BAB 34

 

PUAN ROZITA hairan melihat pintu bilik anak perempuannya terbuka. Hatinya mula berfikir yang bukan-bukan, bulu romanya juga sudah berdiri. Melihat jam yang baru menunjukkan jam 6 pagi, makin membuatkan dirinya seram sendiri. Kakinya melangkah masuk setelah melihat keadaan bilik yang sedikit cerah. Puan Rozita segera mengusap dadanya kerana terkejut melihat susuk tubuh yang berbaring di atas katil.

Dia menggelengkan kepala perlahan selepas sedar bahawa anak sulungnya yang sedang berbaring di katil itu. Dia segera mendekatkan diri dengan anak sulungnya. Melihat bingkai gambar yang dipeluk oleh Wafiq, Puan Rozita mengukir senyuman nipis.

            “Fiq. Fiq bangun sayang. Dah pagi ni,” ucap Puan Rozita sambil tangannya mengelus lembut tubuh sasa Wafiq.

Wafiq menggerakkan sedikit tubuhnya. Melihat wajah ibunya di sisi, membuatkan dia terus duduk tegak.

            “Kenapa ibu masuk sini?” tanya Wafiq dengan nada suara yang garau.

Puan Rozita mengukirkan senyuman nipis.

            “Kamu tu yang takutkan ibu. Ibu tengok pintu dengan lampu bilik terbuka, itu yang ibu masuk tengok. Ingatkan makhluk lain dah yang menumpang,” ujar ibunya sambil tersengih sumbing.

Wafiq menghela nafas perlahan. Dia sibuk mengenang kenangan mereka adik beradik sewaktu kecil sehingga tertidur di katil adiknya itu.

            “Fiq rindu adik-adik ya?” tanya Puan Rozita dengan nada yang lembut.

            “Tak adalah. Semalam saja masuk dalam bilik adik ni. Lama dah tak masuk sini. Lepastu tengok gambar-gambar ni,” ujar Wafiq selepas meletakkan bingkai gambar yang dipeluknya ketika tidur.

            “Ibu faham kalau Fiq rindukan adik-adik. Kalau rindu, telefonlah. Kalau nak harapkan adik-adik kamu telefon, lambat lagi. Wildan tu hmm usahkan telefon kamu, telefon ibu dengan baba pun jarang sekali.”

Wafiq melepaskan keluhan berat.

            “Angah busy tu ibu,” ujar Wafiq untuk membela adiknya.

            “Ye lah busy. Kita ni sibuk macamana sekalipun, ibu dengan baba tetap nombor satu. Kalau kerja hilang, kamu boleh cari kerja lain, kamu masih ada ibu dengan baba yang boleh jaga kamu adik-beradik. Tapi kalau ibu dengan baba pergi, kamu boleh cari mak ayah lain? Ada orang boleh ganti kami dalam hidup kamu?” tanya Puan Rozita dengan nada yang sedikit tegas.

Wafiq mengukirkan senyuman nipis.

            “Ya ibu. Tak ada. Ibu dengan baba saja lah orang tua yang kami ada. Takkan ada orang lain yang boleh gantikan ibu dengan baba dalam hidup kami,” jawab Wafiq sambil memeluk lembut bahu ibunya.

Puan Rozita mengukirkan senyuman nipis dan mencium dahi anaknya dengan lembut.

            “Ibu. Kalau lah 10 tahun lepas, kes buli Azim tu bukan angah yang buat macamana?” tanya Wafiq dengan suara yang teragak-agak setelah beberapa detik kesunyian di antara mereka.

Puan Rozita yang tadinya senyum, mulai mengerutkan dahinya. Pelik dengan pertanyaan anak lelakinya itu.

            “Maksud Fiq?”

Wafiq menelan liurnya sendiri. Jantungnya berdebar agak kencang.

            “Tak, Fiq tanya je. Ye la Fiq nak jugak tahu. Kalau lah yang buli Azim tu Fiq, ibu dengan baba mesti layan Fiq macamana ibu dengan baba layan angah kan? Or maybe lagi teruk?” tanya Wafiq sambil matanya tidak lari dari memandang wajah ibunya.

Puan Rozita tersentak dengan pertanyaan Wafiq. Dia sendiri tidak pernah terfikir sedemikian. Yang dia tahu memang Wildan pelakunya kerana guru mereka sendiri yang menceritakan kejadian itu pada dia dan suaminya. Jadi, dia tidak pernah terfikir jika bukan Wildan pelakunya.

