BAB 25

 

RAIQ melompat keriangan di dalam bilik hotel yang baru disewa oleh papanya. Ainna hanya mengukirkan senyuman melihat telatah anaknya. Perlahan-lahan kakinya diatur ke arah beranda yang menghadap pantai. Angin pantai menyentuh lembut wajahnya, bunyian ombak menenangkan fikirannya.

Fikry berjalan menghampiri isterinya seraya menghela nafas panjang. Angin yang menerpa ke kulit wajahnya membuat dia kembali segar. Penat memandu hampir tiga jam seakan-akan terubati. Matanya juga ditutup rapat seolah-olah cuba untuk melupakan segala masalah yang terbuku di benak fikirannya.

               “Best kan kalau hari-hari boleh tengok pantai, hirup udara segar macam ni,” ujarnya perlahan tanpa mengalihkan mata dari melihat laut biru yang terbentang di hadapannya.

Ainna mengangguk perlahan. Memang salah satu impiannya adalah untuk mendirikan rumah berdekatan dengan pantai. Suasana yang tenang, jauh kesibukan bandar dan jauh dari manusia-manusia yang menyakitkan hati.

               “Orang yang sukakan pantai ni kan, dia mesti faham macamana feel duduk di pantai. Walaupun ada ramai orang kat situ, kita tetap rasa tenang. Sebab hati dan mata kita hanya fokus pada keindahan laut dan telinga pula khusyuk dengar bunyi ombak. Tenang je bila tengok suasana macam ni. Tak sesak macam di bandar,” jawab Ainna sedikit panjang.

Penjelasan Ainna mengukirkan senyum tipis di bibir Fikry.

               “Betul. Dulu saya langsung tak suka dengan pantai. Aktiviti apa pun yang berkait dengan pantai mesti saya cuba elakkan. Dulu saya ada kawan yang suka sangat lepak pantai. Tiap kali nak buat assignment ke dia ada masalah ke memang dia akan ke pantai. Saya pula selalu mengelak bila dia ajak lepak sebab saya tak suka environment pantai. Sampaikan dia ingat saya ni tak sudi nak lepak dengan dia,” ujar Fikry seraya melepaskan tawa kecil.

               “Jarang nak jumpa lelaki minat pantai. Biasanya kan lelaki minat nature things just like gunung ke tengok benda-benda hijau,” jawab Ainna ringkas.

               “Betul. Dulu saya pun fikir benda yang sama. Saya anggap lelaki yang minat pantai ni tak gentle. Ya lah kita lelaki kot. Buat la aktiviti yang lasak sikit, daki gunung ke flyingfox ke. Sebab masa tu yang ada di fikiran saya, asal pantai je berkelah dengan mandi. Tapi, bila saya dah mula sukakan pantai, saya sedar yang banyak saja aktiviti pantai yang lasak. Cuma saya je yang tak tahu,” jelas Fikry sambil mengukirkan senyuman.

               “Tapi sayangnya, bila saya dah suka dengan pantai, kawan saya dah takde. Saya tak boleh buat semua aktiviti pantai dengan dia, tak boleh teman dia ke sini,” sambung Fikry lagi.

Ainna terkedu mendengar kata-kata Fikry. Melihat wajah Fikry yang murung membuat dia serba salah. Tidak tahu untuk menunjukkan reaksi yang bagaimana.

               “Takde? Maksudnya?” tanya Ainna dengan wajah yang terpinga-pinga.

               “Kawan saya meninggal lebih kurang empat tahun lalu,” ujar Fikry seraya menghela nafas panjang. Riak wajahnya sedikit muram namun masih ada senyuman nipis terukir.

               “Meninggal? Why? Dia sakit?”

               “Dia meninggal sebab accident.”

Ainna hanya mengangguk mendengarkan jawapan Fikry.

               “It’s fine if you want to cry. Semua orang pasti akan ada titik terendah dalam hidup mereka. Tak kisah la lelaki atau perempuan, semua orang takkan lari dari masalah, dari kisah yang menyedihkan. Kehilangan orang yang kita sayang memang sakit dan menyedihkan. Tak memalukan pun kalau awak nak rasa sedih, rasa rindu dengan kawan awak. Kalau saya di tempat awak pun, saya akan rasa benda yang sama. Tambah lagi orang tu sangat dekat dengan kita,” pujuk Ainna yang sedar dengan perubahan Fikry yang mungkin merasa malu dengannya.

