BAB 38

 

                        WILDAN segera keluar dari ruang solat setelah selesai menunaikan solat maghrib. Perjalanannya terasa agak lama memandangkan lebuhraya agak sesak dengan kereta. Mungkin kerana ini musim cuti sekolah. Untung saja dia guna jalan pintas jadi dia tidak mengambil masa yang lama untuk sampai di hospital yang ditempati oleh abangnya. Wildan segera berjalan ke arah lif dan naik ke lantai ICU persis yang diberitahu oleh adik iparnya.

            “Angah!” kedengaran satu jeritan suara dari sisi kanannya.

Wildan berpaling ke arah suara yang cukup dikenali. Kakinya melangkah laju mendekati adiknya, Ainna. Ainna segera berdiri dan memeluk tubuh Wildan dengan kemas. Dadanya yang sedari tadi sesak semakin tidak tertahan dan menangis teresak-esak di tubuh abangnya. Wildan juga turut sama membalas pelukan adiknya tanda memberi semangat.

            “Shhh!! It’s okay. It’s okay. I am here with you,” pujuk Wildan sambil memejamkan matanya. Mungkin untuk menutupi rasa takut dan khawatir yang ada di mata yang agak merah itu.

            “Adik kena kuat. Along perlukan kita sekarang ni. Ibu dengan baba pun perlukan kita. Don’t worry, I am here.”

Namun, pujukan Wildan seolah-olah makin memancing tangisan Ainna. Semakin kuat Ainna menangis di pelukan abangnya.

            “Hei, adik. Dah, dah. Jangan macam ni, dik. Kalau along tengok adik macam ni, mesti along sedih. Shhh! Angah ada, angah ada ni! Jangan nangis!” pujuk Wildan lagi seraya menyapu kelopak matanya yang mulai basah sebelum menarik nafas dengan dalam. Sudah tugasnya untuk menguatkan adiknya dan kedua orang tuanya di saat seperti ini. Air mata dan rasa sebak yang dirasakan, masih ditutupi dengan rapat. Dia tidak boleh terlihat lemah dihadapan keluarganya. Dia yakin ibu dan babanya juga mengharapkan kekuatan darinya buat saat ini. Wildan menarik nafas berat,

            “Tengok angah sini. Adik kata along tu hero adik kan? Along hero kita! He will never leave us! Along akan sihat, akan sembuh, akan selalu ada dengan kita. Okay? Percaya dengan angah,” pujuk Wildan lagi sambil manghadapkan wajahnya dengan wajah Ainna.

Ainna mengangguk perlahan seraya mengusap air mata yang tersisa di pipi.

            “I am sorry angah,” ujar Ainna seraya kembali memeluk tubuh sasa abangnya.

Wildan mengukirkan senyuman nipis seolah-olah tahu apa yang akan keluar dari mulut adiknya.

            “Mana semua pergi?” tanya Wildan setelah perasan hanya ada Ainna dan Raiq saja di situ.

            “Baba bawa ibu ruang rehat untuk solat maghrib. Tadi ibu sempat pengsan bila tahu pasal along, itu yang baba mintak bilik untuk ibu. Fikry pulak pergi solat,” jawab Ainna tanpa menunjukkan sebarang riak wajah.

Wildan mengangguk kepalanya perlahan. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di kerusi manakala Ainna duduk di sampingnya. Tangan kanannya memeluk bahu Ainna dengan kemas dan Raiq yang ada di sisi kirinya turut sama dipeluk.

            “Sekarang ibu dah okay ke?”

            “Dah. Maybe kejap lagi ibu datang lah kot.”

            “Doktor ada bagitahu macamana keadaan along?” tanya Wildan setelah melihat keadaan Ainna yang semakin tenang.

            “Dari adik sampai lagi doktor tak ada bagitahu apa-apa pun. Tapi tadi baba kata along hilang banyak darah lepastu ada hentakan kuat di lutut dan tulang betis along,” cerita Ainna.

            “Tapi dah ada staff along yang bagi derma darah dah,” sambung Ainna lagi untuk mengurangkan kekhawatiran abangnya.

Wildan mengangguk perlahan.

‘Aku tahu kita tak baik macam dulu. Kita selalu gaduh, marah to one another selepas kejadian dulu. Tapi tak pernah terlintas di fikiran aku untuk hilang kau, long. Tak pernah terfikir untuk berpisah dengan kau. Sejahat mana pun kau, seburuk mana pun kelakuan kau pada aku, pada adik, aku tak pernah mintak untuk kau mati atau kau tinggalkan aku. Aku sayang kau, tolong balik pada kami.’

