BAB 28

 

HAFIZ melayangkan beberapa keping gambar ke muka adiknya, Hafiza. Wajahnya kelihatan bengis dan cuba untuk menahan marah. Sungguh dia tidak mengerti dengan sikap adik perempuannya itu. Sudah beberapa kali dia melarang Hafiza untuk tidak masuk campur dalam hal itu, namun adiknya tetap membantah arahannya. Hafiz sangat tidak suka ada orang lain yang turut serta dalam rancangannya kerana takut apa yang dilakukan oleh Hafiza malah merosakkan segala rancangan yang sudah diatur olehnya.

Hafiza mengambil kepingan gambar di atas lantai. Dia menelan liur perlahan sebelum matanya memandang belakang tubuh abang sulungnya, Hafiz. Tangannya dikepal kuat bagi menguatkan dirinya sendiri dalam melawan amarah abangnya.

               “Aku dah kata jangan masuk campur dalam hal ni! Yang kau degil sangat ni kenapa? Dah tak nak dengar cakap aku lagi dah?” tanya Hafiz tanpa memandang wajah adiknya.

               “Bu.. Bukan macam tu abang. Fiza takde niat nak lawan abang,” jawab Hafiza dengan suara yang tersekat-sekat. Hafiz sangat jarang memarahinya namun jika ada hal yang sangat tidak disukai oleh Hafiz, pasti abangnya akan benar-benar marah dan menengking mereka.

               “Then? Apa yang kau buat ni bukan lawan apa yang aku cakap?” tengking Hafiz lagi sebelum melabuhkan duduk di atas kerusi yang menghadap Hafiza.

               “Fiza dah penat bang! Fiza penat tengok diorang boleh hidup bahagia, hidup senang. Sedangkan kita ni? Azim tu abang tak kesian ke tengok Azim macam tu? Dah lebih sepuluh tahun dia duduk saja atas kerusi roda tu. Tak boleh bergerak bebas! Sedangkan si Wafiq tu? Boleh kerja, jalan kesitu kesini. Fiza letih, Fiza sakit hati bang!”

Hafiz menghela nafas perlahan. Sungguh dia sendiri pun penat dengan keadaan mereka sekarang. Melihat keadaan Azim seperti itu sangat menyakitkan baginya. Tambahan lagi, sejak kematian kedua orang tua mereka, Azim dan Hafiza seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan atas pemergian kedua orang tua mereka. Dia yang terpaksa menunjukkan dirinya kuat untuk melindungi kedua-dua adiknya.

               “Fiza ingat abang nak diam saja ke? Fiza ingat abang tak sedih tengok Azim macam tu? Fiza ingat abang tak nak balas apa yang dorang buat pada Azim? Pada family kita?” tanya Hafiz yang emosinya sudah mulai menurun.

               “Kalau abang betul nak balas apa yang dorang dah buat, kenapa abang tak buat? Dari dulu lagi bila Fiza tanya, abang akan jawab nanti dulu, abang ada plan abang sendiri, nanti Fiza akan tengok dorang menderita. Dah sepuluh tahun bang, mana dorang menderita? Mana tangisan dorang? Mana dorang nak melutut dengan kita? Mana?!” tanya Hafiza dengan nada yang tinggi.

Hafiz meraup mukanya kasar. Kepalanya mulai serabut dengan soalan demi soalan yang dilontarkan oleh Hafiza kepadanya. Pertanyaan adiknya dibiarkan bisu. Dia berusaha untuk menahan emosinya dari membentak adik perempuannya. Dari awal lagi emosinya sudah tidak stabil, dia tidak mahu nanti kejadiannya bakal makin merumitkan keadaan.

               “Apa yang abang buat? Nothing! I don’t see anything happen to them. Yang sakit, yang luka kita saja! Dorang boleh je hidup bahagia! Oh! Atau abang memang sengaja cakap macam tu pada Fiza selama ni sebab abang tak nak Fiza balas dendam pada mereka? Sebab abang sebenarnya tak ada niat pun nak balas apa yang mereka dah buat pada kita kan? Ye lah, Dato’ Syarif tu kan bapak kandung abang! Takkanlah abang sanggup nak sakit….”