            “Apa pulak kamu kata macam tu. Ibu dengan baba layan Wildan macam ni sebab nak sedarkan dia yang apa dia buat tu salah. Kami bukan saja marah tentang Azim, kamu sendiri tahu kan banyak kes yang sudah adik kamu buat. Dari kes mencuri, duduk melepak dengan budak-budak rempit tu. Itu yang ibu dengan baba nak suruh dia sedar. Wildan tu anak ibu, Fiq. Ibu yang mengandung dan melahirkan dia. Mestilah ibu sayangkan Wildan,” jelas Puan Rozita.

Wafiq berusaha mengukirkan senyuman nipis mendengarkan penjelasan dari ibunya. Dia tahu setiap ibubapa pasti akan selalu sayang pada anak mereka dan menginginkan yang terbaik buat semua anaknya. Namun, cara ibu dan babanya menegur Wildan dengan tidak mengambil peduli dan buat tidak endah dengan keadaan Wildan bukanlah satu cara yang betul. Dia yakin disebabkan hal itulah, Wildan selalu buat perangai tidak senonoh dan menconteng arang ke muka ahli keluarganya.

            “Dah, pergi lah masuk bilik kamu. Siap-siap, dah masuk subuh dah ni,” ujar Puan Rozita mengubah suasana hening antara mereka.

Wafiq hanya mengangguk dan meninggalkan ibunya sendirian di kamar itu.

 

JAM menunjukkan hampir jam 8 pagi, Ainna baru saja selesai menguruskan anaknya untuk mandi dan sarapan pagi. Dia sempat mengerling ke arah Fikry yang masih tidur sebelum melangkah ke tandas untuk mencuci pinggan dan gelas.

Suara ketukan dari luar bilik langsung tidak mengganggu tidur Fikry. Lelaki itu masih lagi nyenyak di atas sofa dengan berselimut. Ainna menggelengkan kepalanya perlahan. Kakinya segera melangkah untuk membuka pintu. Risau sekiranya menganggu rehat Raiq jika membiarkan bising itu terlalu lama.

            “Ya, dengan siapa?” tanya Ainna dengan nada yang lembut dan menghadiahkan senyuman nipis buat orang yang ada di hadapan kamar anaknya.

Lelaki itu menunjukkan riak wajah yang serba salah.

            “Ni bilik Raiq Faiqal kan?”

            “Ya betul. Awak siapa ya?” tanya Ainna yang hairan sendiri.

            “Emm..”

            “Siapa datang?” kedengaran suara Fikry bertanya dari dalam bilik.

Ainna memalingkan wajah ke arah sofa. Fikry segera berjalan menghampiri pintu sambil menguap.

            “Hah! Kau! Awalnya datang. Masuklah,” pelawa Fikry seraya melangkah ke arah sofa dengan dibuntuti isteri dan tetamunya.

            “Kejap lagi aku dah masuk kerja. Takut nanti tak sempat nak datang petang ni, itu yang aku datang awal,” jelas lelaki itu lagi.

Fikry mengangguk sekali. Tidak menunjukkan yang dia berminat untuk mendengar cerita adiknya itu.

            “Ainna kenalkan, ni adik saya Fahmi,” ujar Fikry sambil memandang Ainna dan Fahmi silih berganti.  

Ainna hanya menghadiahkan senyuman nipis buat Fahmi. Namun, berbeza dengan Fahmi yang seolah-olah ingin menyapa kakak iparnya. Melihat keadaan antara mereka sedikit tegang, membuatkan dia membatalkan niatnya.

            “Ayah su!” jerit Raiq dengan suara yang tinggi.

Fahmi yang terkejut dengan panggilan anak buahnya mengukirkan senyuman seraya berjalan dan memeluk si kecil itu dengan sangat erat. Bibirnya juga berkali-kali mencium pipi mulus Raiq. Si kecil itu juga langsung tidak menolak seolah-olah memang wujud hubungan dekat antara mereka berdua. Fikry sempat mengerling ke arah Ainna yang asyik memperhatikan kelakuan Fahmi.

            “Tak busy pulak kau harini? Apa penjahat semua dah kena tangkap ke?” tanya Fikry dengan nada sindir.

Fahmi mengukirkan senyuman nipis seolah-olah sudah mengekspektasikan kata-kata perlian dari mulut abangnya setelah agak lama suasana di bilik itu sunyi. Hanya kedengaran celoteh si kecil Raiq saja.

            “Kau ni dulu selalu marahkan aku sebab busy. Ni bila aku free kau perli aku pulak.”

