BAB 20

 

FIKRY masih diterpa perasaan hairan dengan tingkah laku abang iparnya, Wildan. Sejak dia menjadi salah satu penghuni di rumah Encik Sharif, dia perasan yang Wildan seperti sengaja menjauhkan diri dari ahli keluarga yang lain. Dia lebih memilih untuk menyendiri di kamarnya berbanding duduk meluangkan masa bersama dengan ahli keluarga yang lain. Namun, bila bersama Ainna dan juga dia, lelaki itu kelihatan seperti biasa saja. Tingkah lakunya juga sama seperti dulu, sebelum dia bergelar adik ipar kepada Wildan.

Dia rasakan yang Wildan ada masalah dengan ibu dan babanya. Mana tidaknya, Wildan boleh pulang ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan dulu kepada ibu dan babanya. Malahan, Ainna pula yang menjelaskan kepada orang tua mereka yang Wildan terpaksa pulang awal pagi kerana ada meeting dengan rakan kerjanya. Padahal baru semalam Wildan memberitahu Fikry yang dia sudah menangguhkan kerjanya dalam seminggu ini untuk merehatkan diri dari tekanan kerja.

Fikry bingung sendirian. Dia mengerling ke arah isterinya melalui cermin pandang belakang. Raiq yang asyik menonton kartun ‘Didi and Friends’ dikerling sekilas.

               “Ainna,” panggil Fikry dengan nada yang lembut.

Suara Fikry mengembalikan Ainna ke alam nyata. Dia memandang Fikry dari tempat duduk belakang.

               “Kenapa?”

               “Emm… Saya nak tanya something boleh?” tanya Fikry dengan nada yang perlahan. Bingung dia untuk menyusun ayat supaya pertanyaannya tidak kelihatan seperti dia seorang yang kepoh dengan urusan orang lain.

               “Apa dia?” tanya Ainna yang kembali menyandarkan tubuhnya di kerusi kereta Fikry yang empuk itu.

               “Saya tengok Wildan macam banyak diam je seminggu ni. Dia okay ke?” tanya Fikry dengan riak wajah yang serba salah.

Ainna mengeluh di dalam hati. Tidak tahu apa yang perlu dia jelaskan pada Fikry. Dia akui perangai Wildan di rumah dengan di Kuala Lumpur sangat berbeza. Fikry yang baru seminggu menjadi ahli keluarganya juga perasan dengan perubahan Wildan. Cuma ibu dan babanya saja yang buta untuk melihat tingkah laku Wildan. Mungkin lebih tepatnya, berpura-pura tidak tahu dengan perubahan abangnya.

               “Taklah! Angah okay je. Dia memang selalu macam tu. Kalau balik rumah je sibuk fikir hal kerja. Anak buah dia pun selalu sangat call tanya hal kerja. Tu yang kadang stress sangat sampai affect emosi dia,” bohong Ainna demi menjaga air muka kedua orang tuanya. Tidak mungkin untuk dia menceritakan hal sebenar pada Fikry. Tidak semua orang akan faham dengan keadaan ahli keluarganya itu. Nampak seperti sebuah keluarga yang sangat bahagia, berlimpahkan pangkat dan harta, mempunyai kerjaya dan pendidikan yang tinggi, namun realitinya hanya mereka saja yang tahu.

Fikry mengangguk perlahan. Jauh di sudut hatinya dia masih tidak dapat menerima jawapan Ainna, namun dia berusaha untuk akur. Mungkin saja gadis itu belum bersedia untuk menceritakan masalah keluarganya pada dia.

               “Saya ingat dia marahkan saya pasal kes Fahmi,” jawab Fikry dengan senyuman nipis.

               “Takde lah. Angah okay je. Lagipun dia dah kenal awak, so takde masalah pun,” jelas Ainna dengan nada suara yang menurun.

