BAB 31

 

Fikry segera menekan telefon bimbitnya untuk menyampaikan perihal Raiq pada Ainna. Abang iparnya bersungguh-sungguh menyuruh dia untuk maklumkan pada Ainna. Hampir tiga kali dia menelefon Ainna namun panggilannya langsung tidak dijawab oleh isterinya.

‘Mungkin busy kerja kot,’ desisnya sendiri.

               “Papa.” Kedengaran suara anaknya yang masih dalam keadaan yang lemah.

               “Ya sayang. Raiq ada sakit mana-mana ke?” tanya Fikry sambil tangannya segera diletakkan di wajah Raiq. Setelah memastikan panasnya tidak terlalu tinggi, Raiq melepaskan nafas lega.

Raiq menggelengkan kepalanya perlahan. Dia memerhatikan keadaan sekeliling yang kelihatan sangat asing dengan dirinya.

               “Kita kat mana ni papa?” tanya si kecil yang tangannya digenggam oleh Fikry.

               “Kita kat hospital sayang. Raiq nak makan?” tanya Fikry dengan nada yang lembut. Bibirnya berkali-kali mencium tangan si kecil.

Raiq mengangguk perlahan. “Raiq nak makan ayam KFC,” jawabnya perlahan.

Fikry mengukirkan senyuman nipis mendengarkan jawapan anaknya.

               “Okay, nanti papa beli ya. Tunggu doktor datang dulu,” pujuk Fikry dengan riak wajah yang tenang. Namun, jauh di sudut hatinya dia sangat risau keadaan Raiq. Baru saja doktor memberitahunya yang Raiq perlu dimasukkan ke dalam wad kerana ingin memantau keadaan anaknya dengan lebih lanjut. Memandangkan arwah ibu Raiq mengalami penyakit jantung berlubang, jadi doktor risau sekiranya masalah pernafasan yang menganggu anaknya merupakan salah satu symptom kepada penyakit yang dialami ibunya dulu.

               “Tapi Raiq lapar,” rengek Raiq.

Fikry melepaskan keluhan perlahan. Anaknya memang sedari pagi lagi tidak menjamah apa-apa makanan.

               “Raiq makan roti dulu ya sayang? Nanti doktor datang, papa keluar beli KFC boleh?” pujuk Fikry.

Raiq menganggukkan kepalanya perlahan.

               “Haa ni tadi Uncle Dan datang. Dia bawak roti untuk Raiq,” ujar Fikry sambil tangannya membukakan plastik roti dan menyuap anaknya.

               “Adan datang? Bila?” tanya Raiq yang memang agak dekat dengan abang kedua Ainna.

               “Tadi. Tapi Raiq tidur.”

               “Kenapa tak tunggu Raiq bangun?” tanya Raiq dengan nada yang kesal. Mungkin merajuk dengan bapa saudaranya itu.

               “Uncle Dan kerja. Nanti dia datang lain kali okay?” pujuk Fikry lagi.

Raiq hanya mengangguk dan terus mengunyah roti yang ada di dalam mulutnya.

 

AINNA menghela nafas lega bila dia dan majikannya sampai di Purnama Holdings tepat pada masanya. Dia dan Encik Malik di bawa ke ruangan mesyuarat oleh salah seorang penyambut tetamu yang ada di syarikat tersebut. Beberapa minit menunggu, bayang rakan kongsi majikannya masih tidak kelihatan. Dia berusaha mengawal nafasnya yang agak semput, mungkin kerana dia belum habis meneliti fail untuk perjumpaan pada petang itu. Tapi memang bukan salahnya, Mila yang baru maklumkan dan memberikan fail berkaitan dengan perjumpaan itu pada dia. Jadi, tidak hairanlah sekiranya dia tidak sempat khatam dengan maklumat-maklumat yang ada dalam fail itu.

               “Penat Ainna?” tanay Encik Malik sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “Eh! Takde lah encik. Saya okay saja,” jawab Ainna seraya membalas senyuman majikannya.

               “Jangan risau, Dato’ Fuad ni tak makan orang,” gurau Encik Malik sambil mata yang masih menatap wajah Ainna.

Ainna hanya mengukirkan senyuman hambar dan mengerling sekilas. Entah kenapa buang tabiat majikannya dari tadi lagi asyik memerhatikan dia. Sampai dia sendiri naik takut dengan majikannya. Ainna segera mencari telefon bimbitnya dari dalam beg tangan untuk menyibukkan diri dari terus menghadap situasi seperti itu.

