BAB 5

 

WILDAN mengeluh kasar seraya mencampakkan telefon bimbitnya ke katil. ‘Dahlah jarang tanya khabar, jarang whatsapp. Sekali mesej aku nak tuduh yang bukan-bukan. Tak bapak, tak abang sama je! Argh!’ bisik hati Wildan yang kesal selepas menerima mesej dari Wafiq yang bertanya sekiranya Wildan ada buat masalah dengan sesiapa disebabkan ada orang yang mengintip rumah Encik Sharif.

Kalau masalah saja mesti puncanya dari Wildan. Padahal bukan dia saja yang bermasalah Wafiq juga. Cuma Wafiq sedikit bijak menangani masalah supaya tidak diketahui oleh ibu dan babanya. Tapi ketika Wildan yang ditimpa masalah, kedua orang tuanya dan Wafiq sendiri sering membuat kesimpulan sendiri tanpa mendengarkan penjelasan darinya. Memori silam seakan-akan kembali meghantuinya.

“Kenapa kau pukul dia?! Aku ajar ke pergi sekolah pukul orang?! Tak cukup didikan aku selama ni? Cuba tengok abang kau tu, takde buat masalah macam kau! Dia pun lelaki jugak tapi tak menyusahkan aku!” gertak satu suara yang ada di hadapan Wildan.

               “Dan tak pukul dia, baa! Sumpah! Dan tak buat!” jawab Wildan sambil menoleh ke arah abangnya. Berharap Wafiq dapat membantunya untuk menenangkan babanya. Namun abangnya hanya memandang Wildan dengan muka bersalah dan menggelengkan kepala. Mungkin takut dengan  emosi babanya yang tidak stabil.

               “Kalau kamu tak pukul, kenapa kamu boleh ada kat tempat tu? Kenapa dia kata kamu yang buat? Tak payah nak menipu la Wildan! Anak tak guna! Memalukan aku! Kau tahu tak satu sekolah tu hormat aku?! Tapi kau senang-senang je menjatuhkan maruah aku,” jerit Encik Sharif seraya melepaskan rotan di tangan Wildan.

Wildan menahan sakit. Namun sakit yang dirasakan di telapak tangannya tidak sedalam luka yang ada di hati. Sungguh dia merasa kecewa dengan abangnya. Melepaskan semua beban ke atas dirinya dengan alasan Wafiq tidak mahu kedua orang tuanya kecewa. Wildan beralih pandangan kepada Ainna yang menjerit meminta babanya berhenti namun langsung tidak diendahkan. Wildan berusaha mengukirkan senyuman nipis kepada adiknya untuk menenangkan gadis itu. Namun Ainna masih tidak berhenti menangis.

               “Angah okay?” tanya Ainna seraya duduk di tepi Wildan. Selepas dimarahi babanya, Wildan hanya duduk seorang diri di dalam bilik. Ainna yang risau dengan keadaan abangnya, memegang lembut telapak tangan kanan lelaki itu dengan mata yang berkaca-kaca.

               “Angah okay. Adik jangan la risau. Ni tengok,” ujar Wildan sambil mengenggam tangan kanannya sambil berusaha menutupi rasa sakit yang ada.

Ainna memegang tangan Wildan, “I know its hurt. Jangan buat kalau cuma nak sedapkan hati adik. Adik yakin angah mesti ada sebab buat semua benda ni. Angah takkan buat orang, kalau orang tak mula dengan angah. It’s okay, nanti adik try cakap dengan baba ya?” ujar Ainna sambil menyeka air mata yang jatuh.

               “Tak payahlah dik. Baba takkan faham. Kalau adik sayang angah, adik jangan cakap apa-apa dengan baba ataupun ibu, okay?”

               “Kenapa?” tanya Ainna sedikit hairan. Sepatutnya ibu dan baba perlu dengar penjelasan Wildan supaya tidak ada salah faham antara mereka.

               “Adik.. Please,” kata Wildan sambil memandang wajah adiknya dengan pandangan sayu.

               “Okay adik takkan bagitau baba. Tapi dengan syarat angah kena cerita apa yang jadi, boleh?”

Wildan mengeluh perlahan sambil memandang wajah adiknya yang masih kecil. ‘Macamana angah nak bagitau adik perkara sebenar? Kat mana angah nak mula? Adik selalu kata along dan angah adalah hero adik. Tapi harini angah dah tunjuk yang angah tak layak untuk jaga adik, angah pengecut! Adik takkan faham. Kalau adik tahu apa yang jadi mesti adik sedih,’ bisik hati kecilnya sebelum memeluk Ainna untuk menyembunyikan matanya yang mula berkaca-kaca.

