BAB 30

 

ENCIK SHARIF yang baru saja selesai mengaji al-Quran menjawab ketukan pintu dari luar. Melihat wajah anak sulungnya yang muncul di sebalik pintu, membuatkan dia tersenyum nipis.

               “Fiq, awal masuk jumpa baba ni. Ada apa-apa ke?” tanya babanya selepas meletakkan kitab suci itu di meja kecil yang tidak jauh dari kerusinya.

Wafiq mengukirkan senyuman nipis sebelum mempersilakan seorang lelaki untuk masuk ke ruangan babanya.

               “Baba, kenalkan, ini PA baru Fiq.”

Encik Sharif mendongakkan kepala selepas mendengar ucapan anak lelakinya. Dia mengukirkan senyuman nipis kepada pekerja barunya itu. Memang dia sudah dimaklumkan tentang PA baru itu dari Wafiq. Dia juga bersetuju dengan permintaan Wafiq memandangkan seminggu dua ini dia sering diganggu. Jadi dia risau sekiranya nanti orang-orang yang mengugutnya berniat untuk menyerang anaknya.

               “Selamat pagi, Dato’. Nama saya Hafiz,” kata Hafiz dengan senyuman di bibir. Wajahnya juga ditundukkan tanda hormat pada majikannya padahal realitinya dia terlalu benci untuk melihat wajah lelaki itu. Ingin saja dia menghamburkan pelbagai kata-kata kesat yang selama ini dipendamkan sendiri. Namun, dia berusaha untuk menahan dirinya kerana enggan semua rancangannya hancur hanya kerana dia tidak mampu menahan emosinya sendiri.

Encik Sharif mengangguk dan melepaskan tawa kecil,

               “No need to call me Dato’. Segan pula saya kalau awak panggil saya dato’. Nanti awak akan dekat dengan family saya jugak, panggil saja encik. Tak pun baba saja.”

‘Baba? Kau tak layak dapat panggilan tu dari aku! Tak pelik kenapa orang anggap kau ni baik. Terlalu baik sampaikan orang susah nak percaya semua kejahatan kau. Kau memang baik dengan orang luar and even orang yang baru kau kenal. Tapi kau jugak boleh jadi orang yang jahat, malah terlalu jahat. Kerana sanggup nak pisahkan anak dan ibunya, tinggalkan isteri terkontang-kanting seorang diri, dan hampir membunuh orang lain. Hebat betul kau, Sharif,’ desis Hafiz sendiri sambil mengukirkan senyuman sinis.

               “Baik encik.”

Encik Sharif mengukirkan senyuman nipis mendengarkan jawapan Hafiz. Mungkin lelaki itu masih segan untuk memanggilnya dengan sebutan baba. Tambahan lagi, mereka juga baru saja berjumpa. Sesekali dia mengerling ke arah Hafiz. Entah kenapa senyuman Hafiz mengingatkan dia pada seseorang.

               “Awak asal mana?” tanya Encik Sharif seolah-olah ingin mengetahui latar belakang Hafiz.

               “Saya memang asal sini, encik. Mak saya orang JB, ayah saya orang Melaka,” jawab Hafiz yang bercerita tentang asal usul arwah ibu dan ayah tirinya.

               “Oh! Mak ayah awak kerja apa?”

               “Mak dengan ayah saya dah meninggal dua tahun lepas, encik,” jawab Hafiz seraya menundukkan wajahnya.

               “Sorry. Saya turut berduka cita ya,” ujar Encik Sharif dengan riak wajah yang serba salah.

Hafiz hanya mengukirkan senyuman nipis mendengarkan kata-kata majikannya.

               “Parents kau meninggal sebab apa Fiz?” tanya Wafiq yang turut sama terkejut kerana dia juga baru mengetahui tentang hal itu.

               “Accident,” jawab Hafiz ringkas.

 ‘Dan kau penyebabnya, Syarif,’ desis Hafiz sambil merenung tajam ke arah lelaki yang berumur lingkungan 60 tahun di hadapannya.

               “In sya Allah, parents kau ditempatkan dengan orang-orang yang baik Fiz. Takpe, sekarang kau kan dah jadi sebahagian dari family aku. Parents aku pun parents kau lah! Jangan nak sedih-sedih,” ujar Wafiq sambil menepuk bahu Hafiz perlahan. Seolah-olah ingin memberi semangat pada PA merangkap rakan barunya itu.