               “Kenapa?” tanya Encik Malik yang melihat pekerjanya itu sedang sibuk mencari sesuatu dari tas tangannya.

               “Saya rasa saya tertinggal fon di office la encik,” ujar Ainna setelah dia membuka tas tangannya yang hanya terisi dengan dompet dan alat soleknya sahaja.

               “Oh! Tak apa lah. Kita sekejap saja ni. Lagipun awak nak call siapa nya kita nak meeting kejap lagi. Nak report suami awak?”

Ainna yang merasa kurang selesa dengan pertanyaan majikannya hanya mengukirkan senyuman hambar.

‘Suka hati aku la nak buat apa, nak call siapa. Langsung tak ada kaitan dengan kau pun. Hish! Mana pulak handphone aku ni? Time aku nak guna la kau nak hilang kan!’ bebel Ainna sendiri.

               “Suami awak jenis kaki cemburu ke?”

               “Kenapa?” tanya Ainna yang bingung dengan pertanyaan majikannya.

               “Ya lah! Saya tengok awak gelisah semacam saja. Takut suami awak nampak kita lepastu salah faham?” teka Encik Malik.

Entah kenapa Ainna mulai menyampah dengan perangai majikannya. Tidak kisahlah kata-kata itu hanya gurauan sekalipun tapi dia sangat tidak suka bila ada orang luar yang ingin tahu atau masuk campur tentang urusan peribadinya.

               “Taklah. Dia faham ni urusan kerja,” jawab Ainna dengan nada yang mendatar. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia malas berbahas soal itu.

Encik Malik yang menyedari kelakuan pekerjanya hanya mengukirkan senyuman nipis. Dia juga sudah tidak ada hati untuk mengusik gadis itu. Melihat seorang lelaki berjalan meninggalkan mereka, dia mengukirkan senyuman sinis.

 

JAM menunjukkan hampir pukul 2 petang, Amira baru saja selesai penggambarannya. Dia melabuhkan duduk bagi merehatkan badan setelah hampir 5 jam penggambaran itu berlangsung. Entah apa yang istimewa dengan produk itu pun dia tidak tahu. Sudahlah pemiliknya cerewet bila bab mempromosikan produk mereka. Nasib bayaran mahal saja yang membuatkan dia tetap menjadi duta produk itu.

               “Mira, petang ni ada fitting baju tau untuk event majalah ‘Couple’ tu,” ujar seorang wanita merangkap pengurus peribadinya.

               “Pukul berapa?” tanya Amira seraya melepaskan keluhan perlahan.

               “Pukul 5. Ke kau nak aku set appointment lain dengan butik tu?” tanya wanita itu lagi.

               “Takpe lah Yaya. Proceed je lah. Sama je nanti kena pergi jugak,” ujar Amira dengan nada yang lembut.

               “Kau larat tak? Aku tengok kau dah penat gila ni,” tanya Yaya lagi.

Amira hanya mengukirkan senyuman nipis seraya bangun untuk membetulkan urat-urat tubuhnya yang mungkin sudah hampir putus. Kepalanya juga terasa berat.

               “Okay, aku proceed. And tadi majalah ‘Couple’ ada bagitahu yang Fikry tak datang event tu. Tengah hari tadi Izzue inform dorang yang Fikry tak dapat datang,” ujar Yaya sambil memerhatikan Amira.

               “Kenapa?” tanya Amira sambil mengerutkan dahinya.

               “Katanya anak dia sakit,” jawab Yaya dengan nada yang perlahan.

               “Dia tak ada bagitahu aku apa-apa pun. Selalunya dia akan whatsapp tak pun call bagitahu yang anak dia sakit. Suruh aku teman la apa la,” luah Amira.

               “Dia lupa kot,” jawab Yaya untuk menenangkan hati Amira. Jujur dia sendiri kasihan melihat keadaan Amira yang sejak akhir-akhir ini sering diabaikan oleh teman lelakinya itu. Dia tahu yang setiap hubungan bukan hanya Fikry seorang yang salah, Amira juga banyak salah terhadap Fikry. Tapi dalam masa yang sama, Amira juga sudah terlalu banyak membantu Fikry sejak dari awal pertemuan mereka lagi. Amira merupakan salah satu tulang belakang Fikry untuk menjadi jurugambar yang berjaya seperti sekarang. Namun, bila lelaki itu miliki segala-galanya, dia mulai menjauh dengan Amira.