               “Takde ape la. Adik pergi siap-siap la kejap lagi kan nak gi kelas agama. Angah nak tidur ni, penat,” ujar Wildan seraya melepaskan pelukannya.

Ainna hanya memandang wajah sayu Wildan sebelum kembali memeluk tubuh abangnya itu.

               “Adik faham kalau angah belum nak share dengan adik. Tapi adik nak angah tahu, walau apapun yang jadi, adik tetap sayang angah. Angah selalu ada dengan adik, selalu tolong adik. Adik mintak maaf, adik tak dapat nak tolong angah. Tapi nanti bila adik dah besar, adik akan selalu ada dengan angah, jaga angah dan sayang angah lebih dari orang lain! Angah ingat tau!”

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Wildan. Dia mengukir senyuman nipis mengenangkan tingkah laku satu-satunya adik perempuannya.

Wildan yang termenung jauh terkejut ketika disapa oleh sahabatnya, Paan,

               “Kau ni! Terkejut aku,” jawab Wildan yang menjeling ke arah Paan yang sedang baring di katilnya.

               “Apa kau ni. Aku tegur gitu je. Pehal nak terkejut? Ada masalah?” tanya Paan yang memang sudah kenal betul dengan perangai sahabatnya itu.

Wildan melepaskan keluhan berat,

               “Takde ape la, paan. Aku penat sikit je. Photoshoot tengah banyak seminggu dua ni,” ujarnya untuk menutupi masalah yang dihadapi. Bukannya dia tidak ingin berkongsi, namun dia merasa segan dengan sahabatnya itu kerana terlalu sering meluahkan masalah yang dihadapinya kepada Paan. Wildan juga merasakan yang dia sudah banyak menyusahkan Paan. Jadi biarlah masalahnya kali ini dipendam sendiri. Nanti suatu saat mesti akan ada jalan untuk menyelesaikannya walaupun tidak tahu sampai bila masalah itu akan terus menghantui dirinya.

Paan tersenyum mendengarnya sebelum menghampiri Wildan,

               “Dan.. Kita dah kawan berapa lama? Dah lama Dan.. Aku pun dah tak anggap kau kawan lagi dah, aku dah anggap kau macam abang aku sendiri. Muka kau tu! Kalau taknak aku tanya masalah kau, jangan lah kusut sangat. Sudahlah tak hensem, tunjuk muka kusut lagi buruk!” kata Paan sambil melepaskan tawa kecil. Berharap dapat membantu mengurangkan sedikit tekanan yang ditanggung oleh Wildan.

Wildan memandang wajah Paan sekilas. Selain dari Ainna, Paan juga salah seorang yang banyak membantu dia melewati masa-masa terburuk dalam karier dan juga hidupnya. Dia juga merasakan yang dia jauh lebih dekat dengan Paan berbanding abangnya, Wafiq.

               “Betulla, aku penat. Kau jangan risau la. Kalau aku ada problem, kau orang first aku cari!” ujar Wildan sambil mengukir senyuman nipis.

               “Aku tahu kau tak okay. Jangan terlalu pandang masalah yang ada, tengok juga sekeliling kau. Masih ramai yang sayang, yang care pasal kau. Dan.. Kau kena ingat, walau susah macam mana pun kau, aku akan selalu ada dengan kau. Maybe aku tak boleh nak tolong tapi aku boleh dengar problem kau. Jangan tanggung semua benda sendiri. Kita ni manusia, bukan robot yang boleh handle semua benda sendiri. Kau banyakkan berdoa, sujud pada Allah supaya Dia mudahkan urusan kau. Aku yakin kau kuat, kau kena kuat demi masa depan kau, demi Ainna. Jangan fikir nak buat benda yang bukan-bukan. Ingat Ainna masih perlukan kau untuk bantu dia, nasihatkan dia. Yang mana dia tak dapat dari orang lain. Kalau kau takde, macamana dengan dia?” ujar Paan sambil menepuk belakang sahabatnya perlahan.