Fikry kembali fokus dengan pemanduannya setelah melihat Ainna melepaskan pandangannya ke luar tingkap. Gadis itu menunjukkan seolah-olah ingin waktu untuk sendiri atau juga untuk menenangkan fikirannya.

 

YANA yang baru saja melangkahkan kaki ke dapur tersenyum melihat mamanya sedang duduk di meja makan.

               “Ma! Jauh termenung,” tegur Yana dengan senyuman tipis.

Puan Faridah mengukirkan senyuman nipis.

               “Saja terkenangkan balik wedding Ainna dengan Fikry haritu.”

               “Happy betul mama dapat menantu,” sakat Yana setelah melihat mamanya mengukir senyuman lebar ketika bercerita tentang majlis yang diadakan seminggu yang lalu.

               “Entahlah Yana. Mama ni sedih ada, happy pun ada. Sedih sebab Fahmi buat kita macam ni. Tapi dalam masa yang sama, mama rasa bersyukur untuk Fikry. Bersyukur sebab Ainna yang jadi isteri dia. Selama ni mama risau dengan Raiq. Kalau Fikry kahwin, boleh ke wife dia terima Raiq. Tambah lagi si Amira tu. Lagi lah mama tak yakin. Tapi bila tengok Ainna layan kerenah Raiq tu, mama bersyukur sangat. Bersyukur sebab dia boleh sayang dan jaga Raiq macamana kita jaga dia selama ni. Mama boleh nampak yang dia betul-betul sayangkan Raiq,” jelas Puan Faridah dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir.

Yana tersenyum mendengar ucapan mamanya. Dia akui yang Ainna memang seoarang gadis yang penyayang. Bukan hanya kerana layanan dia pada Raiq, tapi memang gadis itu seorang yang lemah lembut dan penyayang terhadap orang di sekelilingnya. Jadi sangat tidak hairan melihat kasih sayang yang dicurahkan oleh Ainna kepada Raiq.

               “Ainna tu memang baik ma. Bertuah Iky dapat kahwin dengan perempuan sebaik Ainna. Ainna tu apa-apa mesti dahulukan family dia. Susah macam mana pun keadaan dia, kalau family dia mintak tolong je, dia terus buat. Sama lah macam Iky. Betullah kata orang jodoh tu cerminan diri kita.”

Puan Faridah mengangguk perlahan.

               “Macamana la keadaan Fahmi kat sana. Mama cuma risau terjadi sesuatu pada adik kamu tu. Sihat ke sakit ke langsung takde kabar berita,” sambung mamanya lagi.

Yana melepaskan keluhan perlahan.

               “Itulah. Si Fikry ni pun bukannya nak call ke whatsapp bagitahu keadaan dia. Tahu nak lari je!” ucap Yana dengan nada suara yang tinggi. Geram dengan sikap adiknya yang satu itu.

               “Mungkin dia takut mama dengan papa marahkan dia la tu,” jawab mamanya seolah-olah memihak pada Fahmi.

               “Tahu pun takut. Masa buat keputusan tu tak fikir pulak mama dengan papa marah. Tahu nak ikut kepala dia saja. Sekarang yang dia tahu nak larikan diri dari kita. Sampai bila ma? Kita ni family, sampai bila dia nak jauhkan diri dari kita?” protes Yana. Dari hari majlis lagi dia nak meluahkan amarahnya pada Fahmi namun dia faham yang mamanya masih dalam keadaan bersedih. Sekarang dia rasa dia perlu menyatakan rasa geramnya terhadap Fahmi.

               “Tak tahulah Yana. Mama ni mak dia. Walau apa pun kesalahan yang dia buat, mama tak boleh nak marah apatah lagi sampai berkecil hati. Nanti susah pula kerja buat dia di luar sana. Apa yang mama mampu buat sekarang hanya mendoakan semoga adik kamu tu lembut hati untuk balik ke rumah kita,” jawab mamanya bertujuan untuk menenangkan anak perempuannya yang sedang emosi.

