BAB 23

 

               YANA menceritakan kepada Fikry tentang panggilan telefon dari Fahmi yang diterima oleh ibunya. Dari tutur kata Yana, dia hanya menunjukkan nada yang biasa saja. Tidak menunjukkan sikap seperti sebelum ini. Yana kelihatan lebih tenang dalam menanggapi perbuatan adik bongsunya yang sudah menconteng arang ke muka keluarganya. Bagi Yana semua yang terjadi memang sudah menjadi suratan takdir, takdir yang menemukan dan menjodohkan mereka berdua. Dan berkat Fahmi tidak pulang ke majlis itu, maka Fikry lah yang menjadi suami kepada Ainna. Fahmi menjadi perantaraan untuk mempersatukan Ainna dan juga Fikry.

               “Mama okay je? Langsung tak marah?” tanya Fikry dengan nada yang sedikit kasar.

Yana mengeluh perlahan. Dia tahu Fikry masih marah dengan Fahmi. Tambahan pula, Fikry sudah pun memiliki kekasih hati. Jika dia ada di tempat Fikry pastilah dia ingin berkahwin dengan orang yang dia cintai. Namun, sekarang segalanya sudah pun berubah.

               “Mama tak nak la marah dia. Nanti Fahmi makin rasa bersalah, tak nak balik rumah terus macamana? Lagi lah susah,” jawab Yana perlahan.

               “Eh! Lantak dia lah! Dia bukan budak 15 tahun main lari-lari rumah. Dia bukan merempat pun kalau tak balik. Dia ada rumah, ada duit. Pandai-pandai lah nak hidup! Dah lah menyusahkan orang boleh pulak buat macam takde benda yang jadi,” bebel Fikry yang masih tidak puas hati dengan adik lelakinya.

               “Iky.. Jangan cakap macam tu,” pujuk Yana untuk menenangkan Fikry yang masih panas.

               “Ya lah! Eh kak! Kau tak rasa nak marah ke? Dia dah malukan family kita tau! Aku ni sampai sekarang aku segan nak mengadap family Ainna tu. Memang lah diorang tak pernah kata apa kat Fahmi, tapi belakang kita? Mesti diorang pun nak marah dengan adik akak tu! Malu tau!”

Yana hanya melepaskan keluhan perlahan mendengar bebelan Fikry. Mungkin dia saja yang anggap semua yang terjadi itu mudah sedangkan Fikry yang menanggung segala-galanya.

               “Tak pasal-pasal aku yang kena kahwin dengan Ainna. Semua ni sebab dia lah!” sambung Fikry lagi.

               “Iky... Apa Iky cakap ni? Tak baik tau! Kalau Ainna dengar, kecik hati dia. Iky kena ingat, jodoh, ajal, rezeki, semuanya sudah ditetapkan oleh Allah. Allah dah kata Ainna tu jodoh Iky. Kalau Fahmi balik sekalipun, Ainna akan kahwin jugak dengan Iky,” nasihat Yana yang sedar dengan kelakuan Fikry. Adiknya itu seolah-olah tidak dapat menerima takdir Allah.

Fikry terdiam. Dia tahu itu semua takdir Allah. Tapi dia juga manusia biasa. Bukan mudah untuk dia memaafkan Fahmi. Hidupnya berubah dalam sekelip mata saja disebabkan sikap Fahmi yang mementingkan diri sendiri. Dia terpaksa mengorbankan masa depannya semata-mata untuk menyelamatkan maruah keluarga yang sudah dicalarkan oleh Fahmi. Manusia mana yang tidak sakit hati dan boleh menerima segalanya dengan hati yang senang?

               “Akak faham tak mudah untuk Iky terima semua ni. Tapi akak tak suka Iky cakap macam tu. Iky kena ingat kat sini bukan Iky saja yang kecewa. Ainna pun sama. Macamana perasaan isteri Iky kalau dia dengar ucapan Iky tadi? Ingat sebaik mana pun Ainna, dia manusia. Ada hati dan perasaan. Even korang kahwin express sekalipun, dari segi hukum korang memang suami isteri yang sah. Kebahagiaan sesebuah keluarga bergantung kepada kebahagiaan dan keredhaan seorang isteri. Kalau Iky tak boleh bahagiakan Ainna macamana dengan family Iky? Fikir baik-baik. Akak dah pernah bagitahu kan Iky sekarang bukan lagi hidup sendiri. Iky hidup untuk anak dan isteri Iky. Kalau dulu Iky berkomitmen dengan Raiq dan sekarang dengan wife. So, kena pandai bahagikan masa dan perhatian. Jangan fikir nak melepak macam bujang dulu,” nasihat Yana dengan nada yang lembut.