Wildan menyeka air mata yang jatuh. Itu salah satu kelemahannya. Bila disebut tentang Ainna, pasti hatinya merintih sayu. Sakit hati diabaikan keluarganya tidak sesakit melihat semua kesusahan Ainna. Sungguh dia merasa kagum dengan adik bongsunya itu, walaupun dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga dan juga anak bongsu, namun kegigihan dan ketabahan yang ada dalam dirinya amat besar. Adiknya mampu menunjukkan layanan yang biasa kepada keluarganya walaupun Ainna sendiri banyak makan hati dengan layanan ibu dan babanya yang terlalu memilih kasih antara adik beradiknya. Cuma bezanya, Ainna jenis yang menuruti kemahuan ibu dan baba, jadi tidak ada rasa marah dan benci dalam diri orang tuanya terhadap Ainna. Berbeza dengan Wildan yang sering menunjukkan keras kepalanya dan sering menjadi isu pergaduhan antara mereka. Dia juga bingung melihat kedua orang tuanya yang boleh menunjukkan layanan yang biasa selepas apa yang sudah dilakukan terhadap dia dan Ainna.

               “In sya Allah, Paan. Thankyou selalu ada dengan aku. Jangan risau aku okayla!” jawab Wildan sambil mengukir senyuman nipis. Dalam hati sekali lagi dia rasa bersyukur dengan kehadiran sahabat sebaik Paan. Sahabat yang mampu memberi nasihat dan menghiburkan dia ketika bersedih. Wildan hanya menghantar Paan dengan riak wajah yang kosong. Namun, segala perasaan yang ada di dalam hatinya seolah-olah bercampur menjadi satu rasa yang amat pedih.

 

ENCIK SHARIF yang baru sahaja balik dari masjid pelik melihat isterinya yang menunjukkan wajah murung sambil matanya menatap kaca televisyen. ‘kenapa dengan bini aku ni? Tengok Super Spontan tapi muka sedih,’ bisik Encik Sharif di dalam hati sebelum duduk di sebelah isterinya.

               “Ita.. Awak kenapa ni?” tanya Encik Sharif dengan nada perlahan. Risau juga melihat isterinya begitu. Mungkin saja ada masalah yang terjadi pada anak-anak mereka yang mengganggu fikiran isterinya.

Puan Rozita yang terkejut segera meletakkan tangannya di dada, tanda menenangkan dirinya sendiri.

               “Ish! Abang ni! Cuba balik tu bagi salam dulu,” ujar Puan Rozita seraya menggelengkan kepalanya perlahan.

               “Saya dah bagi salam dari isyak lagi. Kamu tu yang asyik sangat mengelamun sampai tak perasan yang abang dah balik. Kamu kenapa? Ada masalah?” jawab Encik Sharif dengan mata yang masih menatap wajah sedih isterinya.

               “Hmm.. Tadi saya dah tanya Idah pasal nak jodohkan Yana dengan Wildan.”

               “Dia tak nak? Benda dah boleh agak dah,” jawab Encik Sharif sambil mencebikkan bibirnya. Mengenangkan tingkah laku anaknya, sudah diduga yang Yana tidak akan menerima Wildan.

               “Ish! Abang ni! Idah kata Yana dah ada calon cuma pihak sana belum ada waktu nak adakan majlis. Katanya calon dia tu kerja bawak kapal,” jawab Puan Rozita sambil melepaskan keluhan.

               “Oh!! Orang kaya. Patutla reject anak awak!” ujar Encik Sharif seraya melepaskan ketawa perlahan.

               “Eh! Abang ni! Kesitu pulak,” jawab Puan Rozita sedikit kesal.

               “So, awak ni sedih sebab tak boleh berbesan dengan Idah ke?”

               “Taklah! Sebab Idah ada kata yang dia berniat nak jodohkan Ainna dengan anak bongsu dia. Jadi kita masih boleh berbesan la dengan dia!” ujar Puan Rozita sambil mengukir senyuman nipis. Dia merasa senang sekiranya dapat berbesan dengan sahabat sendiri dan tidak merasa janggal sekiranya ingin mengadakan majlis. Melihat hubungan kakak-kakaknya dengan besan mereka yang tidak akrab, membuat Puan Rozita sedikit takut untuk berbesan dengan orang yang tidak dikenal rapat.

               “Pulak! Ikut suka awak lah Ita oi! Tapi kalau Ainna, abang rasa senang sikit nak pujuk berbanding Wildan. Cuba la awak tanya dia,” tanya Encik Sharif yang kelihatan berminat dengan perbualan itu. Dia memang setuju sekiranya Ainna yang dikahwinkan dulu, memandangkan anak-anaknya yang lelaki masih belum mahu berkomitmen. Tambahan lagi, Wildan yang ekonominya juga masih belum stabil.