               “Kau jangan nak kurang ajar Fiza! Ingat sikit aku ni abang kau! Sape ajar kau cakap macam ni dengan aku?! Jangan sampai aku tampar muka kau!” tengking Hafiz sambil berdiri dan mengarahkan telunjuknya ke muka Hafiza. Hafiza yang belum habis berbicara, tersentak dengan tengkingan abangnya. Hafiza mengerdipkan matanya berkali-kali. Kolam matanya sudah mulai bertakung. Dia sangat takut bila Hafiz menengkingnya. Dia tidak menyangka Hafiz boleh semarah itu padanya. Seingatnya terakhir kali Hafiz memarahinya adalah sebelum kematian mama dan papa mereka dulu. Itu pun tidak separah ini.

               “Kau tak tahu apa yang aku plan! Jadi kau jangan cakap macam kau tahu semua benda!” bentak Hafiz seraya melangkahkan kaki untuk keluar dari ruang kerjanya.

Fiza segera memegang lengan abangnya, air matanya mulai mengalir. Dalam esakan, Fiza berkata,

               “Abang.. Fiza mintak maaf. Fiza tak ada niat pun nak lawan abang. Fiza tak boleh control emosi Fiza tadi. Fiza hormat abang, sayang abang. Abang dah banyak tolong Fiza selama ni. Fiza takkan lupa semua kebaikan abang pada Fiza. Fiza mintak maaf, Fiza dah tak ada sesiapa. Fiza ada abang dengan Azim je sekarang ni. Kalau abang pun tinggalkan Fiza, sape nak jaga Fiza nanti.”

Hafiz menarik nafas berat. Dia berusaha menahan amarahnya yang makin membuak-buak. Mendengarkan tangisan Hafiza sedikit sebanyak meluluhkan hatinya. Kata-kata arwah ayahnya terngiang-ngiang di telinganya, ‘Papa mintak Hafiz jaga Hafiza dan Azim baik-baik. Papa tahu Hafiz sayang pada adik-adik macamana papa sayang pada Hafiz. Adik-adik kamu masih kecil, sayang dan bagi tunjuk ajar pada mereka dengan baik. Papa percayakan mereka pada Hafiz.’

               “Abang.. Fiza mintak maaf,” ujar Hafiza lagi setelah kata-katanya tadi dibiarkan bisu oleh Hafiz.

Hafiz memalingkan tubuhnya menghadap Hafiza. Tangan Hafiza yang memegang lengannya dipegang lembut. Tubuh kecil itu ditarik kedalam pelukannya.

               “Dah. Jangan nangis. Abang pun mintak maaf sebab tengking Fiza. Abang pun sayang Fiza, mana mungkin abang tinggalkan Fiza. Tapi Fiza pun kena la dengar cakap abang. Jangan buat apa yang abang tak suka, apa yang abang tak bagi Fiza buat,” pujuk Hafiz sambil mengelus lembut belakang adiknya.

Setelah esakan Hafiza semakin berkurang, Hafiz meleraikan pelukan antara mereka.

               “Dengar cakap abang, abang sayang Fiza dengan Azim. More than myself. Abang takkan pernah tinggalkan adik-adik abang sendiri. Abang janji family dorang akan tanggung semua yang dorang dah buat pada Azim, pada mama dengan papa. Fiza kena percayakan abang ya? Jangan buat benda terburu-buru. Ikut cakap abang. And jangan cakap apa yang Fiza cakap tadi. Fiza tak suka ke abang jadi anak papa?” tanya Hafiz sambil kedua tangannya memegang wajah Hafiza.

               “Tak! Tadi kan Fiza emosi. Fiza bersyukur sebab ada abang. Abang selalu ada untuk kami. Fiza takkan izinkan sesiapa pun ambik abang dari Fiza dengan Azim,” ujar Hafiza seraya memeluk tubuh abangnya.