Yana merasa bersalah mendengarkan kata-kata mamanya. Dia sepatutnya mengerti keadaan mamanya itu. Wanita itu pasti merasa sangat risau mengenangkan keadaan Fahmi yang mungkin dalam keadaan serba salah dengan keluarga. Sedangkan dia, dia hanya fikir dari sudut pandang yang negatif saja. Malah asyik menyalahkan Fahmi kerana adiknya sudah hampir memalukan keluarga mereka. Padahal dia sendiri yang bersyukur kerana dengan ketiadaan Fahmi, Ainna sudah pun sah menjadi isteri kepada Fikry. Seperti yang dia harapkan selama ini.

               “Kita doakan yang baik-baik je ma untuk dia. Yana yakin Fahmi takkan buat sesuatu yang melampaui batas. Dia masih tahu halal dengan haram ma. Mungkin sekarang ni dia nak masa untuk menyendiri dan tenangkan fikiran dia,” pujuk Yana lagi.  

               “Itulah yang mama selalu doa untuk dia, Yana. Mama yakin Fahmi akan balik dan jumpa kita semua. Dia akan jelaskan semuanya pada kita,” jawab mamanya lagi.

Yana mengangguk perlahan dan berusaha mengukirkan senyuman nipis sekadar untuk menyalurkan semangat pada mamanya.

 

HAFIZ menggenggam tangannya dengan kasar setelah melihat gambar yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Rasa amarah semakin membuak-buak.

‘Dunia ni memang tak adil. Walaupun dia dah hancurkan kehidupan orang lain, dia masih lagi mampu tersenyum dan dapat kebahagiaan tanpa ada campur tangan orang luar. Kau jangan terlalu bahagia Syarif. Aku akan pastikan kebahagiaan korang sekeluarga takkan kekal. Kau kena bayar atas semua yang sudah kau buat!’ desis hati kecilnya sambil menatap satu persatu wajah yang ada di gambar itu dengan penuh dendam di bola matanya.

               “Abang..” tegur satu suara dengan nada yang lembut.

Hafiz mendongakkan kepala melihat sesusuk tubuh yang berkerusi roda datang menghampirinya.

               “Azim. Awalnya bangun,” tegur Hafiz dengan riak wajah yang sedang berusaha mengawal amarah.

               “Bosan la lama-lama dalam bilik. Abang tengok apa tu?” tanya Azim sambil matanya mengerling ke arah telefon bimbit abangnya.

               “Tak ada apa lah. Hal kerja saja. Azim bosan kan? Jom keluar,” ajak Hafiz sengaja untuk mengalihkan perhatian. Dia kemudiannya bangun untuk menolak kerusi roda yang diduduki oleh adiknya.

Azim memegang lengan abangnya tanda mencegah lelaki itu dari meneruskan niatnya. Dia melepaskan keluhan berat seraya memandang wajah sugul abangnya.

               “Abang kata takkan rahsiakan apa-apa dari Azim. So, please. Tell me,” pujuk Azim sambil menunjukkan riak wajah yang muram.

Hafiz memejamkan matanya seraya duduk berhadapan dengan adiknya. Dia berusaha untuk mengukirkan senyuman sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menunjukkan gambar yang dia lihat sebentar tadi.

Azim mengambil telefon bimbit dari abangnya. Hatinya kembali sakit melihat wajah yang ada di dalam gambar itu. Giginya mengetap bibir dengan sangat keras.

Hafiz yang sedar dengan perubahan adiknya, segera menggenggam erat tangan adiknya. Dia mencuba untuk menyalurkan semangatnya yang tersisa buat Azim.

               “Azim jangan fikir sangat. Ingat yang Azim tak boleh stress nanti sakit balik. Biar abang yang urus semua benda ni,” jawab Hafiz dengan nada yang lembut.

Azim tidak dapat menahan air matanya yang sedari tadi bertakung. Tangannya segera memegang dadanya yang terasa sesak.

