BAB 35

 

AINNA yang baru sahaja selesai menunaikan solat Asar, bangun untuk melihat pemanggil yang tidak henti membuat panggilan di telefon bimbit suaminya. Dia melepaskan keluhan berat melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit.

‘Call mengalahkan orang hilang laki! Aku laki tak call berhari-hari pun boleh je hidup. Bising kau tahu tak?! Dah orang tak angkat tu maksudnya ada hal la. Bingit betulla minah ni. Macamana la laki aku boleh tahan dengan dia,’ marah Ainna di dalam hati. Hampir berbelas kali teman wanita suaminya itu memanggil dan masih juga belum berputus asa.

Ainna tersentak mendengar pintu ruangan wad dibuka. Tangannya lekas melipat telekung yang tadinya hanya diletakkan di atas lengan.

            “Dah siap?” tegur Fikry yang sedang membawa Raiq dalam dukungannya.

Ainna hanya mengangguk dan tersenyum. Memang sengaja suaminya itu membawa Raiq keluar menghirup udara segar memandangkan si kecil itu juga sudah semakin sihat.

            “Ada orang call tadi,” ujar Ainna tanpa memandang wajah Fikry.

Fikry mengambil telefon bimbit yang ada di atas meja kecil di tepi sofa. Melihat nama yang tertera semakin membuat dia rasa serba salah dengan isterinya. Fikry sempat mengerling ke arah Ainna sebelum berniat untuk meletakkan telefon bimbitnya kembali ke tempat asal namun deringan yang berbunyi dari telefon bimbit membantutkan niatnya.

Fikry menjarakkan diri dengan anak dan isterinya sebelum menekan butang terima di telefon bimbitnya.

            “Haaaa you! Finally! Angkat pun call I! Dari tadi lagi I call you tapi tak angkat pun! You pergi mana? Dah lupa dengan I dah?” gertak Amira tanpa mendengar suara Fikry terlebih dahulu.

Fikry melepaskan keluhan berat,

            “You ni kenapa? Boleh sabar kejap tak? Dengar la I explain dulu. I tengah penat ni. Mana nak jaga Raiq lagi, ni nak kena layan you pulak,” sindir Fikry dengan nada suara yang perlahan.

            “Oh! Jaga Raiq? Bukan dah ada orang yang jaga dia ke?” tanya Amira dengan niat menyindir.

            “Orang? Siapa?” tanya Fikry yang bingung sendiri.

Amira menghela nafas perlahan dan berusaha untuk menahan emosinya. Dia perlu cari tahu lebih terperinci tentang pernikahan Fikry. Dia tidak mahu Fikry akan berdolak-dalih bila dia bertanyakan hal itu tanpa sebarang bukti.

            “Ye lah! Kan ada nurse. Ke you ada bawak orang lain?”

            “Mana ada! Jangan nak merepeklah!”

            “Ni you kat hospital lagi ke?” tanya Amira dengan nada kosong.

            “Haah. Esok baru Raiq boleh keluar.”

            “Oh! Esok I pergi tengok Raiq dekat rumah you lah kalau macam tu. Boleh?” tanya Amira yang memang sengaja ingin tahu jawapan teman lelakinya yang dikatakan sudah pun berkahwin.

Fikry terkejut mendengar ucapan kekasihnya. Wajahnya segera dipalingkan ke arah anak dan isterinya yang agak jauh. Wajahnya kembali berpaling ke arah luar tingkap,

            “Buat apa? Raiq dah sihat lah! Tak payah lah you datang. Lagipun tak elok la kalau you datang rumah I. Esok maid I cuti. I dengan Raiq saja dekat rumah,” jawab Fikry beralasan.

            “Lah I bukannya pergi sorang. I pergi dengan Yaya lah.”

Fikry mengetap bibir dan jarinya memegang dahi.

            “Tak payahlah. I tahu you busy. Kesian pulak you penat-penat kerja nak jenguk Raiq pulak,” jawab Fikry lagi. Dia seakan buntu untuk mencari alasan yang tepat supaya Amira tidak ke rumahnya esok.