Dia tidak tahu bagaimana kesudahan hubungan antara Ainna dan Fikry. Ikutkan hatinya memang dia berharap hubungan keduanya akan berkekalan, namun yang namanya jodoh tiada siapa yang tahu. Sekiranya nanti jodoh mereka tidak panjang, dia akur. Tapi sebolehnya selama Ainna menjadi isteri kepada Fikry, dia inginkan gadis itu mendapat yang terbaik dari adiknya. Kerana dia tahu Ainna sangat susah untuk dekat dengan mana-mana lelaki apatah lagi untuk menyayangi seseorang. Jadi dia tidak ingin pernikahan ini menambahkan lagi jurang untuk hubungan mereka disebabkan oleh layanan Fikry yang kurang baik pada Ainna.

               “Yee. Aku tahu lah. Aku cuma geram dengan Fahmi je tadi. Dia boleh senang je hidup bujang, sedangkan aku ni? Aku pikul tanggungjawab besar tau kak!” bebel Fikry lagi.

               “Ya akak tahu Iky. Tapi mana Iky tahu Fahmi hidup senang? Kita tengok dia hidup senang?” tanya Yana.

Fikry mendiamkan diri mendengarkan kata-kata kakaknya. Tidak tahu untuk memberikan respon yang bagaimana. Fahmi terlalu banyak berahsia dengan dia dan ahli keluarga yang lain. Jadi dia tidak terlalu tahu tentang kehidupan yang dijalani oleh adiknya itu.

               “Kita tak duduk di tempat dia. Kita tak tahu apa masalah dia. Jangan menilai dari apa yang kita nampak saja.”

Seketika kemudian, Yana mengeluh setelah ucapannya dibiarkan sepi oleh Fikry. Jelas yang adiknya masih marah dengan Fahmi.

               “Hmm tak apa lah. Akak tahu Iky busy. Sambung lah buat kerja tu. Jangan lupa tanya khabar Ainna,” nasihat Yana seraya mematikan panggilan telefon.

 

PUAN ROZITA yang sedang duduk santai di ruang tamu mengerling ke arah bingkai gambar yang ada di ruang itu. Dia perhatikan gambar-gambar tersebut satu persatu. Hatinya mengeluh sendiri.

               “Time flies too fast,” ujarnya perlahan dengan senyuman nipis.

               “Hai Puan Rozita, yang duk tersengih sendiri ni kenapa?” kedengaran suara suaminya memecahkan kesunyian di ruang dapur itu.

               “Abang ni, suka kejutkan saya tau! Ni haa tengah tengok gambar anak-anak waktu kecik dulu,” ujarnya perlahan.

               “Hmm tiba-tiba saja awak ni kenapa?”

               “Saja je bang. Rindu masa dorang kecik-kecik dulu. Happy je. Sekarang semua dah besar. Masing-masing nak ikut kepala dia saja. Tak nak dengar dah apa yang kita nak,” jawab Puan Rozita dengan suara yang perlahan. Mungkin terasa sayu mengenangkan kenangan yang sudah lalu.

               “Anak-anak awak tu dah ada kehidupan masing-masing. Dia rasa dia dah besar. Itu sebab apa yang kita kata, apa yang kita nak semua salah, semua tak betul. Sedangkan apa yang kita buat tu untuk kebaikan anak-anak jugak.”

               “Abang sedar tak Wildan selalu bagitahu yang kita suka memaksa anak-anak. Paksa untuk buat benda yang kita suka. Tak nak dengar apa yang mereka nak. Sejujurnya abang, saya terasa hati dengan Wildan. Saya ni ibu tau bang! Saya cuma nak yang terbaik untuk anak-anak saya. Salah ke?” tanya Puan Rozita setelah meluahkan isi hatinya yang terguris dengan anak-anaknya.

Encik Syarif mengeluh perlahan.

               “Menurut awak salah ke?” tanya Encik Syarif lagi tanpa menjawab pertanyaan isterinya.

Puan Rozita hanya mendiamkan diri mendengar pertanyaan suaminya.