               “Kenapa mereka boleh hidup bahagia tanpa ada masalah? Sedangkan aku? Aku terpaksa tanggung semua ni selama sepuluh tahun! Sepuluh tahun aku terpaksa hidup sebagai orang cacat! Mereka boleh senang-lenang menikmati kehidupan di luar sana dengan bebas dan tanpa rasa bersalah! Kenapa Tuhan tu tak adil, bang?! Lebih baik aku mati saja lah macam ni! Tak guna aku hidup hanya untuk tengok keluarga mereka bahagia!” jerit Azim sambil menghentakkan tangannya ke riba dengan kasar.

Hafiz tidak dapat menahan rasa sebaknya. Dia segera merangkul Azim ke dalam pelukannya bagi menenangkan adiknya. Sejak adiknya terpaksa bergerak dengan kerusi roda, Azim sangat sukar untuk mengawal emosinya sendiri. Jadi, kerana itulah dia dan ahli keluarganya yang lain tidak pernah meninggalkan Azim sendirian. Risau sekiranya ada sesuatu yang akan mengganggu fikirannya jika dia duduk dalam suasana yang sunyi.

               “Azim tak boleh macam ni! Azim kena ingat yang Azim masih ada abang. Azim ada keluarga lagi. Kami semua tak nak tengok Azim terus jadi macam ni. Azim kena sabar! Abang akan pastikan mereka akan bayar atas apa yang mereka dah buat pada Azim, pada keluarga kita. Mereka akan rasa apa yang kita tanggung selama ni,” pujuk Hafiz dengan nada yang lembut namun penuh dengan ketegasan.

Azim menangis teresak-esak di pelukan abangnya. Rasa sakit hati yang terbuku sejak dari dulu semakin menyesakkan dadanya. Segala kata-kata hinaan dan perbuatan keji yang diterima kembali menghantui fikirannya.

Hafiz mengenggam tangannya dengan sangat kencang hingga dia dapat rasakan cengkaman kuku di genggaman tangannya. Dia tidak sanggup untuk menunggu sepuluh tahun lagi untuk menyaksikan kejatuhan keluarga Syarif. Sudah cukup sepuluh tahun dia bersabar melihat satu persatu kebahagiaan yang diberikan pada keluarga itu. Kalau dulu dia tidak dapat membalas dendam dengan keluarga itu kerana masih dipandang sebagai budak hingusan, jadi sekarang dia sudah boleh membalas segala dendam yang disimpan selama ini. Kini, dia bukan sahaja meningkat dewasa tapi juga sangat digeruni oleh orang sekeliling. Jadi sudah tiba waktunya dia melaksanakan segala yang telah ada dalam rancangannya. Dia akan pastikan keluarga Syarif akan rasa apa yang keluarganya tanggung selama ini.

 

AINNA yang baru keluar dari bilik mandi terkejut melihat Hani yang sedang berbaring di katilnya.

               “Eh! Kau ni Hani! Terkejut aku! Sudahlah dengan rambut yang tak diikatnya!” kata Ainna dengan nada suara yang tinggi. Tangannya pula mengurut dadanya perlahan. Mungkin untuk menenangkan jantungnya yang terperanjat tadi.

               “Hehe.. Kau pun tadi buat aku terkejut jugak. Takde salam, takde tekan loceng main masuk je dalam rumah. Nasib baik aku berani nak tengok dalam bilik ni tau! Kalau tak aku dah berkurung je dalam bilik dari tadi,” ujar Hani dengan tangan yang sibuk bermain dengan rambutnya.

               “Aku dah bagi salam la! Aku ingat takde orang. Dah aku tengok pintu terkunci rapat saja,” jawab Ainna seraya melabuhkan duduk di atas katilnya yang serba biru muda itu.

               “Hmm. Aku kunci lah dah aku sorang je ada kat rumah. Dua tiga hari ni dorang asyik busy saja. Maybe sebab nak habis sem kot,” jawab Hani.