Fikry mengukirkan senyuman nipis namun matanya masih tidak beralih dari derusan air pantai.

               “Awak nak tahu tak Ainna, sometimes saya rasa bersalah dengan Aidil.”

               “Aidil?”

               “Kawan saya tu nama Aidil. Aidil selalu nasihatkan saya masa kami sama-sama belajar dulu. Dia selalu tegur saya setiap kesalahan saya. Tapi saya tak pernah praktikkan teguran dia, saya sekadar mendengar saja. Tapi bila arwah dah takde, saya baru sedar yang setiap kata nasihat dia tu sangat bermakna untuk saya. Teguran dia itulah yang buat saya jadi diri saya yang sekarang. Kalau lah dia masih ada, saya nak sangat berterima kasih dengan dia. Terima kasih untuk teguran dan amanah yang diberikan pada saya,” ujar Fikry panjang lebar dengan riak wajah yang sedikit muram dan matanya memerhati Raiq yang sudah berbaring di atas katil sambil menonton kartun kegemarannya.

 ‘Atau Aidil yang dia ceritakan ni ayah pada Raiq?’ desis Ainna yang bingung dengan kenyataan Fikry yang terakhir. Dia memang sudah tahu tentang hubungan Fikry dan Raiq dari kakak iparnya dan Yana juga sudah menceritakan tentang ayah Raiq padanya.

               “Aidil tu ayah Raiq ke?” tanya Ainna teragak-agak.

Fikry sedikit terkejut dengan pertanyaan Ainna. Rasanya dia tidak pernah memberitahu identiti sebenar Raiq pada Ainna, bagaimana pula isterinya boleh tahu? Beberapa detik berfikir, dia seperti boleh faham dengan hal itu.

               “Haah. Kak Yana cerita ya?” tanya Fikry dengan senyuman nipis yang terukir di wajahnya.

Ainna hanya mengangguk perlahan. Dia teringat kembali cerita Yana tentang perjuangan Fikry untuk membesarkan Raiq dan memujuk ahli keluarga kandung Raiq agar menerima si kecil itu. Sampai ke hari ini, dia masih kagum dengan keperibadian Fikry yang satu itu. Jika dia yang ada di tempat Fikry pun, dia tidak tahu samada dia boleh jadi sekuat itu ataupun tidak.

Melihat Ainna yang hanya mengangguk, Fikry menyambung kata,

               “Kalau saya diberi peluang, saya nak sangat berterima kasih pada Aidil sebab percayakan Raiq pada saya. Jujur, awalnya saya susah nak terima kenyataan untuk jaga Raiq. Sebab waktu tu Raiq baru nak masuk dua bulan, tambah pulak saya mana pernah jaga budak kecik. Kalau main dengan budak yang dah tiga empat tahun tu reti lah.  Pernah juga saya rasa nak mengalah tapi bila ingat balik kesusahan Aidil, saya berusaha untuk sabar. Sampai akhirnya dia pergi, saya yang dipertanggungjawabkan untuk jaga dan membesarkan Raiq sepenuhnya. Waktu itu baru saya sedar semua tanggungjawab saya. Saya sedar yang saya bukan jaga anak orang lain tapi saya jaga anak saya sendiri. Raiq anak yatim piatu, tiada sesiapa. Saya kena jaga amanah Allah yang diberikan melalui sahabat baik saya. Dan saya akui, kehadiran Raiq sangat merubah diri saya. Ubah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab, lebih penyayang dan paling penting lebih dekat dengan Allah. Sebab itulah, saya selalu kata saya bertuah sebab dipilih oleh Aidil untuk jaga Raiq,” ujar Fikry yang masih dengan senyuman manis di wajahnya.

Ainna melepaskan keluhan perlahan. Benar kata orang, setiap lelaki itu selalu berusaha untuk menunjukkan diri mereka kuat dan baik-baik saja kerana mereka menganggap mereka adalah perisai yang selalu melindungi keluarga dan orang terdekatnya. Sedangkan realitinya, lelaki juga adalah manusia biasa yang sering diuji. Dugaan yang mampu menumbangkan ketegaran hati mereka, melemahkan segala kekuatan yang tersisa.

‘Aku beruntung kerana dipertemukan dengan dua lelaki hebat yang membuat aku sangat kagum. Kagum dengan lakonan yang menunjukkan mereka kuat, kagum dengan cara mereka mengekspresikan rasa kasih dan sayang untuk orang di sekitarnya. Mungkin bagi orang lain rasa sayang itu dari kata-kata. Tapi kasih sayang yang seutuhnya itu dari bagaimana cara mereka melayani dan menghargai orang-orang yang penting di dalam hidup mereka,’ desis Ainna panjang lebar.

