BAB 21

 

Wafiq menutup fail kerja yang dibincangkan bersama babanya tadi. Dia mengukirkan senyuman melihat babanya yang sudah menyandarkan tubuh ke kerusi. Kelihatan jelas yang babanya sudah terlalu penat untuk menguruskan kerja-kerja di pejabat. Orang yang seumuran dengan babanya sudah selayaknya pencen dan berehat di rumah saja. Namun, dia tahu yang babanya masih tidak dapat menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada dia untuk menguruskan hal pejabat.

               “Baba, nampak penat sangat tu,” tegur Wafiq dengan nada yang lembut.

               “Ya Fiq. Sehari dua ni baba penat sikit. Banyak benda nak kena pikir,” jawab babanya dengan nada yang lemah. Dia sendiri bingung kenapa masa silamnya kembali menghantui dirinya. Sedangkan hal itu sudah lama berlalu.

               “Baba fikir apa? Ada masalah dengan projek ke?”

               “Masalah sikit saja.”

               “Kalau baba nak Fiq tolong, bagitahu la. In sya Allah Fiq tolong mana yang boleh,” ujar Wafiq menawarkan pertolongan kepada babanya. Walaupun dia tahu yang babanya tidak akan membiarkan dia menguruskan projek-projek besar sendirian.

               “Eh! Takpelah Fiq. Baba boleh handle lagi,” jawab Encik Sharif seraya mengukirkan senyuman nipis.

               “Okaylah kalau baba dah kata macam tu. Tapi baba jangan la paksakan diri sangat. Nanti baba sakit pulak,” jawab Wafiq sekadar untuk menasihati.

Encik Sharif hanya mengangguk perlahan sambil tersenyum nipis.

               “Baba rest la. Fiq keluar dulu,” ujar Wafiq seraya berdiri dan berjalan keluar dari pejabat babanya.

Encik Sharif hanya menghantarkan anaknya keluar dengan pandangan mata sahaja. Sebaik saja Wafiq menghilang di sebalik pintu, dia melepaskan keluhan kasar.

‘Kalau lah Wildan setuju untuk tolong kamu kat sini, baba takkan ada di sini lagi dah. Papa dah boleh berehat dengan tenang. Takde nak risaukan urusan kerja ni.’

Wajahnya diraup dan kepalanya dihentakkan ke kerusi dengan perlahan. Seakan-akan ingin membuang beban yang ada di kepalanya.

               “Abang.. abang.. Jangan bawak anak kita bang! Saya mohon bang! Saya sudah takde sesiapa. Dia je satu-satunya harta yang saya ada! Saya rela kalau abang nak hukum saya, nak pukul saya asalkan abang jangan pernah pisahkan saya dengan anak kita. Tolong abang! Saya merayu! Saya tak sanggup bang!” suara seorang wanita terngiang-ngiang di telinganya. Wajah wanita itu yang dipenuhi dengan air mata terbayang-bayang di fikirannya.

‘Sejahat mana pun seorang ayah, dia takkan pernah terima sekiranya anak-anaknya tahu tentang peribadinya yang sebenar. Dia akan sedaya upaya menutupi segala dosa yang sudah dia lakukan, bukan kerana ego ataupun malu. Tapi kerana dia tahu yang setiap ayah adalah idola buat anak lelakinya dan malaikat buat anak perempuannya. Dan aku tak nak anak-anak aku kecewa dan rasa hina sebab ada ayah macam aku,’ desis hati kecilnya.

 

ENCIK MALIK tersenyum melihat wajah seorang gadis yang dinanti-nantikan muncul di pintu biliknya. Dia meletakkan pen yang dipegang seraya mempersilakan Ainna untuk duduk di hadapannya.

               “Good morning, pengantin baru,” ucap Encik Malik dengan senyuman yang masih terukir di bibirnya.

Ainna merasa segan mendengar ucapan majikannya. Dia membalas senyuman lelaki tua itu dengan ikhlas.

               “Good morning encik. Ada apa ya encik nak jumpa saya?” tanya Ainna dengan nada yang penuh hormat. Dia sudah menganggap lelaki di hadapannya itu seperti babanya sendiri.

               “Kenapa? Saya tak boleh ke nak jumpa awak?” usik Encik Malik dengan senyuman yang agak nakal.

