BAB 27

 

               Memandangkan Jep tidak ada apa-apa memberi khabar tentang penyelidikan mereka, Wildan terpaksa mengikut cadangan dari sahabatnya untuk bertanya kepada Wafiq. Dia sebolehnya tidak mahu ada campur tangan ahli keluarganya yang lain kerana risau nantinya hal itu akan sampai ke pengetahuan babanya. Namun, memang dia akui tidak mudah untuk Jep mencari tahu tentang hal itu. Mereka tidak ada apa-apa maklumat samada tentang musuh babanya ataupun juga pengirim surat itu. Disebabkan itulah dia membuat keputusan untuk bertanya Wafiq akan hal itu. Dia yakin Wafiq mengetahui sesuatu memandangkan abangnya itu lebih dekat dengan baba mereka berbanding dia dan Ainna.

Telefon bimbitnya mendail nama ‘along’ sebelum ditekapkan ke telinga. Beberapa detik menunggu, ada suara garau dari corong telefon,

               “Hello, assalamualaikum.”

               “Waalaikumussalam, long. Kau kat ne?” tanya Wildan.

               “Dalam kereta, on the way balik. Kenapa?” tanya Wafiq yang pelik dengan panggilan telefon dari Wildan. Berbual dengan Wildan secara berdepan pun jarang, inikan pulak melalui telefon.

               “Kau ingat tak yang kau pernah tanya aku pasal orang yang mengendap rumah kita haritu?” tanya Wildan tanpa berbasa basi dengan abangnya.

Beberapa detik mendiamkan diri, akhirnya Wafiq bersuara,

               “Haaa ingat. Kenapa? Kau ada syak sesiapa ke?”

               “Ada la. Tapi aku tak yakin sangat. Kalau kau ada info lain, maybe kau boleh bagitahu aku? Mana lah tahu makin mengukuhkan lagi tekaan aku tu,” ujar Wildan yang sedaya upaya cuba untuk menyembunyikan niatnya yang sebenar.

               “Info apa? Aku pernah tengok dia dua ke tiga kali macam tu depan rumah. Pastu yang kau bagitahu tu. Tu je lah.”

               “Kau rasa tiga kali tu orang yang sama?”

               “Aku rasa lah. Sebab motor pon motor yang sama. Motor LC warna hijau,” jawab Wafiq dengan nada yang yakin.

               “Kau ada tengok plate number?”

               “Tak tengok la pulak. Tapi yang aku ingat plate dia WHT nombor berapa aku lupa,” jawab Wafiq lagi.

               “Tua? Muda?”

               “Lebih kurang kita je. Sebab tu lah aku syak orang yang ada problem dengan kau. Sebab dari tubuh dengan cara pakai tu macam sebaya kita saja,” jelas Wafqi lagi.

               “Ada terima apa-apa surat ke? Mesej?” tanya Wildan lagi.

               “Rasanya takde. Ibu dengan baba takde bagitahu apa-apa pun,” jawab Wafiq yang menyembunyikan tentang ugutan yang diterimanya melalui mesej. Dia tidak mahu Wildan atau sesiapa pun tahu mengenai hal itu. Dia risau sekiranya benar tekaannya tentang si penghantar beerti rahsia yang selama ini ditutp rapat akan terbongkar. Dia tidak mahu hal itu terjadi.

               “Baba tak ada problem dengan sesiapa eh?” tanya Wildan secara terus terang.

               “Problem? Problem apa?” tanya Wafiq yang pelik dengan pertanyaan adiknya.

               “Apa-apa je lah. Pasal hal company ke, personal issues ke? Ye lah, kau kan rapat dengan baba. Mana lah tahu baba ada share pape dengan kau,” ujar Wildan seakan-akan mengejek Wafiq.

               “Betul? Kau bagitahu betul-betul Fiq. Aku tak nak salah target. Kalau baba ada problem dengan sesiapa, kemungkinan besar orang tu bukan kenalan aku,” bohong Wildan.

               “Betullah. Buat apa aku nak main-main,” jawab Wafiq dengan sedikit tegas.