            “Esok I free. I shoot pagi saja. Then free sampai malam. So bolehlah I tengok anak you,” jawab Amira dengan nada yang keras. Dia yakin Fikry memang menyembunyikan sesuatu daripadanya. Jika tidak, mana mungkin lelaki itu menghalangnya untuk bertemu dengan Raiq sedangkan selama ini Fikry yang beria-ria ingin dia meluangkan lebih banyak masa dengan anak pungut itu.

            “Tapi…”

            “Hah alasan apa lagi you nak bagi supaya I tak pergi tengok Raiq?” tanya Amira dengan nada yang sinis.

Fikry mengerutkan dahi mendengarkan pertanyaan Amira,

            “Apa you ni? I tak bermaksud macam tu lah. I cuma kesiankan you….”

Belum sempat Fikry menghabiskan ucapannya, Amira bersuara,

            “Hmm takpelah, I malas nak gaduh. I hold dulu.” Dia segera meletakkan panggilan tanpa sebarang ucapan sayang atau pun juga selamat tinggal.

 

WILDAN yang baru sahaja keluar dari studio membuka telefon bimbitnya untuk melihat mesej yang diterima. Melihat nama yang tertera, dia mengukirkan senyuman nipis sebelum kakinya terus melangkah ke kereta.

Hai, angah. Long time no see. I am glad to hear you are in well. I am sorry for not being with you a few weeks back. I miss you and I miss us! Trully missing you! Angah, don’t you have anything to share? I miss to hear your voice, your stories and your daily life! Kenapa sekarang dah jarang call adik? Dah ada girlfriend eh? Tak bawak jumpa adik pun. Dah tak nak approval adik ke?

Tangannya segera mengetik nombor Ainna dan meletakkan telefon bimbit ke telinganya. Beberapa detik menunggu, suara adiknya itu kedengaran di corong telefon.

            “Assalamualaikum abangku yang handsome, baik dan bijaksana,” gurau Ainna seraya melepaskan tawa kecil.

            “Waalaikumussalam adikku yang manja. Kemain puji lebih-lebih ni nak apa?” tegur Wildan sambil tangannya menghidupkan enjin kereta.

            “Ish! Angah ni boost my mood la siket! Mana ada nak apa-apa. Saja la orang tu sekarang asyik busy saja. Tak ingat dah dengan adik dia yang over comel ni,” ujar Ainna dengan nada yang manja.

            “Eleh! Kau! Dah ada laki kan? Ingat angah lagi ke? Sekarang kan dah boleh peluk cium laki adik!” usik Wildan.

Ainna menunjukkan riak wajah menyampah dengan kata-kata abangnya. Dia tahu Wildan sengaja mengusiknya.

            “Ye lah! Sekarang dah boleh peluk cium laki adik! Yang angah tu bila nak kahwin?” bidas Ainna untuk kenakan abangnya.

            “Esok. Nanti datanglah studio angah,” jawab Wildan melayan usikan adiknya.

            “Eeeee! Ingatkan seminggu tak call borak-borak ni dah jadi sweet. Ini makin annoying ada lah!”

            “Banyaklah kau. Ni Raiq canne? Okay dah?” tanya Wildan yang memang tahu keadaan kesihatan anak buahnya itu.

            “Hmm dah sihat, selera makan pun bertambah. Esok boleh balik lah kot,” jawab Ainna agak serius.

            “Alhamdulillah, glad to hear that.”

            “Angah, are you really okay?” tanya Ainna lagi.

            “Yes, why?”

            “I think you are not.”

            “Sorry? What do you mean?”

            “Angah gaduh dengan along kan?” tanya Ainna yang baru saja menerima khabar itu dari babanya.

            “Gaduh? Mana ada! Siapa yang bagitahu adik?”

            “Ye ke takde?” tanya Ainna seakan menghidu kebohongan abangnya.

            “Mana ada! Dik takpe lah. Angah ada hal ni. Angah off dulu. Bye, assalamualaikum,” ujar Wildan seraya mematikan panggilan.