               “Yaya kalau aku tak pergi boleh tak?” tanya Amira seraya melabuhkan duduk di sebelah Yaya.

               “Kenapa?” tanya Yaya yang tahu Amira sangat menginginkan untuk menjadi tetamu istimewa di acara besar-besaran seperti majlis majalah ‘Couple’ itu.

               “Kalau aku pergi sorang, orang mesti akan tanya-tanya pasal Fikry. Akan ada macam-macam gosip la pasal aku dengan dia. Aku tak nak,” jelas Amira dengan muka cemberutnya.

Yaya melepaskan keluhan perlahan.

               “Then, kau nak lepaskan peluang yang dah lama kau tunggu? Kita ni nasib baik tau sebab pengarah dia still nak kau jadi first presenter di event tu even Fikry tak dapat datang. Jangan fikir apa yang orang kata, ini impian kau. Takkan sebab Fikry, kau nak kuburkan impian kau selama ini?” tanya Yaya dengan nada yang tegas.

               “Tapi kalau nanti orang kata Fikry tak datang sebab break dengan aku ke apa ke macamana? Timbul gossip pelik-pelik pulak nanti.”

               “Takpe lah. Yang penting kau datang. Kalau pun orang fikir macam tu, orang akan kagum dengan kau. Sebab kau berani untuk tampilkan diri dan dia tidak.”

Amira melepaskan keluhan perlahan.

               “Tapi.. Nanti Fikry macamana?” tanya Amira yang masih risaukan Fikry.

Yaya menggelengkan kepala perlahan.

               “Kenapa kau nak fikir pasal dia? Sedangkan dia langsung tak kisah pasal kau. Kau sanggup hancurkan impian kau, masa depan kau, harapan orang yang berharap pada kau? Aku buat semua ni pun untuk kau. Sekarang ni ikut suka hati kau. Kau pergi ke tak pergi ke tak ada kepentingan pun untuk aku,” ujar Yaya seraya bangun dan melangkahkan kaki untuk meninggalkan Amira.

               “Yaya. I am sorry! Aku pergi event tu. Kau jangan la macam ni. Kau kan kawan baik aku, jangan tinggal aku,” pujuk Amira sambil melentokkan kepalanya di bahu Yaya.

Yaya melepaskan keluhan berat.

               “Dahlah! Kalau nak pergi siap cepat!”

               “Alaaa bagi lah aku rest kejap. Aku penat,” ujar Amira dengan nada dan gerak tubuh yang manja.

Yaya mengerling sekilas. “Yelah! Pukul 3 kita gerak!”

               “Thankyou darling!” jerit Amira sambil melambaikan tangan pada pengurus merangkap teman baiknya yang sudah jauh di depan.

 

FAHMI mengeluarkan beberapa keping gambar yang diselitkan di dalam buku tebal berwarna hitam. Dia mengelus lembut wajah-wajah yang ada di dalam gambar itu. Melihat senyuman di setiap wajah itu makin menusuk hatinya sendiri. Tangan kanannya diletakkan di dada seolah-olah menahan rasa sakit yang dirasa.

               “Mi mintak maaf, Mi tahu Mi salah,” bisiknya perlahan seraya membaringkan tubuhnya di atas katil.

Matanya dipejam rapat, berharap segala sesalan dan kesalahan yang sudah dia lakukan akan terhapus.

               “Kau tak tahu kan yang Iky dah kahwin?” tanya Yana dengan nada yang sedikit teruja.

               “Kahwin? Bila? Kenapa aku tak tahu apa pun?” tanya Fahmi yang pelik kerana mamanya tidak memberitahukan hal itu padanya. Sedangkan sudah beberapa kali dia berbual dengan mamanya melalui telefon.

               “Ya, Iky dah kahwin. Kau off phone waktu tu.”

               “Aku tak faham. Maksudnya? Kan nikah kahwin mestilah dah plan lama, pehal aku tak tahu?”

               “Kenapa pulak kau tak tahu? Wedding kau haritu kau ingat sape yang gantikan tempat kau? Apa kau ingat wedding tu kita tukar jadi majlis doa selamat? Mana nak campak muka mama papa kalau orang tahu pengantin lari?” tanya Yana tanpa berkias.