 

FIKRY yang baru sahaja selesai melawat ibu mertuanya memberhentikan langkah ketika melihat Ainna sedang menangis dalam pelukan Wildan. Selama beberapa jam Ainna bersama dengannya, gadis itu langsung tidak meminta kekuatan dari dia malah pelukannya juga langsung tidak dibalas oleh Ainna. Namun, berbeza bila Ainna dengan Wildan. Isterinya memeluk Wildan dengan sangat erat seolah-olah Wildan itu sumber kekuatan dan pelindung buatnya.

Sekarang baru dia mengerti maksud di sebalik kata-kata Wildan yang Ainna itu seorang yang pandai menyembunyikan kelemahannya. Pandai menyembunyikan rasa sedihnya hanya untuk membuat orang lain lebih kuat. Ketika mereka sampai di hospital tadi pun Ainna hanya menangis ketika pertama kali bertemu dengan ibu dan bapa mertuanya saja. Setelah itu, Ainna hanya mendiamkan diri dan banyak termenung. Jauh perbezaan kejadian tadi dengan apa yang berlaku di hadapannya sekarang. Ainna terlihat sangat lemah, sangat sedih dan memerlukan seseorang untuk tetap kuat. Dan satu-satunya orang itu adalah abangnya sendiri, Wildan.

Baru saja dia ingin melangkah mendekati Ainna dan Wildan, telefon bimbitnya berdering. Melihat nama pemanggil, Fikry melepaskan keluhan.

            “Assalamualaikum, Mira” mula Fikry menyapa si pemanggil.

            “Waalaikumussalam, where you at?” tanya Amira.

            “Kat JB,” jawab Fikry ringkas.

            “JB? Buat apa?”

            “Ada hal sikit. Ada family I sakit,” jawab Fikry dengan nada yang lemah. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang ada di situ.

            “Siapa? Papa you ke?” tanya Amira tanda prihatin.

            “Tak. Sepupu I,” jawab Fikry ringkas.

            “Oh! I baru ingat nak jumpa you esok. Bila you balik sini?” tanya Amira lagi.

            “Tak sure lagi. Tunggu selesai kerja dekat sini, I balik lah. Kenapa?” tanya Fikry.

            “You ada apa-apa nak bagitahu I?” tanya Amira dengan nada yang lembut.

            “Bagitahu? Bagitahu apa?” tanya Fikry yang bingung sendiri.

            “Anything yang you nak share dengan I? Or anything yang you rasa you kena share dengan I?” tanya Amira lagi.

            “Apa? I tak ada apa-apa nak kena bagitahu you. Ke you nak tahu apa ni? Cuba bagitahu betul-betul,” tanya Fikry dengan nada yang sedikit tenang. Lehernya yang terasa berat diurut perlahan.

            “Tak pe lah kalau you tak ada apa-apa nak bagitahu I. I saja je tanya. Kot-kot la you ada simpan rahsia dengan I,” sindir Amira.

            “Kenapa dengan you ni? Ada apa-apa ke?” tanya Fikry lagi.

            “No. Tak ada apa. Takpe lah. Tak penting mana pun, nanti you balik kita bincang,” ujar Amira lagi.

            “Emmm, okay,” jawab Fikry dengan teragak-agak.

            “I off dulu,” ujar Amira seraya mematikan panggilan.

Fikry sempat merasa hairan dengan kelakuan Amira yang tidak seperti selalu. Biasanya teman wanitanya itu pasti akan marah atau membentaknya jika dia buat endah tidak endah saja dengan panggilan Amira. Namun, kali ini gadis itu terlihat lebih tenang dan sabar.

 

HAFIZ berjalan keluar dari ruang rawat sambil memegang jaket kulitnya di tangan. Melihat Ainna dan Wildan sedang duduk di kerusi berhadapan dengan pintu ICU, Hafiz mengukirkan senyuman nipis sebelum menyapa mereka,

            “Encik Wildan?”

            “Ya? Siapa ya?” tanya Wildan yang langsung tidak mengenali orang yang menyapanya.

            “Sorry, aku Hafiz. PA Wafiq,” kata Hafiz untuk mengenalkan dirinya pada Wildan dan juga Ainna.

            “PA Wafiq?” tanya Wildan lagi untuk mendapatkan kepastian.

Hafiz mengangguk perlahan sebelum melabuhkan duduk di sebelah kanak-kanak lelaki yang ada di samping Wildan.