‘Haaa ni lah! Geram betul aku. Bila ada masalah bukannya nak bagitahu main hilang saja. Lepastu nanti yang kena maki, kena bebelnya aku. Ish! Ni aku adik ke aku kakak? Ada dua abang sepatutnya dorang yang kena pening nak jaga aku, ni terbalik pulak,’ bisik Ainna sendiri seraya menghela nafas berat.

 

WAFIQ berjalan keluar dari pintu restoran bersama dengan dua orang pekerjanya sambil matanya melilau mencari kereta yang dipandu oleh Hafiz. Bibirnya mengukirkan senyuman nipis melihat Honda Civic berwarna silver meluncur laju ke hadapannya. Tangannya segera membuka pintu kereta dan masuk ke dalam kereta.

Hafiz hanya berdiam diri dan memerhatikan tindak tanduk majikannya melalui cermin pandang belakang.

            “Kau okay?” tanya Hafiz setelah hampir beberapa minit kesunyian saja yang ada di antara mereka.

Wafiq mengangkat wajahnya menghadap jalan raya,

            “Kind of okay,” jawabnya ringkas.

            “Kind of?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahinya. Mungkin sengaja untuk menunjukkan seolah-olah dia risau dengan keadaan majikannya.

            “Hmmm. I don’t know lah Fiz. Banyak sangat benda yang jadi harini. Penat tubuh, penat otak dengan emosi jugak,” jawab Wafiq seraya melepaskan desahan nafas dengan agak kuat.       

            “Kesian aku tengok kau. Semua benda kau kena manage. Aku yang tengok pun penat inikan pulak kau yang tanggung.”

            “Aku dah terbiasa Fiz. Dah memang jadi tanggungjawab aku untuk bantu baba uruskan semua benda. Baba aku tu susah sikit nak percayakan orang lain, nak serahkan sepenuhnya projek-projek besar ni pada orang lain. Sebab kau faham la dunia business macam ni banyaklah isu tikam belakang, tipu-tipu semua ni. Tu yang kalau banyak projek besar, aku dengan baba kelam kabut sikit. Kami kena monitor yang lain buat kerja,” jelas Wafiq dengan senyuman nipis.

Hafiz mengangguk perlahan tanda mengerti dengan penjelasan majikannya.

            “Kau kata kau ada dua orang lagi adik kan? Kenapa diorang tak kerja di company baba kau?” tanya Hafiz ingin mengorek rahsia dari Wafiq.

Wafiq melepaskan keluhan berat.

            “Adik aku yang lelaki tu tak minat business tu yang dia kerja sendiri. Kalau adik aku yang perempuan tu pulak, katanya nak mula dari bawah. Kalau masuk company baba aku terus dapat jawatan tinggi, itu yang dia tak nak,” jelas Wafiq lagi.

            “Oh! Kau saja la yang memang minat bahagian ni?”

            “Tak jugak. Dulu masa aku nak sambung belajar bahagian penerbangan, family aku tolak atas alasan aku kena tolong baba uruskan company so that aku kena ambik jurusan yang berkait dengan perniagaan.”

            “Tapi adik kau tak ambik perniagaan kan? Susah jugak kan jadi orang kaya ni. Nak buat something kena fikir pasal family. Nasib baik kau okay kan? Kalau aku, tak tahu la macamana nak hadap benda yang aku sebenarnya tak nak buat.”

            “Okay, tak okey. Suka ke tak suka, aku tetap kena kerja sini. Sebab aku anak sulung, aku yang kena jaga company ni dan gantikan posisi adik-adik aku untuk masa tu. Tapi tu lah bila adik-adik aku dah besar, semua dah layak kerja di company ni, semuanya lari dari tanggungjawab. Yang tinggal sekarang cuma aku, aku saja yang boleh tolong baba. So, apa lagi jalan yang aku ada selain stay sini,” cerita Wafiq panjang lebar dengan riak wajah yang mendung.

            “Sebab tu lah Dato’ percayakan kau untuk ambik alih company family kau,” ujar Hafiz lagi.

Wafiq melepaskan tawa kecil.