               “I am really sure, Aidil will be very happy to see what you have been now. Dia juga bersyukur dan berterima kasih dengan awak, sebab awak mampu jadi ayah yang baik untuk Raiq. Awak mampu gantikan posisi dia dan isterinya untuk besarkan Raiq. Saya yakin dia tak menyesal sebab amanahkan Raiq pada awak,” pujuk Ainna dengan nada yang lembut.

Fikry hanya mengukirkan senyuman nipis mendengarkan pujukan isterinya. Tubuhnya kembali menghadap pantai sebelum melepaskan keluhan berat. Berharap segala rasa kecewa, rasa sedih dan takutnya akan turut pergi bersama-sama dengan ombak.

 

FAHMI berjalan keluar dari sebuah gudang usang dengan seputung rokok yang ada di mulutnya. Kelihatan dua lelaki berbadan sasa sedang duduk di bangku tidak jauh dari pintu masuk gudang.

               “Bos,” tegur salah seorang dari mereka sebelum kedua-duanya berdiri.

               “Aku nak korang stay sini. Jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai Long datang,” ujar Fahmi dengan riak wajah yang serius.

Melihat kedua-duanya mengangguk, Fahmi mengatur langkah ke arah keretanya.

               “Bos nak pergi mana?”

Fahmi memalingkan wajah melihat kedua anak buahnya,

               “Dah masuk maghrib.”

Kedua anak buahnya hanya mengangguk mendengarkan jawapan Fahmi.

Beberapa minit setelah Fahmi meninggalkan kawasan itu, sebuah kereta Toyota Fortuner berwarna biru gelap masuk ke kawasan halaman gudang.

Salah seorang daripada lelaki itu mengatur langkah ke pintu kereta pemandu sebelum membukakan pintu. Kelihatan seorang lelaki berumur lingkungan 60-an keluar dari kereta dengan mengenakan pakaian kasual serba hitam. Wajahnya yang sedikit bengis itu langsung tidak mengukirkan senyuman.

               “Budak baru?” tanya lelaki itu sambil menunjukkan ke arah lelaki yang berdiri sedikit jauh darinya.

Lelaki itu hanya mengangguk dengan wajah yang sedikit menunduk.

               “Tak payah takut lah kau bukan buat salah pun. Nama apa?” tegur lelaki tua itu yang melihat anak buahnya seperti dalam keadaan ketakutan.

               “Lee, encik,” jawab lelaki yang berwajah cina dengan nada yang perlahan.

               “Tak payah berencik. Panggil je aku Long. Sama macam budak lain,” ujar lelaki yang membahasakan dirinya Long sebelum kakinya berjalan ke pintu gudang.

               “Semua barang cukup?” tanya Long lagi.

               “Tadi kami cek semua cukup. Bos pun dah double check,” jawab anak buahnya yang lain.

Long itu hanya mendiamkan diri sambil kakinya melangkah masuk ke dalam gudang.

               “Tor pergi mana?” tanya Long dengan tangan yang sibuk membelek plastik yang terisi di dalam kotak kayu.

Kedua-duanya terkedu untuk menjawab sambil mata keduanya saling menjegil. Mungkin takut untuk menjawab pertanyaan majikannya.

               “Aku tanya ni, Tor pergi mana?!” gertak lelaki itu setelah pertanyaannya dibiarkan bisu hampir setengah minit.

               “Emm.. Bos kata nak solat maghrib,” jawab salah satu dari mereka dengan suara yang terketar-ketar.

Jawapan dari anak buahnya membuat Long terkedu. Perlahan-lahan dia melabuhkan duduk di kerusi yang tersedia tidak jauh dari situ. Long mengukirkan senyuman nipis ketika mengimbau pertemuan pertama antara dia dan Fahmi.

‘Kau masih tak berubah Tor.’

 

WAFIQ meneliti dokumen yang ada di tangannya. Sesekali matanya sibuk menjeling ke arah telefon bimbitnya. Encik Sharif yang sedari tadi memerhati, mulai bingung dengan tingkah laku anak sulungnya.

               “Kamu ni kenapa?”

Wafiq sedikit terkejut dengan teguran babanya. Dia berusaha untuk menunjukkan riak wajah yang biasa.