Hafiz mengukirkan senyuman nipis mendengarkan kata-kata Wafiq.

 

IZZUE yang baru saja sampai di studio bingung sendiri melihat studio yang masih lagi berkunci. Dia melihat jam yang sudah menunjukkan hampir pukul 9 pagi. Tangannya segera mengeluarkan kunci dari saku seluarnya. Usai melangkah masuk ke dalam studio dan membuka lampu, Izzue berjalan ke arah ruangan pantri dan juga ruang lepak mereka. Melihat keadaan yang masih tidak berubah membuatkan dia yakin yang Fikry masih belum sampai di studio.

               “Mana pulak si Fikry ni. Selalunya kalau masuk lambat mesti inform aku,” bebel Izzue sendiri seraya mengetik telefon bimbitnya untuk membuat panggilan. Izzue mengulang panggilan beberapa kali namun masih tidak berjawab.

               “Assalamualaikum,” kedengaran satu suara menyapa dari luar.

Izzue agak terkejut mendengar suara dari luar. Kakinya melangkah keluar untuk melihat gerangan yang memberi salam.

               “Waalaikumussalam, Wildan. Awal kau datang?” tanya Izzue sambil mengukirkan senyuman nipis kepada lelaki yang ada di hadapannya.

               “Haah, aku nak bagi contoh gambar yang aku bagitahu haritu. Tapi aku dah inform Fikry dah nak datang pagi ni,” jawab Wildan seraya membalas senyuman lelaki di hadapannya.

               “Oh! Nanti aku bagi Fikry. Menyusahkan kau je datang sini, kenapa tak bagitahu kitorang je biar pergi ambik kat sana?” tanya Izzue yang segan dengan kelakuan Wildan. Walaupun mereka masih baru dan juga ada projek yang memerlukan mereka untuk bergantung pada Wildan namun lelaki itu tidak pernah melayani mereka selayaknya orang bawahan. Wildan malah banyak membantu dan memberi idea kepada mereka.

               “Alah! Kebetulan aku ada meeting area sini jugak lepas ni. Ingat nak bagi waktu lunch tapi Fikry kata dia ada outdoor shoot pulak. Itu yang aku datang awal. Takut lewat pulak aku habis meeting,” jelas Wildan sambil menghulurkan sebuah buku di tangannya.

Izzue menyambut huluran Wildan,

               “Eh! Duduklah dulu. Kita kopi-kopi,” pelawa Izzue dengan ramah.

               “Takpe lah, Izzue. Dah nak 9:30 ni, aku dah janji nak jumpa client,” tolak Wildan sambil menghadiahkan senyuman.

Izzue mengangguk perlahan.

               “Fikry tak masuk lagi ke?” tanya Wildan setelah tidak melihat bayang-bayang orang lain pun di dalam studio itu selain dia dan Izzue.

               “Itulah! Aku pun pelik. Dia tak pernah lewat macam ni. Call pun tak angkat. Selalunya kalau dia lambat ke ada hal ke mesti dia call aku. Ni diam je, takde khabar berita,” jelas Izzue sambil mengerling ke arah telefon bimbitnya.

               “Terlajak tidur kot,” teka Wildan.

               “Tak tahu lah. Mungkin kot. Tapi sebelum ni tak pernah pulak dia terlajak tidur sampai selewat ni. Sebab pukul 7:30 tu dia memang dah kena hantar anak dia pergi taska,” jawab Izzue yang memang sudah arif dengan aktiviti sahabatnya di pagi hari.

               “Maybe penat la tu kot. Orang baru balik honeymoon,” ujar Wildan sambil ketawa kecil.

Izzue mengukirkan senyuman mendengarkan kata-kata Wildan. Dia memang sudah tahu yang Wildan adalah abang ipar kepada Fikry.

               “Anyway, aku pergi dulu la. Takut tertunggu-tunggu pulak client aku. Kirim salam je lah dekat Fikry,” ujar Wildan seraya berdiri dan berjalan keluar.

Izzue sempat bersalaman dan mengangguk tanda mengiyakan permintaan Wildan.

 

FIKRY yang risau dengan keadaan anaknya mulai tidak tentu arah duduknya. Dia mengerling ke arah langsir yang melindungi anaknya yang sedang dirawat oleh doktor. Tidak berapa lama kemudian, doktor keluar dan menghampiri Fikry yang sedang menyandarkan tubuh di kerusi. Mungkin sedang menenangkan dirinya.