            “Aku tolong urus je Fiz. Nanti bila adik-adik aku dah ready, dorang akan masuk company ni jugak and manage semua yang aku buat sekarang,” jawab Wafiq dengan suara yang agak bergetar.

Hafiz memerhatikan riak wajah Wafiq yang seakan marah ketika mengeluarkan kata-kata itu.

            “Beruntung adik-adik kau. Ada abang yang sanggup uruskan company bagi pihak dorang. Nanti kau lah pulak yang bersara bila adik-adik kau masuk kan? Ye lah, orang baru mestilah aura dan semangat baru kan?” sindir Hafiz secara halus.

Wafiq hanya menghadiahkan senyuman nipis. Namun, jauh sudut hatinya cuba untuk mentafsir maksud di sebalik kata-kata Hafiz.

 

PUAN ROZITA mangatur langkah ke tangga sejurus usai makan malam. Sudah menjadi kebiasaannya untuk makan sendirian bila anak sulung dan suaminya sibuk di pejabat. Entah kenapa hatinya tergerak untuk mendekati bilik anak terunanya, Wildan. Pintu kamar dibuka perlahan, matanya sempat meneliti setiap sudut di kamar itu. Tanpa disedari, senyuman nipis terukir di wajahnya.

Kakinya berjalan perlahan-lahan menuju ke meja kerja di tepi katil sebelum melabuhkan duduk di kerusi. Matanya meneliti tiap piala yang ada di rak yang ada di sebelahnya. Tangannya menyentuh setiap satu dari piala tersebut sebelum mengukirkan senyuman kelat. Puan Rozita mengambil salah satu piala dengan air mata yang bertakung.

            “Ibu, esok angah ada game kat sekolah. Angah dah tanya baba tapi baba diam je. Boleh tak ibu datang tengok angah esok?” tanya Wildan dengan riak wajah yang penuh dengan harapan.

            “Ibu nak keluar jumpa kawan ibu esok.”

            “Kejap je ibu. Angah main tak sampai sejam pun,” ujar Wildan lagi.

Puan Rozita melepaskan keluhan perlahan. Wajahnya diangkat untuk membalas pandangan anak lelakinya,

            “Sejam ke dua jam ke ibu tetap takkan pergi. Apa yang penting sangat dengan game tu? Bukannya boleh mendatangkan apa-apa hasil pun! Lainlah kalau kamu tu buat bisnes di sekolah ke, buat syarahan atau apa-apa pementasan ke. Boleh jugak bantu tambahkan ilmu. Ini asyik main bola, kamera dan menyanyi! Apa yang kamu dapat?!” gertak Puan Rozita dengan nada yang tinggi.

Wildan menundukkan wajah mendengar kata-kata ibunya.

            “Itu minat angah ibu,” jawab Wildan dengan suara yang terketar-ketar.

            “Minat? Kamu ingat apa yang kamu minat boleh bagi untung pada kamu? Kamu ingat sikit kita hidup zaman ekonomi macamana. Kalau kamu masih nak pentingkan minat dari kerjaya, macamana kamu nak hidup? Macamana kamu nak teruskan bisnes baba?”

‘Juara Pertandingan Bola Sepak Peringkat Negeri’, tertera di piala yang dipegangnya.

Puan Rozita mengusap pipinya yang dibasahi dengan air mata. Piala tadi diletakkan di tempat asal. Entah kenapa hatinya terdetik untuk membuka laci meja yang ada di tepi katil. Album gambar diambil ke ribanya. Helaian demi helaian dibuka sambil matanya meneliti setiap wajah dan jarinya menyentuh dengan lembut. Jarinya terhenti di sekeping gambar yang dicantumkan dengan tampalan selotip. Air matanya tidak dapat ditahan lagi.

Puan Rozita segera menutup album.

            “Ibu baba, semalam kan, angah dapat juara untuk pertandingan fotografi. Ni angah nak tunjuk gambar-gambar yang angah dah ambik. Gambar family kita pun ada,” ujar Wildan sambil menghulurkan beberapa keping gambar pada ibunya.

            “Kenapa tunjuk pada kami?” tanya Puan Rozita dengan kasar.