               “Padan muka kau. Aku suruh balik sekali dengan aku taknak!”

               “Eleh! Kalau aku tunggu kau, kau tak dapat la nak naik kereta mahal laki kau! Eh! Ainna, laki kau kan kaya. Boleh la kau sedekah Myvi kau untuk aku kan?” usik Hani sengaja untuk menceriakan suasana.

               “Banyaklah kau! Yang kaya dia. Kenapa aku nak bagi kereta aku pulak? Kereta tu aku beli dengan duit aku sendiri tau! Harta pertama yang aku ada,” jawab Ainna lagi sambil menjeling ke arah Hani.

               “Cakap je lah kau kedekut! Laki kaya Myvi murah pun nak simpan!” gurau Hani.

               “Eh! Ainna. Laki kau okay ke kau teros stay sini?” sambung Hani dengan pertanyaannya yang sekadar ingin tahu.

               “Kenapa kau tak suka ke aku duk sini?”

               “Ish! Mestilah aku suka. Kalau ada kau, takde lah aku sunyi sangat kalau budak dua tu busy. Aku saja la nak tahu. Kau kan dah kahwin, tapi duk asing dengan laki kau,” sambung Hani membetulkan kata-katanya. Risau jika akan mengguriskan perasaan sahabat baiknya itu.

               “Ntah. Dia tak kata apa pun. Aku pun malas la nak tanya. Lagipun aku kahwin ni pon express. Kalau nak pindah duk dengan dia macamana dengan kerja aku. Dia takpelah duit banyak. Aku ni gaji pun cukup makan ja,” jawab Ainna sambil bangun untuk menyidai tualanya.

               “Betul jugak. Tapi family korang okay ke? Ibu dengan baba kau tak marah?” tanya Hani lagi.

Ainna melepaskan keluhan perlahan.

               “Lantaklah Hani. Aku dah malas nak fikir. Sebab aku fikir apa yang orang kata la aku jadi macam ni. Aku dah penat lah. Lagipun sekarang ni aku bukan hanya perlu patuh pada ibu dan baba. Tapi pada suami aku. Dia syurga utama aku sekarang. Aku derhaka atau tidak sekarang ni bergantung pada suami aku. Jadi, aku tak kisah sangat dah apa yang ibu dengan baba nak suruh,” jawab Ainna seolah-olah malas mengambil pusing hal yang berkaitan dengan kedua orang tuanya.

Hani diterpa rasa bersalah kerana menanyakan hal tersebut pada Ainna. Dia tahu yang sahabatnya masih berkecil hati dengan tindakan ibu dan babanya. Pasti Ainna sekarang sedang berusaha untuk menghadam semua yang terjadi. Lebih baik dia memberi waktu untuk sahabatnya menenangkan diri.

               “Sorry, Ainna. Aku tahu aku tak patut campur urusan kau,” ujar Hani dengan riak wajah yang serba salah.

Ainna yang menyedari kata-katanya tadi sedikit kasar, mengukirkan senyuman dan duduk di samping Hani.

               “Apa kau ni! Aku tak terasa hati pun dengan kau. Aku tak kisah lah kalau kau nak tanya. Kau dah banyak tolong aku Hani, aku dah anggap kau macam family aku sendiri dah. Aku cuma luah apa yang aku rasa saja.”

               “In sya Allah, kau mampu jadi isteri yang baik untuk suami kau. Aku akan sentiasa doakan kebahagiaan kau dan keluarga baru kau ni. Okaylah. Aku nak keluar masak maggi,” ujar Hani seraya keluar meninggalkan Ainna yang terkedu mendengar ucapan terakhirnya tadi.

‘Isteri yang baik? Am I a good wife for him? Kalau seminggu lepas kahwin pun aku dah pisah rumah dengan dia, tak jaga makan pakai dia. Macam mana nak jadi isteri yang baik? Hilang satu dosa, tambah dosa yang lain,’ desis Ainna di dalam hati dengan nada yang sinis. Sinis dengan dirinya sendiri.

