BAB 33

 

FAHMI yang baru saja selesai menunaikan solat isyak, teringatkan kata-kata Yana tentang Fikry. Setelah dia mengetahui tentang perkahwinan Fikry dan Ainna, dia sentiasa diburu rasa bersalah. Telefon bimbitnya diambil, kontak abangnya, Fikry diperhatikan sendiri. Jarinya ingin saja mengetik simbol panggil namun hatinya masih tidak kuat untuk menghadapi amarah abangnya. Dia sangat mengerti dengan perangai Fikry bila sudah marah.

Tanpa sengaja jarinya mengetik nombor Fikry dan dia hanya sedar setelah mendengar suara abangnya dari corong telefon. Fahmi menepuk dahinya perlahan seraya meletakkan telefon bimbitnya di telinga.

               “Assalamualaikum,” ujar Fikry setelah beberapa detik hanya kesunyian yang ada di antara mereka.

               “Waalaikumussalam,” jawab Fahmi dengan nada yang perlahan.

               “Hidup lagi kau?” tanya Fikry dengan nada yang tegas.

Fahmi mengetap bibirnya sendiri. Dia sangat jarang berbual dengan Fikry melalui telefon bimbit. Jika ada hal mustahak yang memerlukan bantuan dari lelaki itu baru dia menghubungi abangnya. Mungkin kerana itulah dia buntu untuk memulakan perbicaraan antara mereka kerana selalunya Fikry yang akan banyak bertanya dengannya.

               “Kau sihat ke?” tanya Fahmi dengan nada yang terketar-ketar.

               “Emm sihat. Ni kau kat mana?” tanya Fikry yang perasan dengan ketidakselesaan Fahmi.

               “Kat rumah. Baru je balik kerja. Raiq tengah buat apa?” tanya Fahmi lagi.

               “Raiq tak ada dengan aku. Dia ada kat hospital. Demam,” jelas Fikry sambil mengerling ke arah Raiq yang tidur.

               “Hospital? Lepastu kau tinggal Raiq dengan siapa?” tanya Fahmi yang pelik sendiri. Biasanya Fikry tidak pernah mengabaikan anaknya walau sesibuk apa pun dia. Ini abangnya boleh pula meninggalkan anak buahnya sendirian di hospital.

               “Dengan mak dia la,” jawab Fikry ringkas.

Fahmi mengerutkan dahi mendengarkan jawapan Fikry.

               “Mak dia?”

Fikry melepaskan keluhan kasar. ‘Dengan perempuan yang sepatutnya nikah dengan kau!’ geram Fikry di dalam hati. Dia perlu berusaha menahan emosinya. Dia tidak mahu Fahmi semakin menjarakkan diri daripada dia. Dia perlu tahu sebab adiknya tidak pulang pada hari majlis tersebut kerana dia yakin ada sesuatu yang Fahmi sembunyikan dari dia dan keluarganya.

               “Bini aku.”

Jawapan Fikry yang ringkas namun mampu menyentak jiwa Fahmi. Fahmi menggigit bibirnya. Dia memarahi diri sendiri kerana lupa dengan perkahwinan Fikry dan Ainna.

Mendengar jawapan bisu dari adiknya, Fikry menyambung kata,

               “Kau dah tahu kan yang aku dah kahwin? Mesti Yana dah bagitahu kau.”

               “Emm tahu. Raiq kena warded ke?” tanya Fahmi lagi untuk mengubah topik perbualan antara mereka.

               “Ya,” jawab Fikry ringkas.

               “Hospital mana?”

               “Hospital bandar ni je.”

               “Esok aku pergi tengok Raiq. Ni dah lewat dah mesti tak boleh masuk kan?” tanya Fahmi.

