BAB 26

 

AINNA tersenyum melihat Raiq dan Fikry yang asyik bermain air di gigi pantai. Jam menunjukkan pukul 7:30 pagi dan suasana di sekitar kawasan itu masih sunyi dari himpunan orang asing. Ainna menarik nafas dalam selepaskan melabuhkan duduk di sebuah kerusi batu yang disediakan untuk pengunjung di pantai itu.

‘Ya Allah, terima kasih atas segala nikmat yang Engkau sudah berikan. Aku terlalu banyak meminta dan merungut atas segala ujian yang kau berikan. Namun, jarang sekali untuk aku mengucapkan syukur dan rasa terima kasihku pada Mu. Terima kasih untuk ujian yang sudah Kau berikan padaku, yang akhirnya menjadi aku sekuat sekarang. Terima kasih untuk kebahagiaan ini, yang mungkin hanya sementara saja,’ bisik Ainna di dalam hati sambil matanya masih mengekori tingkah laku anak dan suaminya.

Jujur jika ditanya sampai bila hubungannya dan Fikry, dia sendiri tidak ada jawapan untuk hal itu. Jika diberi pilihan, pasti jawapannya adalah untuk kekal menjadi isteri kepada Fikry. Mungkin untuk saat ini bukan kerana cinta tapi lebih kepada untuk menjaga diri sendiri. Tidak ada yang menikah untuk mendapatkan status ‘janda’, namun yang namanya jodoh tidak ada siapa yang tahu. Lagipula, dia yakin Fikry tidak akan meneruskan perkahwinan mereka pada saat Amira mengetahui segala-galanya.

Dalam dia mengelamun, ada suara yang menegur dari belakang,

               “Tenang je kan tengok laut pagi-pagi macam ni,” tegur seorang wanita yang memakai pakaian kasual dengan mengenakan tudung berwarna pink muda.

Ainna tersentak mendengar suara yang menegur. Wajahnya berpaling untuk melihat pemilik suara. Ainna mengerutkan dahi melihat wajah perempuan itu dari pandangan sisi.

               “Sorry kalau saya ganggu awak. Tadi saya tengok awak termenung sorang saja itu yang saya datang tegur.”

Ainna yang sedikit bingung hanya menghadiahkan senyuman nipis kepada wanita itu. Dia berpaling ke arah Fikry dan Raiq yang sudah sedikit jauh darinya.

               “Takpe. Tak ganggu pon,” jawab Ainna dengan nada yang lembut.

               “Saya tak pernah nampak awak sebelum ni. Awak bukan orang sini eh?” tanya wanita itu yang sudah melabuhkan duduk di sebelah Ainna.

               “Tak. Saya bukan orang sini. Ni datang sebab weekend je. Bawak jalan anak,” jawab Ainna lagi.

               “Oh! Tu anak dengan suami awak la?” tanya wanita itu lagi.

               “Haah! Nama awak apa ya? Dari tadi berborak, nama pun tak tahu,” ujar Ainna seraya melepaskan tawa kecil.

               “Oh! Yes. Saya pun lupa. Kenalkan, saya Fasha. Awak?” tanya wanita itu sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

               “Ainna. Dah lama duk sini?” tanya Ainna lagi.

               “Saya memang asal sini. Cuma kerja saja la di PJ,” ujar Fasha lagi.

Ainna hanya mengangguk mendengarkan jawapan wanita itu. Matanya beralih ke arah Raiq yang berlari ke arahnya.

               “Sayang jangan lari! Jatuh!” tegur Ainna dengan nada yang sedikit kuat.

Fasha mengukirkan senyuman melihat ke arah kanak-kanak itu. Namun, senyumannya berubah setelah melihat Raiq sudah ada di dekat mereka.

               “Kenapa lari? Jatuhla sayang,” ujar Ainna dengan nada yang sedikit lembut sambil tangannya mengelus lembut kepala Raiq.

               “Raiq lapar. Papa suruh panggil umi nak gi makan.”

Ainna mengukirkan senyuman nipis mendengarkan bicara anaknya. Dia segera memalingkan wajah untuk meminta diri dari wanita yang ada di sebelahnya.

               “Emm. Fasha. Saya mintak maaf. Saya mintak diri dulu la ya. Si kecik ni lapar pulak. Dari pagi lagi datang sini,” ujar Ainna seraya mengukirkan senyuman kepada wanita itu.