 

FIKRY mengeluh berat. Penat memandu tidak hilang lagi, Amira pula seperti sengaja menambahkan serabut di kepalanya. Gadis itu tidak habis-habis menelefonnya untuk berjumpa sedangkan dia baru saja sampai ke Kuala Lumpur. Suara Raiq yang tidak berhenti menangis menyesakkan lagi emosi Fikry.

               “Raiq. Kenapa ni? Makan dah, mandi pun dah! Nak apa lagi?” bentak Fikry dengan nada suara yang kasar. Wajah Raiq yang dibasahi dengan air mata langsung tidak dipandang.

Pertanyaan Fikry dibiar sepi. Hanya suara si kecil itu yang menghiasi kesunyian di antara mereka. Fikry melepaskan nafas kasar. Jam di dinding menunjukkan pukul 7:15 malam. Dia mengerling ke arah Raiq yang tersedu-sedan kerana menahan tangis. Timbul rasa kasihan melihat keadaan anak lelakinya itu.

Dia meraup mukanya dengan kasar setelah menyedari yang dia sudah meninggikan suara pada anaknya. Fikry berjalan mendekati Raiq yang duduk di kaki sofa dengan menekupkan mukanya ke bantal kecil yang berwarna ungu muda. Tangan kasarnya menyentuh lembut kepala si kecil. Hatinya yang tadi panas merasa sayu mendengarkan esakan Raiq.

               “Sayang, Raiq. Papa sorry okay? Papa sorry. Okay Raiq nak apa? Papa buatkan. Nak milo? Nak aiskrim?” tanya Fikry dengan nada yang lembut.

               “Papa selalu marah Raiq. Kalau papa tak sayang Raiq kenapa papa bawak Raiq balik sini. Biar je lah Raiq duduk dengan nenek dengan maklong. Raiq tak nak duduk dengan papa! Papa jahat! Papa dah tak sayang Raiq!” jerit Raiq dengan nada suara yang tinggi. Namun, wajahnya masih ditekupkan di bantal.

Entah kenapa kata-kata Raiq seperti menghiris hati Fikry. Perasaannya merasa sebak mendengarkan luahan anaknya. Dia terlalu sibuk memikirkan cara untuk menjelaskan kepada Amira tentang statusnya hingga dia mengabaikan perasaan anak kecil itu. Fikry sedar sejak dia berkahwin dengan Ainna, dia selalu mengabaikan Raiq. Mungkin ketika di kampung, Raiq tidak terlalu merasakan perubahannya kerana ada Ainna dan ahli keluarganya yang lain yang sentiasa melayan kerenahnya. Jadi, sekarang dia pula yang merasa terbeban dengan adanya Raiq sedangkan anak kecil itu tidak melakukan apa-apa kesalahan.

               “Tak sayang. Papa sayang Raiq. Raiq kan anak papa, mestilah papa sayang Raiq. Papa penat tadi, papa nak marahkan orang lain, tapi papa terlepas cakap pada Raiq. Papa sorry okay? Okay sayang?” pujuk Fikry lagi sambil mengusap tubuh si kecil yang sudah ada di dalam pelukannya.

Raiq hanya mendiamkan diri saja. Langsung tidak memberi respon terhadap pertanyaannya. Mungkin masih merajuk dengannya. Fikry tersenyum melihat Raiq yang tidak menolak pelukannya seperti awal-awal tadi.

               “Okay, Raiq nak apa? Nak aiskrim? Ke nak makan?” tanya Fikry lagi.

Raiq menggeleng perlahan. “Nak umi,” jawabnya perlahan namun masih boleh didengarkan oleh Fikry.

Fikry mengukirkan senyuman nipis.

               “Amboi! Sejak ada umi ni, sikit sikit nak umi ya,” sakat Fikry seraya mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya. Aplikasi whatsapp dibuka untuk menelefon isterinya melalui ‘video call.’