               “Kenapa apa ba?” tanya Wafiq berpura-pura tidak tahu.

               “Iya lah. Dari tadi lagi baba perhatikan kamu asyik duk tengok saja handphone tu. Kamu tunggu call dari siapa?” tanya Encik Sharif dengan bibir yang sedikit muncung menunjuk ke arah telefon bimbit yang ada di hadapan Wafiq.

               “Tak adalah ba. Tak penting pun,” jawab Wafiq ringkas. Matanya kembali meneliti dokumen.

               “Kalau tak penting, takkanlah kamu gelisah macam ni? Dah macam mati bini dah,” sindir Encik Sharif.

Wafiq melepaskan tawa kecil.

               “Tak ada lah. Baba ni ada-ada je lah,” bohong Wafiq lagi. Sedangkan waktu itu fikirannya sudah bercelaru dengan mesej yang diterimanya sebentar tadi. Ikutkan hati ingin saja dia menelefon orang yang menghantar pesanan kepadanya namun babanya sudah masuk ke biliknya terlebih dahulu. Disebabkan pesanan itulah, dia tidak boleh fokus dengan urusan kerjanya. Namun, dia tidak mahu babanya tahu akan hal itu.

               “Kamu kalau ada masalah bagitahu lah baba. Mana lah tahu baba boleh bantu. Ke Sheila ajak kahwin?”

Pertanyaan babanya membuat Wafiq tergelak dan menggelengkan kepala perlahan.

               “Tak lah ba. Baba ni dah jauh dah ni. Sheila nak ajak kahwin? Lambat lagi. Kakak dia pun belum kahwin lagi,” jawab Wafiq.

               “Apa salahnya? Sekarang dah tak kisah pasal langkah bendul lagi dah. Kalau dah kamu berdua nak kahwin, langsung kan saja lah,” nasihat Encik Sharif dengan nada yang sedikit tegas.

Kata-kata babanya membuatkan Wafiq sedikit tidak selesa. Dia memang tidak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat. Hubungan mereka hanya terikat sebagai tunang selama bertahun-tahun pun atas persetujuan mereka bersama. Masing-masing memilih untuk mengumpulkan harta sendiri terlebih dahulu.

               “Ni Wafiq dah settlekan. Baba double check lah, kalau salah baba bagitahu. Nanti Wafiq betulkan balik,” ujar Wafiq untuk mengalihkan perbualan mereka.

               “Ye lah. Ada saja cara nak larikan diri,” ujar babanya sebelum bangun dan berlalu keluar dari ruang kerja Wafiq.

Wafiq mengeluh perlahan. Dia segera mengambil telefon bimbitnya setelah beberapa detik mengelamun kerana terfikirkan nasihat babanya.

Nombor yang tertera segera didail namun panggilannya masuk peti pesanan. Wafiq bengang sendiri. Pesanan yang diterimanya tadi dibaca semula.

               Setiap perbuatan jahat pasti akan ada karmanya. Mungkin kau boleh lari dari hukuman dunia.   Tapi Allah tak pernah tidur, Wafiq. Allah takkan biarkan orang macam kau terus-terusan                hidup bahagia. People will get what they have given.

Fikirannya mula teringatkan peristiwa 10 tahun yang lalu. Dia tidak ada masalah dengan sesiapa selain daripada budak lelaki waktu di sekolah dulu. Tapi setahu dia lelaki itu sudah lumpuh disebabkan kegagalan sewaktu pembedahan. Jadi tidak mungkin sekiranya dia berani untuk mengugut Wafiq seperti itu. Tambahan pula kejadian itu juga sudah terlalu lama. Wafiq melepaskan keluhan berat sebelum meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja dengan sedikit kasar. Tangannya meraup wajahnya yang kusut.

 

AINNA yang baru saja menyikat rambut Raiq terkejut mendengar suara telefon bimbit Fikry yang berdering. Melihat Fikry yang masih di dalam tandas, Ainna berjalan menghampiri telefon bimbit milik suaminya. Nama ‘Love’ tertera di skrin. Entah kenapa membaca nama itu menimbulkan satu perasaan aneh dalam dirinya. Namun, dia berusaha untuk tidak melayankan perasaan itu dan meninggalkan telefon bimbit itu berdering. Dia yakin pemanggil tersebut adalah kekasih suaminya.

Seketika kemudian, pintu tandas dibuka. Fikry segera mencapai telefon bimbitnya yang berdering. Melihat nama pemanggil menyentakkan wajahnya. Dia segera berpaling melihat Ainna yang sedang sibuk menyidai tuala di dalam tandas. Fikry segera berjalan ke arah beranda yang sedikit jauh dari Ainna.