Fasha yang dari tadi memerhatikan wajah Raiq tersentak mendengar kata-kata Ainna.

               “Oh! Okay. Biasa la budak kan. Lepas main mesti lapar,” ujar Fasha yang cuba untuk memalsukan senyumannya.        

               “Sayang salam aunty,” suruh Ainna sambil mendekatkan Raiq dengan Fasha.

Raiq sedikit teragak-agak menghulurkan tangannya untuk bersalam. Mungkin masih malu dengan orang yang baru ditemuinya.

               “Pandainya dia. Nama apa ni?” tanya Fasha lagi.

               “Raiq,” jawab Raiq seraya memeluk uminya.

Wajah Fasha yang tadi sedikit senyum kembali berubah menjadi bingung. Fikirannya seolah-olah membeku. Ucapan Ainna juga sudah tidak didengari dengan jelas. Langkah Ainna dan Raiq yang sudah berlalu pergi hanya dihantar dengan riak wajah yang sedikit bingung.

 

PUAN ROZITA yang teringatkan perbualannya dan suaminya semalam, segera mendail nombor satu-satunya anak perempuan mereka. Menunggu beberapa detik, akhirnya panggilannya diterima oleh Ainna.

               “Assalamualaikum adik. Buat apa tu?” tanya Puan Rozita dengan nada yang lembut.

               “Waalaikumussalam ibu. Baru siap makan,” jawab Ainna. Sudah lama dia tidak berbual dengan ibunya melalui telefon. Selalunya dia akan membuat panggilan dengan ibunya dua atau tiga kali dalam seminggu. Namun, sejak dia bergelar isteri pada Fikry, dia langsung tidak berkongsi khabar dengan ibunya. Dia masih kecewa dengan sikap kedua orang tuanya yang seolah-olah memperjudikan perasaannya.

               “Oh! Weekend macam ni adik buat apa?” tanya ibunya lagi.

Ainna yang seakan-akan boleh menghidu arah perbualan mereka melepaskan keluhan perlahan.

               “Adik ada dengan Fikry dengan Raiq ni. Bawak Raiq jalan-jalan kat PD,” jawab Ainna seraya mengerling ke arah Fikry yang baru selesai membayar sarapan mereka.

               “Oh! Adik dengan Fikry ke? Ibu ingat adik ada rumah sewa.”

               “Kenapa ibu?” tanya Ainna dengan nada suara yang lembut.

               “Macam ni. Semalam baba ada bagitahu ibu pasal adik dengan Fikry,” ujar Puan Rozita dengan nada yang sedikit perlahan.

Ainna melepaskan keluhan lagi. ‘Dah agak dah. Ini yang aku malas ni. Dah suruh aku kahwin, aku kahwin. Lepastu nak atur-atur pulak,’ detik hati kecil Ainna.

Mendengarkan bisu dari Ainna, Puan Rozita menyambung kata-katanya.

               “Baba tanya sampai bila adik nak hidup macam ni? Kamu kan dah bersuami dan suami adik pun ada anak. Takkan nak biar saja dia hidup macam tak ada isteri? Kamu kan wife dia. Kamu lah yang urus makan minum pakai dia dengan anak dia. Nanti apa pula kata keluarga mertua adik, kalau adik terus-terusan hidup macam ni,” ujar ibunya panjang lebar.

               “Apa ibu ni? Kan dah cakap haritu. Mama dengan papa pun okay je. Tak ada apa lah,” jawab Ainna dengan nada yang sedikit tinggi.

               “Mana kamu tahu mereka okay? Kamu tu menantu. Takkanlah apa-apa je dia nak bagitahu adik.”

Ainna menunjukkan riak wajah yang menyampah. Dia mengerling kea rah Fikry yang sedang mengelap mulut Raiq yang basah.

               “Takpelah ibu. Nanti adik call balik ya. Assalamualaikum,” ujar Ainna yang ingin segera mematikan panggilan antara mereka. Risau nantinya emosi dia tidak stabil dan menghamburkan kemarahan pada ibunya sendiri.

               “Adik! Nanti dulu, ibu tak habis cakap lagi ni,” panggil ibunya.