Hafiz mengukirkan senyuman nipis mendengarkan kata-kata adiknya. Tangannya turut sama membalas pelukan itu.

 

TELEFON bimbit Fikry berbunyi, tertera nama Izzue di skrin telefon bimbitnya. Matanya mengerling ke arah Ainna dan Raiq yang sudah ketiduran sebelum menekan tombol hijau di skrin telefon bimbitnya.

               “Hello, pengantin lama!” kedengaran suara nyaring dari corong telefon.

               “Assalamualaikum,” ujar Fikry dengan niat menyindir. Sengaja ingin membalas usikan sahabatnya.

               “Waalaikumussalam. Wuish! Apa yang bini kau bagi makan ni? Tetiba jadi baik?” usik Izzue lagi.

               “Kenapa? Ada problem ke?” tanya Fikry yang malas melayan usikan sahabatnya.

               “Amboi! Kalau ya pun tak suka aku call, janganlah sampai macam tu sekali,” ujar Izzue dengan nada yang serius.

               “Apa kau ni. Aku pelik la kau kan jarang kau call aku time aku off day,” ujar Fikry membetulkan sangkaan sahabatnya yang dia merasa terganggu dengan panggilan Izzue padanya.

               “Saja je. Ni majalah ‘Couple’ ajak kita attend event dorang minggu depan,” ujar Izzue selepas melepaskan tawa kecil.

               “Okay, then?” tanya Fikry yang sedikit aneh.

               “Event tu start lepas maghrib and dorang buat dekat Kedah.”

               “Lepas maghrib? Sempat ke nak balik?”

               “Itulah sebab aku nak inform kau. Aku rasa macam tak sempat. Start pun dah lambat mesti tengah malam baru habis,” jawab Izzue yang sibuk menyusun album-album gambar di dalam almari.

               “Dah tu macamana? Kalau aku tak pergi tak boleh ke?” tanya Fikry yang risaukan anak lelakinya. Raiq memang susah untuk tidur jika bersama dengan pembantu rumahnya. Sebelum ini pun dia selalu mengelak dari bekerja sehingga lewat malam. Dia bernasib baik kerana ada rakan kerja seperti Izzue yang sentiasa memahami keadaannya dan menguruskan anak buah mereka sendirian.

               “Kau kan bos! Takkan tak pergi. Tambah lagi Amira pun ada sana. Mestilah dia nak korang pergi sana sama-sama. Naik rating majalah dorang,” jelas Izzue yang sudah menghidu niat sebenar penerbit majalah itu menjemput mereka.

               “Ni yang susah hmm. Raiq ni macamana?” tanya Fikry mengharapkan penyelesaian dari sahabatnya.

               “Mintak tolong bini kau jaga sat tak boleh ke?”

               “Event tu hari apa?”

               “Rabu,” jawab Izzue tanpa berfikir panjang.

               “Emh! Nak jaga macamana? Dia pun kerja. Dah lah kat Kedah, mesti lah kita kena pergi sebelum Asar lagi.”

               “Ya jugak kan. Lupa pulak aku.”

               “Takpelah! Nanti lah aku fikir macamana. Balik nanti kita bincang,” jawab Fikry seraya ingin mematikan panggilan.

               “Eh! Fikry! Dia nak jawapan esok tau! Katanya nak book seat apa entah,” ujar Izzue dengan nada yang sedikit tinggi. Risau nantinya Fikry mematikan panggilan sebelum dia selesai berbicara.

               “Emm, yelah!”

Jarinya perlahan-lahan mengetuk stereng kereta seperti sedang memikirkan sesuatu.

 

PUAN ROZITA pelik dengan kelakuan anak dan suaminya yang asyik termenung sejak dua tiga hari ini. perlahan-lahan kakinya di atur ke arah sofa sebelum melabuhkan duduk di sisi anak sulungnya. Melihat Wafiq yang seolah-olah tidak sedar dengan kehadirannya, tangannya menyentuh lembut tangan kiri anaknya. Wafiq yang sedari tadi termenung agak terkejut dengan sentuhan yang dirasa. Matanya segera beralih ke arah tangan kirinya sebelum matanya memandang susuk tubuh yang ada di sebelahnya. Dia mengucap perlahan sebelum menyandarkan badannya ke sofa.