               “Hello.”

               “Hello sayang! Oh my God! Susah betul nak dengar suara you! You kat mana ni? Kenapa I call banyak kali you tak angkat? Whatsapp I pun you tak read,” tanya Amira bertubi-tubi.

               “Dah habis dah?” tanya Fikry dengan nada yang menyampah.

               “Ish! Jawab lah! I tanya bukan untuk dengar soalan balik!” jawab Amira dengan nada yang sedikit tinggi.

               “I ada kerja lah! Busy sikit.”

               “Kerja? Kerja apa? Semalam I pergi studio you takde pun. Izzue pun kata habis shoot tengah hari you terus balik. You buat kerja apa lagi selain kat studio?” tanya Amira yang seakan-akan menghidu kebohongan kekasihnya.

Fikry mati kata.

               “I tanya ni! Kenapa tak jawab? You ada buat salah?” tanya Amira lagi setelah pertanyaannya dibiar sepi oleh Fikry.

               “Yeee I dengar lah! Mana ada I buat salah! Semalam balik studio, I bawak Raiq jalan-jalan. I malas la nak main phone depan dia. Selalu sangat I busy dengan kerja sampai abaikan Raiq. So I nak la ada quality time with him,” jelas Fikry dengan nada yang perlahan.

‘Banyaklah kau quality time dengan Raiq. Padahal nak jaga hati bini,’ desis Fikry di dalam hati.

               “Oh! You fikir quality time dengan Raiq je lah? I ni apa? Tunggul? Hah?” tanya Amira lagi. Dia sangat tidak suka dengan sikap Fikry yang selalu melebih-lebihkan Raiq berbanding dirinya. Sedangkan dulu sebelum Raiq hadir di dalam kehidupan Fikry, kekasihnya itu sangat mementingkan kebahagiaan dirinya.

               “Apa you ni? I malas nak gaduh la, Amira. Please,” ujar Fikry yang berusaha menahan emosinya.

               “Fikry you selalu macam ni kan? Bila I cakap sikit you selalu tak nak gaduh, tak nak gaduh. Tapi pernah tak you fikir apa yang I rasa. Okay fine! I faham kalau you nak spend time dengan anak you. Tapi you kena ingat yang you ada I jugak. Kalau setiap masa you nak spend dengan anak you. Macamana dengan I? Bila kita boleh spend masa sama-sama? Jangan kata nak keluar date, whatsapp dengan call pun dah susah sekarang! You ni kalau I sakit sekalipun you takkan kisah kan?!” bebel Amira panjang lebar.

               “Okay Amira. I am so sorry. I tahu I sakah sebab lebihkan Raiq. But, please. He is my son. He need my attention more than you. Takkan dengan budak pun you nak jealous? Come on Amira,” pujuk Fikry namun masih dengan nada yang seakan-akan menyindir Amira yang dianggap berkelakuan seperti orang yang tidak matang.

               “You tahu tak Fikry? Ni lah masalah you! Bila I kata, you cakap I ni jealous? I ni tak reti nak fikir pasal Raiq! Just imagine if you are in my place. What would you feel? You sangat sangat sangat pentingkan Raiq, Fikry. You tak pernah ajak I keluar. I yang ajak keluar dulu. Then you still cakap I ni budak-budak? You ingat I ni tak ada hati dan perasaan ke Fikry? Sampai bila I kena tahan?!”

Fikry menggelengkan kepala perlahan sebelum melepaskan keluhan. Emosinya juga semakin tidak stabil. Amira membentaknya seolah-olah dia tidak ada harga diri sebagai seorang lelaki.

               “Macam ni Amira. Kita masing-masing tengah panas. I off dulu. Nanti bila kita dah tenang, kita bincang balik. Jaga solat, jaga makan, jaga kesihatan, Assalamualaikum,” ujar Fikry sebelum mematikan panggilan.

Kepalanya yang sakit diurut perlahan. Entah sampai bila dia akan terus bertahan dalam hubungan seperti ini. Dia sendiri tidak tahu siapa yang salah dalam hal ini. Mungkin dari dirinya Amira yang salah kerana tidak boleh mengalah dengan Raiq namun mendengar kata-kata Amira sebentar tadi sedikit sebanyak membuat dia berfikir yang dia sudah sering mengabaikan Amira.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23