 

               “Kalau menurut saya lah, kita ni orang tua. Tak ada istilah kita salah dalam mendidik anak-anak. Masing-masing ada cara tersendiri dalam membesarkan anak-anak. Dan mungkin itu cara kita untuk masa depan anak-anak. Contohnya Wildan, saya nak sangat dia masuk dalam company sebab apa? Sebab saya tahu kerja sebagai photographer ni tak akan lama, tak akan ada masa depan. Kerja macam ni bila kamu dah tua nanti sudah tak larat, macamana nak buat kerja? Kalau dia masuk dalam company, naikkan nama company, masa depan dia dan keturunan dia akan terjamin. Kita sudah fikir apa yang betul dan salah untuk mereka, tapi bila dah dia tu rasa dia lagi bijak dari kita, macam tu lah jadinya.” jawab Encik Syarif dengan nada yang tegas.

               “Betul jugak kata abang. Mungkin penerimaan anak-anak terhadap keinginan kita tu yang salah. Sebab itulah seringkali anak-anak menyalahkan kita atas segala yang berlaku.” jelas Puan Rozita.

               “Eh! Bang, saya nak naik mandi dulu. Saya ada janji dengan kak Rosnah kejap lagi. Saya dah lupa dah tadi,” sambung Puan Rozita lagi seraya berjalan keluar dari ruang dapur dan diikuti dengan suaminya.

Wafiq yang sedari tadi mendengar perbualan antara ibu dan babanya di sebalik pintu mengeluh perlahan.

‘Di dunia ni tidak ada yang sempurna. Setiap orang pasti akan melakukan kesalahan tak kira umur, pangkat dan darjat seseorang. Dan sudah lazimnya kesalahan akan ditamatkan dengan kata maaf. Bila seseorang itu memilih untuk berfikir yang mereka tak pernah salah, maksudnya mereka memang memilih untuk tidak mengucapkan kata maaf kepada sesiapa pun. Tanpa ibu dengan baba sedar, perbuatan inilah yang mengguris perasaan anak-anak, yang menjarakkan hubungan antara kita. Ibu dan baba anggap semua yang ibu dengan baba nak adalah untuk kebaikan semua orang. Tapi ibu dengan baba pernah tak fikir apa yang kami nak? Pernah tak dengar apa yang kami cakap? Never! That’s why Wildan dengan Ainna tak suka dengan cara baba. Cara yang memaksakan anak-anak untuk buat sesuatu yang baba nak tanpa dengar apa yang kami nak. Everyone will be fine kalau ibu dengan baba bersikap terbuka. Dengar apa yang kami nak, bagitahu consequences dan advantages between our passions and yours. Apa-apa hubungan sekalipun, communication is the key,’ desisnya di dalam hati.

WAFIQ berjalan keluar dari sebuah kedai makan ternama di sekitar kawasan Taman Bentara. Disebabkan waktu makan tengah hari jadi ramai yang memarkirkan keretanya berdekatan dengan restoran itu. Jadi, terpaksalah dia parkir keretanya di lorong belakang yang agak sunyi. Lehernya yang terasa lenguh diurut perlahan. Keluhan direngus perlahan. Beg bimbit yang berisi dokumen kerja dan juga komputer riba dipegang kemas di lengannya.

Tiba-tiba ada seorang lelaki yang memakai topeng dengan memegang pisau di tangannya merampas beg yang dipegangnya tadi. Wafiq mulai cuak.

               “Bro! Jangan macam ni bro! Okay kau nak apa? Duit? Kereta? Semua aku boleh bagi, but please jangan beg tu. Beg tu barang kerja saja. Tak boleh jual pon!” ujar Wafiq dengan tangan yang cuba untuk menenangkan lelaki itu.

               “Kisah pulak aku! Kau jangan nak tipu! Dalam ni ada laptop!” bentak lelaki itu dengan nada yang kasar.

Suara seseorang dari belakang Wafiq membuat perompak itu segera melarikan diri dengan membawa peralatan Wafiq. Wafiq yang masih terkejut dengan kejadian itu mulai tersedar setelah lelaki yang menjerit tadi menepuk bahunya perlahan. Otaknya tidak dapat berfikir dengan baik apa yang seharusnya dia lakukan. Dia hanya menghantar lelaki itu yang berlari untuk mengejar perompak tadi. Dia menghentakkan tangannya ke dinding.