               “Eh! Sampai macam tu sekali kamu terkejut? Fikir apa ni?” tanya Puan Rozita dengan nada yang lembut.

Wafiq mengukirkan senyuman nipis.

               “Tak fikir apa lah ibu. Tadi leka duk tengok cerita tu ha,” jawab Wafiq sambil menunjukkan ke arah kaca televisyen.

               “Fiq, kamu leka apa tengok berita je pun! Cuba cerita dengan ibu, apa masalah kamu?” tanya ibunya lagi.

Wafiq mengetap bibir mendengarkan jawapan ibunya. Disebabkan kekalutannya untuk mencari alasan sudah membuat ibunya tahu yang dia sedang menipu.

               “Tak ada apa la ibu. Hal kerja saja. Tak penting sangat pun,” jawab Wafiq tanpa memandang wajah ibunya.

               “Oh! Kalau hal kerja, ibu tak boleh tahu la?” tanya Puan Rozita yang sengaja memancing supaya Wafiq merasa serba salah kerana tidak menceritakan hal sebenar kepadanya.

               “Bukan macam tu bu. Tak penting mana pun, itu yang Fiq tak share,” jawab Wafiq sambil menepuk lembut tangan ibunya yang sedang menggenggam tangan kirinya.

Puan Rozita mengeluh perlahan.

               “Kalau tak penting kenapa Fiq termenung sampai macam ni sekali? Tu baba kamu tu pun dua tiga hari ni asyik stress saja. Termenung situ termenung sini. Mustahil la kalau bukan hal yang penting,” luah Puan Rozita dengan riak wajah yang kecewa. Kecewa kerana anak dan suaminya seolah-olah cuba untuk menyembunyikan sesuatu daripadanya.                 

               “Alah! Takpe lah ibu. Nanti settle baba okay la tu. Ibu jangan risau lah! Ni kan projek besar itu yang Fiq dengan baba stress sikit tu,” jelas Wafiq yang ingat tentang projek babanya yang tergendala baru-baru ini.

               “Fiq ada masalah lain kan?” tanya Puan Rozita yang dapat menghidu kebohongan anak sulungnya itu.

Wafiq mengeluh di dalam hati. Inilah masalah bila dia terlalu dekat dengan kedua orang tuanya. Mereka pasti dapat tahu sekiranya dia sedang jujur ataupun tidak. Namun, mustahil untuk dia menceritakan hal itu pada ibunya. Keadaan nantinya bukan semakin tenang malah mungkin boleh menyebabkan rahsianya selama ini berada di hujung tanduk. Dia memang tidak tahu persis siapa yang menghantar surat itu, namun sebahagian dari dirinya takut sekiranya orang yang menghantar surat itu adalah orang yang sama dengan yang ada di fikirannya. Daripada nanti terjadi sesuatu yang tidak diinginkan, lebih baik dia mendiamkan diri saja.

           “Tak ada lah ibu. Kenapa pulak Fiq nak tipu? Fiq mana boleh tak share masalah Fiq dengan ibu. Boleh meraung Fiq kalau kena tanggung masalah sendiri. Dahlah, ibu jangan fikir yang bukan-bukan,” ujar Wafiq seraya memeluk bahu ibunya dengan lembut. Sudah kebiasaan bagi dia untuk bermanja dengan ibu dan babanya. Malah dia juga lah yang sering bergantung harap pada ibu dan babanya walaupun dia anak sulung dalam keluarga. Berbeza dengan Wildan yang selalu berdikari dan menyelesaikan segalanya sendiri. Mungkin itu salah satu sebab kenapa Wildan sanggup menggantikan posisinya ketika itu.