               “Emm okaylah! Aku gerak dulu,” ujar Wildan sebelum mematikan panggilan. Aplikasi ‘whatsapp’ dibuka sebelum menghantar pesanan kepada Jep.

‘Lelaki. Sebaya dengan aku dan Wafiq. Tapi kalau betul lelaki yang Wafiq cakap ni sama dengan yang aku tengok haritu, maksudnya dia….’ desis Wildan sendiri.

               “Eh! Tapi tak mungkinlah!” ujar Wildan dengan nada yang tegas. Tangannya mengetik sesuatu di skrin telefon bimbit.

 

YANA tersenyum melihat gambar yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Puas dia memaksa Fikry untuk menghantar gambar mereka sekeluarga kepadanya. Terlihat jelas wajah gembira anak buahnya di dalam pelukan Ainna.

               “Hai yang senyum sorang-sorang ni kenapa? Pakwe ajak kahwin?” tegur mamanya sebelum melabuhkan duduk di sebelah Yana.

               “Apa mama ni. Taklah! Ni Yana tengok gambar anak menantu mama ni,” ujar Yana sambil menunjukkan gambar yang dari tadi ditatapnya.

               “Eh! Fikry pergi tempat Ainna ke?” tanya mamanya yang bingung melihat gambar itu.

               “Haah. Sebab pantai yang selalu Fikry bawak Raiq tu kan lalu area Ainna jugak. Tu la kot dia ajak Ainna sekali,” jelas Yana.

               “Aloo comelnya! Tengok tu Raiq. Manja sangat dengan Ainna,” ujar mamanya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

               “Itulah ma. Fikry pun selalu bagitahu sekarang ni Raiq apa-apa je nak umi. Malam-malam nak otp dengan umi dia jugak,” cerita Yana sambil melepaskan tawa kecil. Lucu bila teringatkan cerita Fikry yang seolah-olah cemburu dengan Ainna. Biasanya Raiq paling dekat dengan Fikry, namun setelah kehadiran Ainna, Raiq lebih dekat dan manja dengan ibu sambungnya pula.

               “Orang tak biasa ada mak, Yana. Macam tu lah! Dulu pun kalau kita ada dia mesti merengek saja. Nak bermanja la kononnya. Memang lah Fikry tu dia sayang, dia lembut dengan Raiq. Tapi budak besar Raiq tu dia nak belaian seorang ibu. Lain tau sentuhan ibu dengan sentuhan ayah ni. Bersyukurlah mama tengok Raiq happy macam tu. Budak ni senang saja, kalau dia suka, sayang maksudnya orang tu baik lah dengan dia. Cuba kalau Ainna tu buat jahat ke marah-marah dengan Raiq, takkanlah budak tu boleh sesayang tu dengan Ainna.”

               “Betul tu ma. Ainna ni kan ma memang baik. Mama ingat tak dulu Yana pernah bagitahu mama pasal junior yang tolong Yana dekat uni dulu?”

               “Yang masa kamu kena operate tu ke yang masuk wad?” tanya mamanya sambil memandang wajah Yana.

               “Yang kena operate tu. Kan masa tu Yana baru je kenal dengan Ainna. Tapi dia sanggup ma ulang alik belikan makanan untuk Yana. Pukul 8 pagi tu dia turun dulu belikan makanan untuk breakfast lepastu naik balik tingkat empat hantar dekat Yana. Turun pergi kelas. Pukul 1 balik pulak belikan lunch lepastu pukul 2 rush pergi kelas. Serius time tu Yana terhutang budi sangat dengan dia. Sanggup ulang alik dari fakulti ke kolej semata-mata nak tolong Yana. Nak harapkan roommate lain, memang taklah ma,” jelas Yana panjang lebar.

               “La dia ke? Mama tak tahu pulak budak yang tolong kamu tu Ainna. Mama pun masa dengar kamu cerita dulu, bersyukur sangat sebab ada dia. Kalau takde dia, susah jugak kamu. Dengan kawan takde, roommate yang lain pun jenis tak kisah kan waktu tu?” tanya mamanya yang seakan ingat-ingat lupa dengan cerita anaknya dulu.