Mendengarkan kata-kata itu, wajah Ainna mula berubah. Entah kenapa dia merasa pelik dengan tingkah laku majikannya pada hari itu. Hatinya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena namun dia masih berusaha untuk bersangka baik dengan majikannya.

               “Takdelah. Saya ingat encik panggil saya sebab nak discuss hal kerja.”

               “Oh tak! Saya panggil cuma nak ucap tahniah je sebab awak dah berumah tangga. Katanya suami awak orang berduit ya?” kata Encik Malik sengaja untuk memperpanjang perbualan antara mereka.

               “Taklah encik. Suami saya orang biasa-biasa saja. Kerja pun kerja sendiri. Mana ada company macam encik pun,” jawab Ainna dengan nada yang mendatar.

               “Ye ke? Alah. Kalau suami awak tak kaya pun takpe, ayah awak dah kaya. Berduit kan?”

Ainna hanya mengukirkan senyuman nipis mendengarkan kata-kata itu. Sepertinya perbualan antara mereka sudah jauh dari tujuan dia ke tempat kerja. Dia mula rasa tidak selesa.

Menyedari ketidakselesaan Ainna, Encik Malik ketawa perlahan.

               “Ni saya panggil awak nak bagi penyata untuk syarikat kita yang bulan lepas. Saya nak awak check satu persatu. Jangan ada yang tertinggal. And please, jangan ada satu kesalahan pun. Bulan lepas banyak kerugian kita tanggung sebab salah check. Saya tak nak kes macam tu jadi lagi,” ujar Encik Malik, malas berbasa basi setelah melihat Ainna seperti tidak selesa dengan usikannya.

Ainna tersenyum mendengar arahan dari majikannya. Itu baru sikap majikannya yang sebenar. Tegas  dalam memberi arahan.

               “Okay encik. Saya cuba usahakan untuk siapkan penyata ni secepat yang mungkin,” jawab Ainna dengan nada yang penuh bersemangat.

               “Takpe tak cepat pun. Saya faham awak tu baru kahwin. Busy dengan suami lagi, urusan rumah lagi. So take your time,” ujar Encik Malik menunjukkan yang dia memahami keadaan Ainna yang mungkin masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

               “Takde lah encik. Saya okay je. Kahwin ke tak, kerja tetap kena buat,” jawab Ainna lagi.

               “Jangan nanti suami awak marahkan saya sudah. Bagi awak kerja banyak sampai tak sempat uruskan hal rumah,” sambung Encik Malik lagi.

               “Takdelah, dia okay. Emm kalau takde apa-apa, saya keluar dulu ya encik?” ujar Ainna dengan senyuman di bibir.

Encik Malik hanya mengangguk perlahan dan menghantar Ainna dengan hujung matanya.

Beberapa detik kemudian, dia mengeluarkan telefon bimbitnya seraya menghantar pesanan kepada seseorang.

 

FAHMI terlihat seperti cacing kepanasan. Asyik mundar-mandir di dalam biliknya dan sesekali melihat skrin di telefon bimbitnya. Beberapa detik kemudian dia melabuhkan duduk di katil dan menarik nafas yang dalam.

Terpapar nombor mamanya di skrin telefon bimbitnya. Jarinya perlahan-lahan mengetik nombor itu untuk didailkan. Beberapa saat berdering, panggilannya diterima oleh mamanya,

               “Assalamualaikum, Fahmi,” kedengaran suara lembut mamanya dari corong telefon.

               “Waa.. Waalaikumussalam ma,” jawab Fahmi dengan suara yang tergagap-gagap. Dia meletakkan tangan kirinya di jantung. Dapat dirasakan degupan jantungnya yang sangat laju seolah-olah dia baru saja maraton lima kilometer larian.

               “Fahmi sihat?” tanya mamanya lagi.

               “Sihat ma, Alhamdulillah. Mama dengan papa macamana?”

               “Alhamdulillah kami sihat. Papa kamu macam biasa la sibuk dengan kerjanya,” jawab mamanya dengan suara yang tenang. Dia tidak mahu membangkitkan soal itu di hadapan Fahmi. Fahmi sudah menelefonnya saja sudah cukup buat dia lega. Dia tidak mahu sekiranya dia bertanya sebab Fahmi melakukan hal itu malah membuat anaknya terus merasa bersalah dengan mereka sekeluarga.