Fikry bingung sendiri. Benarlah adiknya itu ingin memujuk Fikry agar tidak marah dengannya. Selama mereka berpisah rumah boleh kira berapa kali saja dia bertemu dengan adiknya di Kuala Lumpur. Awal-awal ketika Fahmi belajar di sini, adiknya itu memang tinggal bersamanya. Namun, setelah Fahmi mengambil keputusan untuk tinggal bersama rakan-rakannya, adiknya itu sudah jarang meluangkan masa dengan dia dan juga Raiq. Bila ajak berjumpa, ada saja alasannya padahal tempat tinggal mereka bukanlah terlalu jauh.

               “Tak payahlah! Kau kan busy, kerja banyak,” sindir Fikry.

Fahmi terpukul dengan sindiran abangnya.

               “Takpelah. Aku dah lama tak jumpa Raiq. Lagipun esok aku tak busy sangat,” jelas Fahmi lagi.

               “Jarang kau tak busy. Selalunya sibuk memanjang sampai kahwin pun tak boleh balik,” sindir Fikry lagi.

Fahmi menarik nafas dalam.

               “Takpelah! Dah kau nak datang esok, datanglah. Aku off dulu, assalamualaikum,” ujar Fikry seraya mematikan panggilan.

 

               “AKU bukan tak suka dengan kau. Bapak mana yang tak sayangkan anak? Setiap mak bapak mesti sayangkan anak mereka. Kau ingat senang ke aku nak besarkan kau sampai jadi besar ni? Kau baru 18 tahun tau, tapi tak pernah nak dengar aku! Kau tak pernah nak jaga air muka aku! Yang kau fikir apa yang kau nak saja. Pergi melepak situ sini, pergi jumpa orang-orang yang tak ada kerja tu! Kau buat apa berkawan dengan budak motor tu? Kau nak mati sia-sia?” tanya babanya usai membebel panjang.

               “Baba pernah ke tanya Dan, apa yang Dan nak?” tanya Wildan dengan nada yang perlahan.

               “Kau nak aku tahu apa yang kau nak?! Habistu, kau ada buat apa yang aku nak?” tanya babanya dengan nada suara yang tinggi.

Wildan hanya menundukkan kepalanya ke lantai. Tidak berani untuk membalas amarah babanya.

               “Kau tu anak! Dengar lah apa kata aku!”

               “Dan tak mintak baba percayakan Dan. Dan faham kalau baba masih marahkan Dan pasal kes Azim tu. Tapi Dan mintak baba bagi peluang pada Dan. Selama tiga tahun ni, baba tak pernah peluk Dan, cakap elok-elok dengan Dan. Dan cuma nak baba layan Dan macamana baba layan along dengan adik,” pohon Wildan sambil menyeka air matanya.

               “Apa?! Kau nak aku layan kau macamana aku layan abang dengan adik kau?! Eh! Kau cermin lah diri kau! Apa yang kau bagi pada aku untuk aku layan kau macam dorang? Dorang ada ke malukan aku? Ada buli orang sampai setengah mati budak tu? Ada sampai kena kes mahkamah? Ada kes kena tebus motor sebab bagi mat rempit guna? Ada?! Tak ada! Kau saja yang menyusahkan aku! Aku rasa selama mak kau mengandungkan kau tak ada pulak aku buat benda yang pelik-pelik,” gertak babanya.

Entah kenapa setiap bait perbualan antara dia dan babanya tidak pernah hilang dari fikirannya. Dia merasakan seolah-olah setiap pergaduhan dan pertikaman lidah antara mereka sentiasa tersemat di dalam fikirannya.

‘Kalau baba tahu hal sebenar, mungkin baba tak sebenci ni pada Dan kan ba? Dan takkan hilang kasih sayang dari ibu dengan baba. Dan penat ba. Dan penat. Dan penat tunjuk kuat. Dan penat hidup sendiri. Tanggung masalah sendiri. Selesaikan segala masalah sendiri. 10 tahun ba, Dan hidup tanpa ajaran dan kasih sayang dari orang tua Dan sendiri. Sakit ba, sumpah sakit. Baba takkan faham apa yang Dan rasa, tak ada sesiapa boleh faham Dan. Sampai bila baba nak benci Dan atas apa yang bukan Dan buat? Dan nak sangat bagitahu baba tapi Dan tahu baba takkan percayakan Dan. Dan yakin Wafiq pun takkan mengaku apa yang dia dah buat,’ desisnya sendiri.