Puan Rozita hanya mengukirkan senyuman nipis mendengarkan jawapan anaknya. Dia tahu Wafiq sedang menyembunyikan sesuatu namun dia malas untuk mendesak anaknya. Dia yakin desakan dia akan sia-sia kerana Wafiq memang tidak ingin dia tahu akan masalah itu.

 

WILDAN tanpa sengaja melihat Isya yang baru saja keluar dari klinik dengan kaki yang terhincut-hincut. Kakinya segera melangkah menghampiri sepupunya merangkap bekas teman wanitanya.

               “Isya,” tegur Wildan setelah jarak antara mereka sudah tidak terlalu jauh.

Isya seolah-olah terkejut dengan teguran Wildan. Kakinya terhenti dari melangkah namun tubuhnya masih tidak berpaling ke arah Wildan.

Melihat Isya yang tidak ingin melihat wajahnya, Wildan segera menghalang gadis itu dari arah depan. Mungkin dia risau Isya akan lari dari dirinya. Wajah Isya yang tertunduk makin membuat Widlan tertanya-tanya.

               “Isya, awak okay?” tanya Wildan dengan nada yang lembut. Dia cuba menunduk untuk melihat wajah Isya, namun gadis itu berusaha untuk mengelak dari memandang wajah Wildan.

               “Okay. Awak buat apa kat sini?” tanya Isya dengan nada yang perlahan.

               “Saya baru lepas jumpa orang area ni. Tak sangka pulak boleh jumpa awak kat sini.”

Isya hanya mengangguk sebelum meminta diri untuk beredar dari situ. Wildan yang masih tertanya-tanya dengan keadaan Isya, segera menghalangnya.

               “Isya. Cuba awak bagitahu saya, kenapa dengan awak ni? Tunduk je jalan? Apa lantai tu lagi cantik dari muka saya ke?” usik Wildan sambil mengerutkan dahi kerana bingung dengan tingkah laku Isya.

Isya menggelengkan kepala perlahan.  Dia kematian kata untuk memberi alasan.

               “Dah tu? Yang awak asyik tunduk saja dari tadi tu kenapa?”

Melihat Isya yang masih membisu membuat Wildan sedikit emosi. Tambahan lagi, dia teringatkan cerita Paan tentang pergaduhan antara Isya dan seorang lelaki baru-baru ini.

               “Tu kaki tu kenapa? Muka kenapa tak nak tengok saya? Ada apa kat muka tu? Luka? Lebam?” tanya Wildan seolah-olah dapat mengagak apa yang terjadi pada Isya.

Isya sekali lagi menggelengkan kepala perlahan. Tangannya dibawa ke muka seolah-olah sedang menyeka air mata yang jatuh.

Wildan segera memegang lengan Isya dengan berlapikkan baju. Melihat lebam yang ada di wajah Isya, dia melepaskan lengan gadis itu dengan sedikit kasar.

               “Ni kenapa ni? Awak ada masalah dengan sape? Yang habis lebam di muka? Kena pukul dengan sape?” tanya Wildan bertubi-tubi. Air mata Isya sudah tidak mempengaruhi pemikirannya.

Melihat reaksi Isya yang masih mendiamkan diri, Wildan melepaskan keluhan kasar. Tangannya dikepal dengan kuat bagi melepaskan rasa geramnya. Itu adalah salah satu cara dia untuk mengawal diri dari melepaskan kemarahan pada benda atau orang yang ada disekelilingnya.

               “Orang tanya kan! Jawablah! Kenapa diam?! Dah tak ada mulut nak jawab?” jerit Wildan dengan nada yang kuat. Untung saja itu hari cuti, jadi tidak ramai orang yang ada di sekitar kawasan itu.

Air mata Isya jatuh setelah mendengar tengkingan Wildan. Wajahnya yang tadi menunduk sudah pun menatap wajah Wildan yang sedikit merah kerana menahan marah.

               “Saya jatuh,” jawab Isya dengan suara yang tersekat-sekat.

Wildan mengukirkan senyuman sinis mendengarkan jawapan Isya. Dia menggelengkan kepala berkali-kali sambil memandang ke bawah.