            “Hafiz? Yang derma darah dekat along kan?” tanya Ainna usai lepas dari pelukan Wildan.

Hafiz mengukirkan senyuman nipis dan mengangguk perlahan.

            “Along macamana? Masih belum ada apa-apa respon ke?” tanya Ainna dengan nada yang sedikit tinggi. Riak wajahnya yang risau dengan keadaan abangnya terlihat jelas.

            “Shhh! Hei.. Sabar adik,” pujuk Wildan sambil mengusap lembut bahu adiknya.

            “Sorry Hafiz. Kau macamana? Okay? Ada rasa lain lepas kena ambik darah?” tanya Wildan tanda prihatin. Dia tahu Ainna sangat risaukan keadaan Wafiq sebab itulah adiknya tidak dapat berfikir dengan tenang.

            “It’s okay. Aku faham. Tadi ada pening sikit tapi lepas rest dah okay dah. Pasal Wafiq tu saya ada tanya doktor tadi, dia kata Wafiq masih belum sedarkan diri. Cuma keadaan dia lebih stabil berbanding dengan petang tadi. Kalau everything went smooth, in sya Allah esok atau lusa, Wafiq akan sedar,” jelas Hafiz sambil memandang dua wajah yang ada di hadapannya.

            “Alhamdulillah. Haa dengar tu, along okay! Dah! Jangan sedih. Malu orang tengok,” gurau Wildan dengan tangan yang masih mengusap bahu adiknya.

Hafiz melepaskan tawa kecil. Melihat Wildan dan Ainna yang terlalu dekat, dia merasa iri sendiri.

            “Hafiz! Macamana? Doktor kata sesuai ke darah kamu dengan Wafiq?” kedengaran satu suara dari sisi kanan mereka.

Hafiz mengukirkan senyuman nipis seraya berdiri dan memberi ruang buat kedua-dua majikannya untuk duduk di kerusi.

            “Sesuai encik. Doktor tengah transferkan darah saya pada Wafiq. Encik dengan Datin jangan risau,” jawab Hafiz dengan senyuman di bibir.

            “Alhamdulillah! Alhamdulillah ya Allah! Terima kasih Hafiz! Terima kasih!” ucap Encik Sharif berkali-kali sambil memegang lengan Hafiz.

Hafiz hanya menganggukkan kepalanya perlahan dan senyuman yang masih belum hilang di wajahnya.

Puan Rozita pula menangis teresak-esak di dalam pelukan suaminya.

 

            “KAU ingat bila masuk sini senang ke nak keluar?” tanya lelaki yang ada di hadapan Fahmi setelah mendengar cerita Fahmi.

            “Aku tahu susah. Tapi aku yakin ada jalan keluar. Long pun tak kata yang dia nak pegang aku sampai mati. Dia bagi je kalau aku nak keluar,” jawab Fahmi perlahan.

Teman sekerjanya, Afiq melepaskan tawa kecil.

            “Tor, kau ni kerja bukan main tip top. Sampai client oversea pun puji kau tapi bab ni bengap kau memang teruk.”

Melihat Fahmi yang memandangnya dengan riak wajah yang berbeza, Afiq menyambung kata,

            “Kau sendiri kenal siapa Long. Berapa lama dia buat kerja ni? Kau ingat kalau dia lepas budak yang nak berhenti buat kerja haram ni, dia boleh hidup sampai sekarang ke? Setakat cakap mulut, aku pun boleh sembang. Long tu bunuh orang Tor. Dia bunuh manusia macam bunuh semut saja. Kau ingat apa yang dia cakap tu betul ke? Kau boleh percaya ke?” tanya Afiq dengan senyuman sinis di bibir.

            “Bila kau masuk sini, kau takkan boleh keluar. Teruskan kerja ni atau kau akan mati!” sambung Afiq lagi.

Fahmi terkedu mendengar ucapan Afiq. Dia menatap dalam wajah Afiq yang agak bengis itu.

            “Aku bagitahu kau awal-awal. Kalau kau tak nak mati, kau jangan fikir untuk keluar. Kau tahu macamana Murad mati?” tanya Afiq dengan nada yang perlahan. Mungkin risau perbualan mereka didengari oleh orang lain.

            “Long bagitahu aku Murad bunuh diri,” jawab Fahmi ringkas.

Afiq melepaskan tawa kecil seraya menyedut rokok elektronik di tangannya.

            “Long? Patutlah kau ni anak emas Long. Semua benda yang dia cakap kau percaya je kan? Kau tak fikir sebab Murad bunuh diri? Apa? Long bagitahu kau Murad bunuh diri sebab apa? Masalah family? Masalah duit?” tanya Afiq seraya melepaskan tawa lagi.