Memang tidak mudah untuk dia laluinya sendiri. Sejak dari umur 15 tahun lagi dia melakukan segala-galanya sendiri. Di saat ada pertemuan ibu bapa dan guru di sekolah, dia saja yang hadir sendirian tanpa ditemani kedua orang tuanya. Pernah juga dia meminta pembantu rumahnya untuk menggantikan posisi ibunya untuk bertemu dengan gurunya. Dia sengaja meluangkan masa dengan mat rempit di tepi jalan semata-mata ingin mendapatkan perhatian dari babanya. Satu-satunya cara untuk mewujudkan perbualan antara dia dan babanya adalah dengan melakukan perbuatan yang membuat babanya marah. Kerana babanya hanya menatap wajahnya ketika babanya marah saja.

Gambar keluarga yang ada di tangannya dibawa ke dadanya.

               “Kau kenapa ni?” tegur sahabatnya, Paan dengan nada yang lembut.

               “Eh Paan. Lewat balik,” tegur Wildan.

               “Singgah beli barang sikit. Kau okay tak?” tanya Paan tanda prihatin.

               “Okay saja.”

               “Ye ke okay? Nangis tadi kenapa?” tanya Paan.

               “Tak ada lah,” sangkal Wildan yang cuba menutupi kesedihannya.

               “Take your time,” ujar Paan seraya menepuk belakang badan Wildan perlahan dan berjalan meninggalkan sahabatnya sendirian.

Usai menutup pintu kamar Wildan, Paan mengeluh perlahan. Hampir 12 tahun dia mengenali Wildan dan dia tahu bagaimana dekatnya Wildan dan babanya. Pasti sangat tidak mudah untuk Wildan menerima semuanya. Namun, lelaki itu sentiasa berusaha menunjukkan yang dia kuat dan mampu menandingi segalanya sendirian. Paan bukan sahaja menganggap Wildan sebagai teman serumah, rakan sekerja, sahabat malah juga dianggap seperti saudaranya sendiri. Setiap kali Wildan merasa sedih, dia juga turut merasakan hal yang sama. Namun, dia tidak mahu Wildan tahu akan perasaannya kerana dia yakin sekiranya Wildan tahu hal sebenar, sahabatnya itu pasti akan berusaha menutupi masalahnya dari Paan. Kerana Wildan sangat tidak suka untuk membuat orang di sekitarnya susah hati.

 

FIKRY menghulurkan bungkusan makanan kepada Ainna yang baru selesai menunaikan solat isyak.

               “Apa ni?” tanya Ainna yang sedang melipat telekungnya.

               “Bihun goreng. Saya tak tahu awak nak makan apa. Tadi pun saya call awak tak angkat,” ujar Fikry.

Ainna mengangguk perlahan. Tidak ada niat untuk membahas soal itu.

               “Esok Fahmi nak datang melawat Raiq,” ujar Fikry sambil menatap wajah isterinya.

Ainna mengerutkan dahi mendengarkan nama itu. Rasanya nama itu tidak asing baginya namun dia lupa siapa Fahmi.

               “Fahmi?”

               “Adik saya.”

Ainna terkedu mendengarkan jawapan suaminya. Entah apa reaksi dan jawapan yang perlu dia berikan kepada suaminya. Jadi dia akan bertemu dengan orang yang sepatutnya jadi suaminya dulu? Entah kenapa timbul perasaan malu dan segan akan pertemuan di antara mereka.

               “Boleh tak?” tanya Fikry yang melihat isterinya tidak memberikan apa-apa respon.

               “Kenapa tanya saya?” tanya Ainna yang pelik dengan pertanyaan suaminya.

               “Mana la tahu awak tak selesa kalau Fahmi datang,” tebak Fikry.