               “Encik,” tegur doktor wanita sambil melabuhkan duduk berhadapan dengan Fikry.

               “Doktor. Macamana dengan anak saya?” tanya Fikry usai menegakkan tubuhnya dari sandaran. Matanya sempat mengerling ke arah Raiq yang masih tidak menyedarkan diri.

               “Anak encik demam. Suhu dia pun agak tinggi. Saya dah inject ubat tadi. kita tengok dulu dalam sejam. Kalau suhu dia tak turun jugak, anak encik terpaksa warded la,” jelas doktor itu dengan riak wajah yang tenang.

Melihat wajah Fikry yang benar-benar risau, doktor itu mengukirkan senyuman nipis,

               “Encik jangan risau. Anak encik cuma demam biasa. Tidak ada yang serius.”

               “Then, kenapa bibir dia biru doktor? Muka dia pun saya tengok tadi pucat putih macam dah lama dah pengsan,” jelas Fikry lagi.

               “Emm anak encik ada jatuh atau menangis tak?”

               “Jatuh tu takde. Kalau nangis tu ada lah. Semalam dari petang dia nangis sampai nak tidur pun dia merengek. Asyik nak umi dia saja,” jelas Fikry yang teringat dengan kelakuan anaknya yang tidak berhenti merengek untuk dapatkan perhatian isterinya.

               “Oh! Mungkin anak encik ni demam sebab breathholding spell.”

Fikry mengerutkan dahi. “Breathholding spell? Penyakit apa tu doktor?” tanya Fikry lagi. Risau sekiranya Raiq mengalami penyakit yang kronik.

Doktor melepaskan tawa kecil.

               “Encik jangan risau. Ia bukanlah penyakit yang kronik. Kebiasaan anak kecil akan mengalami breathholding spell disebabkan mereka menangis terlalu lama atau terlalu keras. Mungkin sebab sakit, marah, takut ataupun juga kecewa. Biasanya breathholding spell ni hanya 30 hingga 60 saat saja untuk anak berumur 6 bulan hingga 6 tahun. Anak yang mengalami breathholding spell ni sepatutnya perlu ditenangkan ataupun diberi bantuan pernafasan secepat yang mungkin. Anak encik ni pengsan mungkin sebab dia mengalami breathholding spell waktu tidur. Jadi encik pun tak perasan waktu benda tu jadi,” jelas doktor itu sambil mengukirkan senyuman lebar.

Fikry menganggukkan kepalanya perlahan.

               “Tapi anak saya dah okay kan doktor?” tanya Fikry yang masih lagi risau dengan keadaan anaknya.

               “Alhamdulillah better. Encik jangan risau sangat,” pujuk doktor wanita itu sambil menghadiahkan senyuman.

               “Thank you doktor. Saya risau betul tengok anak saya tadi. Tak pernah lagi jadi macam ni sampai biru bibir dia.”

               “It’s okay memang dah jadi tugas saya. Anak encik akan sedar bila ubat yang kita inject tadi hilang. Maybe around two or three hours. Kita tak bagi dos yang tinggi sebab dia kecik lagi,” jelas doktor itu seraya meminta diri untuk pergi.

               “Oh ya. Kalau boleh tahu umi dia pergi mana?” tanya doktor wanita itu sambil memusingkan badannya untuk memandang Fikry.

               “Kerja di Sepang,” jawab Fikry ringkas.

Doktor itu mengangguk perlahan.

               “Maybe dia rindukan umi dia kot. Suruhlah umi dia balik jumpa anak. Mana tahu boleh cepatkan proses kesembuhan dia,” nasihat doktor itu seraya melangkah meninggalkan Fikry yang mengukirkan senyuman nipis.

 

AINNA tidak dapat menumpukan fikiran pada kerjanya. Kepalanya asyik memikirkan tentang cadangan Wildan semalam. Dia juga bersetuju dengan cadangan abangnya namun dia risau akan tanggapan majikannya pada dia. Sudahlah Encik Malik terlalu baik pada dia.

               “Woi! Hang await termenung ja ni?” tegur seorang wanita dengan loghat Kedah sambil menepuk meja Ainna.

               “Kau ni! Terkejut aku! Bagi lah salam dulu!” tegas Ainna dengan nada yang tinggi.

               “Weh! Rilek-rilek. Janganlah garang sangat,” pujuk wanita itu sambil menunjukkan riak wajah yang serba salah. Dia sendiri terkejut melihat reaksi Ainna terhadap tegurannya.