            “Aku pelik lah macamana orang senaif kau boleh kerja dengan Long. Boleh jadi anak buah Long bertahun-tahun,” sindir Afiq.

Fahmi melepaskan tawa mendengar sindiran Afiq.

            “Kadang-kadang apa yang jadi tak sama dengan apa yang kita nak. Semua orang ada peluang tapi tak semua orang boleh guna peluang yang mereka ada,” jawab Fahmi tanpa memandang wajah Afiq.

            “Aku pun sama macam kau Tor. Dan aku sedar yang aku sudah tak ada cara untuk guna peluang tu, sebab itulah aku masih duduk dengan kau kat sini. Kalau kau nak tahu, Murad bukan mati bunuh diri. Tapi Murad mati sebab nak selamatkan diri dari Long. Nak berhenti dari buat kerja haram ni.”

Fahmi terpinga-pinga mendengar cerita Afiq. Dia tahu kerja buat Long yang membunuh orang, tapi dia tidak tahu yang Long sanggup membunuh orang yang selama ini membantunya dalam urusan kerja.

            “Kenapa? Terkejut?” tanya Afiq sambil mengangkat keningnya.

            “Kau yang dengar pun terkejut. Cuba kau bayangkan aku yang tengok? Apa perasaan aku? Apa perasaan aku tengok kawan aku kena bunuh depan mata aku sendiri? Apa perasaan aku bila aku tak boleh buat apa-apa masa kawan aku kena bunuh? Apa perasaan aku bila aku tengok kawan aku terbeliak biji mata pandang aku untuk mintak tolong?” tanya Afiq dengan suara yang bergetar.

            “Ke.. Kenapa aku tak tahu?” tanya Fahmi dengan suara yang tersekat-sekat.

            “Sebab kau paling baik antara kita. Kau tengok dalam ramai-ramai yang kerja dengan Long, siapa yang sembahyang cukup lima waktu? Siapa yang selalu tegur anak buah untuk sembahyang? Siapa yang selalu jauhkan diri bila kena pukul dan bunuh orang yang tak bayar hutang? Siapa yang selalu berusaha untuk tak guna kekerasan bila mintak hutang? Sekarang kau masih lagi nak tanya kenapa Long tak bagitahu kau?” tanya Afiq lagi.

            “Aku tak sangka Long sanggup..”

            “Sanggup bunuh anak buah dia sendiri? Tor, tak semua yang kita nampak adalah yang betul-betul jadi. Dunia ni penuh dengan penipuan. Kita pun menipu dengan keluarga, dengan anak bini kita. Inikan pulak Long dengan kita. Kita siapa dengan dia untuk dia percayakan kita? Untuk dia bagitahu semua benda pada kita?” tanya Afiq lagi.

            “Kalau kau tak nak mati, kau lupakan saja niat kau untuk berhenti. Hidup je dengan cara kita yang sekarang. Walaupun kerja ni haram, setidaknya kita hidup. Kalau kita berhenti dan mati, apa pahala yang kita nak bawak?” tanya Afiq lagi.

Fahmi terkedu mendengar pertanyaan Afiq. Dia menyandarkan tubuhnya di dinding yang bercontengkan cat berwarna merah.

‘Kalau aku tak berhenti pun, aku tetap akan mati. Ajal Tuhan bila-bila masa saja akan sampai,’ bisiknya di dalam hati.

 

PUAN ROZITA merasa kasihan melihat wajah-wajah yang ada di situ. Semuanya terlihat lelah sekali. Mana tidaknya, dari siang tadi lagi mereka berkampung di situ dan sekarang hampir jam 10 malam. Namun, tidak ada sebarang pemberitahuan dari doktor yang mengatakan anak sulungnya sedar ataupun makin stabil.

Puan Rozita yang merasa bersalah dengan Raiq, mengejutkan Ainna dari tidurnya,

            “Adik,” tegur Puan Rozita perlahan.

            “Ya ibu? Kenapa? Ibu okay?” tanya Ainna yang segera tersedar dari lelapnya. Jelas riak wajahnya yang terkejut dengan panggilan ibunya.

            “Ibu okay. Ni adik balik lah dulu. Kesian dengan Raiq tu. Tertidur macam tu je. Demam pulak nanti,” ujar Puan Rozita.