               “Haah. Yana pun mujur ada dia la. Itu yang masa lepas habis belajar terkilan sangat sebab lost contact dengan Ainna. Waktu belajar tu pun dia takde guna sosial media, itu yang susah. nak contact dengan dia, harapkan whatsapp dengan phone call saja.”

               “Dulu kamu jugak bagitahu mama yang kamu nak kenenkan dia dengan Fikry. Sekarang dah kahwin pun dia berdua tu,” ujar mamanya dengan tawa kecil.

               “Kan ma? Tak sangka masin jugak mulut Yana,” jawab Yana dengan senyuman di bibir.

 

WAFIQ masih setia di dalam kereta sesudah memarkirkan keretanya di perkarangan rumah mewah milik babanya. Matanya masih menatap mesej yang diterimanya. Sudah dua kali dia menerima mesej yang sama tapi dari nombor yang berbeza. Hatinya tertanya-tanya siapakah yang berani mengugut dia seperti itu.

Seketika dia ragu samada dia perlu memberitahukan hal itu kepada Wildan atau pun tidak. Dia risau nanti Wildan tahu yang sebenarnya bermasalah itu bukan babanya tapi dirinya sendiri. Dia juga risau Wildan akan mengungkit kembali kejadian yang berlaku hampir sepuluh tahun yang lalu.

Tok.. tok..’ kedengaran satu suara mengetuk tingkap keretanya. Wafiq sedikit terkejut dengan ketukan itu. Perlahan-lahan tingkap dibuka.

               “Ibu.. Terkejut along.”

               “Yang kamu termenung dalam kereta ni kenapa? Tak nak masuk?” tanya ibunya yang menutup kepala dengan tuala kecil.

               “Taklah! Tadi nak rehatkan tubuh kejap. Pastu khusyuk pulak tengok fon,” jawab Wafiq seraya mematikan enjin kereta dan keluar dari kereta miliknya.

               “Banyak sangat ke kerja kamu? Nampak penat saja muka tu,” tanya Puan Rozita sambil mengelus lembut belakang badan anaknya.

               “Biasa lah ibu. Projek tengah banyak kan. Ni ibu kenapa kat luar ni?” tanya Wafiq sambil membuka kasut dan diletakkan di rak sebelah pintu masuk.

               “Tadi ada orang hantar surat. Tu yang ibu keluar,” jawab Puan Rozita sambil menunjukkan surat yang ada di tangannya.

Wafiq mengerling sekilas sebelum memalingkan semula wajahnya ke arah surat itu. Tertulis namanya dengan pen berwarna merah di atas sampul surat berwarna putih.

               “Ibu. Tu surat Fiq kan?” tanya Wafiq dengan nafas yang berusaha diatur perlahan.

               “Haah. Surat apa pun ibu tak tahu ni. Tadi ibu nak bukak tengok kereta kamu ada di garaj, tu yang tak jadi ibu nak bukak,” jelas Puan Rozita.

               “Orang baru hantar ke?” tanya Wafiq dengan riak wajah yang cuak.

               “Ya lah! Kamu tak dengar la kot bunyi motor dah kamu duk dalam kereta.”

Wafiq segera menyambut huluran surat dari ibunya sebelum segera melangkahkan kaki ke tingkat atas.

Puan Rozita terpinga-pinga dengan sikap anak lelakinya. Dia menggelengkan kepala sebelum ikut masuk ke dalam rumah.

 

AINNA tanpa sengaja mendengar perbualan antara Fikry dan Amira melalui telefon. Sikap Fikry yang cuba mengawal suara dari bersuara dengan nada yang kuat membuat Ainna geli hati. Sesekali dia menggelengkan kepala melihat sikap suaminya.

               “Amira?” tanya Ainna setelah Fikry mematikan perbualan di telefon.

Fikry yang tidak menyangka kewujudan Ainna di situ, terkejut dengan teguran isterinya. Bibirnya beristighfar perlahan.

               “Terkejut saya,” ujar Fikry sambil mengurut dadanya perlahan.

Ainna mengukirkan senyuman nipis. Kakinya diatur untuk berdiri di samping suaminya.

               “Terkejut kenapa? Awak bukan duduk sorang dalam bilik ni,” ucap Ainna yang seakan-akan ingin menyindir suaminya.