               “Ibu cuma tak nak family Fikry tu pandang serong pada family kita. Kata tak pandai jaga anak ke. Ibu tak nak la. Please adik. Faham la ibu dengan baba,” sambung ibunya lagi.

‘Aku je kena faham? Habistu siapa nak faham aku? Penatlah hidup macam ni. Ya Allah! Serabutnya,’ desis Ainna sendiri.

Ainna segera berdiri dan berjalan sedikit jauh dari Fikry dan juga Raiq. Nafasnya yang sedikit sesak diatur dengan tenang.

               “Ibu. Adik dah bagitahu dulu kan yang adik tak nak pindah mana-mana. Lagipun rumah Fikry tu jauh dari tempat kerja adik. Mana boleh nak ulang-alik. Penat la adik nanti,” ujar Ainna lagi.

               “Cuba adik fikir lagi. Cuba bincang dengan Fikry. Apa kata dia. Lelaki ni dik, memang dia tak kata aap. Tapi dalam hati dia siapa yang tahu? Dia tu ada isteri tapi hidup macam orang bujang,” nasihat ibunya lagi.

Ainna melepaskan tawa kecil. Terasa lucu mendengarkan nasihat dari ibunya.

               “Takpe lah. Fikry dengan Raiq dah tunggu tu. Nanti adik call lagi, assalamualaikum,” ujar Ainna seraya segera mematikan panggilan. Dia mengeluh perlahan seraya mengatur langkah ke arah anak dan suaminya yang masih setia menunggunya di meja makan.

 

WAFIQ yang baru keluar dari keretanya tanpa sengaja melihat Hafiz yang keluar dari sebuah kedai elektronik yang bersebelahan dengan bangunan syarikatnya.

               “Hafiz!” Wafiq memanggil dengan nada yang sedikit tinggi supaya lelaki itu sedar akan kehadirannya.

Hafiz yang terdengar namanya dipanggil segera menoleh ke arah suara itu. Dia mengukirkan senyuman sebelum melangkah menghampiri Wafiq.

               “Eh! Bro! Buat apa sini?” tanya Hafiz dengan riak wajah yang ceria. Berbeza dengan riak wajah ketika dia keluar dari kedai tadi.

               “Ni kan company aku. Kau tu buat apa sini?” tanya Wafiq sambil tangannya mengarahkan ke arah bangunan yang ada di hadapannya.

Hafiz berpura-pura mengangkat wajahnya untuk melihat nama bangunan itu.

               “Laa company kau ke? Rajinnya kau weekend pun kerja,” ujar Hafiz dengan senyuman nipis di bibirnya.

               “Aku tak peliklah datang sini. Aku bos kan. Mana boleh cuti macam pekerja. Kau pulak buat apa sini? Kau kerja area sini ke?” tanya Wafiq lagi. Mungkin saja Hafiz bekerja di sekitar kawasan itu memandangkan sebelumnya pun mereka sudah bertemu di kawasan pejabatnya.

               “Emm aku tak kerja Fiq. Aku baru kena buang kerja bulan lepas,” jawab Hafiz dengan riak wajah yang muram.

               “Buang kerja? So sekarang ni kau tengah cari kerja la?” tanya Wafiq. Entah kenapa dia jatuh simpati dengan cerita Hafiz.

               “Haah. Tapi susah lah nak dapat kerja musim ni. Aku pun bukannya ada pelajaran tinggi,” ujar Hafiz lagi.

               “Kau kerja dengan aku je lah Fiz!” pelawa Wafiq dengan nada yang bersemangat.

Hafiz melihat Wafiq dengan riak wajah yang terkejut.

               “Kau serius ke Fiq? Tapi aku takde pelajaran tinggi pon Fiq. Setakat STPM saja,” ujar Hafiz lagi.

               “Alah! Tak kisah la pasal tu. Aku kan bos! Kau nak kerja apa semua boleh. Bukan penting mana pon kau belajar sampai mana. Yang penting kau rajin kerja dan nak belajar benda baru. Tu dah cun sangat dah bagi aku,” ujar Wafiq yang tidak mahu Hafiz terus merasa rendah diri.

               “Thanks weh! Kau sudi nak tolong aku. Kau bagi aku kerja apa pun, aku terima Fiq. Kau bagi aku jadi guard ke officeboy ke, semua aku okay. Aku janji aku akan kerja betul-betul,” ujar Hafiz dengan nada yang bersungguh-sungguh. Seolah-olah sangat bersyukur dengan tawaran yang diberikan kepadanya.

