mungkin juga kerana Raiq sangat selesa dengan layanan Ainna kepadanya. Tambahan pula Raiq sudah lama mengimpikan untuk memiliki seorang ibu seperti rakan-rakannya yang lain. Sedikit sebanyak dia merasa sedih kerana selama hampir empat tahun dia merawat si kecil itu, anaknya hanya bersama Fikry sepanjang masa. Namun, setelah adanya Ainna di kehidupan mereka. Apa-apa pun pasti Raiq akan mencari Ainna terlebih dahulu. Jauh di sudut hati dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya Raiq berpeluang untuk mendapatkan kasih sayang seorang ibu walaupun bukan dari ibu kandungnya sendiri.

               “Emmm esok papa balik kerja awal. Kita jalan-jalan ke pantai nak?” tanya Fikry tanda memujuk anaknya.

Wajah cemberut Raiq bertukar ceria. Anak lelakinya itu sangat gemarkan suasana pantai. Itu salah satu cara untuk memujuk anaknya ketika si kecil itu bersedih.

               “Betul ke papa? Nak nak nak!! Raiq nak mandi kat pantai tau papa!” ujar Raiq dengan nada yang tinggi. Riak wajah yang ditunjukkan juga jelas menunjukkan yang dia sangat ceria.

               “Boleh! Tapi esok kena pergi taska dulu okay?!” ujar Fikry seraya mencium tangan kecil anak lelakinya.

Raiq hanya mengangguk kegirangan.

 

ADI yang baru keluar dari butik pakaian lelaki tanpa sengaja melihat Fikry dan anaknya yang sedang duduk di ruang permainan kanak-kanak. Adi berjalan menghampiri Fikry,

               “Assalamualaikum,” tegur Adi dengan nada suara yang perlahan.

               “Waalaikumussalam. Siapa ya?” tanya Fikry sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “Adi, kawan Ainna,” jawab Adi.

               “Ohh sorry bro. Aku tak cam tadi,” jawab Fikry sambil bangun dari duduknya.

               “Takpe. Aku faham. Ni berdua je ke?” tanya Adi sambil mengukirkan senyuman.

               “Haah berdua je. Ainna kerja,” jawab Fikry sambil tangan kirinya menggenggam tangan anak lelakinya.

Adi menganggukkan kepalanya perlahan. Dia mengerling ke arah si kecil yang ada di antara mereka. Dia mulai tertanya-tanya samada si kecil itu benar-benar anak kepada Ainna ataupun tidak. Dari pemerhatiannya, budak lelaki itu berumur lebih kurang tiga tahun namun hubungan dia dan Ainna terkandas tiga tahun yang lalu. Dia tidak rasa yang Ainna boleh jumpa penggantinya secepat itu.

               “Adi? Are you okay?” tanya Fikry yang pelik dengan tatapan Adi kepada Raiq.

Adi mendongakkan kepalanya memandang Fikry. Dia mengukirkan senyuman nipis.

               “Okay. Aku okay. Emm comel anak kau. Umur berapa tahun ni?” tanya Adi untuk mengorek rahsia.

               “Oh ni Raiq, tiga bulan lagi masuk empat tahun,” jawab Fikry selamba.

Adi mengerutkan dahi mendengarkan jawapan Fikry.

               “Emm sorry aku tanya, kau dengan Ainna kahwin bila? Setahu aku kalau umur Raiq ni, Ainna still belajar lagi,” tanya Adi dengan berbasa-basi.

               “Ohh! Aku baru je kahwin dengan Ainna,” jawab Fikry sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “I see.”

               “Eh! Takpelah Adi, aku nak gerak dulu. Dah lewat ni,” ujar Fikry sambil menepuk bahu Adi lembut. Sebaiknya dia cepat-cepat beredar dari situ. Risau sekiranya nanti banyak pula pertanyaan Adi tentang Ainna.

               “Oh okay. Nanti kirim salam Ainna ya,” sambung Adi sambil mengukirkan senyuman pada Fikry.

Fikry hanya mengangguk dan meninggalkan Adi yang masih setia berdiri dan menghantar pemergian dia dan anaknya dengan pandangan mata.

‘Maksudnya Ainna kahwin dengan duda? Kena jaga anak orang pulak tu. Betullah, people changed,’ desis Adi di dalam hati.

 

AINNA mengerling ke arah jam yang tertera di skrin radio keretanya. Ainna mengeluh sendiri. Menyesal sungguh dia menuruti permintaan rakan kerjanya untuk ditemani ke pasaraya. Sekarang terpaksa dia menghadap kesesakan lalu lintas di kawasan bandar itu.

Beberapa minit ditemani dengan suara radio, telefonnya berdering. Tertera nama angah di skrin telefon bimbit. Ainna mengukirkan senyuman nipis.

               “Assalamualaikum sayang,” suara Ainna menyapa setelah dia menekan butang untuk menerima panggilan dan membesarkan suara telefonnya.

               “Waalaikumussalam, amboi bersayang-sayang dengan kita. Nanti laki awak dengar merajuk pulak,” sakat Wildan dengan nada suara yang lembut.

               “Erghh apo!! Angah katne?” tanya Ainna yang malas melayan gurauan abangnya itu.

               “Baru balik rumah. Adik nak gi mana? Dengar suara radio,” tanya Wildan lagi.

               “Baru on the way balik. Jalan jammed ni,” ujar Ainna sambil jarinya perlahan-lahan mengetuk stereng kereta.

               “Lewatnya balik. OT ke?” tanya Wildan sedikit pelik. Selalunya Ainna sangat on time bila bab pulang kerja. Belum pukul 4 petang lagi adiknya sudah ada di atas jalan untuk pulang ke rumah.