            “Angah nak bagi ibu dengan baba tengok gambar yang angah ambik. Bila angah menang, ramai sangat yang puji angah. Tapi angah still tak rasa happy, mungkin sebab angah belum tunjuk pada ibu kot. Ibu dengan baba tak sempat nak puji angah lagi,” jelas Wildan sambil tersenyum lebar.

Tangan Encik Sharif perlahan-lahan mengambil kepingan gambar dari tangan Wildan sebelum bibirnya tersenyum sinis.

            “Gambar macam ni tempat dia sepatutnya di sana,” ujar Encik Sharif sambil tangannya membaling gambar-gambar yang sudah dikoyakkan ke tempat sampah.

Wildan yang langsung tidak menyangka dengan perbuatan babanya terdiam bisu. Namun, kakinya dengan perlahan melangkah dan mengutip gambar-gambar yang sudah dibuang oleh babanya.

Puan Rozita juga tidak kalah terkejut dengan perbuatan suaminya namun dia langsung tidak berniat untuk memujuk anak lelakinya itu. Jauh di sudut hatinya, dia berharap Wildan mengerti dengan keinginan dia dan suaminya.

Wildan memerhatikan setiap koyakan kertas yang ada di tangannya,

            “Dan mintak maaf sebab tak jadi anak yang baik buat ibu dengan baba. Mungkin dosa Dan terlalu besar untuk ibu dengan baba terima. Kesalahan Dan memang tak dapat kemaafan pun dari ibu dengan baba. Semua yang Dan buat memang akan jadi salah di mata ibu dengan baba.”

Kakinya yang melangkah ke tingkat atas terhenti sebelum menyambung kata,

            “Mulai harini, Dan takkan tanya ibu dengan baba, Dan takkan mintak pendapat ibu dengan baba. I will do everything that I want. Kalau satu hari nanti, Wildan dah tak nak jadi anak ibu dengan baba sekalipun, don’t ask me why. Ibu selalu kata ibu kesian dengan anak Acik Tipah sebab membesar takde mak bapak, tapi Dan rasa anak dia lagi beruntung dari Dan. Ada mak bapak tapi macam tak ada,” ujar Wildan seraya meneruskan langkah meninggalkan ibu dan babanya.

Puan Rozita menyeka air matanya mengingatkan kata-kata Wildan pada dia dan suaminya. Itulah kali pertama Wildan membahasakan dirinya sebagai ‘Dan’ bukan lagi sebagai ‘angah’ yang mana menunjukkan ada jurang di antara Wildan dan mereka suami isteri.

 

ENCIK SHARIF melabuhkan duduk di sofa ruang tamu dan melepaskan keluhan berat. Sedikit lega setelah menyelesaikan segala tugasnya pada hari itu. Lehernya yang terasa berat diurut perlahan sambil melilau mencari kelibat isterinya. Melihat keadaan rumah yang sunyi meyakinkan dia yang Puan Rozita sudah pun tidur.

Agak lama dia berehat di ruang tamu sebelum kakinya di atur ke dapur untuk melegakan tekaknya. Tangannya terhenti dari mengambil gelas setelah melihat ada bayangan dari belakang rumah. Hatinya mulai rasa tidak nyaman sementara matanya hanya memerhatikan susuk tubuh itu melalui tingkap tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Untung saja tingkap rumahnya itu tidak nampak dari luar.

Perlahan-lahan kakinya melangkah secara undur ke arah pintu masuk dapur untuk mengambil kayu golf sebagai alat untuk membela dirinya. Jantungnya bagai disentap bila dia terlanggar seseorang di belakangnya. Namun, mendengarkan suara lembut isterinya membuat dia menghela nafas lega. Tangannya segera menyuruh isterinya untuk diam dan tunjuk ke arah bayangan orang yang ada di luar dapur.

Puan Rozita terkejut melihatnya seraya memegang lengan suaminya dengan erat. Encik Sharif berjalan ke arah pintu dapur dan diikuti oleh isterinya. Puan Rozita segera menarik lengan suaminya,

            “Abang nak buat apa? Nak keluar ke?” tanya Puan Rozita dengan nada yang perlahan. Risau orang itu sedar akan kewujudan mereka.