Ainna mengukirkan senyuman nipis. Walaupun realitinya dia merasakan hal itu, namun mustahil sekiranya dia meluahkan apa yang dirasakan. Dia tidak ada hak samada untuk melarang atau mengizinkan Fahmi melawat anak saudaranya sendiri.

               “Tak ada lah. Adik awak mesti la nak datang tengok anak buah dia. Awak pun kata kan yang Raiq tak pernah sakit teruk sebelum ni,” ujar Ainna lagi.

Fikry hanya mengangguk mendengarkan jawapan isterinya.

               “Awak okay?” tanya Ainna yang memang tahu Fikry masih marahkan Fahmi tentang hal sebelum ini.

Fikry menarik nafas perlahan seraya menyandarkan badannya ke sofa.

               “Entahlah. Saya memang masih marahkan dia. Tapi saya tak boleh terus tunjuk emosi saya bila dalam fon. Saya kena buat dia tak takut untuk jumpa saya. Saya nak tanya dia sebab dia buat macam tu pada mama dengan papa. Saya yakin anak mama macam Fahmi takkan buat keputusan macam ni. Keputusan yang buat mama dengan papa sedih,” jelas Fikry setelah beberapa detik mendiamkan diri.

Ainna hanya mengangguk mendengarkan penjelasan suaminya. Dia juga tidak terniat untuk memberikan apa-apa respon akan hal itu.

               “Malam ni awak tidur atas katil la dengan Raiq. Saya tidur di sofa,” ujar Fikry lagi.

Ainna sekali lagi mengangguk tanda menerima arahan dari suaminya. Untung saja Fikry mengambil ruang rawat VIP untuk Raiq jadi mereka lebih selesa untuk tidur di sana.

 

ENCIK SHARIF merasa lega kerana sudah beberapa hari dia tidak menerima apa-apa ugutan seperti sebelumnya. Jauh di sudut hati, dia ingin sekali mencari tahu siapa yang menghantar surat-surat itu. Namun, dia malas untuk melibatkan orang lain dengan masa lalunya. Sebolehnya, dia tidak mahu segala rahsianya selama ini diketahui oleh orang luar. Di mana mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan.

               “Saya ke bilik sana, anak yang termenung. Balik bilik sendiri, suami pulak termenung. Ni kenapa? Besar sangat ke masalah company tu?” tegur Puan Rozita yang baru saja melangkah masuk ke kamar mereka.

               “Awak ni buat terkejut saya je,” ujar Encik Sharif.

Puan Rozita melepaskan keluhan perlahan.

               “Maksudnya betullah yang awak ni ada masalah? Kalau awak tak termenung, tak ada nya nak terkejut bila saya tegur.”

               “Awak ni tak habis-habis tanya saya. Saya kata tak ada masalah, maksudnya tak ada lah,” tegas Encik Sharif.

               “Yang awak nak marah ni kenapa? Saya tanya sebab risaukan keadaan awak dengan anak. Kenapa? Saya tak boleh tahu hal company ke?” tanya Puan Rozita lagi. Bengang dengan sikap suaminya yang seperti ingin menyalahkan dia. Padahal dia begitu pun kerana risaukan kesihatan suaminya.

               “Saya tak marah Puan Rozita oi! Tapi tolongla jangan paksa saya. Saya perlukan masa untuk selesaikan masalah ni sendiri,” jelas Encik Sharif dengan nada yang sedikit lembut.

Puan Rozita melepaskan keluhan perlahan. Entah apa masalah yang dihadapi oleh anak dan suaminya hingga mereka tidak mahu berkongsi dengan dia.

               “Saya cuma nak tahu masalah awak dengan anak saja. Mungkin saya tak faham kerja awak dan tak dapat nak bantu. Tapi setidaknya awak tak tanggung beban awak sendirian,” pujuk Puan Rozita lagi sambil mengelus lembut belakang badan suaminya.

Encik Sharif melepaskan keluhan dan menatap wajah isterinya.

               “Awak janganlah risau. Saya okay. Kalau saya perlukan teman untuk berkongsi cerita, I will let you hear. Okay?” pujuk Encik Sharif lagi.