               “Takde lah! Ni kenapa datang sini?” tanya Ainna untuk mengalihkan pembicaraan mereka.

               “Aku nampak hang dari pagi lagi macam jasad hang ja datang kerja. Hang tinggal roh kat mana? Duk termenung ja,” tanya wanita yang memakai tanda nama Mila.

               “Banyaklah kau! Aku okay. Kau nak apa ni? Dari tadi lagi aku tanya. Selalunya kau orang paling sibuk dalam office ni,” ejek Ainna yang sudah mulai menyibukkan diri dengan fail-fail yang ada di hadapannya.

               “Kau! Nasib baik aku nak mintak tolong ja ni. Kalau tak dah lama aku hempuk muka kau dengan fail ni,” ujar Mila sambil mengangkat fail yang ada di tangannya.

Ainna mengukirkan senyuman nipis. Dia sudah biasa bergurau seperti itu dengan Mila. Tambahan pula, gadis itu jenis yang kasar jadi kurang sikit masalah terasa hati atau makan hati antara satu sama lain.

               “Nak mintak tolong apa?” tanya Ainna seraya mengfokuskan pandangannya pada Mila.

               “Aku nak minta hang gantikan aku untuk teman bos tengah hari ni boleh?” tanya Mila dengan riak wajah yang serba salah.

               “Kenapa bos ada meeting ke?”

               “Haah. Aku baru ingat harini mak aku ada appointment dengan doktor then aku baru ja la mintak dengan bos nak keluar sat sebelum meeting. Tapi bos kata dorang awalkan meeting tu. Tu yang aku nak mintak tolong hang gantikan aku boleh?” tanya Mila dengan riak wajah yang mengharap. Dia tahu yang majikannya hanya berharap pada dia dan juga Ainna dalam menguruskan kerja luar. Jadi, terpaksalah dia meminta bantuan dari Ainna.

               “Sebelum lunch la kiranya?” tanya Ainna lagi. Sejujurnya dia tidak ada masalah untuk membantu Mila memandangkan kerjanya juga perlu dihantar pada seminggu lagi.

               “Kejap lagi, dalam pukul 12:30 kot. Dekat sini je Ainna. Boleh dak?” tanya Mila lagi.

Ainna melirik ke arah jam tangannya yang menunjukkan pukul 11 sebelum kepalanya mengangguk perlahan.

               “Terima kasih Ainna. Terima kasih sangat. Aku dah risau dah tadi kalau hang tak nak. Bos tak bagi aku keluar kalau hang tak nak gantikan aku,” jelas Mila.

               “Tak apa lah! Aku faham,” ujar Ainna seraya mengukirkan senyuman nipis.

 

               “ASSALAMUALAIKUM, bos,” ujar Wildan usai menerima panggilan dari adik iparnya, Fikry.

               “Waalaikumussalam. Amboi, kau perli aku ke?” tanya Fikry yang merasa serba salah dengan Wildan kerana sudah lupa akan janji mereka untuk bertemu.

               “HAHAHA tak lah! Tak boleh ke aku panggil kau bos?”

               “Tak boleh lah! Kau kan bos aku,” jawab Fikry.

               “Banyaklah kau!” jawab Wildan dengan nada yang sedikit tinggi. Mungkin segan bila orang memandang dia terlalu tinggi.

               “Sorry Dan, aku tak dapat nak jumpa kau pagi tadi. Raiq ni tiba-tiba demam pulak harini,” ujar Fikry sambil mengerling ke arah anaknya yang masih lena.

               “Demam? Dah banyak hari ke demam?” tanya Wildan yang naik hairan. Semalam adiknya tidak maklumkan apa-apa tentang keadaan anak mereka itu.

               “Baru pagi tadi. Bangun tidur tu aku tengok badan dia panas, pucat dengan bibir pun naik biru. Cuak jugak aku. Tu yang tak ingat apa dah, terus bawak dia datang hospital,” jelas Fikry.

               “Doktor kata sakit apa?” tanya Wildan yang turut risau dengan keadaan anak buah ekspresnya itu.

               “Alhamdulillah tak ada apa pun. Doktor kata sebab dia nangis kuat sangat so maybe ganggu pernafasan dia la. Aku pun tak faham la Raiq ni selalu sangat merengek kalau jauh dengan Ainna. Padahal dulu tak ada apa pun. Sekarang ni nak tidur pun cari Ainna, semalam pun tertidur dengan nangis saja,” cerita Fikry meluahkan masalahnya.