Ainna yang mendengar kata-kata ibunya, segera memandang anaknya yang di riba oleh suaminya. Melihat keadaan kedua lelaki yang baru hadir dalam hidupnya itu sedang tidur dalam keadaan yang tidak selesa, membuat dia rasa serba salah. Namun, dia juga tidak tenang untuk pulang ke rumah dalam keadaan abangnya yang seperti itu.

            “Adik baliklah dulu. Angah teman ibu dengan baba sini,” tambah Wildan yang turut sama kesian dengan adik ipar dan anak saudaranya itu.

            “Adik tak nak balik ibu. Adik risaukan along. Biar Fikry balik dulu la,” jawab Ainna lagi.

            “Jangan macam tu dik. Fikry dengan Raiq family adik jugak. Fikry tu suami adik, adik kena utamakan dia. Lagipun, kesian pulak Fikry tu kalau adik takde. Susah dia nak urus Raiq sorang-sorang. Adik balik dulu esok pagi datang balik. Kalau adik tunggu sini pun tak boleh jumpa along jugak. Ibu dengan baba kejap lagi rest di bilik wad tu. Adik balik dulu okay? Angah pon balik lah! Nanti kalau ada apa-apa ibu dengan baba call,” kata Puan Rozita sambil memandang ke arah Wildan yang memerhatikannya.

            “Tak apa la. Dan nak tunggu Wafiq. Nanti kalau doktor keluar senang, Dan ada kat sini,” ujar Wildan sambil mengerling ke arah Fikry.

Puan Rozita melepaskan keluhan perlahan. Sudah dia duga Wildan tidak akan menuruti kata-katanya. Dia memandang ke arah Ainna yang sedang memerhatikan cucunya yang sedang lena.

            “Baliklah, dik. Tengok pintu dapur sekali. Ibu tak tahu ibu kunci ke tak pagi tadi. Pengsan tu Cik Kiah terus bawak ibu ke hospital,” cerita Puan Rozita lagi.

Ainna melepaskan keluhan berat seraya mengangguk perlahan. Kalau ikutkan hatinya, memang dia tidak ingin meninggalkan ibu dan babanya di sana. Namun, memikirkan keadaan Raiq yang baru saja sembuh dari demam membuatkan dia jadi serba salah. Lebih baik dia bawa Raiq pulang dan berehat di rumah.

Puan Rozita mengajak suaminya untuk naik ke ruang wad yang ditempatinya pada siang tadi. Badannya juga sudah terasa lenguh kerana duduk sepanjang hari.

Melihat ibu dan babanya sudah agak jauh, Ainna memegang lengan suaminya dengan lembut.

            “Awak.. awak..”

Fikry yang sedar dari tidurnya, membetulkan duduknya dan mengurut leher dengan lembut. Lenguh dan letih memandu kereta siang tadi semakin terasa.

            “Jom la balik dulu. Kesian Raiq tu dari siang lagi duk sini. Tidur pun tak selesa,” ujar Ainna seraya mengambil kain tuala yang digunakan untuk menyelimuti anaknya dan dilipat.

            “Along macamana?” tanya Fikry sambil memandang ke arah isterinya.

            “Tak tahu. Doktor kata tak ada apa-apa perubahan lagi. Kita tunggu di rumah saja la. Ibu dengan baba pun dah naik,” ujar Ainna seraya bangun dari lantai dan duduk di bangku bersebelahan dengan Wildan.

Fikry perlahan-lahan mendukung Raiq sebelum turut sama berdiri dan membersihkan seluarnya yang agak kotor.

            “Kau Dan?” tanya Fikry lagi.

            “Tak pe, kau balik la dulu dengan adik. Aku tunggu sini. Nanti kalau ada apa-apa, aku call. Kesian jugak Raiq tu baru sihat je, kang demam balik,” ujar Wildan sambil menjuihkan bibirnya ke arah Raiq yang sedang lena di dukungan adik iparnya.

Fikry menganggukkan kepala perlahan. Manakala Ainna menghulurkan tangan kepada Wildan tanda pamit dan memeluknya dengan erat. Seolah-olah ingin memberikan kekuatan pada abangnya. Jauh di sudut hati, dia tersentuh melihat kerisauan Wildan terhadap Wafiq. Walaupun selama ini, mereka berdua tidak pernah sehati dan selalu bergaduh, namun, Wildan tetap setia menunggu Wafiq di saat sulit begini.

            “Balik dulu, Dan. Kalau ada apa-apa call,” ujar Fikry dengan nada yang lembut. Wildan hanya mengangguk kepalanya perlahan dan menghantar kedua adiknya dengan pandangan mata. Wajahnya kembali menghadap pintu ICU.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23