               “Tadi kan awak tengah pakai tudung. Ingatkan tak siap lagi,” jawab Fikry sebelum memalingkan wajahnya ke arah Raiq yang sedang bermain permainan robot di atas katil.

               “Awak otp dengan Amira kan?” tanya Ainna sambil memandang wajah suaminya.

Mata Fikry berkedip berkali-kali sebelum menelan liurnya dan mengangguk perlahan.

Ainna melepaskan tawa kecil, “Yang awak takut sangat ni kenapa? Awak curang?” tanya Ainna lagi.

Fikry mengetap bibir perlahan. Entah kenapa pertanyaan Ainna seakan-akan menyindir dirinya.

               “Dah siap kan? Jom lah keluar. Kesian Raiq, mesti dah lapar,” ujar Fikry seolah-olah cuba untuk melarikan diri dari pertanyaan isterinya.

Ainna mengerling ke arah Raiq yang langsung tidak memberikan apa-apa respon atas ajakan Fikry. Dia memalingkan semula wajahnya ke arah Fikry,

               “Kenapa awak nak takut? Saya kan memang dah tahu pasal awak dengan Amira. Apa yang awak nak sembunyikan dari saya?” tanya Ainna lagi.

‘Takkanlah aku nak bagitahu saya takut awak cemburu? Saya nak jaga hati isteri saya? Nanti dia ingat apa pulak,’ desak Fikry sendiri.

               “Fikry?” tegur Ainna setelah pertanyaannya masih tidak dijawab oleh suaminya.

               “Siapa kata saya takut? Kenapa pulak saya nak takut?” tanya Fikry sambil mengukirkan senyuman sinis.

Ainna menatap mata suaminya yang sepertinya sedang mengelak dari memandang wajah Ainna.

               “It’s up to you apa yang awak nak cakap. I am talking based on what I see. Kalau awak tak takut, kenapa nak cakap di beranda, dalam toilet. Suara pun dengar tak dengar saja,” sindir Ainna lagi.

Fikry mati kata. Dia tidak menyangka Ainna sedar waktu dia berbual dengan Amira semalam. Dia rasa dia sudah sangat berhati-hati dan menggunakan nada yang sangat perlahan.

               “Kebetulan saja tu. Semalam saya takde bercakap di toilet pun. Awak tu sangka buruk dengan saya,” jawab Fikry yang cuba untuk menyalahkan Ainna bagi menutup kebenaran kata-kata isterinya.

               “Never mind. Awak lebih tahu la diri awak kan. Saya nak tanya, sampai bila awak nak sembunyikan hal ni dari Amira? Awak tak takut kalau dia tahu hal ni dari orang lain?”

               “Kita datang sini nak happy-happy. Release stress. Bukannya nak bahas benda tak penting macam ni, Ainna,” jawab Fikry seraya melepaskan keluhan perlahan.

Ainna mengerutkan dahi mendengarkan keluhan Fikry.

               “Fikry, benda ni memang tak penting untuk saya. Langsung tak ada kaitan pun dengan saya. Tapi saya yakin ia sangat penting untuk awak dengan Amira. Saya faham awak stress tapi sampai bila awak nak sembunyikan semua ni? Awak tak boleh terus lari dari masalah. Kalau awak betul-betul sayangkan dia, baik awak explain benda ni cepat. Semuanya akan jadi lagi rumit kalau dia tahu dari orang lain,” jelas Ainna lagi. Dia sekadar menyarankan pendapatnya saja. Sangat sakit untuk seorang wanita mengetahui rahsia pasangannya dari orang lain. Pasti Amira akan kecewa dengan sikap Fikry bila gadis itu tahu akan rahsia perkahwinan mereka ini.

               “Saya tak lari dari masalah Ainna. I just keep this for a while. Saya tak nak nanti bila Amira tahu, everything will be ruined. Dia mesti takkan percaya apa yang sebenarnya berlaku pada kita,” jawab Fikry dengan nada yang sedikit tinggi.

               “Then awak nak dia tahu dari orang lain?” tanya Ainna yang agak geram dengan sikap Fikry itu.