               “Biasalah budak kecik Fikry. Tak biasa dapat kasih sayang mak. Nasib baik kau cepat hantar hospital.”

               “Itulah! Kau dah pergi studio aku ke?” tanya Fikry yang baru teringat tentang album yang ingin diberikan Wildan pada dia.

               “Dah. Aku bagi dekat Izzue. Dia pun pelik kau tak masuk studio lagi pagi tadi,” ujar Wildan yang sudah pun melabuhkan duduk di dalam keretanya.

               “Aku lupa nak bagitahu dia. Ni pun aku baru ambik fon dalam kereta. Kalut sangat lupa semua benda,” ujar Fikry yang sesal sendiri. Serba salah pula untuk dia minta pertolongan dari Izzue untuk menguruskan penggambaran yang sepatutnya dia lakukan pada petang nanti. Namun, apakan daya dia tidak boleh meninggalkan anaknya dalam keadaan sakit seperti itu.

               “Aku faham. Ni anak kau kat hospital mana? Aku nak gi melawat la. Dah alang-alang aku ada sini boleh jenguk anak buah aku,” ujar Wildan. Untung saja pertemuan dia dan pelanggannya tadi tidak lama. Jadi dia ada masa untuk melawat anak adiknya itu.

               “Eh! Tak payahlah Dan. Menyusahkan kau saja. Raiq dah okay ni cuma belum sedar lagi. Doktor baru lepas inject,” jelas Fikry yang tidak ingin menyusahkan Wildan. Abang iparnya itu sudah maklumkan pada Fikry semalam yang dia banyak aktiviti pada hari ini.

               “Tak pe lah! Aku nak tengok anak buah aku. Kat hospital mana?” tanya Wildan dengan nada yang sedikit tegas.

               “Hospital Sungai Buloh. Nanti kau masuk gate ada bangunan sebelah kanan. Sekarang ni Raiq dekat emergency lagi,” jawab Fikry dengan jelas. Jika dia melarang pun pasti abang iparnya itu berkeras untuk melawat anaknya.

               “Okay, aku on the way.”

               “Thanks Dan. Hati-hati,” ujar Fikry seraya mematikan panggilan.

 

ENCIK MALIK berjalan ke arah meja Ainna untuk mengajak pekerjanya itu untuk bertemu dengan rakan kerjanya. Melihat Ainna yang khusyuk menelaah fail, dia mengukirkan senyuman tipis. Dia sudah sangat kagum dengan sikap Ainna yang rajin dan bijak dalam urusan kerja. Gadis itu masih tidak berubah walaupun sudah hampir enam bulan dia bekerja di dalam syarikat itu.

‘Tidak salah aku bagi peluang pada Ainna dulu. Bagaikan menyelam sambil minum air,’ desisnya sendiri.

               “Hai Puan Ainna, tak siap lagi tengok fail?” tegur Encik Malik sambil tersenyum nipis.

Ainna yang terkejut dengan suara persis majikannya segera mendongakkan wajahnya. Dia terkedu beberapa saat kerana majikannya ada di hadapannya. Tidak pernah lagi Encik Malik pergi ke ruang kerjanya begitu.

               “Encik, ada apa encik ke ruangan saya?” tanya Ainna selepas dia bangun dari duduknya.

               “Saya nak masuk ruang kerja pekerja saya tak boleh ke?” usik majikannya.

Ainna menggigit bibirnya. Ingin saja dia memaki hamun dirinya sendiri kerana sudah mengeluarkan kata-kata seperti itu tadi.

               “Boleh encik. Maaf.”

Encik Malik mengukirkan senyuman nipis melihat wajah Ainna yang sudah mulai cuak.

               “Saya nak ajak awak keluar meeting la. Mila belum bagitahu awak ke?” tanya Encik Malik dengan riak wajah yang serius.

Ainna mengerling ke arah jam yang menunjukkan pukul 12 tengahari,

               “Sorry encik. Dah, Mila dah bagitahu. Saya tak perasan dah pukul 12. Ralit sangat tengok fail ni,” ujar Ainna seraya tangannya tangkas menyusun kertas ke dalam fail.

               “Tak apa. Saya pun baru je keluar. Cepat, saya tunggu di depan,” arah majikannya seraya melangkahkan kaki meninggalkan Ainna.

Ainna kalut menyusun fail dan mengambil tas tangannya seraya membuntuti langkah majikannya yang sudah jauh ke depan.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23