Fikry melepaskan keluhan perlahan, “dah kalau free sangat, ambik la cuti balik jumpa mama dengan papa. Apa kau ingat dorang tu tunggul kat rumah? Tak ada perasaan rindu pada anak-anak?” sinis Fikry sambil hujung matanya melihat Ainna yang melihat telefon bimbitnya.

            “Aku sehari dua ni saja free. Tengok la esok lusa aku try apply cuti,” jawab Fahmi sambil tangannya sibuk melayan Raiq.

            “Jangan balik bila mama atau papa dah meninggal sudahlah. Hidup tak berkat,” sinis Fikry lagi.

            “Emm aku kena gerak dulu ni. Dah nak masuk kerja dah ni,” ujar Fahmi yang sudah lebih setengah jam ada di situ.

            “Eloklah tu, alang-alang aku nak keluar beli barang bolehlah kita keluar sekali,” ujar Fikry sambil menganggukkan wajah pada Ainna tanda memaklumkan kepada isterinya.

Ainna hanya tersenyum nipis kepada Fahmi yang meminta izin untuk beredar dari situ.

           

HAFIZ hanya menghantar Wafiq masuk ke dalam ruangan hotel dengan hujung mata. Selepas subuh lagi majikannya itu menghantar pesanan supaya dia keluar lebih awal dari kebiasaan atas sebab Wafiq ada temujanji sarapan pagi dengan pelanggannya di hotel yang agak jauh dari kawasan rumahnya.

Hafiz melepaskan nafas berat sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluarnya. Jarinya ligat skrol nama-nama di kontak panggilannya. Melihat satu nama yang ada di situ, Hafiz mengukirkan senyuman nipis. Matanya diarahkan ke ruangan pintu yang dimasuki oleh Wafiq sebentar tadi.

Jarinya dengan perlahan mengetik nama itu dan meletakkan telefon bimbit ke cuping telinganya.

            “Hello, Lia. Busy ke?” sapa Hafiz dengan bibir yang masih dengan senyuman sinisnya.

            “Hah kau! Hidup lagi kau?” kedengaran suara sinis seorang perempuan di corong telefon bimbit.

            “Hidup lagi lah! Aku mana boleh mati selagi tak selesai kerja aku. Kau sendiri tahu lah!”

            “Hmm! Ye, tahu! Hah ada apa call aku?” tanya si penerima yang seolah-olah tahu niat Hafiz memanggilnya.

            “Uish! Garang betol! Aku call sebab rindu la, tak boleh ke?” tanya Hafiz dengan nada manja.

            “Halah kau! Tak payah nak rindu-rindu lah! Geli aku. Cepat nak apa? Aku busy ni projek juta-juta nak sampai!”

            “Ye lah! Projek dengan aku kan tak sampai juta tu yang tak nak layan aku lama-lama kan?” ujar Hafiz tanda mengusik gadis itu.

            “Kau ni! Cepatlah! Ada apa? Ni kalau pakwe aku dengar bising lah.”

            “Dia bising ke kau yang takut dia lari?” sindir Hafiz yang memang tahu tentang hubungan gadis bernama ‘Lia’ dengan pasangannya.

            “Kau nak aku tolong ke tak ni?” tanya gadis itu lagi denga nagak kasar.

Hafiz hanya melepaskan tawa kecil mendengarkan pertanyaan gadis itu seraya menceritakan rancangannya pada gadis itu. Kadang si gadis juga turut sama menambahkan ideanya dalam rancangan Hafiz. Perbualan antara mereka terlihat sangat serius dan jelas antara satu sama lain.

            “Kau nak aku hantar anak buah aku bila ni?” tanya gadis itu usai selesai berbincang tentang rancangan mereka berdua.

            “As soon as possible!” jawab Hafiz dengan nada yang tegas dan bersemangat.

            “Okay! Tunggu khabar dari aku. Cau dulu lah!” ujar Lia seraya mematikan panggilan setelah mendengar jawapan dari Hafiz.

 

FIKRY menghantar Fahmi sampai ke lobi utama hospital sebelum mengajak adiknya untuk duduk sebentar di bangku yang ada di kawasan itu.

Fahmi yang sedari tadi sudah merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Fikry, mulai seperti cacing kepanasan. Jantungnya juga berdegup agak laju menunggu bicara abangnya itu.