               “Saya bukan apa bang, senang sikit kalau berbesan dengan kawan kita. Kalau ada apa-apa masalah, senang nak bincang. Tak payah pening macam kakak-kakak saya tu.”

               “Anak bongsu dia tu kerja apa?” tanya Encik Sharif sekadar ingin tahu.

               “Kalau tak silap saya polis. Tapi pangkat tinggi bang,” jawab Puan Rozita dengan nada sedikit kuat. Risau sekiranya tidak dipersetujui oleh suaminya.

               “Pangkat apa?” tanya Encik Sharif dengan nada yang sedikit serius.

               “Tak tahu jugak. Idah kata pangkat tinggi.”

Encik Sharif hanya mendiamkan diri mendengar jawapan itu.

 

               “AINNA!! Phone kau bunyi ni!” jerit Hani setelah beberapa kali telefon bimbit Ainna berdering.

Disebabkan tiada sahutan dari gadis itu, Hani berjalan ke bilik Ainna untuk memberi telefon bimbitnya. Melihat Ainna yang sedang menunaikan solat Asar, Hani berniat untuk membiarkan saja panggilan tersebut. Namun, dia risau sekiranya itu panggilan penting memandangkan telefon itu berdering beberapa kali dari pemanggil yang sama. Hani segera menekan simbol berwarna hijau sebelum meletakkan telefon bimbit itu di telinganya.

               “Assalamualaikum,” kedengaran satu suara garau dari corong telefon.

               “Waalaikumussalam, sorry, ni kawan Ainna. Ainna tengah solat,” ujar Hani sambil matanya mengerling ke arah pintu bilik Ainna.

               “Oh! Ainna ada di rumah la kan? Dia ada nak pergi mana-mana tak malam ni?” tanya suara tersebut dengan nada perlahan.

               “Biasanya dia tak keluar dah malam. Tapi tak tahula kalau dia ada plan malam ni.”

               “Oh! Takpe nanti kalau Ainna siap solat, mintak dia call saya balik boleh?” ujar lelaki tersebut.

Hani segera meletakkan panggilan selepas mengiyakan permintaan lelaki itu. Hatinya tertanya-tanya tentang siapa lelaki tersebut. Selalunya Ainna akan berkongsi dengannya, namun memandangkan itu adalah hal peribadi dan mungkin Ainna belum bersedia, dia hanya biarkan fikirannya melayang sendiri.

Ainna yang baru keluar dari bilik dengan keadaan bertelekung berjalan menghampiri Hani. Riak risau terpancar di wajahnya dan tangannya segera mendail semula pemanggil tadi. Dia melihat Fikry sudah menelefonnya sebanyak 3 kali. Dia mula risau sekiranya ada sesuatu yang terjadi pada Raiq.

               “Hello, Assalamualaikum,” ujar Ainna sambil duduk di atas katil di dalam biliknya.

               “Waalaikumussalam. Ainna. Sorry saya ganggu ni,” ujar Fikry dengan nada perlahan.

               “Kenapa? Raiq sakit ke?” tanya Ainna sedikit risau.

               “Eh! Tak.. Tak.. Emm.. Saya nak mintak tolong sikit ni,” kata Fikry.

               “Apa dia?” tanya Ainna yang sedikit bingung.

Fikry menjelaskan yang dia ingin meminta Ainna untuk menjaga Raiq pada malam itu. Dia merasa segan kerana terus-terusan menyusahkan Ainna namun dia terpaksa. Tiba-tiba saja pembantu rumahnya tidak dapat datang ke rumahnya untuk menjaga Raiq sedangkan Fikry sudah berjanji untuk menemui clientnya pada malam nanti. Dia rasa tidak professional pula sekiranya dia membatalkan perjanjian itu kerana dia sudah membatalkannya sebelum ini kerana kemalangan yang terjadi pada waktu itu.

Fikry melepaskan nafas lega setelah Ainna bersetuju untuk membantunya menjaga Raiq. Dia berjalan menuju ke ruang tamu dan menyampaikan berita itu kepada Raiq.

 

AINNA berjalan ke luar pagar dan menghampiri kereta berwarna merah gelap yang diparkir di hadapan rumahnya. Kelihatan Fikry turun dari kereta dan mengukirkan senyuman nipis kepadanya seraya membuka pintu kereta untuk Raiq.