Fikry hanya mendiamkan diri mendengar pertanyaan Ainna.

Ainna mengeluh perlahan. “Awak ingat kalau dia tahu dari orang lain, dia nak dengar penjelasan awak? Awak rasa dia nak percaya dengan cerita awak? Lebih baik dia sakit tapi awak sendiri yang jujur dengan dia. Dari nanti dia tahu dari orang lain and dia fikir yang bukan-bukan pasal awak? Saya dengan Amira sama-sama perempuan. Saya tahu macamana rasa sakit bila pasangan kita sembunyikan sesuatu dari kita. Dan lagi sakit bila kita dapat tahu hal itu dari orang luar.”

Fikry mengeluh perlahan. “Nanti lah saya fikir. Jom lah keluar, saya dah lapar ni,” ujar Fikry seraya menarik tangan anak lelakinya dan melangkah keluar dari bilik hotel.

Ainna yang masih kesal dengannya ditinggalkan sendiri.

 

FAHMI melabuhkan duduk di samping majikannya yang dipanggil Long oleh anak-anak buahnya. Long mengukirkan senyuman ke arah Fahmi dan menghulurkan seputung rokok kepadanya. Fahmi menolak huluran itu sambil mengukirkan senyuman nipis.

               “Dah berhenti rokok ke?” tanya Long sambil melepaskan asap yang ada di dalam mulutnya kepada Fahmi.

               “Taklah! Aku baru je rokok tadi,” jawab Fahmi sambil menyandarkan badannya ke penyandar sofa bagi menghilangkan lenguh. Seharian dia bekerja menguruskan gudang pada hari ini memandangkan banyak stok yang baru sampai.

               “Kau tidur sini la malam ni. Aku tak percaya sangat dengan budak-budak ni. Tertidur ke bawak lari barang ke, susah pulak. Esok pagi-pagi lagi orang nak datang ambik,” arah Long sambil memerhatikan dua orang lelaki yang duduk agak jauh dari mereka.

Melihat anggukkan dari Fahmi, Long mengukirkan senyuman nipis. Lelaki itu tidak pernah membantah segala arahannya walaupun dia tahu Fahmi sudah sangat lelah menguruskan gudang pada hari itu. Sudah hampir empat tahun Fahmi bekerja dengannya, namun sikap Fahmi yang bertanggungjawab itu tidak pernah berubah. Dan hal itu yang membuatkan dia sayang untuk melepaskan Fahmi.

               “Kenapa long?” tanya Fahmi yang bingung dengan senyuman yang terukir di bibir majikannya.

               “Saja ingat waktu dulu-dulu,” jawab Long dengan senyuman yang masih tidak hilang di bibirnya.

               “Ingat awek?” usik Fahmi.

               “Banyaklah kau. Aku ingat la waktu dulu-dulu masa jumpa kau. Tak sangka kau boleh berubah jadi macam sekarang,” jawab Long sebelum duduk menghadap Fahmi. Melihat reaksi Fahmi yang membisu,

               “Ye lah, dulu kau ni pengecut. Semua benda nak takut, sebelum buat tu fikir dulu boleh ke tak boleh. Sekarang ni apa saja yang kau nak buat, kau main redah je kan?” tanya Long sambil mengangkat keningnya.

Fahmi melepaskan keluhan perlahan.

               “Aku dah sampai sejauh ni Long. Susah untuk aku balik semula. Orang macam kita ni kalau bagi alasan macam-macam pun orang takkan percaya. Sekali sampah, tetap sampah,” jawab Fahmi untuk menutupi resah di dalam hatinya. Mungkin dia boleh berkata seolah-olah orang di sekelilingnya yang salah tapi jauh di lubuk hatinya dia tahu dia yang salah. Dia yang sudah memilih jalan gelap ini. Tambahan lagi, anak perempuan Long sangat mencintai dia, jadi sangat mustahil untuk dia meninggalkan segala-galanya. Dia tidak mempunyai kudrat untuk melawan lelaki yang ada di hadapannya.