               “Oh! Akak kerja ke?” tanya Fahmi yang merasa sedikit canggung. Padahal mamanya menunjukkan sikap biasa saja dengannya.

               “Ya kerja. Sehari dua ni asyik OT saja. Mungkin ramai patient kot,” jawab mamanya.

               “Ma..” panggil Fahmi dengan nada yang lembut. Dia risau nanti mamanya akan marah bila dia berbicara tentang hal itu. Namun, dia tetap perlu memohon maaf dari mamanya kerana sudah memalukan keluarga mereka.

               “Ya sayang. Kenapa?” tanya Puan Faridah dengan nada yang lembut.

               “Mi mintak maaf pasal haritu. Mi tahu Mi salah. Mi tak sepatutnya buat keluarga kita macam tu. Tapi Mi ada sebab Mi sendiri ma,” ucap Fahmi dengan nada yang serba salah.

Puan Rafidah tersenyum mendengarkan permohonan maaf dari anak lelakinya.

               “It’s okay sayang. Mama tak marahkan kamu pun. Cuma lain kali, Mi jangan buat macam ni lagi ya? Kalau ada apa-apa yang Mi tak setuju, bagitahu mama dengan papa elok-elok. Kami okay saja dengan apa pun keputusan kamu. Ni Mi whatsapp lepastu menghilang. Call tak, mesej pun tidak. Kami call, kamu selalu off phone. Kami risaukan keadaan kamu nak. Mama ni risau dengan keadaan kamu, sihat ke, sakit ke, ada masalah apa-apa ke,” ujar mamanya panjang lebar. Sungguh perasaan risaunya terhadap Fahmi lebih besar dari amarah dan kekecewaannya di atas perlakuan Fahmi terhadap mereka sekeluarga.

Fahmi berusaha menahan sebak di dada. Sebak kerana mamanya masih memikirkan keadaan dirinya walaupun dia sudah memperlakukan keluarga mereka sebegitu. Fahmi melepaskan keluhan di dalam hati.

‘Kau memang anak tak guna la Fahmi. Kau bukan saja sudah menipu keluarga kau selama ini, malah kau sudah pun memalukan mereka. Tapi, mama still berusaha untuk faham keadaan kau. Sikit pun dia tak salahkan kau atas apa yang dah jadi. Sedangkan ini memang salah kau!’ desisnya di dalam hati.

               “Mi mintak maaf ma. Mi betul-betul mintak maaf. Mi off phone sebab Mi takut Mi akan terus rasa bersalah bila dapat call dari keluarga. Tapi Mi memang betul-betul tak boleh balik waktu tu,” sambung Fahmi lagi.

Puan Faridah mengerutkan dahi mendengar jawapan dari anak terunanya.

               “Tak boleh balik? Kenapa? Kenapa Mi tak boleh balik?” tanya puan Faridah yang bingung dengan jawapan anaknya.

Fahmi yang menyedari keterlanjuran kata-katanya tergamam dengan pertanyaan mamanya. Jari telunjuknya mula menekan-nekan jarinya yang lain dengan kuku. Menunjukkan yang dia sedang dalam keadaan yang meresahkan.

               “Emm. Mi kerja ma. And waktu tu Mi stress sangat sampaikan semua benda yang Mi buat tak kena. Tu yang Mi buat keputusan untuk tak balik,” bohong Fahmi untuk menyelamatkan dirinya.

Entah kenapa jawapan Fahmi sepertinya tidak dapat diterima oleh Puan Faridah. Namun, dia berusaha untuk mempercayai anaknya. Walaupun Fahmi berbohong tentang alasan dia meninggalkan majlis itu, tapi dia yakin yang anaknya mempunyai alasan dia yang tersendiri. Mungkin saja alasan itu masih belum ingin dikongsikan dengan dia dan ahli keluarga yang lain.

               “Oh macam tu. Takpelah, benda dah lepas. Janji kamu jangan buat perangai macam sebelum ni lagi ya? Kalau family call, jawab. Kami ni risaukan keadaan kamu saja,” ujar Puan Faridah dengan nada yang lembut.