‘Apa aku nak jawab dengan baba ni? Mampos lah!’ desis hatinya yang teringat dengan dokumen projek papanya yang dia ambil dari pelanggannya sebentar tadi.

Seketika kemudian, lelaki yang tadinya mengejar perompak memegang bahu Wafiq yang sedang duduk di tepi longkang yang ada disitu. Mungkin sedang meratapi nasibnya yang mungkin akan dipertaruhkan.

               “Bro!” tegur lelaki itu seraya menghulurkan beg yang berisi dokumen dengan komputer riba.

Wafiq segera bangun seraya mengambil beg dari tangan lelaki itu. Wajahnya yang tadinya suram kembali bersemangat.

               “Cuba check ada apa-apa yang hilang tak?” tanya lelaki itu lagi.

Wafiq segera membuka beg dan melihat isi di dalamnya. Dia melepaskan nafas lega setelah melihat semuanya masih utuh di dalam beg itu.

               “Alhamdulillah takde! Anyway thankyou bro!” ujar Wafiq seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki itu.

               “Tak ada hal la. Tapi lain kali hati-hati sikit. Area ni memang banyak kes,” ujar lelaki itu sambil menyambut salam Wafiq.

               “Kau teruk ke kena? Nampak lebam dekat muka tu. Perut sakit ke?” tanya Wafiq yang melihat lelaki itu asyik memegang perutnya.

               “Eh! Taka da lah! Sikit je ni. Takpe, nanti okay lah,” jawab lelaki itu dengan senyuman nipis.

               “Mana boleh! Okay macam ni, aku bagi duit kau pergi klinik eh?” ujar Wafiq seraya mengeluarkan dompetnya untuk menghulurkan duit kepada lelaki itu.

Lelaki itu segera memegang lengan Wafiq seraya berkata,

               “Tak semua orang nak duit. Aku tolong kau bukan sebab duit,” ujar lelaki itu lagi.

Wafiq terkedu dengan jawapan lelaki itu. Dapat dilihat dari pakaiannya yang lelaki itu bukan orang yang berada.

               “Thankyou bro! Okay tak pe. Kau ambik business card aku ni. Aku tak tahu kau perlukan ke tidak, tapi mana lah tahu esok-esok kau perlukan apa-apa bantuan. So kau boleh call je aku. In sya Allah mana yang aku boleh tolong, aku tolong,” ujar Wafiq yang mulai rasa bersalah.

Lelaki itu mengukirkan sneyuman nipis dan menerima huluran kad dari Wafiq.

               “Ahmad Wafiq? Co-CEO of R and S corporation?” tanya lelaki itu sambil mengerling kea rah Wafiq.

Wafiq hanya mengukirkan senyuman nipis.

               “Sorry encik! Aku tak tahu kau CEO company” ujar lelaki itu dengan riak wajah yang sedikit berubah.

               “Eh! Apa encik-encik nya. Aku rilek je lah. Lagi selesa macam tadi. And you are?” tanya Wafiq untuk tahu nama lelaki yang sudah membantunya itu.

               “Hafiz, Hafiz Aiman,” jawabnya ringkas.

Wafiq hanya mengangguk perlahan seraya mengerling ke arah jam yang ada di tangannya.

               “Eh! Sorry Hafiz. Aku kena gerak dulu, ada meeting kejap lagi. Nanti kau call aku ya? Boleh ajak lepak-lepak,” ujarnya seraya menepuk bahu Hafiz perlahan dan meninggalkan lelaki itu yang mengukirkan senyuman dan menganggukkan kepala perlahan.

               “Game has just started,” ujar Hafiz dengan senyuman sinis seraya menyapu lebam yang ada di bibirnya.

 

JAM menunjukkan pukul 5 petang ketika Fikry memberhentikan keretanya di hadapan rumah Ainna. Raiq yang sedang tidur dikerling sekilas. Dia mengambil telefon bimbitnya seraya mendail nombor isterinya.

               “Assalamualaikum, awak kat mana?” tanya Fikry.

               “Waalaikumussalam, kat rumah. Kenapa?” tanya Ainna yang pelik dengan sikap suaminya. Jarang Fikry menelefonnya waktu petang begitu.

               “Cunn. Jom keluar?” ajak Fikry dengan nada yang kedengarannya seperti teruja.

               “Keluar? Keluar mana?” tanya Ainna lagi.

               “Keluar jalan-jalan lah!”