               “Hello sayang!” tegur Ainna sambil mengukir senyuman lebar kepada si kecil yang memakai baju tidur ultraman itu. Raiq yang baru sahaja turun dari kereta segera berlari ke arah Ainna dan memeluknya erat.

Fikry mengukir senyum seraya menyerahkan beg Raiq kepadanya.

               “Sorry susahkan awak, Ainna. Dalam beg tu ada kelengkapan Raiq dengan susu sekali. Nanti saya habis meeting saya ambik Raiq,” ujar Fikry dengan nada lembut.

               “Takde apelah! Saya bukan buat apa pun kat rumah. Kalau awak habis meeting lambat, biar je la Raiq tidur sini. Lagipun esok cuti,” ujar Ainna seraya memandang wajah Fikry yang disinari cahaya lampu yang samar-samar.

               “Eh! Takpelah. Menyusahkan awak saja,” jawab Fikry dengan riak muka yang serba salah.

               “Takde nya. Saya suka dapat main dengan si kecik ni,” ujar Ainna sambil mencubit lembut pipi Raiq.

Fikry hanya tersenyum sebelum meminta diri untuk berjumpa dengan clientnya. Keretanya meluncur laju setelah memastikan Ainna dan Raiq masuk ke dalam rumah dengan selamat.

Hani dan Laila yang sedang asyik menonton televisyen menoleh ke arah pintu rumah yang dibuka. Mereka sudah dimaklumkan oleh Ainna tentang Fikry yang ingin menumpangkan anaknya di rumah mereka. Namun, mereka masih belum tahu tentang siapa Fikry dengan Ainna sehinggakan Ainna sanggup menjaga anak lelaki itu.

               “Hello, comel,” ujar Laila sambil mengukir senyuman manis kepada Raiq.

Raiq menunjukkan riak wajah yang malu-malu memandang Hani dan juga Laila. Tangannya masih erat menggenggam tangan Ainna. Mungkin disebabkan dia tidak mengenali wajah-wajah itu. Sedang asyik melayan kerenah Raiq, telefon Hani berdering.

Hani yang terkejut melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya, segera menerima panggilan itu dan bangun menuju ke biliknya. Dia mengerling Ainna sekilas, berharap gadis itu tidak melihat nama pemanggil di telefonnya.

Ainna yang pelik dengan tingkah laku Hani kerana selalunya gadis itu akan menjawab panggilan di hadapan mereka saja. Tambah lagi kalau panggilan itu dari teman lelakinya, pasti Hani sengaja berbual di hadapan Ainna untuk menunjukkan kemesraan mereka. Setelah melihat Raiq semakin selesa dengan Laila, Ainna meminta diri untuk ke dapur. Walhal niatnya untuk melihat keadaan Hani yang tidak keluar dari bilik sejak menerima panggilan tadi. Risau sekiranya sahabatnya itu sedang menghadapi masalah.

               “Hani.. Kau okay ke?” tanya Ainna yang mula melangkah masuk ke dalam bilik Hani yang berada di antara dapur dan tandas.

               “Eh! Ainna. Aku okayla. Kenapa?” tanya Hani yang kelihatannya terkejut dengan teguran Ainna.

               “Kau jangan nak tipu aku la, Hani. Cuba bagitahu apa masalah kau?” tanya Ainna seakan tahu yang sahabatnya sedang mengalami banyak fikiran.

Hani mengeluh perlahan seraya membetulkan duduknya menghadap Ainna. Dia sedikit risau sekiranya apa yang disampaikan nanti mungkin akan menambahkan lagi luka di hati gadis itu. Sungguh dia tidak sanggup melihat Ainna sekali lagi mengalami tekanan seperti waktu itu. Hani menarik nafas sebelum tangannya memegang tangan Ainna,

               “Seminggu dua ni, aku selalu dapat whatsapp dan call dari Adi,” ujar Hani dengan riak wajah yang takut-takut untuk bercerita.

Ainna terkejut mendengar nama itu. Nama yang akhir-akhir ini sering muncul kembali dalam memorinya. Nama yang selama ini diharapkan untuk kembali padanya. Namun, pada saat dia sudah hampir melupakan semua kisah silam antara dia dan Adi, nama itu kembali dalam hidupnya.