               “Taklah! Tadi kawan office ajak teman dia shopping. Tengok jam dah pukul 5 memang kena hadap jem lah.”

               “Ohh.” kedengaran suara abangnya dari corong telefon. Ainna mengerutkan dahinya sendiri.

               “Angah okay ke?”

               “Kenapa?”

               “Ye lah dengar macam ada masalah saja,” tanya Ainna tanda perhatian pada abangnya.

               “Tak de lah! Biasa je. Penat kerja,” bohong Wildan. Dia tahu yang Ainna akan syak yang dia sedang dalam masalah. Wildan memang selalu menunjukkan sikap yang ketara kalau dia sedang tertekan jadi mungkin kerana itulah adiknya tahu yang dia tidak dalam keadaan yang baik-baik saja.

               “Ye ke penat kerja?” tanya Ainna lagi.

               “Iyaaa. Adik tak jumpa Fikry ke?” tanya Wildan yang sengaja untuk melarikan diri dari pertanyaan Ainna.

               “Haaa tukar topik dah! Maksudnya memang ada something la ni,” ucap Ainna dengan nada suara yang sedikit tinggi.

               “Tak ada apa lah! Kalau ada pun berkait dengan hal kerja saja. Sekarang kan nak cuti sekolah banyak la orang book nk photoshoot. Tu yang tengah stress nak susun date ni,” jawab Wildan dengan nada yang perlahan. Memang dia agak sibuk dengan urusan kerja namun itu bukan penyebab utama kepada tekanan yang ditanggung.

               “Ohh tengah masyuk la ni,” ujar Ainna sambil ketawa kecil.

               “Hmm masyuk pun buat apa kalau stress,” jawab Wildan sambil melepaskan keluhan perlahan.

Ainna tersenyum mendengarkan kata-kata abangnya. Dia tahu hal sebenar yang dimaksudkan oleh abangnya itu.

               “Angah je dari dulu stress. Semua benda nak fikir. Cuba hidup ni rasa sikit fun dia. Jangan nak fikir benda yang menyerabutkan kepala saja. Kalau ada masalah fikir time tu dah lah! Tak payah nak bawak sampai ke mana-mana. Sebab tu lah cepat down, cepat tua!”

               “Apa-apa je lah! Dik, ada jumpa dengan Fikry tak?” tanya Wildan dengan nada yang perlahan.

               “Takde. Last jumpa yang waktu balik sini haritu lah,” jawab Ainna.

               “Seriuslah?” tanya Wildan dengan suara yang sedikit tinggi.

               “Ye lah! Yang nak shock sangat ni kenapa? Biasa sudahlah!”

               “Hehehe. Takde lah kau tak kesian ke dengan dia? Ada bini tapi macam takde bini,” sakat Wildan seraya melepaskan tawa kecil.

               “Angah ni! Dah tu bukannya adik suruh dia kahwin dengan adik pun,” jawab Ainna dengan nada yang sedikit sinis. Sudahlah setiap kali dia berbual dengan suami dan anaknya melalui panggilan telefon, dia selalu merasa bersalah. Ini ditambah pula dengan ejekan abangnya.

               “Kau tak risau ke kalau dia jumpa awek lain ke kat sana?” tanya Wildan lagi. Sengaja ingin mencurahkan minyak di atas bara.

               “Memang pun!” jawab Ainna ringkas namun dengan yakinnya.

               “Yeke dik?” tanya Wildan dengan suara yang bersemangat.

               “Ye apa?”

               “Laki kau jumpa perempuan lain?”

Ainna mengetap bibir. Tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan hal itu pada abangnya. Mustahil untuk dia menceritakan hal sebenar. Walaupun Fikry sudah sah bergelar suaminya, lelaki itu masih berhubungan dengan kekasihnya, Amira. Sejujurnya Ainna faham dengan keadaan Fikry. Dia tahu tidak mudah untuk Fikry melepaskan Amira hanya kerana sudah bergelar suami ekspress kepada Ainna. Disebabkan itulah sebolehnya dia tidak mahu hal itu sampai ke pengetahuan keluarganya apatah lagi Wildan. Dia risau nantinya Wildan bakal mendesak Fikry untuk meninggalkan kekasihnya demi menjaga perasaan Ainna. Ainna melepaskan keluhan di dalam hati.

               “Iya lah! Kan ramai model kat sana tu!” elak Ainna dari berkata jujur.

               “Haaa tahu pun ramai model kat sana. Bukannya nak gi teman laki!” gurau Wildan lagi. Dia tahu yang adiknya tidak terlalu berminat jika bercerita tentang hal Fikry. Namun, dia sengaja membangkitkan isu itu dengan Ainna. Sudah lama dia tidak menyakat adik bongsunya itu.

               “Apa angah ni! Ish! Dahlah nak drive ni. Kang accident sini kesian pulak adik ipar angah kena baiki kereta isteri dia,” jawab Ainna seolah-olah mengejek Wildan. Sengaja perkataan isteri di tekan untuk menyindir abangnya.

Ketawa Wildan pecah dari corong telefon.

               “Garangnya Puan Ainna ni,” sakat Wildan lagi.

               “Hmm dahlah! Nak drive ni! Bye!”

               “Ye lah! Angah off dulu la. Assalamualaikum,” ucap Wildan seraya mematikan panggilan.

Ainna menjawab salam seraya melepaskan keluhan perlahan.

‘Salah aku ke kalau tak duduk serumah dengan dia? Aku kerja kan. Bukannya aku duk sini goyang kaki. Ish! Angah lah ni. Suka sangat tengok aku overthinking,’ desis Ainna di dalam hati.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23