               “Kau sepatutnya berterima kasih dengan Iky. Dia sanggup berkorban demi mama dengan papa. Kita semua pun tahu yang dia dah ada Amira, tapi dia sanggup korbankan hubungan dia dengan Amira demi family kita,” ujar Yana seolah-olah memihak pada Fikry.

               “Aku tahu aku salah. Aku mintak maaf kak,” kata Fahmi dengan nada yang perlahan. Menunjukkan yang dia benar-benar kesal dengan apa yang terjadi. Namun, itu semua bukan keinginannya. Dia terpaksa demi untuk menjaga perasaan kedua orang tuanya. Dia tahu marah mereka sekarang tidak sebesar amarah mereka bila segala-galanya terbongkar.

               “Kau kenapa tak balik waktu tu Mi? Kau jangan cakap kau ada kerja luar. Takkan lah bos kau nak suruh kau buat kerja time kau nak kahwin? Apa tak ada pegawai lain ke kat situ?” tanya Yana yang masih tertanya-tanya sebab adiknya tidak pulang ke majlis itu.

               “Mi ada hal akak. Tapi, sumpah Mi memang nak balik cuma keadaan yang tak mengizinkan,” jawab Fahmi dengan nada yang tegas. Berharap semoga kakaknya dapat mengerti keadaan dirinya.

               “Hal apa? Apa lagi yang penting dari family?”

Fahmi membisukan diri. Dia sendiri bingung dengan apa yang perlu dia jawab. Dia sayang malah kerana terlalu sayang akan keluarganya lah dia mengambil keputusan seperti itu.

               “Inilah masalah kau! Setiap kali orang tanya kau diam! Kau selalu saja nak lari dari masalah! Lantak kau lah!”

Fahmi mengeluh teringatkan akhir perbualan antara dia dan kakaknya. Tidak ada yang boleh mengerti keadaan dia. Walaupun dia ceritakan hal sebenar pada kakaknya, dia yakin Yana akan menyalahkan dia juga pada akhirnya. Dan mendengar dari tutur kata kakaknya, dia yakin yang Yana masih sangat marahkan dia soal kejadian itu. Dia juga amarah abangnya jauh lebih besar dari marah Yana pada dia.

              

AINNA yang baru saja sampai ke pejabat segera mencari telefon bimbitnya yang ketinggalan tadi. Dia semakin resah bila melihat jam yang sudah menunjukkan hampir pukul 3:30 petang. Kadang Raiq akan pulang awal dari taska sekiranya Fikry tidak ada kerja petang dan si kecil itu pasti akan menelefonnya pada waktu makan siang. Ainna mengeluh setelah melihat panggilan tidak berjawab sebanyak lima kali dari Fikry dan tiga kali dari abangnya, Wildan.

Tangannya segera mengetik nama Wildan dan telefon bimbitnya diletakkan di telinga. Beberapa detik menunggu, kedengaran suara dari corong telefon bimbit,

               “Adik.”

               “Angah. Ada apa angah call adik? Rindu sangat ni sampai 3 kali missed call,” usik Ainna dengan nafas yang masih tercungap-cungap.

               “Adik pergi mana? Dari tengah hari lagi angah call. Nak kata busy kerja lunch hour pun adik tak angkat,” ujar Wildan.

Ainna melepaskan keluhan perlahan.

               “Tadi adik ada meeting luar. Ni baru je sampai office, handphone tertinggal,” cerita Ainna.

               “Oh! Patutlah! Ni adik dah call Fikry?” tanya Wildan.

               “Belum lagi. Kenapa?” Ainna bingung dengan pertanyaan abangnya.

               “Dia tak ada call adik ke?”

               “Ada. Adik tengok tadi missed call dari angah dengan dia. Tapi adik call angah dulu. Kenapanya ngah?” tanya Ainna.

               “Raiq demam tu. Awal pagi tadi Fikry bawak Raiq gi hospital,” ujar Wildan.

               “Demam? Bila lagi demam?” tanya Ainna yang mulai risau dengan keadaan anaknya.

               “Fikry kata semalam okay lagi waktu cakap dengan adik tu. Pagi tadi waktu Fikry kejutkan dia nak pergi sekolah tengok-tengok dah tak sedar,” ujar Wildan.

               “Ya Allah! Sampai pengsan ke?”