            “Mi, selama ni aku tak pernah ambik kisah pasal kerja kau, pasal life kau yang playboy, main perempuan situ sini. Aku tak kisah sebab aku tahu adik aku takkan buat sesuatu yang salah. Aku yakin kau cuma berkawan saja dengan semua perempuan tu, kau takkan buat apa-apa yang salah dari sisi agama. Tapi apa yang kau dah buat hari tu bukan benda yang kecik Mi. Kau sendiri tahu benda nikah kahwin ni bukan benda yang main-main. Kau sendiri terima cadangan mama, bukan mama yang paksa, but why? Kenapa kau buat macam tu pada mama dengan papa?” tanya Fikry dengan riak wajah yang sedikit redup. Dia tahu yang dia tidak boleh menggunakan kekerasan untuk mendapatkan kejujuran dari adiknya.

Fahmi hanya mendiamkan diri sambil menundukkan wajahnya. Dia tidak berani untuk menatap wajah abangnya itu.

            “Aku ni abang kau Mi. Aku tak nak kau ada simpan rahsia dari aku. Cuba kau jujur dengan aku, apa yang dah jadi?” tanya Fikry lagi setelah melihat kebisuan dari adiknya.

            “Aku cuma rasa aku belum ready nak kahwin. Tapi aku tak berani nak bagitahu mama sebab aku takut mama marahkan aku,” bohong Fahmi yang masih menundukkan wajahnya memandang lantai.

            “I know you are lying. Aku mungkin tak terlalu tahu pasal kau dan juga life kau, tapi satu benda yang aku sangat yakin dengan kau. Kau takkan buat something yang boleh buat mama dengan papa sedih dan kecewa,” ujar Fikry sambil menatap wajah Fahmi yang menunduk. Dia dapat lihat keresahan adiknya itu.

Fahmi mengukirkan senyuman sinis sambil matanya merenung ke arah bangunan yang berhadapan dengan mereka.

            “Kau salah. Aku akan buat semua benda demi untuk kepentingan aku sendiri. Aku bukan budak kecik lagi Fikry. Aku dah tua, dah matang dan boleh fikir semua benda sendiri. Aku takkan hancurkan keinginan aku semata-mata untuk kepuasan dan kebahagiaan orang lain. Aku bukan lagi Fahmi yang dulu,” jelas Fahmi dengan nada yang tegas namun jauh di sudut hatinya hanya dia dan Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya dirinya untuk menghadapi abangnya itu.

            “Kau boleh tipu semua orang tapi kau tak boleh tipu Allah dan diri kau sendiri. Aku yakin ada something yang kau cuba sembunyikan dari family kita. Walau apa pun sebabnya, jujur aku kata yang kau ni dah melampau. Kau sanggup malukan keluarga kita semata-mata untuk selamatkan diri kau sendiri,” tanya Fikry dengan nada yang kasar. Dia sudah tidak dapat menahan emosinya lagi. Adiknya itu seolah-olah sengaja menutupi sebab segala-galanya terjadi.

            “Suka hati kau lah nak cakap apa. Kau takkan faham apa yang aku rasa sebab kau tak ada di tempat aku,” jawab Fahmi tanpa memikirkan perasaan abangnya.

Fikry segera menarik kolar baju adiknya dengan kasar. Untung saja tidak ada ramai orang di kawasan itu memandangkan waktu juga masih terlalu awal.

            “Eh! Bangang! Kau ingat perempuan yang ada dalam bilik tadi siapa? Yang jaga anak aku tu maid aku ke? Yang kena kahwin tu aku! Aku! Sebab kau, aku kena hadap semua benda ni. Sebab kau hancurkan majlis tu, aku yang kena gantikan kau! Kau ingat hidup aku ni apa? Pandai kau cakap aku tak duduk tempat kau! Kalau kau dari awal tak nak kahwin, kenapa kau setuju dengan mama? Semua yang kau buat bukan saja menyusahkan aku, tapi menyusahkan semua orang! Apa kau ingat mak bapak kau tu tunggul? Tak ada perasaan bila orang tanya kenapa pengantin lelaki tu aku bukan kau? Aku ni? Ingat aku tak malu ke nak hadap family Ainna tu? Kau bercakap ikut sedap mulut saja kan! Pikir la pakai otak! Kalau bukan sebab kat hospital, kau pergi balai dengan lebam dah! Bodoh!” gertak Fikry seraya berjalan menuju ke parkir kereta.

Fahmi ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga. Mungkin masih terkejut dengan tindakan abangnya tadi. Tapi memang salahnya juga yang mengeluarkan kata ikut sedap hati dia saja tanpa memikirkan perasaan abangnya. Padahal dalam kes ini yang paling susah adalah Fikry bukan dirinya sendiri.