               “Awak ingat saya budak darjah 3? Jatuh macamana boleh lebam di pipi? Ni datang sini naik apa?”

               “Grab.”

               “Dah jom saya hantar balik,” ujar Wildan seraya mengarahkan Isya untuk membuntuti langkahnya ke kereta.

Isya yang tadinya menolak akhirnya bersetuju setelah melihat wajah serius Wildan. Dia tahu yang Wildan sedang marah padanya disebabkan dia berusaha untuk menyembunyikan masalahnya dari Wildan.

 

HAMPIR 15 minit kereta Fikry terparkir di hadapan rumah Ainna. Puas Ainna dan Fikry memujuk Raiq supaya berhenti menangis. Namun, si kecil itu masih saja merengek untuk tetap bersama Ainna. Sesekali Ainna menyeka air matanya yang bertakung. Tidak sanggup dia melihat keadaan Raiq begitu.

Fikry akhirnya mengangkat Raiq dari ribaan Ainna sebelum mengarahkan isterinya untuk mengambil beg di dalam bonet kereta. Ainna pula hanya menurut saja arahan suaminya dan meletakkan beg bimbitnya di dalam rumah. Beberapa saat kemudian, dia keluar semula untuk menemui anaknya. Raiq masih menangis teresak-esak dalam dukungan papanya.

               “Salam umi,” ujar Fikry dengan nada yang lembut tanpa melepaskan Raiq dari dukungannya.

Ainna berusaha mengukirkan senyuman nipis dalam keadaan kolam matanya juga bertakung melihat anaknya menangis seteruk itu. Tangannya dihulur kepada Raiq namun berbeza dengan si kecil itu yang menghulurkan tangannya tanda meminta untuk di dukung. Fikry memegang tangan Raiq dengan kemas sebelum membiarkan isterinya mencium lembut pipi si kecil itu.

               “Saya balik dulu lah. Nanti kalau ada apa-apa bagitahu,” ujar Fikry seraya meletakkan Raiq di dalam kereta.

Ainna mengangguk perlahan. Tangan Fikry disambut dan dicium lembut.

               “Nanti dah sampai bagitahu.”

Fikry hanya mengangguk dan mengukirkan senyuman nipis. Dia segera melangkah masuk ke dalam kereta dan memakaikan tali pinggang pada anaknya. Raiq pula sibuk mengetuk tingkap sambil memanggil uminya dengan air mata yang berjuraian di pipi. Kereta Toyota Rush itu segera pergi dari kawasan rumah Ainna.

Perlahan-lahan kakinya diatur ke dalam rumah. Hani yang sedari tadi memerhatikan keluarga kecil itu juga turut sama merasa sedih yang di alami oleh mereka. Hani segera mendekati Ainna yang sudah melabuhkan duduk di atas sofa.

               “Aku ni kejam ke Hani?” tanya Ainna sambil menundukkan wajahnya ke lantai.

               “Ainna.”

               “Aku tak sanggup Hani tengok Raiq macam tu. Aku kesian. Selama dua hari ni dia langsung tak nangis. Happy saja bila kami kat sana. Tapi tadi kuat tau dia nangis, sampai teresak-esak,” jelas Ainna sambil menyeka air matanya.

Hani mengelus lembut belakang badan sahabatnya.

               “Ya aku tengok tadi. Maybe sebab korang spend time lama sikit kan kali ni. Tambah pulak dia memang dah dekat dengan kau. Itu yang Raiq sedih sangat tu.”

Ainna hanya mendiamkan diri mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Melihat riak wajah Raiq yang menangis tadi, entah kenapa membuatkan dia rasa dia sudah gagal menjadi ibu yang baik buat Raiq.

               “Tapi nak buat macamana Ainna. Kau duk sini pun sebab kerja. Tak boleh nak tinggal suka hati saja.”

               “Takpelah, aku nak masuk bilik dulu,” ujar Ainna selepas beberapa detik mendiamkan diri. Dia sempat mengukirkan senyuman pada Hani sebelum kakinya melangkah ke kamar.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23