            “Ish! Awak diamlah! Nanti dia dengar suara awak,” marah Encik Sharif tapi hanya dengan bisikan kecil.

            “Tak payah la abang. Kita tunggu anak balik. Kalau dia ada senjata macamana?”

            “Lepas tu kalau Wafiq balik pun dia nak buat apa? Bukannya anak awak polis ada pegang pistol ke senjata api ke,” jawab Encik Sharif lagi.

Keduanya terkejut mendengar goncangan tombol pintu dengan sangat kuat. Encik sharif sudah sedia mengangkat kayu golf untuk memukul orang yang ingin pecah masuk rumahnya. Hampir seminit juga orang itu berusaha membuka tombol pintu namun masih belum berjaya dibuka. Encik Sharif hairan bila melihat lelaki itu berlalu pergi dari Kawasan dapur rumahnya dan tidak lagi menggoncang pintu rumah.

            “Abang, kenapa dia pergi?” tanya Puan Rozita kehairanan.

            “Ish! Awak ni tanya saya pulak. Mana lah saya tahu. Bukannya saya biasa bukak pintu dapur rumah orang,” jawab Encik Sharif yang turut hairan dengan tindakan lelaki itu.

            “Abang ni! Saya serius ni!”

Encik Sharif hanya berdiam mendengarkan kata-kata isterinya. Mendengar suara pintu dibuka, hatinya Kembali rasa takut. Isterinya juga kembali memegang erat lengannya. Puan Rozita sudah sedia mengambil lesung batu untuk memukul orang yang pecah masuk ke dalam rumahnya.

            “Eh! Ibu! Yang dengan lesung batu ke luar ni dah kenapa?” tanya Wafiq yang sedikit hairan.

            “Lah! Kamu rupanya. Ibu ingatkan siapa tadi,” ujar Puan Rozita melepaskan keluhan lega.

Wafiq mengerutkan dahi kerana pelik dengan kelakuan ibu dan babanya. Melihat wajah babanya yang seakan keliru, tangannya segera memegang lembut lengan babanya,

            “Baba okay?”

Encik Sharif yang seakan baru bembali ke alam nyata, terkejut dengan suara anaknya.

            “Okay. Baba okay. Mana Hafiz?” tanya Encik Sharif untuk mengalihkan perbualan.

            “Dia dah balik. Ada apa-apa yang jadi ke?” tanya Wafiq seakan menghidu sesuatu.

            “Tak ada apa lah!” jawab Encik Sharif ringkas.

Namun berbeza dengan Puan Rozita yang langsung menarik Wafiq ke sofa dan menceritakan kejadian tadi. Kelihatan riak wajah Wafiq yang terkejut dengan cerita ibunya. Encik Sharif pula hanya mendiamkan diri tanpa memberi sebarang reaksi ke atas cerita isterinya.

            “Ni masa kamu masuk ada nampak sesiapa tak kat luar?” tanya Puan Rozita usai habis bercerita.

Wafiq hanya menggelengkan kepala sahaja.

            “Mungkin dia tak jadi masuk sebab Nampak kereta Fiq kot,” ujar ibunya lagi.

            “Sudah lah! Dah lewat ni. Kesian Wafiq baru balik, mesti penat tu. Bagi dia rest. Tak payah fikir sangat. Mungkin budak-budak hisap dadah tu nak masuk mencuri,” ujar Encik Sharif menyedapkan hati.

            “Baba tak nak buat report ke?” tanya Wafiq seakan takut dengan kejadian itu.

            “Alah! Tak payah lah. Jadi kes besar pulak nanti,” jawab Encik Sharif seraya berjalan ke tingkat atas.

Wafiq hanya menghantar ibu dan babanya dengan pandangan mata.

            “Macamana kalau orang tu bukan masuk nak mencuri. Tapi….” Dahinya berkerut sebelum giginya menggigit bibir dengan sangat keras. Mungkin mula rasa takut sekiranya apa yang ada di fikirannya benar-benar terjadi.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23