Puan Rozita hanya mengangguk mendengarkan kata-kata suaminya. Susah bila bersuamikan lelaki yang degil dan ikut kepala dia saja.

               “Sudahlah, awak jangan fikir sangat. Nanti sakit, saya pulak yang susah.”

               “Emm,” jawab Puan Rozita ringkas. Malas untuk berbahas masalah itu dengan suaminya.

 

SUASANA malam itu agak hening dan mungkin menyenangkan untuk setiap yang merasainya. Namun tidak buat Wafiq. Kaki Wafiq melangkah dari beranda menghala ke kamar adik perempuannya. Pintu yang dihiasi dengan langsir berwarna kuning lembut itu dibuka perlahan sebelum tangan kanannya segera membuka suis lampu di sisi kanannya.

Wafiq mengukirkan senyuman nipis melihat setiap bingkai gamabr yang tertampal di dinding yang bercatkan biru cair. Matanya terhenti disebuah bingkai gambar yang menyimpan wajah mereka tiga beradik. Kakinya perlahan-lahan melangkah menuju ke bingkai gambar itu. Jari kanannya dengan perlahan menyentuh setiap wajah yang ada di situ.

               “Along!” kedengaran suara jeritan di telinganya.

               “Apa ni long?!” jerit Wildan lagi. Mungkin emosi kerana abangnya membaling baju kepada dia.

               “Kau suka tak?” tanya Wafiq sambil melabuhkan duduk.

               “Kenapa? Kau nak bagi aku ke?” tanya Wildan lagi.

               “Kalau kau suka ambik lah. Kalau tak suka, aku bagi orang lain,” ujar Wafiq lagi.

               “Weh! Mestilah aku nak! Baju ni yang aku tengok haritu. Tapi sebab aku dah pilih baju biru tu yang aku tak ambik baju ni,” jelas Wildan sendiri.

               “Hmm kalau nak ambiklah!”

               “Betul ni?!” tanya Wildan dengan riak wajah yang teruja.

Wafiq hanya mengangguk perlahan.

               “Long! Thank you! Aku suka! Aku janji aku akan simpan baju ni elok-elok!” ujar Wildan seraya memeluk abangnya dengan erat.

               “Along ni asyik bagi baju, mainan dekat angah je. Padahal adik ni yang paling kecik. Sepatutnya along dengan angah kena manjakan adik,” tegur Ainna.

               “Along mestilah kena sayang angah lebih dari adik! Kitorang kan sama-sama lelaki! Adik tu perempuan, mana boleh geng dengan lelaki!” gurau WIldan.

Wafiq melabuhkan duduk di atas katil. Kenangan masa lalunya diimbau kembali. Dia mengukirkan senyuman nipis. Bingkai gambar di sisi katil diambil,

               “Angah! Sudahlah main game tu! Ni tengok apa yang aku ajar,” gertak Wafiq.

               “Yeee aku dengar. Cakap je la,” jawab Wildan dengan mata yang masih menatap skrin telefon bimbit.

Wafiq melepaskan keluhan perlahan. Tangannya segera mengambil telefon bimbit dari tangan Wildan dan menyimpannya di dalam poket bajunya.

               “Long!”

Wafiq membesarkan matanya tanda memberi amaran pada adiknya supaya tidak melawan arahannya.

               “Okay! Aku belajar.”      

‘Kau tak pernah lawan aku kan Dan? Kau selalu dengar apa kata aku, selalu berterima kasih pada aku. Kau tak pernah marah aku lama-lama. Tapi aku yang bodoh Dan. Aku yang sanggup buat hubungan kita jadi makin jauh. Aku yang ingkar janji aku pada kau, pada adik. Aku mintak maaf Dan. Aku memang tak guna! Aku memang tak layak jadi contoh yang baik untuk adik-adik aku,’ desis Wafiq seraya memejamkan mata menutupi takungan air yang ada.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 27

BAB 7

BAB 23