               “Okay ma. Emm ma. Takpelah Mi nak sambung kerja ni. Nanti Mi call mama balik ya? Kirim salam semua,” ucap Fahmi seraya memberi salam dan mematikan panggilan. Dia tidak mahu berbual dengan mamanya terlalu lama, risau nanti lebih banyak kebohongan yang perlu dia ciptakan untuk menutupi kebohongan yang sedia ada.

Puan Faridah mematikan panggilan seraya melepaskan keluhan berat. Memang dia gembira kerana sudah mengetahui keadaan anak lelakinya, namun jauh di sudut hati, dia dapat merasakan yang Fahmi sedang mempunyai masalah. Dia tidak tahu seberat apa masalah itu, tapi dia yakin ada sesuatu yang Fahmi sembunyikan dari mereka sekeluarga.

 

AMIRA memarkirkan kereta di hadapan restoran yang telah dijanjikan untuk makan tengahari bersama Fikry. Suasana hatinya yang tadi gembira untuk bertemu dengan kekasih hati mulai berubah setelah melihat anak kecil yang ada di sebelah Fikry. Dia mengeluh berat seraya berjalan ke arah meja yang diduduki oleh dua lelaki itu.

               “Eh! Sampai-sampai dah tunjuk muka badmood? You yang nak jumpa I, you pulak buat muka,” ujar Fikry tanpa memandang wajah Amira.

               “Kenapa you bawak Raiq?” tanya Amira selepas melepaskan keluhan perlahan.

               “Kenapa? Tak boleh?” tanya Fikry dengan riak wajah yang mendatar.

               “Takdelah. Kita kan dah lama tak keluar berdua, I nak kita spend time sama-sama,” jawab Amira dengan nada yang gedik. Sesekali matanya menjeling ke arah Raiq yang sedang menikmati segelas aiskrim di sebelah Fikry.

Fikry mengeluh perlahan.

               “Maid I ambik cuti harini. Terpaksa lah I bawak Raiq. Lagipun kita tengah spend time jugak kan.”

               “Taska kan bukak sampai pukul 5. You boleh je ambik dia petang nanti kan. Yang you ambik awal tu kenapa?” ujar Amira dengan nada suara yang sedikit tinggi. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia tidak suka dengan kehadiran Raiq.

               “You ni kenapa? Raiq ni kan budak lagi. Yang tak suka sangat dengan dia tu kenapa?!” tanya Fikry dengan nada yang tinggi. Wajahnya menunjukkan yang dia bengang dengan sikap Amira. Tidak mungkin untuk dia memberitahu keadaan sebenar kepada Amira. Jika gadis itu tahu yang Raiq merengek untuk pulang awal, pasti makin marah Amira terhadap Raiq.

               “Alaa you ni! Janganlah marah! Kita baru je jumpa dah gaduh.”

               “You tu yang start. Kalau tak suka ke nak main moody moody macam ni baik balik. I ni banyak kerja lagi nak kena buat,” ujar Fikry dengan nada yang tegas.

               “Emmm okaylah! Tapi lepas makan I nak gi shopping!” ajak Amira dengan nada yang bersemangat. Dia berusaha untuk menahan emosinya yang bengang dengan sikap Fikry. Lelaki itu seolah-olah langsung tidak mahu memujuk dirinya apatah lagi menunjukkan rasa rindu kepada dia. Sedangkan mereka sudah tidak bertemu hampir tiga minggu.

Fikry hanya mengangguk perlahan mendengarkan kata-kata kekasihnya. Dia malas untuk banyak berbicara. Kerana tahu yang hujungnya pasti gadis itu ingin menang sendiri. Lebih baik dia mengalah dan turutkan saja keinginan Amira. Tangannya pula masih tidak berhenti menyuapkan aiskrim ke mulut Raiq.

 

PAAN mengerutkan dahi melihat Wildan yang sedang duduk termenung di bangku yang di sediakan di dalam studionya.

               “Dan.”

               “Haa Paan. Dah siap ke?” tanya Wildan yang baru perasan dengan kehadiran Paan di sebelahnya.

               “Dah. Aku dari tadi lagi duk belakang kau,” jawab Paan seraya membetulkan duduknya di sebelah Wildan.

               “Laa ye ke? Sorry lah! Aku tak perasan.”

               “Macamana nak perasan kalau dari tadi lagi kau duk termenung kat sini. Kenapa? Ada problem ke? Ke kau pun nak kahwin?” gurau Paan dengan senyuman nipis di bibir.