 

AMIRA membuka telefon bimbitnya yang sedari tadi tidak berhenti berbunyi yang menandakan ada pesanan baru yang diterima. Wajahnya mula berkerut melihat gambar yang diterimanya melalui aplikasi whatsapp, giginya mengetap bibir dan tangannya menggenggam keras telefon bimbitnya.

Entah kenapa perasaan kali ini yang dirasakan bukan lagi sedih seperti sebelum ini, tapi lebih kepada rasa sakit hati, ditipu dan marah yang terlalu besar pada teman lelakinya. Tangannya dengan pantas mengambil sebiji gelas kaca yang ada di hadapannya sebelum dibaling kearah dinding yang ada dihadapannya. Matanya mula berkaca-kaca dan tangan kanannya menyentuh dada yang terasa sesak.

Yaya berlari dari kamar tidur ke arah suara kaca yang didengarnya. Dia terkedu melihat Amira yang sudah pun terduduk di atas lantai yang dipenuhi kaca. Kakinya segera melangkah mendekati majikannya dan membantu gadis itu berjalan kea rah ruang tamu. Tangan dan matanya ligat mencari sekiranya ada luka di badan Amira sambil bibirnya tidak henti-henti bertanya tentang keadaan gadis itu.

Yaya menghela nafas lega sebelum menyambung bicaranya,

            “Kau okay tak ni? Aku tengok badan kau tak ada luka pun, yang kau nangis ni dah kenapa?” tanya Yaya yang memang tahu dengan ketabahan majikan merangkap sahabatnya itu.

Perlahan-lahan tangannya menunjukkan gambar yang dilihatnya sebentar tadi. Dadanya masih sesak sehinggakan dia agak sukar untuk bersuara dan menceritakannya sendiri kepada Yaya.

Yaya mengerutkan dahi melihat gambar itu sebelum menggelengkan kepalanya perlahan. Memang dia akui yang dia tidak suka dengan Fikry disebabkan layanan Fikry yang endah tak endah saja terhadap Amira, tapi dia yakin Fikry tidak akan sekali-kali berbuat curang di belakang Amira. Dia tahu Fikry bukanlah lelaki seperti itu.

            “Mira, kau percayakan gambar ni?” tanya Yaya sambil memegang lembut tangan Amira.

            “Aku tak tahu. Tapi takkanlah gambar tu menipu. Tu atas pelamin tau Ya! Gambar kahwin siap semua family ada lagi! Takkanlah photoshop!” tegas Amira dengan nada yang tinggi.

            “Amira. Fikry tu boyfriend kau, kau yang lagi kenal dia dari aku. Aku tak berani nak kata apa sebab aku pun tak tahu cerita sebenar. Tapi dari aku kenal Fikry sampai sekarang, aku tak rasa yang dia sanggup curang dengan kau. Lagipun kalau gambar ni betul, dia dah kahwin tau Mira! Mustahillah kalau dia sanggup sakitkan kau macam ni sekali,” pujuk Yaya yang sudah pun memeluk sahabatnya.

            “Habis tu gambar ni?” tanya Amira lagi.

Yaya hanya mendiamkan diri dan menggelengkan kepalanya sendiri. Dia yakin gambar itu sengaja disunting untuk merosakkan hubungan Amira dan Fikry.

            “Aku nak pergi jumpa Fikry,” ujar Amira usai melepaskan pelukan sahabat baiknya itu.

Yaya yang terpinga-pinga segera memegang lengan mulus Amira.

            “Mira, kau boleh sabar dulu tak. Jangan buat kerja melulu macam ni. Kalau gambar ni palsu macamana? Lagipun ni mungkin saja wedding adik dia. Orang lain edit letak muka dia ke manalah kita tahu. Kau nak Fikry marahkan kau sebab tak percayakan dia? Sudahlah sejak akhir-akhir ni korang asyik gaduh saja,” ujar Yaya dengan jelas hingga menyedarkan Amira.

Amira terdiam mendengarkan kata-kata Yaya, mungkin sedang menata fikiran supaya lebih tenang dan rasional.

Yaya tersenyum nipis dan sedikit lega melihat Amira yang seakan menuruti nasihatnya. Dia perlahan-lahan menghela nafas lega kerana Amira tidak berbuat gila di waktu seperti itu. Dia risau sekiranya Amira tidak dapat meneruskan kerja pada petang itu sekiranya gadis itu bertekad untuk menemui Fikry dan berlaku pergaduhan besar antara mereka. Memang dia sudah arif dengan kelakuan Amira yang akan murung seharian bila terjadi sesuatu masalah atau ada yang mengganggu emosinya pada hari itu.

           

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23