               “Ya. Katanya sebab Raiq nangis kuat sangat macam tu lah. Ada breathholding mende ntah. Yang penyakit sesak nafas bila budak kuat sangat nangis tu,” jelas Wildan seperti yang Fikry sampaikan pada dia.

               “Adik tak tahu pun. Angah okaylah dulu. Nanti adik call balik. Adik nak try call Fikry tanya keadaan Raiq sekarang,” ujar Ainna yang sudah menahan sebak di dada.

               “Okay. Nanti ada apa-apa bagitahu angah tau!”

               “Okay ngah. Assalamualaikum.”

Usai mendengar salamnya dijawab, Ainna segera meletakkan panggilan.

 

FIKRY yang baru saja selesai menunaikan solat Zohor segera bangun dari duduknya untuk mengangkat telefonnya yang sudah beberapa kali berdering.       Tangannya segera menekan simbol berwarna hijau sebelum menekapkan telefon bimbit ke telinganya.

               “Awak, Raiq macamana?” tanya Ainna dengan nada suara yang seperti menahan sebak.

               “Astaghfirullahalazim. Bini siapa ni? Assalamualaikum Puan Ainna. Selalunya dia ingatkan orang, harini dia pulak yang gelabah,” usik Fikry.

               “Okay, assalamualaikum. Raiq macamana?” tanya Ainna yang malu sendiri.

Fikry mengukirkan senyuman nipis mendengarkan pertanyaan isterinya.

               “Waalaikumussalam. Raiq dah better than pagi tadi. Demam pun dah kebah. Dia baru je tidur,” jelas Fikry.

               “Alhamdulillah. Kemain risau saya tadi angah kata Raiq demam sampai pengsan. Kenapa sampai macam tu sekali? Semalam dia ada bangun tengah malam lagi ke?” tanya Ainna yang selalu mendengar cerita dari Fikry yang anak mereka selalu tersedar di tengah malam dan menangis.

               “Takde pun. Pagi tadi tengok-tengok Raiq dah pengsan. Saya pun cuak jugak sebab dia tak pernah macam ni.”

               “Sekarang dah balik rumah ke?”

               “Taklah! Raiq kena warded.”

               “Warded? Kuat sangat ke demam dia?” tanya Ainna yang hairan sendiri. Tadi Fikry baru saja beritahu keadaan Raiq yang semakin membaik. Namun, kenapa sampai perlu dirawat di hospital.

               “Tak. Arwah mama Raiq dulu ada sejarah jantung berlubang. So takut Raiq pun ada masalah yang sama,” jelas Fikry.

               “Jantung berlubang? Tapi kan Raiq kecik lagi.”

               “Penyakit ni tak kira besar ke kecik. Kalau ada kes keturunan, so probability tu besar,” jelas Fikry lagi.

               “Ya Allah Raiq. Kesian betul dengan dia. Awak. Boleh tak saya pergi sana?” tanya Ainna meminta izin daripada suaminya.

               “Buat apa? Raiq dah okay. Cuma doktor saja nak pegang sebab nak pantau keadaan dia. Tak payahlah, awak kan kerja. Takkan pagi besok nak drive sorang, jauh tu,” larang Fikry yang tidak ingin menyusahkan isterinya.

               “Saya tak bolehlah. Saya risaukan Raiq. Kalau saya tak pergi saya takkan tenang. Bolehla, please,” mohon Ainna.

Fikry melepaskan keluhan berat. Susah juga dapat isteri degil seperti Ainna ini.

               “Kerja?”

               “Alah! Kerja tu saya cuti lah,” ujar Ainna lagi.

               “Ikut awak lah. Tapi kalau nak gerak, gerak sekarang. Jangan tunggu Asar, nanti jalan jammed lewat pulak sampai,” nasihat Fikry.

               “Okay, thankyou awak,” jawab Ainna mengiyakan arahan suaminya. Dia tahu sudah tidak sempat untuk dia pulang dan mengemaskan barang dalam masa setengah jam. Namun, kerana malas berbahas dengan suaminya, jadi dia mengiyakan saja arahan suaminya itu.

               “Emm. Sama-sama,” jawab Fikry seraya mengukirkan senyuman nipis dan mematikan panggilan. Lega sedikit hatinya jika Ainna ke sini. Berharap semoga dengan kehadiran Ainna, si kecil itu boleh ceria seperti biasa lagi.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23