Awal perkenalan mereka, dia tidak menyangka Long adalah orang yang sangat kuat pengaruhnya. Dulu dia hanya ingin bertemu dengan keluarga Dahlia semata-mata untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga kekasihnya. Namun, kenyataannya berbeza. Pertemuan dia dan Long merupakan satu kesalahan terbesar dalam hidupnya. Pertemuan mereka malah menjadi satu jebakan untuk dia. Dia tidak boleh lari dari keluarga itu dan dia juga terpaksa menunjukkan yang dirinya mencintai pekerjaan itu walhal dia sendiri jijik dengan kerja yang sedang dia lakukan.

               “Bagus kalau kau sedar. Orang macam kita ni hanya kita saja yang faham. Orang luar takkan faham,” jawab Long sambil menepuk belakang badan Fahmi.

               “Long aku nak tanya kau sikit, boleh?” tanya Fahmi setelah beberapa minit suasana sunyi di antara mereka.

               “Apa dia?”

               “Kau tak pernah terfikir nak berhenti?” mata Fahmi menatap wajah Long untuk melihat reaksi lelaki itu terhadap pertanyaannya.

Beberapa detik mendiamkan diri, Long mengukirkan senyuman nipis,

               “Siapa yang nak terus hidup dalam dosa Tor. Dah banyak kali aku cuba untuk berubah. Tapi orang di luar sana tak pernah nak terima perubahan aku. Macam kau cakap, sekali sampah tetap sampah. Kau berubah lah jadi baik macamana pun orang takkan terima kau. Pernah dulu aku keluar dari penjara, aku kerja di kedai makan. Masa itu aku dah niat yang aku tak nak terus kerja macam ni, aku kesian dengan mak bapak aku. Tapi orang tak nak terima. Aku berusaha tahan emosi aku masa aku kena buli, kena hina dengan orang luar. Tapi bos tak pernah tinggal aku, selalu bantu aku. Bagi duit, tibai orang yang buli aku. Then waktu tu lah aku fikir, takde orang akan faham aku sebaik team aku faham aku.”

Fahmi mengukirkan senyuman nipis. Dia dapat mengerti bagaimana perasaan Long waktu itu. Sejujurnya dia suka dengan orang-orang yang ada di sekelilingnya. Walaupun dunia luar melihat mereka seperti sampah yang menjatuhkan maruah negara, namun hubungan antara mereka sangat dekat. Dia dapat merasakan kasih sayang antara mereka sangat kuat. Bagaimana susah pun salah satu di antara mereka, pasti mereka akan sama-sama berganding bahu untuk membantu. Benarlah kata orang setiap manusia yang jahat pasti ada sisi baiknya. Dan mereka sudah menunjukkan sisi baik mereka dengan menunjukkan rasa sayang dan perhatian antara satu sama lain.

               “Kau nak tahu kenapa aku marah bila anak buah aku nak keluar?” tanya Long sambil memandang wajah Fahmi.

               “Kenapa?”

               “Aku bukan macam bos yang nak ikut anak buah aku kehulu kehilir semata-mata nak jaga dorang. Aku boleh nak bagi duit, nak tolong mana yang patut. Tapi kalau nak jaga korang dari kena tibai dengan orang di luar sana, aku tak boleh. Aku fikir kenapa aku nak bahayakan team aku untuk mempertahankan korang? Tapi dalam masa yang sama aku tak nak bekas anak buah aku kena hina dan dipandang sejijik tu oleh dunia luar. Sebab aku dah pernah rasa dan aku tak nak korang hadap apa yang aku dah hadap,” jelas Long seraya melepaskan keluhan berat. Mungkin lega melepaskan isi hati yang selama ini terbuku di dadanya.

Fahmi terkedu mendengarkan penjelasan Long. Dia tidak menyangka itu yang selama ini terbuku di fikiran majikannya.

               “Kau ni tanya-tanya kau ada niat nak keluar ke?” tanya Long sambil menatap wajah Fahmi.

Fahmi membisukan diri mendengarkan pertanyaan Long. Tidak tahu apa jawapan yang patut dia berikan.

               “Kau tak payah keluar lah. Orang di luar sana takkan terima kau kalau dorang tahu latar belakang kau,” nasihat Long sambil berjalan meninggalkan Fahmi yang masih termenung sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 7

BAB 23