               “Yang tu nanti kita bincang kat dalam. Cari kerja apa yang sesuai dengan kau. Sekarang masuk dulu. Aku nak ambik dokumen untuk meeting petang ni,” ujar Wafiq seraya berjalan masuk ke dalam bangunan pejabatnya. Hafiz membuntuti langkah Wafiq dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

              

FIKRY sedar dengan perubahan Ainna selepas mendapat panggilan dari ibunya. Jauh di sudut hatinya, dia tertanya-tanya apa yang sudah dibualkan oleh dua wanita itu. Fikry mengatur langkah menghampiri Ainna yang sedang duduk di katil dengan mata yang melekat di kaca televisyen.

               “Awak okay?” tegur Fikry seraya melabuhkan duduk tidak jauh dari Ainna. Raiq yang asyik menonton kartun di telefon bimbit dikerling sekilas.

               “Ainna?” tegur Fikry lagi setelah pertanyaannya tadi seolah-olah tidak didengar oleh gadis itu.

               “Apa? Sorry sorry. Awak bagitahu apa tadi?” tanya Ainna dengan wajah yang segera berpaling ke arah Fikry.

               “Awak okay ke?” tanya Fikry sekali lagi.

Ainna mengukirkan senyuman nipis sebelum mengalihkan pandangannya dari Fikry sebelum menjawab,

               “Okay. Kenapa?”

Fikry melepaskan keluhan perlahan. Inilah sikap Ainna yang sangat tidak disukainya. Selalu sangat menyembunyikan segala masalah dari semua orang. Benar kata Wildan yang Ainna terlalu fikirkan orang sekeliling. Sanggup menanggung rasa sedih dan bingungnya sendiri semata-mata tidak mahu masalahnya membebankan orang lain.

               “Okay? Ainna please lah! Awak bukan hidup sorang tau. Apa-apa masalah share la dengan saya. Kalau saya tak boleh tolong pun at least, saya boleh dengar masalah awak. Jangan hidup cara awak yang sebelum ni la. Sekarang dah ada family sendiri, dah jadi bini orang. Jangan nak tunjuk diri kita ni kuat sangat. Awak pun manusia mesti akan ada rasa penat,” tegur Fikry seraya berlalu ke ruang almari pakaian yang sedikit jauh dari katil yang diduduki oleh Raiq. Dia tidak mahu Raiq tahu dia sedang memarahi Ainna.

Ainna terkejut dengan sikap Fikry. Lelaki itu bercakap seolah-olah dia tahu segala masalah yang ditanggung oleh Ainna selama mereka bergelar suami isteri. Ainna mengerutkan dahi sebelum berjalan menghampiri Fikry.

               “Awak kenapa ni?” tegur Ainna yang bingung dengan sikap suaminya. Selama ini lelaki itu tidak kisah pun apa masalah Ainna, dengan siapa dia bertemu, ke mana dia pergi. Namun, hari ini lelaki itu tiba-tiba saja berubah.

               “Kenapa? Saya yang patut tanya awak Ainna. Awak ni kenapa? Senyap saja dari pagi tadi. bila saya tanya ada masalah ke, jawapan awak sama saja. Takde takde takde. Awak ingat saya ni happy ke tengok awak stress macam ni? Kita datang sini nak happy-happy tapi kalau awak nak stress macam ni, baik tak payah,” jawab Fikry lagi dengan nada suara yang perlahan.

Ainna menggelengkan kepalanya perlahan. Tangannya memegang dada yang terasa sesak.

‘Aku tak mintak pun untuk ikut kau datang sini. Bila aku ada masalah macam ni perangai kau? Bukannya nak tanya sampai aku bagitahu tapi marahkan aku? Macam ni ke treat orang yang tengah stress?’ desis hati kecil Ainna yang berteka-teki dengan dirinya sendiri.

               “Okay. I am sorry. Saya tahu saya salah. Saya tak sepatutnya tunjuk stress saya depan awak dengan Raiq. Saya mintak maaf. Tapi janganlah tunjuk marah-marah macamni depan anak,” ujar Ainna yang masih setia memandang wajah suaminya.