‘What are your reasons? Kenapa kau datang waktu ni? Kenapa bukan dulu? Kenapa bukan pada waktu aku mintak penjelasan dari kau? Kenapa sekarang, Adi?’ soalan demi soalan muncul di benak fikirannya. Hatinya mula rasa sakit namun tidak merasa sedih seperti dulu.

Hani yang ketika itu sedang memegang tangan Ainna terkejut disebabkan tangan gadis itu yang tiba-tiba dingin. Dia segera menggenggam tangan Ainna dengan kedua belah tangannya. Dengan nada risau dia bertanya,

               “Ainna.. Kau okay tak?”

Ainna mengangguk perlahan seraya mengukirkan senyuman nipis,

               “Dia nak apa?” tanya Ainna untuk menutup kekecewaan dalam dirinya.

Hani memandang wajah Ainna dengan riak serba salah.

               “Dia tanya pasal kau. Tapi aku kata yang aku dah lost contact dengan kau,” ujar Hani dengan mata yang masih menatap wajah Ainna. Sekadar untuk menyalurkan sedikit semangat kepada gadis itu.

               “Nanti kalau dia contact kau lagi, bagitahu je benda sebenar. Sampai bila kita nak lari dari kenyataan. Kita bukan macam dia,” ujar Ainna seraya menepuk lembut tangan Hani yang masih memegang tangan kirinya.

               “Kau okay?”

               “Aku okaylah! Aku dah lama move on. Kisah apa pasal dia, hidup aku sekarang jauh lebih baik,” ujar Ainna yang berusaha menutupi rasa sakit yang tersisa. Mendengar nama itu, seakan-akan menggoreskan pisau di atas parut luka yang ada. Namun, dia tahu yang dia perlu kuat. Berusaha untuk melupakan segalanya tidaklah mudah, jadi dia perlu bertahan dengan keadaan yang sekarang.

Raiq yang sedang mencari Ainna menjenguk ke dalam bilik Hani.

               “Aunty Hani, boleh tak Raiq masuk?” tanya Raiq dengan menunjukkan wajah comelnya itu.

               “Boleh Raiq. Meh sini. Ni mesti cari Tyna ya?” tanya Hani sambil memandang Raiq yang berjalan menghampiri Ainna.

Ainna mengukirkan senyuman sebelum mengangkat Raiq ke ribanya.

               “Tyna.. Raiq ngantuk la,” ujar Raiq sambil mengusap lembut matanya dan menguap perlahan.

               “Alooo siannya dia. Mengantuk ya? Tyna tinggal dia?” usik Hani sambil tangannya memegang lembut kaki putih Raiq.

Ainna mengukirkan senyuman nipis mendengar usikan Hani.

               “Okay jom kita tidur ya. Tidur bilik Tyna, okay?” ujar Ainna sebelum mendukung si kecil dan berlalu ke biliknya.

 

JAM menunjukkan pukul 11:30 malam, Fikry yang baru selesai perbincangan dengan clientnya segera masuk ke dalam kereta dan menghantar pesanan kepada Ainna untuk menjemput anak lelakinya pulang. Keretanya meluncur laju ke lebuhraya untuk terus pulang ke rumah, memandangkan Ainna melarangnya untuk menjemput Raiq. Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Dia berfikir bahawa Ainna yang membalas pesanannya namun sangkaannya meleset setelah melihat nama yang tertera di skrin, Amira.

               Babe!! Where you at? Kenapa sekarang you asyik busy je? Nak keluar dengan I pun tak sempat.

Membaca pesanan tersebut, Fikry mengeluh perlahan. ‘Itu je la yang dia tanya. Bukan nak tanya aku sihat ke tak, dah makan ke belum, Raiq okay ke tak. Penat la,’ desis hatinya seraya meletakkan telefon bimbitnya ke tempat duduk penumpang di sebelahnya dengan kasar.

Amira bengang dengan Fikry yang hanya membaca saja pesanan darinya dan tidak memberi apa-apa respon, segera mendail nombor lelaki itu. Namun, tidak ada penerimaan daripada lelaki itu.

               “Dia ni ada betina lain ke? Kurang hajar betul! Dah lah whatsapp aku tak reply, call pon taknak angkat! Dah berani eh kau sekarang! Takpee kau tunggu!” gumam Amira perlahan. Dia berjalan menuju ke tengah khalayak ramai yang berpakaian seksi dan menari seperti orang mabuk.

              

 

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23