               “Apa jauh sangat kau ni. Aku nak kahwin dengan sape? Sape je nak dengan aku ni An,” ujar Wildan rendah diri.

Paan melepaskan keluhan sambil menjelingkan matanya mendengarkan jawapan dari Wildan. Dia tahu sangat yang sahabatnya itu seorang yang setia dan sangat susah untuk move on. Buktinya Wildan masih belum menjalinkan hubungan dengan mana-mana gadis setelah putus dari bekas kekasihnya dulu. Bekas kekasihnya itu pun sudah ingin berkahwin dengan jejaka pilihan keluarganya, sedangkan Wildan masih belum dapat membuka pintu hatinya buat mana-mana wanita.

               “Kau tu je yang tak nak kenal dengan orang,” jawab Paan perlahan.

Wildan melepaskan ketawa kecil.

               “Susahlah An nak kenal orang baru. Bila aku kenal, aku dah sayang, nanti ada saja halangan. Kau tahu la aku bila aku dah sayang orang macamana. Aku dah penat nak tanggung rasa sakit,” jawab Wildan sambil matanya melotot melihat kaki seluarnya yang sedikit kotor.

Paan mengeluh di dalam hati. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Wildan. Hubungannya dengan Isya beberapa tahun lalu juga terkandas disebabkan tidak mendapat restu dari orang tua mereka sendiri. Dia tahu betul macamana sukarnya untuk Wildan menerima semua yang terjadi kerana lelaki itu sangat sayang dan cintakan Isya.

               “Takpe lah Dan. Nanti kau akan jumpa jugak dengan orang yang tepat. Mungkin sekarang belum masanya lagi,” ujar Paan dengan nada yang mendatar.

               “Kita ni dah jauh dah An. Kau nak cakap pasal benda lain kan tadi,” tegur Wildan seraya melepaskan ketawa besar.

               “Eh! Haahlah! Kau lah ni! Ish! Taklah, aku nak tanya kau okay ke tak? Sejak kau balik dari Johor ni, aku nampak kau lain. Macam ada sesuatu yang kau fikirkan,” ujar Paan menunjukkan rasa prihatin terhadap sahabat baiknya.

               “Aku tak tahu la Paan. Aku sekarang ni macam tanggung beban tau. Aku rasa serba tak kena. Aku macam ada rasa takut, rasa risau. Tapi aku tak tahu apa yang patut aku buat sekarang ni,” ujar Wildan dengan riak wajah yang kusut. Jelas menunjukkan yang fikirannya sedang dalam keadaan bercelaru ketika itu.

               “Takut? Takut apa?” tanya Paan yang bingung dengan jawapan Wildan. Dia tahu benar yang sahabatnya itu jarang mengeluarkan perkataan takut terhadap sesuatu. Dan bila Wildan mengatakan hal itu, dia yakin yang lelaki itu sedang menanggung masalah yang sangat sulit.

Wildan melepaskan keluhan berat.

               “Aku.. Aku risaukan family aku, ibu dengan baba aku, adik aku. Entah, aku rasa ada sesuatu yang ibu dengan baba cuba sembunyikan dari kami,” jawab Wildan berkongsi perasaan gusar di dalam hatinya.

               “Kejap. Apa ni Dan? Aku kurang faham la. Apa yang parents kau cuba sembunyikan? Kenapa pulak kau nak rasa takut?” tanya Paan yang bingung dengan kata-kata sahabatnya itu.

               “Aku sendiri tak tahu apa yang mereka cuba sembunyikan. Tapi aku dapat rasa yang ada sesuatu yang tak kena dengan family aku. Dulu, aku pernah tengok ada orang yang mengintai rumah aku and along aku pun ada bagitahu hal yang sama. Masa aku kat kampung untuk wedding Ainna pun aku ada jumpa surat dalam peti surat rumah baba aku,” jawab Wildan sambil melepaskan keluhan berat. Entah berapa keluhan yang sudah dia lepaskan pada hari itu. Sungguh perasaannya ketika itu bercampur baur. Takut, sedih dan risau semuanya terbuku di dalam dadanya.

               “Surat? Surat apa?” tanya Paan sambil menatap wajah sahabatnya dengan riak wajah yang tertanya-tanya.

Wildan membalas pandangan Paan dengan mata yang sedikit berkaca-kaca.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23