Permohonan maaf dari Ainna membuat Fikry semakin serabut. Serabut bukan kerana Ainna tapi kerana sikapnya yang agak berlebihan memarahi Ainna.

               “Saya bukan marah sebab awak stress Ainna. Saya marah sebab awak tak nak share masalah awak. Saya tahu kita kahwin tanpa rasa suka to one another. Tapi kita ni suami isteri. Kalau awak ada problem, awak share la dengan saya. Jangan pendam sendiri. Saya tak suka bila awak simpan semua masalah awak sendiri,” ujar Fikry dengan riak wajah yang keruh. Jelas menunjukkan yang dia merasa bersalah dengan Ainna.

               “Okay saya sorry okay? Betul, saya tak ada problem pun. Masalah kecik tu biasa la. Tapi semua undercontrol. Jangan risau,” kata Ainna untuk menenangkan hati suaminya.

               “Ainna. Awak anggap saya ni orang luar ke?”

               “Tak. Saya tahu dan saya sedar awak ni suami saya. Saya hormat awak sebagai suami saya.”

               “Then? Tak boleh nak share masalah dengan suami sendiri? Tak kira la masalah besar ke kecik ke terbuka sikit dengan suami boleh?” tegur Fikry lagi.

Ainna melepaskan keluhan perlahan sebelum mengukirkan senyuman nipis.

‘Sah! Suami aku kena rasuk ni. Tak pernah-pernah dia macam ni. Selalunya mana nak kisah apa pun yang jadi. Kalau aku jawab takde dia teros diam. Ini lain pulak perangainya,’ desis Ainna sendiri.

               “Okay saya bagitahu but please jangan marah-marah. Kesian Raiq,” ujar Ainna seraya mengerling ke arah Raiq yang masih setia dengan kartunnya.

Fikry mengangguk perlahan seraya mengaturkan langkah ke arah katil dan diikuti oleh isterinya. Ainna membuka cerita tentang perbualan antara dia dan ibunya melalui telefon pagi tadi. Riak wajah Fikry yang biasa saja membuat hatinya sedikit tenang. Dia cuma risau Fikry mempunyai tanggapan yang buruk terhadap kedua orang tuanya. Walaupun dia banyak terasa hati dengan ibu dan babanya, namun dia juga tidak mahu orang lain memandang serong pada kedua orang tuanya.

               “Itu saja. Kalau awak macamana? Awak okay ke saya duduk asing?” tanya Ainna setelah dia selesai bercerita.

Fikry mengukirkan senyuman nipis. Kalau ditanya pastilah dia ingin Ainna tinggal bersama mereka. Jadi kehidupan mereka akan lebih senang. Ada yang menguruskan Raiq. Tambahan pula Raiq sangat manja dan boleh dikatakan setiap hari menelefon Ainna semata-mata kerana rindu.

               “Saya tak kisah pun mana-mana yang awak selesa. Tapi kalau awak nak pindah rumah saya pun saya okay je. Raiq ni pun selalu sangat nak umi nak umi. Kadang tengah malam pun cari awak. Kalau pasal kerja tu resign je la. Bukannya saya ni tak mampu nak tanggung awak,” ujar Fikry perlahan.

Jawapan Fikry membuat Ainna makin terpinga-pinga. Dia berfikir Fikry akan bersetuju dengan keputusannya untuk kekal duduk berasingan dengan suami dan anaknya. Ini lain pula jadinya.

               “Resign? No! Saya tak nak. Lagipun kita ni tak tahu lagi sampai bila. Kalau saya resign, nanti kalau kita dah pisah saya ni macamana?” tanya Ainna yang tanpa sedar sudah pun mengguriskan hati suaminya.

Fikry tersentak dengan pertanyaan Ainna. Namun, dia berusaha untuk menunjukkan riak wajah yang biasa.

               “Terpulang pada awak la. Saya okay je mana-mana. Selama ni pun saya dengan Raiq pun okay saja. Dari awal kan saya kata, saya terima apa je yang awak nak,” jelas Fikry lagi.

Ainna hanya mengangguk mendengarkan jawapan Fikry. Namun, jauh di sudut hatinya dia merasa bersalah dengan jawapan yang diberikan oleh suaminya. Fikry seolah-olah ingin dia mendampingi mereka di rumah itu namun Fikry tidak mahu memaksa dirinya. Ainna mulai buntu untuk membuat keputusan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23