               “Tak lucu lah,” jawab Ainna dengan nada yang malas melayan suaminya.

               “Ya Allah dia ni. Ada ke saya kata saya tengah melawak? Saya betul-betul ajak keluar ni,” ujar Fikry.

               “Awak datang sini ke?” tanya Ainna lagi yang mulai rasakan suaminya sedang merancang sesuatu untuk mereka.

               “Puan Ainna Wardina, cuba tengok luar rumah sekarang,” ujar Fikry yang sudah keluar dari kereta dan bersandar di pintu kereta sebelah penumpang.

Ainna segera berjalan ke tingkap untuk melihat ke luar rumah. Dia merengus perlahan.

               “Kenapa tak bagitahu dulu nak datang? Kalau saya takde kat rumah canne?” tanya Ainna dengan nada yang mulai geram.

               “Sebab saya tahu awak ada la saya datang,” jawab Fikry seraya melepaskan tawa kecil. Salah satu sikap Ainna yang sangat dia sukai adalah gadis itu selalu meminta izin dari dia tidak kira ke mana pun dia ingin pergi. Dan dia tahu tentang waktu kerja Ainna juga dari abangnya, Wildan. Jadi, dia harus berterima kasih kepada abang iparnya kerana sudah membantunya untuk memberi kejutan buat isterinya.

               “Ish! Saya tak boleh keluar lah! Malam ni saya nak keluar dinner dengan housemate saya,” ujar Ainna.

               “Awak kan dah selalu keluar dengan housemate malam weekend. Apa salahnya malam ni spend time dengan suami dan anak awak?” ujar Fikry dengan menekankan perkataan suami. Dia tahu itu salah satu kelemahan Ainna. Gadis itu akan merasa bersalah sekiranya dia menggunakan kuasa vetonya sebagai seorang suami.

               “Ish! Yelah! Tunggu lah kejap. Nak bersiap dulu. Lain kali call la bagitahu awal-awal. Kan sekarang dah kena tunggu orang bersiap,” bebel Ainna seraya segera berjalan ke bilik untuk bersiap. Nasib baik dia sudah siap gosok baju dan tudung untuk keluar bersama-sama teman serumahnya malam nanti.

               “Jangan lupa bawak baju lebih. Kita tidur luar malam ni,” arah Fikry lagi.

Ainna mengerutkan dahi. Dia semakin geram.

‘Suka tau buat semua benda ikut kepala dia saja. Ni nasib baik aku tak ada kerja banyak. Kalau ada aku dah hempuk kepala dengan fail. Bukannya nak bagitahu awal-awal. Main terjah je! Ish! Geram betul lah!’ bisik Ainna di dalam hati sambil tangannya dengan tangkas mengemas beg baju.

               “Hello! Dengar tak?!” tanya Fikry yang tidak mendengar jawapan dari isterinya.

               “Ye! Dengar! Sabar lah orang tengah kemas baju ni,” jawab Ainna dengan nada yang sedikit tinggi. Risau sekiranya Fikry tidak mendengar suaranya disebabkan jarak telefon yang sedikit jauh darinya.

               “Ni awak dah Asar ke belum?” tanya Ainna yang cuba mencari masa supaya dia tidak perlu kalut untuk mengemas pakaian.

               “Belum, takpelah! Kejap lagi la solat. Berhenti kat masjid sana,” jawab Fikry perlahan.

               “Pergi la solat dulu, saya nak kemas baju ni tak ada lah lama sangat awak tunggu,” ujar Ainna lagi.

               “Raiq tengah tidur ni,” jawab Fikry seraya mengerling ke arah Raiq melalui tingkap kereta.

               “Masuk solat sini la. Bawak Raiq masuk dulu,” ujar Ainna sekadar memberi cadangan.

Mendengarkan bisu dari corong telefon, dia menyambung kata,

               “Housemate saya takde. Semua balik lepas maghrib,” jawab Ainna yang tahu Fikry mungkin tidak selesa.

               “Takpe ke? Rumah perempuan ni,” tanya Fikry lagi.

               “Takpe, bilik saya paling depan,” jawab Ainna perlahan. Dia sempat keluar ke ruang tv untuk memastikan tidak ada ‘barang wanita’ di situ.

               “Okay then,” jawab Fikry seraya mematikan panggilan dan berjalan masuk ke dalam kereta untuk mematikan enjin.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7