Selang beberapa detik, Ainna mengangkat panggilan darinya. Kelihatan isterinya sudah bertelekung mungkin sedang bersiap-siap untuk solat maghrib.

               “Assalamualaikum,” tegur Fikry sambil mengukirkan senyuman nipis kepada isterinya.

               “Waalaikumussalam, kenapa?” tanya Ainna sambil membetulkan duduknya di atas katil.

               “Aiii nak call isteri sendiri pon tak boleh ke?” gurau Fikry sambil matanya mengerling kea rah Raiq yang curi-curi pandang ke skrin telefon bimbitnya.

               “Bukan macam tu. Kan nak maghrib ni,” jawab Ainna dengan nada yang lembut. Mungkin risau sekiranya kata-kata dia tadi mengguriskan hati suaminya.

               “Ni si kecik ni nak cakap dengan umi,” jawab Fikry sambil menghalakan kamera ke arah Raiq.

Raiq mengangkat mukanya melihat skrin telefon yang terpapar wajah Ainna.

Ainna tersenyum nipis sebelum mengerutkan dahi, “Raiq kenapa sayang?” tanya Ainna dengan nada yang lembut.

Raiq hanya mendiamkan diri namun matanya masih menatap skrin telefon.

               “Kenapa sayang? Raiq nangis? Ke sakit?” tanya Ainna lagi dengan riak wajah yang risau dengan keadaan anaknya.

               “Tak, Raiq tak sakit,” jawab Raiq dengan suara yang perlahan.

               “Then, kenapa nangis?”

               “Papa marah,” jawabnya ringkas.

Ainna mengerutkan dahi. “Kenapa papa marah?”

Pertanyaan Ainna tidak dijawab oleh Raiq. Ainna mengeluh perlahan.

               “Takpe lah. Raiq jangan sedih, jangan nangis okay? Nanti anak umi dah tak comel dah. Kejap lagi nak maghrib, pergi ambik wuduk then solat dengan papa ya sayang?” pujuk Ainna dengan nada yang lembut.

Raiq hanya mengangguk lemah. Mungkin ingin meraih simpati dari uminya.

Ainna tersenyum melihat anaknya bangun dari duduk. Mungkin untuk ke kamar mandi dan berwuduk.

               “Kenapa awak marah Raiq?” tanya Ainna setelah skrin menunjukkan wajah suaminya.

               “Saya tak sengaja tadi. Baru je sampai rumah lepastu dia merengek. Tu yang saya termarah dia,” jawab Fikry dengan nada yang perlahan.

Ainna melepaskan keluhan perlahan.

               “Saya dah kata tadi kalau penat tidur je lah sini. Sewa hotel ke. Saya boleh temankan Raiq tapi awak yang tak nak,” ujar Ainna dengan nada yang lembut.

Kata-kata Ainna hanya dibalas dengan senyuman nipis.

               “Kalau ada apa-apa call la saya. Kesian jugak Raiq tu mesti sunyi. Seminggu dua ni dia ada kawan nak bermain. Balik rumah takde orang, bosan la dia.”

               “Okay. Thankyou Ainna,” jawab Fikry dengan nada yang lembut.

               “Emm okaylah, saya nak solat.”

Fikry hanya mengangguk sebelum memberi salam dan mematikan panggilan. Dia tersenyum nipis. Selama ini setiap kali ahli keluarganya menyuruh dia mencari ibu buat Raiq, dia hanya buat tidak tahu saja kerana dia yakin dia mampu menjadi ibu dan juga ayah buat Raiq. Namun, sekarang dia mengerti sehebat mana pun dia dalam membesarkan Raiq, selama mana pun masa yang diluangkan dengan Raiq, itu semua tidak mampu menggantikan posisi seorang ibu dalam kehidupan anak-anak. Peribadi seorang ibu yang berhati lembut, berjiwa penyayang, mempunyai belaian dan tatapan yang berbeza dengan seorang ayah.

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23